Saturday, July 14, 2012

Berlumba-lumbalah mengerjakan kebaikan.

Salam semua.

Membuat kebaikan dan kebajikan bukanlah suatu kerja yang susah, membuang ranting yang menghalang di tengah jalan pun termasuk dalam kerja kebaikan dan kebajikan, malah senyum yang kena pada tempatnya pun sudah dikira perbuatan yang dijeniskan kebaikan ( khairat).

Walau bagaimana pun kebaikan itu adalah sesuatu yang berkualiti seharusnya pengamal (pembuat) kebaikan itu juga berkualiti, iaitu dilakukan dengan penuh ikhlas, semata-mata kerana menyahut perintah Allah, sekiranya melibatkan harta-benda seperti bersedekah atau memberi sumbangan perlulah harta-benda itu diperolehi secara halal atau dari harta yang halal tanpa sifat-sifat tersebut perbuatan kebaikan itu hanya kelihatan baik tetapi pada hakikatnya tidak demikian, kebaikan itu seharusnya dilihat baik dan hakikatnya pun baik jua.

Kebaikan yang diperolehi itu pula perlu dijaga dan dipelihara supaya ianya tidak terhakis, perbuatan yang boleh menghakiskan pahala kebaikan di antaranya mengungkit-ungkit, menyakiti penerimanya dan riyak ( menunjuk-nunjuk ). Tegasnya setelah melakukan kebaikan minda hendaklah fokus sepenuhnya supaya sentiasa berada di dalam keihklasan tanpa bucur sedikit pun keadaannya.

Kini peluang untuk membuat kebaikan dan kebajikan yang lebih besar telah datang menghampiri kita, wadahnya juga semakin besar terpulang kepada kita untuk merealisasikannya atau sebaliknya. Ramadan akan menjelma tidak beberapa hari lagi di sana terdapat betbagai tawaran kebajikan untuk kita menyahutnya dengan senyum manis dan riang ria, setidak-tidaknya memberi sumbangan untuk menyediakan bubur lambuk dan hidangan untuk berbuka puasa atau memberi sumbangan untuk mentakmirkan masjid khas pada bulan Ramadan.

Kebajikan yang lebih um dan kemas serta berdaya maju lagi ialah memberi sumbangan wang sebagai wakaf kepada pembinaan Lebuh Raya Rakyat yang julung-julung kalinya direalisasikan di dalam sejarah pemerintahan di Malaysia, kebetulan lebuh raya ini akan dilaksanakan oleh kerajaan Kelantan.Seolah-olah jalan ini sedang menuju ke syurga, mengapa tidak, bukankah mewakafkan harta atau wang ringgit untuk kebaikan itu ganjarannya syurga...wallahu aklam.

 jika wakaf ini dilakukan di dalam bulan Ramadan betapa indah dan banyaknya  pahala yang akan diperolehi.Menderma, bersedekah , berwakaf atau apa-apa yang kita namakan bukanlah kerana pahala tetapi, kerana perbuatan itu adalah suruhan Allah dan Rasulnya, kita hanya ingin mentaati-Nya sahaja tetapi pahala adalah janji yang telah dikhabarkan Rasul kepada umatnya.
_____________________________________

[148]
Dan bagi tiap-tiap umat ada arah (kiblat) yang masing-masing menujunya; oleh itu berlumba-lumbalah kamu mengerjakan kebaikan; kerana di mana sahaja kamu berada maka Allah tetap akan membawa kamu semua (berhimpun pada hari kiamat untuk menerima balasan); sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.
[ Surah Al.Baqarah ]


[261]
Bandingan (derma) orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai; tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Dan (ingatlah), Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendakiNya, dan Allah Maha Luas (rahmat) kurniaNya, lagi Meliputi ilmu pengetahuanNya.
[ Surah Al.Baqarah ]

____________________________________________


Sekian...wallahu aklam.

No comments: