Monday, December 2, 2013

Pendakwah Bebas, hakikatnya tidak bebas.


 Saya tertarik membaca facebook Nik Abdul Aziz Nik Mat yang menulis dan menjelaskan mengenai "Pendakwah Bebas" saya bersetuju huraian yang diberikan dan terasa pencerahannya menjurus kepada hakikat dan realiti. Iaitu Pendakwah Bebas yang membawa makna tersiratnya kepada umum bahawa mereka tidak terlibat dengan mana-mana parti politik oleh itu mereka bebas daripada pengaruh tersebut, rasanya boleh juga kita katakan bahawa pendakwah bebas ini bergerak bersendirian atau mungkin juga boleh dijenamakan sebagai  "Pendakwah Persendirian".

Pada saya nama-nama itu tidak berpijak pada hakikat atau realiti kerana seseorang pendakwah tentunya mempunyai ilmu yang tinggi, tidak mungkin orang berilmu tidak mengikuti perkembangan politik, semestinya mereka mengikuti dengan penuh penilaian dan penuh kesedaran serta menyematkannya di dalam hati suatu pegangan, pegangan dan kecendurungan itu tersirat di hati tanpa disuratkan kepada umum, sambil itu mereka berfikir dan berfikir tentang politik dan kehidupan, akhirnya ada yang membuat keputusan apabila berkenan di hati atau berpeluang, sama ada untuk perjuangan Islam yang hakiki melalui parti atau tanpa parti politik atau kebendaan disamping memperjuangkan Islam, kini yang tersirat telah menjadi tersurat, dalam situasi itulah agaknya (tafsiran penulis), maka ada di antara mereka yang berlaku seperti diumpamakan oleh Tuan Guru Nik Abdul Aziz. 
____________________________

Kata Nik Abdul Aziz;
Saya tidak pelik jika mana-mana 'pendakwah bebas' tiba-tiba dimakan oleh 'serigala'.
____________________________

Serigala sifatnya suka makan kambing yang bersendirian kerana kedudukan itu senang membuat tangkapan, manakala  kambing yang berada di dalam kumpulan kedudukannya lebih selamat, ketika serigala lapar, kambing di dalam kumpulan pun akan dikejarkannya tetapi yang menjadi mangsa ialah kambing yang lari keluar dari kumpulan.Itulah yang saya faham iaitu sebagai suatu perbandingan, ibarat  atau tasybih sahaja.

Pendakwah yang mempunyai objektif tersendiri di dalam kerjayanya seolah-olah sedang mencari sesuatu untuk dibuat tempat berteduh, jika terjumpa pokok yang rimbun daunnya , maka di situlah tempat berteduh walau pun pokok itu tertanam di atas tanah yang tidak jelas tuan punyanya dan sedang dipertikaikan kedudukannya. Tidak kurang juga  pendakwah yang tidak mahu berteduh di bawah pokok sebarangan.banyak orang banyaklah ragamnya.

Pendakwah terkenal yang tidak menyatakan pendiriannya dalam politik biasanya mereka inilah dilabelkan sebagai Pendakwah Bebas, kekadang label itu dibiarkan buat sementara  sehinggalah menjadi matang, apabila matang  ketika itulah apa yang tersirat akan  berubah menjadi tersurat.
Demikianlah label atau gelaran yang diwujudkan oleh masyarakat kita terhadap pendakwah dengan tujuan tertentu selain daripada maksud untuk menyenangkan berkomunikasi. Pada hal "Pendakwah itu adalah Pendakwah".

Sekian...wallahu aklam. 

No comments: