Thursday, October 2, 2008

Selamat Berpuasa Sunat Syawal.

Salam Semua.

Puasa Sunat Syawal.
Hari ini adalah 2hb.Syawal 1429H bersamaan 2hb.Okt.2008M, iaitu hari pertama bagi mereka yang mengambil kesempatan berpuasa sunat, orang yang memulakan puasa pada hari ini sehingga 7hb.Syawal adalah mereka yang berhajat mendapatkan fadzilat paling afdal.

Boleh juga berpuasa bila-bila masa dalam bulan ini sebanyak 6 hari kecuali pada 1hb.Syawal kerana pada hari tersebut diharamkan puasa dan diwajibkan berhari raya. Begitulah amalan pada setiap tahun oleh kaum muslimin dan muslimat.

Puasa sunat dan puasa wajib tiada perbezaan dari segi pelaksanaannya, iaitu menahan diri daripada melakukan perkara yang membatalkan puasa mulai terbit fajar sehingga terbenam matahari tetapi puasa sunat diberi keringanan tentang tempoh masa untuk berniat iaitu mulai terbenam matahari sehingga sebelum gelincir matahari ke barat selagi belum melakukan perkara yang membatalkan puasa. Ini bermakna waktu mula berpuasa sama seperti puasa wajib iaitu setelah terbit fajar siddik atau masuk waktu subuh.

orang yang berpuasa Ramadan dan diikuti dengan puasa sunat Syawal, mereka ini dianggap berpuasa sepanjang tahun, sama seperti orang yang berpuasa sunat 3 hari setiap bulan pada bulan-bulan yang lain, begitulah tingginya ganjaran yang dikurniakan oleh Allah.

Hari ini ( 2hb.Syawal ) bermakna Hari raya telah tamat pada hari semalam, yakni hari yang diharamkan berpuasa dan disunatkan pula pada 2hb.Syawal berpuasa sunat manakala takbir Hari Raya Aidilfitri berakhir sebaik sahaja mendirikan solat sunat Aidilfitri semalam ( 1hb.Syawal). Untuk meneruskan agenda hari raya sebagai sempena sambutan Hari Raya tidak menjadi kesalahan tetapi pengisiannya hendaklah disekitar ibadat umum yang selalu kita lakukan seperti ziarah menziarahi, mengadakan sedikit jamuan untuk tetamu, mengeratkan hubungan silaturrahim dan seumpamanya kerana aktiviti itu sememangnya telah lumrah kita lakukan. Walau apa pun perkara yang dituntut supaya kita lakukan dalam bulan Syawal ini adalah berpuasa sunat. Wallahu Aklam.

Selamat Berpuasa Sunat.


Sekian.Wassalam.

No comments: