Thursday, January 23, 2014

Musim panas dan sejuk di utara Malaysia.

 

Kini musim atau cuaca tidak menentu seperti dulu, dulu kalau di utara Malaysia terdapat dua musim iaitu musim hujan dan musim kemarau, musim hujan mulai bulan April/Mei sehingga Oktober / November, manakala musim kemarau di antara November sehingga Mac kurang lebih begitulah, ketika musim kemarau inilah padi masak dan dikenali juga musim menuai, tanaman padi hanya setahun sekali sahaja, tulisan ini tidak  merujuk kepada mana-mana sumber kecuali berdasarkan pengalaman semata- mata atau realiti yang dialami ketika itu.
Ketika artikel ini ditulis (23 Januari 2014) di Kedah mengalami cuaca panas kering pada waktu siang dan tersangat sejuk pada waktu malamnya, angin juga setiasa bertiup laju. Situasi ini mengingatkan saya ketika tahun sebelum 70an dan diawal 70an, pada masa itu dapat jadualkan dengan baik pergerakan kita kerana cuacanya dapat dijangka, pada musim kemarau panasnya sangat perit sehingga air di dalam perigi atau kubang-kubang kekeringan, ikan di dalam petak bendang terpaksa menyelamatkan diri dengan turun ke sungai apabila hampir berlaku kemarau, mereka seperti mengetahui akan berlaku kemarau dan akan mengancam kehidupan mereka, ikan yang tidak sempat menyelamatkan diri akan terperangkap di dalam selut, jika dijumpai petani akan menjadi rezeki mereka pula, ada yang mati di dalam selut yang akhirnya menjadi kering kontang.

Situasi sangat panas di waktu siang dan sangat sejuk pada waktu malam itu menyebabkan ramai yang demam, pecah bibir mulut atau pecah kulit tapak kaki, biasanya  di bahagian tumit, pada waktu Subuh minyak kelapa menjadi beku, sebelum digunakan untuk memasak minyak yang beku itu dipotong berkeping-keping, setelah dicampakkan ke dalam belanga @ kuali yang panas barulah minyak menjadi cair dan kembali kepada asalnya.  

Setelah siap Ampangan MUDA di Pedu dan siap Sungai MUDA, maka tali air menjalar ke seluruh kampung petani dan air dialirkan ke sawah, petani pun mulai menanam padi dua kali setahun, sekali gus menambahkan pendapatan mereka, walaupun musim kemarau air tetap memenuhi sungai dan anak sungai tersebut, situasi ini agaknya menyebabkan kepanasan siang dan kesejukan malam telah berkurangan tetapi kini terdapat sedikit keanihan cuaca telah kembali seperti dahulu.

Mengikut berita yang disiarkan di media maya menyatakan bahawa Negeri Perlis dijangka akan mengalami kesejukan sehingga 20 darjah celsius. merujuk kepada masa lampau rasanya perubahan cuaca seperti ini tidak pernah berlaku - wallahu aklam. 

Menurut berita terkini bukan sahaja Perlis yang mengalami cuaca sejuk, Kelantan dan Terengganu telah pun mengalaminya sehingga 19 darjah celsius, di mana penduduk terpaksa memakai baju tebal dan stokin dan takut menyentuh air terutamanya pada waktu Subuh kerana terlalu sejuk.

Sekian...Wallahu aklam.


No comments: