Wednesday, October 22, 2008

Pandanganku



Pulau Pandan jauh ke tengah
Gunung Daik bercabang tiga.
Hancur badan dikandung tanah.
Budi baik dikenang jua.


Pantun merupakan salah satu daripada cabang sastera Melayu yang indah dan berkesan dalam menyampaikan maklumat.Pantun tersebut di atas adalah salah satu pantun yang terbaik yang pernah dihasilkan penggubahnya.Penulis tidak berhajat untuk menghuraikan tentang penilaian pantun kerana penulis sendiri tidak arif dalam hal tersebut.Walau bagaimana pun apa yang tersirat di dalam pantun ini tidak begitu sukar untuk dihurai dan dipaparkan di skrin komputer ini.

Pantun ini merupakan pantun nasihat. Nasihat ini ditujukan khasnya kepada umat Melayu Islam dan amnya kepada sesiapa sahaja yang memahami pantun tersebut.Dalam baris pertama maksud pantun disebut;"Hancur badan dikandung tanah". Penggubah pantun mengingatkan kita bahawa kehidupan di dunia ini tidak kekal selama-lamanya.Selebihnya kita hendaklah fikir sendiri, bagaimana hendak menghayati hidup ini sebelum kedatangan malaikat Izrail yang dikenali sebagai malaikat maut itu supaya sebuah kehidupan yang dilalui bersama masyarakat akan menjadi kenangan manis kepada mereka yang masih meneruskan kehidupan yang masih berbaki.Bak kata pepatah; "Harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan jasa".





Pantun ini menjadi lebih menarik dan terserlah keindahannya, apabila tidak menyebut secara tersurat larangan melakukan kejahatan dengan berpuas hati menyebut budi baik dikenang jua.Mungkin bersandarkan kepada yang indah itu bahasa dan yang baik itu budi.Di sini dapatlah kita faham bahawa sesiapa yang jahat sama ada pemimpin, orang awam atau sesiapa sahaja, mereka yang jahat ini sebenarnya tidak berjasa kepada sesiapa. Kalau ada kebaikan yang dilakukan hanyalah untuk kepentingan diri, Pada zahirnya kelihatan berjasa tetapi nilai tersirat terhadap ketrampilan dan ketokohan mereka sebenarnya adalah untuk kepentingan diri dan keluarga. Orang seperti ini tidak akan dikenang oleh masyarakat. Kalau ianya terlintas juga tentang kerja buat mereka di dalam ingatan masyarakat. Ingatan itu lebih kepada cacian dan penyesalan yang tidak berkesudahan.
Agaknya itulah mesej yang hendak disampaikan oleh penggubah atau pengarang pantun ini yang segar sejak zaman kapur tulis sehinggalah ke zaman komputer dan internet tanpa wayar ini.

Itulah pandanganku tentang pantun ini.

No comments: