Saturday, November 26, 2011

Berbagai kaum dan bangsa menyembah Allah Yang Wahdaniah.

Salam semua.

Dalam kesesakan mengerjakan ibadat Haji itu tidak dapat dinafikan lagi bahawa mereka yang berduyun-duyun memenuhi setiap lokasi mengerjakan Haji , mereka itu terdiri daripada berbagai kaum dan bangsa serta warna kulit yang datang dari berbagai pelusuk dunia, semuanya melaksanakan perintah Allah Yang Wahdaniah dan menuntut keredaan-Nya.

Pada dasarnya mereka melaksanakan satu niat dan satu matlamat serta sangat ingin mendapatkan Haji Mabrur tetapi, kerana jangka masa melaksanakannya sangat panjang dan terpaksa menghadapi berbagai halangan, maka di celah-celah itu berlakulah perkara-perkara atau perbuatan yang dapat menafikan Haji Mabrur, ada juga di antara mereka yang terlupa matlamat dan menjadi orang yang tidak jujur di antara satu sama lain, tidak pandai bertolak ansur atau cepat bergaduh walaupun dengan orang yang paling rapat dan tempat berharap, kurang bertimbang rasa, tegasnya sangat pentingkan diri sendiri, tidak kurang yang ingin menonjolkan diri agar dipandang berketrampilan dan berwibawa, dalam tempoh yang panjang itu semua perkara tersebut memang ada ruang dan berkesempatan untuk direalisasikan kebanyakkan hasrat hati sama ada baik atau buruk, terpulanglah kepada pilihan masing-masing.


Apa pun penilaian dan tanggapan manusia terhadap pencapaiannya, penilaian Allah adalah yang terbaik, tepat dan muktamad sama ada akan dikurniakan Haji Mabrur ( Haji yang diterima Allah ) atau Haji Mardud. ( Haji Jelek atau Haji Tayang - tidak diterima), hasil yang akan diperolehi juga sebenarnya adalah bersangkut rapat dan bertalian dengan Ikhlas ( iaitu beribadat semata-mata kerana Allah Taala)
.
Maka berjayalah mereka yang mampu mempertahan atau mengekalkan hati supaya diikat kukuh dengan rasa ikhlas dan berjaya menjauhkan diri daripada perbuatan menunjuk-nunjuk, riak dan bangga diri serta sentiasa bersangka baik pada orang lain dalam masa mengerjakan ibadat ini.

Sekian...wallahu aklam.

No comments: