Tuesday, July 24, 2012

Penghijrahan para artis perlu diterima dengan ikhlas.

Salam semua.
Kini para artis semakin ramai mengambil keputusan membuat penghijrahan cara hidup mereka, penghijrahan  memilih Islam sebagai cara hidup itu amatlah baik dan disuruh ( diperintahkan Allah ), semua pihak perlulah menerima mereka secara ikhlas dan bersangka baik kepada mereka. Ikhlas yang dimaksud di sini ialah menerima perubahan mereka itu secara bersangka baik iaitu mempercayai bahawa perubahan itu berlaku setelah ilmu Islam meresap di dalam minda dan jiwa mereka serta mencetuskan kesedaran dan  penambahan keimanan kepada mereka.Bukan bersangka buruk kepada mereka dan berlebih-lebih lagi menyindir mereka itu dengan ucapan kata-kata yang tidak manis kerana diri kita sendiri pun belum tentu lebih baik daripada mereka, orang yang paling mulia di sisi Allah ialah orang-orang yang paling bertaqwa dan hal ini secara muktamadnya Allah sahaja yang mengetahuinya.

Pengisytiharan atau pengumuman bahawa mereka akan menjalani hidup ini secara yang dituntut oleh Islam, ungkapan itu pun telah menjadi dakwah yang meluas kepada masyarakat atau dalam perkataan lain ianya telah memberi kebaikan dan dorongan serta motivasi  kepada masyarakat untuk mengikut jejak langkah tersebut., Saya lebih suka menyarankan supaya mereka mendalami ilmu serentak dengan berdakwah.Belajar dan dakwah boleh berjalan serentak, pengumuman mereka itu kepada peminat atau masyarakat tentang hasrat untuk berhijrah itu pun telah menjadi dakwah. Apabila berkesempatan eloklah mereka ini melibatkan diri dan mereka tidak perlu menunggu sampai alim dan pakar di dalam sesuatu bidang ilmu Islam, hayat maut manusia tidak diketahui masanya, kalau dibuat atau melibatkan diri di dalam dakwah sekurang-kurangnya Allah telah mencatatkan kerja baik  itu.Kerja baik tidak perlu tunggu untuk melakukannya supaya ianya kekal menjadi baik dan kerja jahat sesuai ditangguhkan pelaksanaannya supaya ianya berubah hati dan akan bertukar menjadi baik pula.

Semestinyalah di dalam berdakwah seseorang pendakwah itu perlu sertakan dalil-dalil dari al.Quran dan al.Hadis untuk mengukuhkan penjelasan dan penerangannya. Namun demikian tidak semua  syarahan dan ceramah atau topik yang dibincangkan itu terpaksa disertakan dengan dalil-dalil naqli, dalam perkara ini biarlah kita merealisasikan pepatah yang menyatakan " Tiada rotan akar pun berguna".

Para artis telah pun mempunyai peminat yang ramai, terutamanya para remaja yang sedang membina identiti diri, kalau mereka melibatkan diri di dalam bidang dakwah mereka akan dapat mengumpulkan peminat ke sesuatu majlis  dan mengikuti ilmu baru dari artis pujaan mereka iaitu ilmu mengenai Islam yang tidak pernah mereka mendengarnya  dari pengucapan lidah artis berkenaan sebelumnya. Kalau pun mereka berdakwah mereka tidak bersendirian, kebiasaannya mereka akan digandingkan dengan ustaz-ustaz yang berpengalaman bagi melengkapkan sesuatu ceramah atau majlis ilmu yang disertai mereka yang dianjurkan oleh masyarakat buat masa ini.


Sekian...Wallahu aklam.


No comments: