Thursday, October 23, 2008

Mari Kita Kongsi Pengalaman




Tiada manusia di dalam dunia ini yang boleh hidup tanpa pertolongan dan bantuan orang lain. Sesungguhnya Allah jadikan kita untuk berkenal kenalan di antara satu sama lain. orang yang hidup seperti kera sumbang itu hanyalah orang-orang yang bodoh dan jahil. Realiti hidup manusia ibarat aur dengan tebing, bantu membantu di antara satu sama lain.Satu hidangan makanan yang berada di hadapan kita setiap hari itu tidak akan wujud begitu rupa kalau tidak melibatkan orang lain. Hal ini mungkin kita akan halusi pada pertemuan yang lain.

Jauh perjalanan maka banyaklah pengalaman.Pengalaman kita akan menjadi sia-sia dan kenangan bersejarah sahaja kalau tidak dikongsikan dengan orang lain. Apa salahnya kita kongsi bersama orang lain supaya kehidupan di dunia ini menjadi lebih baik dan aman. Dengan cara ini manusia akan berterima kasih sesama mereka dan berhutang budi sesama mereka. Kehidupan seperti inilah yang akan menghasilkan kesejahteraan dan kemesraan.
Islam menyuruh umatnya bertolong-tolongan pada perkara yang baik dan melarang bertolong-tolongan pada perkara yang jahat dan permusuhan. Hidup ini sebenarnya sangat indah sekiranya dikendalikan dengan betul dan akur dengan perintah Allah dan RasulNya . Berkat kepatuhan perintah tersebut insya Allah "Kehidupan Bersih dan bekualiti" lambat laun akan dapat dinikmati.


Pengalaman dan peristiwa yang menjadi kenangan pahit dan manis yang boleh saya kongsi bersama anda di sini, di antaranya;
> Mengalami sakit kepala ( migraine ) berlarutan sehingga 40 + tahun.
> Peristiwa memasak atau menjerang air dan pergi melangsaikan tugas lain.
> Menolong kanak-kanak lemas di dalam air.
> Mimpi yang berlaku selepas dilaksanakan solat sunat memberi ketenangan dan keyakinan diri.
> Sesat yang menyebabkan sampai lebih cepat. (di Bandaraya Ipoh)


Sakit kepala (migraine).
Sejak belasan tahun saya telah mengalami penyakit ini iaitu dalam tahun 60an sehinggalah sekarang, tetapi pada masa ini rasa sakit itu telah banyak berkurangan berbanding dengan tahun 60an sehingga awal tahun 2000an, dalam jangka masa tersebut saya mengalami "migraine" ini pada tiap-tiap hari. Migrain yang saya alami ini bukanlah jenis yang serangannya kuat, serangannya tidak begitu kuat tetapi berpanjangan, kekadang berdenyut-denyut, kekadang seperti tidak mendapat kepuasan tidur pada malam hari dan kekadang sekadar menghalang rasa mengantuk sahaja. semua keadaan ini menyebabkan sukar mendapat tidur yang nyenyak , malah kekadang tidak dapat tidur sehingga beberapa hari kecuali tidur yang sedikit.

Saya mengkategorikan rasa sakit saya ini seperti berikut ; iaitu 40%-31% tertinggi, 30%-21% tinggi, 20%-16% sederhana, 15%-06% rendah dan 05%-01% paling rendah. Saya mengkategorikan begitu kerana rasa sakit kepala pada waktu sebelum ini dirasai setiap hari tetapi tahapnya berbeza-beza. Pada masa sekarang penyakit tersebut berada pada tahap di antara 05% sehingga 00%, ini bermakna ada kalanya sihat walafiat. Alhamdulillah, saya merasakan telah mendapat husnul khatimah ( happy ending) berkaitan situasi tersebut.

Pada hemat saya, penyakit ini berlaku atas beberapa sebab tertentu, lain orang , agaknya lainlah pula sebabnya. Bagi diri saya di antara sebabnya adalah seperti berikut.

Cuaca panas.
Cuaca panas adalah salah satu faktor berlakunya migrain oleh itu pesakit migrain tidak boleh terdedah dengan panas matahari terutamanya di antara jam 8.30 pagi sehingga 11.00 pagi. kecuali dalam keadaan sedang membuat senaman. Kalau pada waktu pagi tidak terlibat dengan aktiviti yang boleh menyebabkan migrain, insya Allah pada hari tersebut akan selamat daripada serangan migrain.

Makanan yang menghasilkan angin.
Makanan merupakan faktor utama menyebabkan migrain, makanan tertentu apabila dimakan ianya menghasilkan angin (gas) di dalam perut, angin yang dihasilkan itu pula bergerak melawan arus iaitu naik ke atas sehingga ke kepala dan terperangkap di sana dan tidak dapat keluar kerana kepala tidak berpeluh, kalau berpeluh angin akan turut keluar bersama peluh kerana angin lebih halus daripadanya. Kalau angin terlalu banyak di dalam kepala ia memberi tekanan kepada otak ketika inilah berlakunya migrain.
Di antara makanan yang berangin ialah semua makanan kekacang, buah sukun, ubi, santan mentah, pulut, sagu, bali dan lain-lain.


Makanan yang sifatnya panas dan menyebabkan badan menjadi panas.
makanan yang boleh menyebabkan panas badan seperti makanan yang dimasak bersamanya rempah, lada hitam, cili, daging lembu dan daging kerbau atau apa sahaja bahan yang boleh menyebabkan badan menjadi panas.




Buang air besar tidak lawas ( Sembelit ).
Buang air besar tidak lawas atau sembelit juga boleh memerangkapkan angin di dalam perut, apabila angin terlalu banyak berada di dalam perut maka berlakulah angin itu bergerak melawan arus seperti diterangkan di atas.

Duduk terlalu lama di atas kerusi.
Duduk terlalu lama di atas kerusi atau seumpamanya ketika menulis atau membuat sesuatu kerja boleh menyekatkan laluan angin dan menyebabkan angin bergerak melawan arus. Memandu kereta terlalu lama juga boleh berlaku sedemikian. Bagi mereka yang tidak mengalami migrain, angin di dalam perut mereka bergerak mengikut arus atau laluan yang betul dan keluar sejumlah yang sepatutnya.


Beberapa cadangan sebagai langkah untuk mengatasi serangan sakit kepala (migraine) berdasarkan pengalaman saya;

> Cuaca panas yang berlaku di kawasan kediaman kita sudah tentulah tiada siapa boleh mengubahnya. Tindakan yang boleh diambil ialah jangan membiarkan diri terdedah dengan cuaca panas tersebut manakala di dalam rumah eloklah dipasang dengan alat pendingin hawa.

> Makan hendaklah mengikut jadual kerana lambat makan atau makan dalam jumlah yang banyak juga boleh menyebabkan angin. Rasulullah.s.a.w. mengingatkan kita supaya makan apabila lapar dan berhenti makan apabila hilang lapar. Jangan makan makanan yang boleh menyebabkan angin.

> Kurangkan memakan makanan yang boleh menyebabkan badan menjadi panas. Banyakkan memakan makanan yang sifatnya sejuk seperti sayur-sayuran, ayam, ikan dan seumpamanya.

> Untuk mengelakkan sembelit atau buang air besar tidak lawas. Kita hendaklah banyak memakan buah-buahan, terutamanya sebelum makan malam dan makan tengah hari kerana makanan penyebab lawas buang air besar lebih sesuai dimakan terlebih dahulu. Sembelit berlaku kerana najis yang keras berada di pintu keluar, untuk mengelakkan ini berlaku maka makanlah buah-buahan terlebih dahulu seperti Islam mengesyorkannya semasa kita berbuka puasa, di mana disunatkan memakan buah korma terlebih dahulu. Pengambilan buah-buahan juga perlu berhati-hati kerana terdapat juga buah-buahan yang boleh menyebabkan badan menjadi panas setelah kita mengambilnya seperti buah durian umpamanya.


> Jangan duduk terlalu lama di atas kerusi atau tempat seumpamanya kerana tabiat itu boleh menyekat angin dan darah daripada bergerak lancar. Ini juga boleh menyebabkan bekalan darah dan oksigen tidak mencukupi di bahagian otak atau sebaran darah dan oksigen tidak menyeluruh. Kalau terasa telah lama duduk, eloklah berdiri dan bergerak dalam jangka masa yang agak sesuai, kemudian duduk s
emula dan begitulah seterusnya.

> Ketika sedang sakit, bahagian seluruh kawasan kepala hendaklah dijelum (dijaram) atau dibasahkan dengan air biasa dan dibubuh minyak cap kapak atau apa-apa bahan yang boleh menyejukkan seperti "Johnson's baby cologne" atau seumpamanya. Bahan tersebut dibubuh di kepala, tengkuk dan sepanjang tulang belakang sehingga ke pinggang, pesakit hendaklah berbaring secara meniarap. Insya Allah akan melegakan.

> Amalan bersenam memberi kebaikan kepada semua orang, berlebih-lebih lagi bagi mereka yang sakit migrain ini. Pada waktu pagi sebelum bangun hendaklah membuat beberapa kali pergerakan kepala, kaki dan tangan supaya darah dan oksigen bergerak lebih lancar, kemudian barulah bangun sama ada ke bilik air atau ke mana-mana pun.

> Setiap pagi hendaklah membuat senaman ringan sekurang-kurangnya 20 minit, Senaman yang paling senang dilakukan ialah berlari-lari anak di ruang tamu rumah kita. senaman ini bertujuan melancarkan pusingan darah, terutamanya mencukupkan bekalan darah dan oksigen di kawasan otak.

> Tidur berkualiti (nyenyak) di antara 6 atau 7 jam pada waktu malam. Untuk mencapai kualiti tidur tersebut pesakit hendaklah masuk awal ke tempat tidur kerana apabila rasa mengantuk tabiat menangguhkannya tidak berlaku, sebaliknya terus tidur sahaja.

> Warna dinding rumah juga kadang-kadang boleh memberi sedikit kesan buruk kepada pesakit migrain, warna hijau adalah lebih sesuai berbanding dengan warna-warna yang lain.

> Mengambil pemakanan kesihatan juga di antara usaha yang baik ke arah menyingkir penyakit ini. Minuman berherba yang boleh menyejukkan badan juga sesuai untuk diambil, sebagai contoh saya mengambil Teh Dr.Rooibos ( Rooibos Tea). Minuman ini sangat sesuai untuk diri saya kerana ianya boleh menstabilkan kewujudan angin di dalam badan.

> Air sangat penting untuk semua orang. Pastikan minum air secukupnya mengikut keperluan bukan minum apabila dahaga, Kadar atau jumlah air yang hendak diminum hendaklah ada di dalam perancangan setiap hari dan dapatkan air yang mengandungi banyak oksigen.

> Manusia hanya boleh berusaha tetapi Allah yang Maha Berkuasa menentukannya sama ada berjaya atau sebaliknya. Berusaha, berikhtiar, berdoa dan seterusnya bertawakkal kepada yang Maha Berkuasa. Itulah senjata orang-orang mukmin.

( Nasihat ini hanya berdasarkan pengalaman dan pengetahuan sahaja bukan berdasarkan kepakaran )


.......................................................................................................................................................................




Peristiwa memasak atau menjerang air.

Pada suatu pagi hari cuti. Tinggal bersendirian di rumah kerana isteri pergi menziarahi anak di Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang. Saya tidak ingat tarikhnya dengan tepat tetapi peristiwa tersebut telah berlaku dalam tahun 90an. Air tersebut dijerang menggunakan dapur gas. Setelah air diletakkan di atas dapur dan dinyalakan apinya saya pun pergi ke ruang tamu dan membelek-belek fail Setiausaha PIBG sekolah yang terletak di atas meja tepi dan bersamanya fail Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembinaan Surau. Kedua-duanya menjadi tugas saya yang perlu dibereskan.

Untuk membereskan beberapa kerja yang perlu disegerakan maka saya pun terus mengambil keputusan pergi ke sekolah , setelah sampai di sekolah saya sempat berbual dengan beberapa orang kawan yang hadir ke sekolah dengan tujuan yang sama. Selepas itu saya pun terus masuk ke bilik yang terletak di surau. Sebaik sahaja duduk di atas kerusi dan membuka fail tiba-tiba hilang "mood" untuk meneruskan kerja.

Saya pun mengambil keputusan balik ke rumah yang jaraknya lebih kurang 4km sahaja. Setibanya di rumah saya rasa amat terkejut kerana ruang dalam rumah telah dipenuhi asap berwarna kelabu, ini bermakna asap masih nipis lagi. Tidak berlengah lagi terus masuk ke dapur, Masya Allah cerik yang berisi air tadi telah menjadi merah dan sedang mengluarkan daun api yang kecil. Nasib baik api gas berjaya dipadamkan, kalau tidak sederet rumah teres menjadi hangus dan bala hasil kelalaian saya terpaksa ditanggung bersama orang lain. Ketika itu tidak syak lagi migrain sedang menguasai saya sekurang-kurangnya pada tahap rendah atau paling rendah.

Siapakah sebenarnya menolong saya pada ketika itu. Tiada siapa pun di kalangan manusia yang mengetahui peristiwa tersebut selain dari diri saya sendiri. Hanya Allah yang Maha Melihat dan Maha Mengetahui. Dialah yang menolong saya pada hari itu. Dialah yang mengubah "mood" saya supaya tidak mahu meneruskan kerja dan balik segera. Saya sendiri tertanya-tanya mengapa tiba-tiba sahaja hilang minat untuk menyelesaikan kerja tersebut. Persoalan itu terjawab apabila sampai di rumah.

Saya amat terasa dan tersentuh ke dalam jiwa di atas pertolongan Allah itu, sehingga sekarang kalau teringat peristiwa itu masih dapat menggambarkan kengerian dan kesyukurannya.

Wallahu aklam.

...........................................................................................................................................................................

Menolong kanak-kanak yang sedang lemas di dalam air.

Peristiwa berlaku pada awal tahun 70an;
Pada suatu Hari Raya Haji tahun tersebut setelah solat sunat Hari Raya Haji di Surau yang jauhnya 1km dari rumah, saya pun terus balik dan tidak menziarahi rumah sesiapa kerana terpaksa mengulang kaji pelajaran yang akan diadakan peperiksaan tidak beberapa lama lagi dari tarikh tersebut. Iaitu peperiksaan tahun akhir Maktab Mahmud, Alor Setar; Kedah.Sedang saya bermutalaah pelajaran tiba-tiba kedengaran suara budak perempuan meminta pertolongan. Azizah menjerit; " Bang Li !. bang Li. budak jatuh sungai. Bang Li!. Lan jatuh sungai". Entah berapa kali panggilan itu diulangnya dengan perasaan terperanjat dan ketakutan. Saya dari atas rumah bergerak ke tingkap menijau dahulu keadaan yang sebenar. Kelihatan dengan jelas Lan atau Roslan sedang meronta-meronta di dalam air, Lan mengangkat tangannya cuba melepaskan diri dari ditenggelami air. Sungai itu dikorik oleh MADA pada akhir tahun 60an.

Menyedari keadaan telah genting maka tidakmembuang masa lagi saya terus berlari turun dari rumah menuju ke lokasi dengan sekuat hati, sambil saya melihat situasi Lan di dalam air. Tiba-tiba kain sarung saya terlondeh. saya terpaksa membiarkan kain pakaian saya itu jatuh ke tanah kerana ketika itu Lan tidak angkat tangannya lagi, kalau terlambat Allah sahajalah yang mengetahuinya.

Apabila saya tiba di tebing sungai Lan dalam keadaan terapung dalam kedudukan berdiri dan rambutnya bergerak-gerak dialun air. Ketika itulah saya terjun mendapatkannya dan tarik beliau ke tebing dengan mengangkat mukanya ke atas permukaan air, akhirnya saya dan Lan terbaring di tebing sungai kerana saya tidak mampu lagi mengangkat Lan ke atas.

Sejurus kemudian saya kelihatan bapa saya bersama kain sarung tadi turun memberi pertolongan, Lan diangkat oleh bapa saya, diletakkan di atas bahunya dalam keadaan meniarap dan dibawa lari secara lari-lari anak ke rumah. Sambil itu mulut Lan tidak berhenti-henti memuntahkan air.

Pada masa Lan ditanggung oleh bapa saya itu, orang telah pun ramai datang. Rupa-rupanya tingkahlaku saya yang kelihatan dari jauh agak luar biasa itu diperhatikan oleh beberapa orang kampung. Sebenarnya saya masih memakai seluar dalam , cuma saiznya agak kecil, kalau dilihat dari jauh kelihatan seperti tidak berpakaian.

Lan akhirnya dibawa ke hospital Alor Setar dan berada selama dua hari di sana kemudian beliau kembali ke rumah dalam keadaan sihat walafiat. Sekarang Lan telah berkeluarga dan hidup bahagia.

..........................................................................................................................................................................

Mimpi yang memberi keyakinan.
Pada masa masih remaja dahulu iaitu pada tahun akhir 60an saya telah menghadiri peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia dan Syahadah Maktab Mahmud, Alor Setar; Kedah Darul Aman. Selepas kedua=kedua peperiksaan itu berlangsung saya merasai sangat risau mengenai keputusannya.Maklumlah ketika itu bapa saya juga sakit setelah menghadapi demam panas yang sangat teruk. Saya sangat risau tentang nasib masa depan saya dan kalau gagal kedua-dua peperiksaan tersebut akan memburukkan lagi masa depan saya.Kerisauan ini bermain-main di kepala saya saban hari.

Untuk melegakan keadaan dan menenangkan fikiran, maka saya pun sering solat sunat memohon supaya peperiksaan tersebut lulus dengan cemerlang dan juga memberi pertunjuk sama ada lulus atau sebaliknya.disamping memohon ketenangan, peperiksaan tersebut akan diumumkan keputusannya pada tahun berikutnya iaitu tahun 1970. Dengan takdir Allah saya mendapat mimpi, sebenarnya jika kita bermimpi tidak digalakkan menceritakannya kepada orang lain kerana ditakuti orang menta'bir atau mennafsirkan secara yang salah dan memberi kesan kebimbangan dan ketakutan kepada kita, tetapi mimpi saya ini telah berlaku puluhan tahun dahulu dan telah pun menjadi sejarah hidup dan kenangan yang manis yang sukar dilupakan.


Pada suatu malam saya bermimpi yang saya berenang menyeberangai sungai yang amat besar, dalam kepenatan berenang itu saya memikirkan adakah saya dapat sampai ke tebing seberang sana, sedang saya berenang tiba-tiba ternampak sebuah pulau kecil di tengah-tengah sungai tersebut yang betul-betul berada di hadapan. Setibanya saya di pulau itu saya terus memanjat sebuah pokok yang amat tinggi yang berada di pulau tersebut untuk mengetahui baki jarak yang perlu saya berenang untuk sampai ke sana.Saya dapat melihat seberang sana dengan terang dan jelas dan yakin akan berjaya menyeberanginya.

Setelah turun dari pokok tersebut saya terus menyambung usaha untuk mencapai matlamat tersebut, akhirnya saya sampai ke destinasi, sebaik sahaja saya naik ke pantai lantas mulut saya menyebut " Dua-dua aku berjaya". Dan terjaga daripada tidur.
Saya merasakan seolah-olah mimpi itu sendiri telah menta'bir dan menafsirkan kepada saya tentang kedua-dua peperiksaan tersebut.

Selepas itu kehidupan saya dapat diharungi dengan penuh ketenangan bersama kawan-kawan sehinggalah keputusan peperiksaan diumumkan. Setelah diumumkan memang keputusannya seperti diucapkan di dalam mimpi tersebut. Dengan itu kehidupan yang penuh dengan kesusahan dan keperitan selama ini, akhirnya mendapat tenaga dan nafas baru. Allah jua yang mentakdirkannya.

..........................................................................................................................................................................

Sesat yang menyebabkan sampai lebih cepat.
Pada tahun 1999 anak saya berjaya memasuki Pusat Pengajian Tinggi Kolej Premier Yayasan Perak di Bandaraya Ipoh.Perak Darul Ridzuan. Saya memang pernah ke Ipoh tetapi tidak berapa mengetahui laluan di sana, kecuali laluan tertentu sahaja. Kolej yang dimaksudkan terletak di Jalan Azlan Shah. Saya sebenarnya tidak mengetahui di mana terletaknya jalan tersebut sebelum ini.


Perjalanan kami pada hari yang dimaksudkan itu adalah bermula dari Alor setar, Kedah Darul Aman. Perjalanan ke Ipoh menggunakan Lebuhraya Utara-Selatan, sesampai sahaja di persimpangan masuk ke Ipoh, masya Allah kami terlajak ke depan lagi.Inilah sesat yang dimaksudkan kerana itulah sahaja jalan yang kami suami isteri rancang untuk dilalui kerana laluan yang lainnya kami tidak ketahui.

Dengan itu kami terpaksa melalui jalan masuk yang ke depan lagi.Di dalam minda kami pada masa itu kosong, tidak mengetahui di mana terletaknya Jalan Azlan Shah dan kolej tersebut. Kami teruskan juga perjalanan sehingga sampai ke lokasi yang kami rasa kami patut berhenti. Kemudian kami pun mengambil keputusan menalefon kawan anak kami yang berasal dari Ipoh.

Setelah dapat dihubungi kami pun menceritakan apa yang sedang berlaku. Lalu beliau menanyakan lokasi yang kami berhenti ketika itu.Rupa-rupanya tempat yang kami berhenti itu terletak hanya lebih kurang 100 meter sahaja untuk sampai ke kolej tersebut.Kalaulah kami mengikut jalan yang dirancang lebih awal itu agaknya itulah pilihan yang lebih lambat atau menyesatkan ke tempat tujuan.
Kita hanya merancang . Allah yang menentukan.

Wallahu aklam.

..........................................................................................................................................................................

2 comments:

Anonymous said...

salam...

cerita pasal selamatkan budak lemas tu buat sy tegelak pulak... hehehe... Pak Ngah, bahaya tuh.. lenkali kena ikat kain kuat2.. kang ade lak yg pengsan nnt.. hahah :D


sy dulu pernah ikut maksu sy balik ke Yan, kedah.... on the way ke sana, singgah satu air terjun kat perak rasanye... pastu kami mandi kat air terjun ramai2 la...

tetiba sy nmpk ade budak lebih kurang 2 thn ++ lemas dlm air kat situ... pulak tu mak dia x perasan... paras air dlm plk tu... ade bbrp org jerit.. "budak lemas !! budak lemas !! "

sy ni tak la pandai berenang, takat main2 air tu pandai la... tp on that day automatically melompat terjun gi selamatkan budak tu... dan tetiba lak leh berenang... syukur sgt... dpt selamatkan budak tu...

ms tu umo sy 16 thn... cume yg terkilan.... mak budak tu terus merampas anaknye dr tgn sy dan mereka sekeluarga kemas2 brg terus balik... tanpa ucapan terima kasih... mungkin mak dia marah sgt kat anak dia atau mak dia lupe... apa2 jek la... yg pasti sy berpeluang memperoleh pengalaman itu... sy tak terasa hati pun.... hehehe

dlm pd tu ramai yg bertanye.. sape yg selamatkan bdk tu... bbrp org tunjuk kat sy.... dgn kembang kempisnye sy tersenyum... hik hik malunye aku... awwwww !! tak sabar nak balik citer kat mak abah ape yg telah aku lakukan...

sampai skrg cerita tu masih lagi maksu sy ceritakan kalo kami burak2... hehhee... dia kata sy superhero pd hari tuh... siap ade mamat tu mintak nak kenalan... sib maksu sy tak kasik.... hehehe jgn bitau jamri yer... hik hik hik - kisah dulu2...

Leenoh said...

Cuba baca Kedah La ni dgn Malaysia Negaraku, Pak Ngah hentam kromo ja.sebab tidak pandai berbahasa.Pk ngah tulis terus pos , lepas tu baru edit. Bila baca kali kedua ianya dah berubah..................