Monday, December 2, 2013

Bila manusia sesat dan sesatnya pula melebihi binatang ternakan.

Setelah berulangkaji terjumpa dan membacanya secara sepintas lalu kisah kanak-kanak dijumpai di Kampung Alor Senibung di syaki di bunuh, penulis terpanggil untuk menulis mengenai manusia yang telah pun Allah ceritakan di dalam al.Quran sejak lama dahulu, di mana manusia yang sesat ini sampai suatu tahap mereka akan lebih kejam dan lebih jahat daripada kejahatan binatang. Kampung Alor Senibung lokasinya  tidak jauh dengan kampung penulis ianya  salah satu kampung kawasan mainan penulis pada masa kanak-kanak dahulu, apabila terbaca berita betajuk " Remaja di bunuh, dua adik dijumpai mati". Kisah tersebut dilaporkan di beberapa facebook dan berbagai media menyatakan seorang remaja perempuan mati dipercayai dirogol, beliau keluar dari rumahnya di Alor Semala bersama dua adiknya untuk ke rumah kawannya di Kampung Gelam, manakala dua adiknya juga dijumpai mati............" penulis terasa terharu, risau dan terkejut dan juga merasakan tiada lagi tempat yang selamat di Malaysia ini, di kampung, di bandar dan di bandar raya semuanya tidak selamat lagi, semua tempat-tempat itu berlaku jenayah dan jenayah yang sama pula, aspek jenayah nampaknya sama sahaja di mana-mana pun di negara kita buat masa ini.Artikel ini bukanlah merujuk kepada kes yang diceritakan di atas semata-mata, itu hanya salah  satu kes daripada begitu banyak  kes yang telah berlaku di Malaysia khasnya.

Maka amat benarlah apa yang telah disebutkan Allah di dalam al.Quran sebagai peringatan kepada manusia tetapi manusia degil juga, manusia terus bertindak pandai-pandai sendiri tanpa merujuk kepada al.Quran, walau pun tidak semua bertindak demikian tetapi ramai mengabaikan panduan tersebut. Dari aspek  pakaian di kampung - kampung tidak kurang lagaknya anak muda memakai pakaian yang menjolok mata , kini tiada beza antara di bandar dan kampung, malah dewasanya pun turut serta menjadi contoh buruk kepada remaja. Orang lelaki yag lebih gagah daripada wanita dan lebih kuasa diberi Allah kepada mereka tidak pula melarang anak bini memakai pakaian yang menjolok mata atau mengghairahkan kebanyakan si lelaki .

Nampaknya lelaki awal remaja khasnya dan lelaki dewasa amnya  seolah-olah sepanjang masa tersedia hidangan yang lazat-lazat di hadapan mereka tetapi, malangnya mereka dilarang menjamahnya, mereka yang tiada kekuatan dan  kesabaran  akan menerjahnya juga, paling malang apabila orang yang baik atau kanak-kanak  yang tidak berdosa menjadi mangsanya, itulah akibat nafsu syahwat yang dibangun , diacah dan dipanaskan setiap hari melalui gambar dan dibantu pula oleh alam realiti di persekitaran berdekatan mereka. Ini bukanlah satu-satunya sebab berlakunya jenayah rogol, malah banyak lagi puncanya, di mana punca masalahnya berkait di antara satu sama lain. Apa pun perintah Allah supaya manusia menutup aurat itu tentulah untuk kebaikan manusia itu sendiri.

Itulah kedegilan manusia, cuba renungkan ayat 179 dari surah al.'Akraf di bawah ini.

Bermaksud,
"Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk neraka jahanam banyak dari jin dan manusia yang mempunyai hati (tetapi) tidak mahu memahami dengannya (ayat-ayat Allah), dan yang mempunyai mata (tetapi) tidak mahu melihat dengannya (bukti keesaan Allah) dan yang mempunyai telinga (tetapi) tidak mahu mendengar dengannya (ajaran dan nasihat); mereka itu seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi; mereka itulah orang-orang yang lalai".

Kerajaan yang  berkuasa dan bertanggungjawab atas rakyatnya setakat hari ini  belum tergerak hati untuk  menetapkan etika pakaian yang sesuai dengan kehidupan masyarakat beragama, kita patut mengambil kesederhanaan yang betul dan benar. Rasanya telah sampai masanya semua agama duduk semeja merangka etika pakaian ini supaya apabila dilaksanakan nanti tidak dipolitikkan oleh pihak tertentu.Orang Islam telah pun ditetapkan oleh Allah mengenai pakaian yang boleh dipakai dan tidak boleh dipakai, semuanya jelas dan terang, cuma masih wujud kedegilan untuk merealisasikan dan melaksanakannya.Sebagai orang Islam yang beriman, mereka wajib mematuhi  pakaian yang telah ditetapkan di dalam al.Quran . manakala mereka yang bukan Islam perlulah  mengikut etika tertentu supaya tidak berlaku pakaian yang sesuai dipakai di atas katil  bersama suami atau di rumah bersama ahli keluarga dipakai untuk ke pasar atau ke tempat awam. Masyarakat majmuk perlu mempunyai kesedaran  menghormati di antara satu sama lain, amalan ini akan membawa kebaikan dan berkat kepada semua.

Sekian...wallahu aklam.والله أعلم 

No comments: