Friday, May 4, 2012

Dulu surat layang, kini alam maya.

Salam semua.

Dulu sering juga membaca surat layang dan surat berantai, surat berantai sejak tahun 70an telah diedarkan oleh mereka yang tidak bertanggungjawab, surat berantai tidak dicatatkan nama penulis, surat layang juga ibarat lempar batu sembunyi tangan.

Surat Berantai.
Surat berantai yang diedarkan kepada orang ramai pada masa itu mengandungi perkara-perkara yang berkaitan dengan ajaran Islam yang di dalamnya diselit atau dicampur-adukkan dengan perkara-perkara karut dan khurafat, sebagai contoh di dalam surat itu menyatakan bahawa seorang Tuan Sheikh tidur di Masjidil Haram dan bermimpi bahawa Nabi Muhammad.s.a.w berpesan supaya umatnya jangan meninggalkan  ibadat solat, kelihatan baik tetapi sebenarnya musang berbulu ayam. Kita sedia maklum bahawa Nabi Muhammad.s.a.w. telah pun siap menyampaikan dakwahnya dan tidak perlu lagi berpesan melalui mimpi atau surat berantai yang amat karut itu. Dipesan pula di dalam surat itu setiap orang yang menerima dan membaca surat itu hendaklah ditulis dan dibuat 7 salinan kepada orag lain, kalau dibuat mendapat untung dan jika tidak dilakukan akan diturnkan bala oleh Allah. Demikianlah karutnya surat berantai itu, namun begitu terdapat juga mereka yang terpedaya dengan tipu dan fitnah tersebut, hanya mereka yang menguasai Ilmu Tauhid dan Fiqah sahaja yang terselamat.

Jumlah salinan yang disarankan kepada penerima Surat Berantai  ini supaya menulis semula semakin meningkat kepada 20 atau lebih banyak lagi ketika zaman mesin photostat digunakan. Maka rantainya pun semakin meluas sebarannya. 

Surat Layang.
Surat layang ini juga dikategorikan sebagai surat atau agen yang menyebarkan fitnah. Kalau pun ianya dicatatkan nama sekali pun kandungannya akan  menceritakan keburukan orang yang menjadi topik perbincangan di dalam surat
 tersebut.Kalau tajuknya terkena kepada pemimpin dan beritanya tersebar ke seluruh negara malah mengalir ke luar negara, akhirnya cerita tersebut meningkat ke taraf global. Mungkin dosanya juga bertaraf atau menduduki status yang sama.
Terdapat juga Surat Layang ini ditujukan khas kepada seseorang sahaja dan tiada siapa yang mengetahui atau membaca surat tersebut melain penerimanya sahaja, surat seperti ini juga tetap akan tergolong di dalam agen fitnah juga kerana penerima itu akan mencari-cari siapakah penulisnya, maka akan berlakulah syak wasangka yang berkemungkinan tidak tepat dan tidak betul tuduhannya, situasi seperti inilah yang dikatakan fitnah, terdapat banyak contoh-contoh yang boleh  diberikan di sini, jika penulis mahu berbuat demikian tetapi rasanya tidak perlulah diutarakan kerana contoh-contoh itu terkandung  nama seseorang, kalau berlaku demikian berarti mengundang fitnah pula.

 @@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@

Firman Allah bermaksud: 
“Wahai orang yang beriman, jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidik (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara tidak diingini, dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) sehingga menyebabkan kamu menyesali perkara yang kamu lakukan.” 
(Surah al-Hujuraat, ayat 6)

@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@

Pelik.
Berita karut atau dakyah yang dibawa oleh orang fasik senang pula mempengaruhi orang kita, tentulah pelik kalau ugutan yang menyatakan bahawa sesiapa yang enggan  menulis dan membuat 7 salinan untuk diedarkan kepada 7 orang lain akan ditimpa  bala, maka tergesa-gesalah mereka menulis dan menunaikan saranan surat fitnah itu. Pada hal pada  waktu yang sama mereka meninggalkan solat fardu atau menunaikan solat fardu tidak cukup 5 waktu tidak pula takut ditimpa bala.

Kini di alam maya.
Kini semua perkara itu telah beralih pula ke alam maya dan  berkicau pula di langit yang terbuka.Maka pandai-pandailah pengguna internet menyelamakan diri dari terperangkap dengan perangkap canggih syaitan maya ini.

@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@
Firman Allah dari surah al.Hujurat yang bermaksud;
 [12]
Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha mengasihani.
@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@ 

Sekian...wallahu aklam.

No comments: