Tuesday, November 25, 2008

JOM KITA ULANGKAJI MENGENAI IBADAT AQIQAH DAN QURBAN


Salam semua.
Saya diminta untuk menulis tentang Ibadat Aqiqah dan Qurban. Sebenarnya saya tidak mampu menulis secara ilmiah yang mendalam dalam bidang apa pun kerana pengetahuan yang ada hanya mendatar sahaja. Untuk memaparkan mauduk tersebut melalui sembang-sembang seperti yang telah lalu insya Allah boleh tetapi tidaklah secara mendalam seperti disebutkan tadi.
Orang yang minta saya tulis ini adalah jiran saya sendiri, namanya Bunga, walau pun saya telah beritahu Bunga bahawa beliau boleh dapat maklumat ini dari google, taipkan perkataan "Ibadat Aqiqah dan Qurban" di ruang google dan tekan enter, insya Allah di sana ada banyak sumber yang boleh kita ulangkaji. Saya yakin Bunga pun telah mengetahui rahsia ini, dia pun memang setiap hari mengadap Komputer. Mungkin dia sengaja hendakkan penjelasan berkenaan mauduk ini tertulis di dalam blog Pak Ngah dia, maklumlah Raya Haji pun sudah hampir tiba, insya Allah Pak Ngah akan cuba. Maaf ya Bunga, Pak Ngah sengaja buat lawak.
Apakah yang dituntut kita lakukan terhadap anak yang baru dilahirkan?.
Sebagai seorang Islam kita hendaklah merujuk kepada syariat Islam. terdapat di kalangan kita ketika seperti inilah mereka sebok melakukan apa yang dikehendaki oleh adat tanpa memikirkan amalan mereka itu menyalahi syariat Islam atau sebaliknya. Insya Allah kita yang sentiasa suka mengulangkaji mauduk yang seperti ini tidak akan terlibat dengan amalan yang bertentangan dengan syariat Islam.
Di antara perkara yang perlu dilakukan sebaik sahaja anak dilahirkan.
(i) Azankan ditelinga sebelah (kanan) perlahan-lahan dan iqamah di telinga (kiri).
(ii) Urinya ditanam di tempat yang sesuai. ( tanam sahaja tiada apa-apa tambahan-jangan lakukan perbuatan yang karut)
(iii) Pada hari ketujuh sunat dilakukan; (a) Dicukur rambutnya, ( cukur sampai bersih bukan buat syarat sahaja). (b) Diberi nama yang baik , (c) Tahniq atau belah mulut ( iaitu memberi rasa sedikit manisan buah kurma yang digaulkan dengan air zam-zam) dan (d) Membuat aqiqah ( Empat perkara ini sunat dibuat pada hari tersebut) - Untuk Aqiqah diberi tempoh sehingga sebelum baligh - Jika kanak-kanak itu telah baligh tetapi aqiqah tidak pernah dilakukan akhirnya menjadi tanggungjawab dirinya sendiri.
Panduan Tahniq:
Tahniq yang dilakukan Oleh Nabi Muhammad.s.a.w. adalah menyuap atau memasukkan manisan (tamar) yang dikunyahNya ke lelangit bayi. Ini dilakukan untuk mendapat berkat kebaikan yang sentiasa ada pada Nabi dan diharapkan anak yang ditahniq itu akan berakhlak baik .
Cara yang baik dilakukan di dalam masyarakat kita sekarang ini ialah dengan memberikan tugas bertahniq ini kepada orang yang berakhlak baik (solih). Buah kurma (tamar) itu dikunyah dahulu oleh orang melakukan tahniq kemudian dimasukkan ke dalam mulut bayi sehingga menyentuh lelangitnya. Buah kurma tadi elok digaulkan dengan sedikit air zam-zam. Diharapkan bayi ini akan mewarisi akhlak orang yang melakukan tahniq. Oleh itu kita perlulah memilih orang yang akan melakukan tahniq seorang yang diyakini berakhlak baik (solih).
Merujuk kepada rambut yang dicukur tadi hendaklah ditimbangkan untuk mengetahui beratnya kemudian disedekahkan emas atau perak seberat timbangan tersebut kepada fakir miskin atau dinilai harganya dengan wang.


IBADAT AQIQAH:
Pengertian Aqiqah:
Erti aqiqah dari segi bahasa Arab ialah rambut yang tumbuh di atas kepala bayi yang dibawa bersama kelahirannya.
Manakala pengertian atau taa'rif dari segi istilah atau hukum syarak ialah " Penyembelihan haiwan yang tertentu untuk manfaat anak, disamping bercukur rambut dan memberi nama anak tersebut".
Hukum Aqiqah: Mengikut pendapat Imam Syafie ibadat aqiqah ini adalah Sunat Muakkad.
Setiap ibadat terutamanya ibadat khas seperti ini perlulah dirujuk kepada al.Quran atau al.Hadis sebagai dalil Naqlinya yang membuktikan bahawa Allah memerintahkan umat manusia mengerjakan ibadat tersebut dan bukan ciptaan manusia. Di bawah ini diperturunkan maksud dalil-dalil tersebut.

(1) Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud;

"Berserta anak itu ada aqiqah, maka alirkanlah darah untuknya, dan singkirkanlah sesuatu yang membahayakan daripadanya."
(Riwayat Tirmizi)

(2) Sabda Rasulullah.s.a.w. yang bermaksud;
"Seorang anak terikat dengan aqiqahnya yang disembelih pada hari ke tujuh, dan dicukur serta diberi nama."
(Riwayat Ahmad dan Tirmizi)

Imam Malik menyatakan bahawa, hukum aqiqah ini adalah perintah yang tidak dapat dipertikaikan lagi. Imam Ibnu Qayyim pula menthabitkan aqiqah dengan nilai korban seekor kambing yang dikurniakan oleh Allah swt sebagai ganti diri untuk Nabi Ismail a.s.. Maka dengan itu, difahamkan bahawa penyembelihan aqiqah untuk anak yang dilahirkan berguna untuk melindungi bayi daripada gangguan syaitan.
JENIS HAIWAN YANG SAH DIJADIKAN QURBAN DAN AQIQAH.
Haiwan yang digunakan untuk perlaksanaan ibadat aqiqah perlu memenuhi syarat-syarat yang serupa dengan haiwan-haiwan untuk ibadat qurban.

Jenis haiwan dan syarat-syaratnya;
(1). Kambing dan biri-biri -(berusia melebihi dua tahun atau telah bersalin gigi)
(2) Kibas - ( berusia satu tahun atau telah bersalin gigi )

(3). Lembu dan Kerbau-( berusia melebihi 2 tahun dan masuk tahun yang ke 3 )

(4). Unta - ( berusia melebihi 5 tahun dan masuk tahun yang ke 6 )

Haiwan-haiwan ini hendaklah terdiri daripada haiwan ternak(Bahimatul An'aam)-yang mempunyai empat kaki-
dalam keadaan tidak cacat, tidak buta, tidak bunting dan tidak terlalu kurus.
Menurut Imam Malik, Asy-Syafi'e, Ahmad dan jumhur ulama' , bahawa aqiqah adalah sah dengan penyembelihan haiwan empat kaki (Bahimatul An-`aam) seperti unta, lembu, kerbau, kambing dan biri-biri dan kibas (sama seperti ibadat qurban). Pelaksanaan penyembelihan haiwan tersebut di dalam ibadat aqiqah juga mempunyai syarat-syarat tertentu seperti yang disebutkan di atas tadi.

Manakala haiwan seperti rusa, kijang dan kancil tidak termasuk dalam perkiraan sebagai Bahimatul An'aam ( bukan jenis ternakan ). Maka tiga jenis haiwan tersebut tidak sah dijadikan sebagai haiwan aqiqah dan juga qurban..

Paling utama(Afdhal) aqiqah bagi seorang anak lelaki ialah 2 ekor kambing dan untuk anak perempuan seekor kambing, Ini adalah berdasarkan al.Hadis yang diriwayatkan Aisyah yang bermaksud seperti berikut:
"Rasullulah s.a.w. memerintahkan kepada kami supaya menyembelih aqiqah untuk anak lelaki dengan dua ekor kambing dan untuk perempuan seekor."
Kanak-kanak lelaki ataupun kanak-kanak perempuan sunat diaqiqahkan. Di bawah ini adalah dalil naqli yang berkenaan.
(1) Sabda Rasulullah..s.a.w. yang bemaksud;
" Anak lelaki diaqiqahkan dengan dua ekor kambing dan anak perempuan diaqiqahkan dengan seekor kambing." ( Riwayat Ahmad dan Tirmizi).

(2) Rasulullah bersabda; " Rasulullah s.a.w telah memerintahkan kepada kami untuk mengaqiqahkan anak lelaki dengan dua ekor kambing dan anak perempuan dengan satu ekor kambing." (Riwayat Ibnu Abi Syaiban).
Pembahagian daging aqiqah adalah seperti berikut:
(1) 1/3 bahagian hendaklah diberikan kepada fakir dan miskin.
(2) 1/3 bahagian hendaklah diberikan kepada kaum kerabat, sahabat handai dan lain-lain.
(3) 1/3 bahagian adalah untuk diri sendiri.
Ini bermakna seekor kambing yang dijadikan aqiqah itu dibahagikan kepada tiga bahagian seperti di atas. Daging aqiqah sunat dimasak dahulu dengan masakan yang agak manis rasanya sebelum disedekahkan. ( Bagi mereka yang kurang berkemampuan dibolehkan aqiqah dengan seekor kambing atau satu bahagian daripada tujuh bahagian untuk anak lelaki tetapi afdalnya dua ekor )
(Tulang-tulang haiwan aqiqah jangan dipatah-patahkan melainkan dipotong atau diceraikan pada sendi-sendinya sahaja apabila disedekahkan).
PERINGATAN:
Haiwan yang hendak dijadikan aqiqah atau qurban hendaklah diteliti semasa membelinya supaya haiwan tersebut menepati syarat-syaratnya termasuk cara pemeliharaannya secara berakhlak. Ketika membuat pembelian hendaklah mematuhi syarat jualbeli supaya pembelian yang dilakukan itu sah termasuk mereka yang membeli sebahagian daripada tujuh bahagian atau lebih, Penganjur qurban atau aqiqah hendaklah menyediakan borang khas untuk memudahkan para peserta aqiqah atau qurban, di mana di dalam borang tersebut dimasukkan lafaz akad jualbeli, niat aqiqah atau qurban atau wakil atau seumpamanya supaya ibadat yang dilakukan itu mengikut syariat Islam dalam semua langkah sejak dari awal sehingga ke akhirnya.
Dirumuskan:
Pada hari ketujuh setelah dilahirkan anak tersebut sunat dicukur rambutnya, diberi nama, Tahniq ( belah mulut) dan aqiqah ( jika mampu ).

IBADAT QURBAN:
Pengertian ibadat Qurban;
Qurban ialah penyembelihan haiwan yang tertentu pada tanggal 10, 11, 12 dan 13 Zulhijjah bertujuan mendekatkan diri kepada Allah.
Tarikh mula-mula disyariatkannya ialah pada tahun ke 2 hijrah dan pada tahun tersebut juga diperintahkan mendirikan solat Aidil Adha dan mengeluarkan zakat.
Dalil naqli ( ayat al.Quran dan al.Hadis ) mengenai ibadat Qurban;
(1) Dari surah Al.Kauthar ayat ( 2 ) yang bermaksud;
" Sebab itu sembahyanglah engkau kerana Tuhanmu dan sembelihlah (qurbanmu)".
Sembahyanglah dimaksudkan solat sunat Aidil Adha - Sembelihlah bermaksud sembelihan qurban.
(2) Dari Abu Zubair dari Jabir bin Abdullah.r.a katanya: " Kami pernah menyembelih qurban bersama Rasulullah.s.a.w. pada tahun Perjanjian Hudaibiyah, untuk qurban seekor unta atau qurban seekor sapi, kami bersekutu tujuh orang".
(3) Dari Ali .r.a. katanya; Aku disuruh Rasulullah.s.a.w. mengurus penyembelihan haiwan qurban, menyedekahkan daging dan kulitnya, dan mengurus segala sesuatu yang berhubung dengan kesempurnaan qurban . Tetapi dilarang beliau mengambilkan upah untuk tukang sembelih dari haiwan qurban itu. Kata Ali, untuk upahnya kami ambilkan dari wang kami sendiri.
____________________________________________________________________
Perbezaan di antara ibadat aqiqah dan ibadat qurban:

Hukum ibadat aqiqah dan qurban adalah sunat muakkad, iaitu ibadat yang sangat dituntut untuk dilaksanakan dan besar pahalanya. Namun ia akan menjadi wajib sekiranya dinazarkan.
Perhatikan Perbezaannya:
Ibadat Qurban sangat dituntut kepada orang yang menunaikan haji dan juga orang yang tidak menunaikan haji. Manakala ibadat Aqiqah pula adalah sangat dituntut kepada orang yang wajib memberi nafkah daripada hartanya kepada seseorang kanak-kanak. Tuntutan ini adalah bermula sebaik sahaja kanak-kanak itu selamat dilahirkan sehinggalah ia mencapai umur baligh. Apabila kanak-kanak tersebut telah mencapai umur baligh sedang ia tidak pernah dilaksanakan Aqiqah untuknya maka tuntutan sunat itu adalah ke atas dirinya sendiri.

Memang terdapat sedikit perbezaan antara dua jenis ibadah ini. Perbezaan yang begitu ketara antara dua ibadah ini ialah dari segi masa pelaksanaannya. Ibadah Qurban hanya boleh atau sah dilakukan pada hari Raya Haji iaitu pada tanggal 10 Zulhijjah dan pada hari-hari Tasyrik iaitu tanggal 11, 12 dan 13 Zulhijjah tiap-tiap tahun. Manakala ibadah Aqiqah pula sah dilakukan pada bila-bila masa sepanjang tahun. Ibadah Qurban dihubungkaitkan dengan ibadah haji manakala ibadah Aqiqah pula dihubungkaitkan dengan kelahiran anak.

____________________________________________________

Jangan sampai terjadi begini, telah disembelih tetapi lambat mati, mungkin terdapat kelemahan semasa menyembelih.
 
____________________________________________________________________
Haiwan yang boleh disembelih untuk ibadat qurban dan syarat-syarat haiwan tersebut, juga cara pengagihan dagingnya. Sila rujuk keterangan di atas kerana amalannya sama sahaja seperti ibadat aqiqah .
Sekiranya terdapat kelemahan dan kekurangan di dalam penjelasan di atas. Kelemahan itu adalah kelemahan saya sendiri dan saya memohon maaf.
Sekian. Wallahu aklam . Wassalam.




12 comments:

Anonymous said...

wah... ringkas dan padat... hehehe thks pak ngah...

tp seingat sy... mak abah sy x pernah buatkan akikah utk kami... (adik bradik ramai) so bila dah dewasa, ia tertanggung pd diri kite sendiri la kan...

lg satu kan... dlm ibadah akikah... 1/3 - utk fakir miskin, 1/3 utk kaum kerabat, 1/3 utk kita... kalo bhgn kite tu kite x moh... bole kan kasi org?? hmmm

Leenoh said...

Ya, tertanggung atas diri kita sendiri,bila dah baligh, aqiqah ini ibadat sunat muakkad, kalau ramai anak dan tidak mampu melaksanakannya, bermakna tidak sunat atas diri ibubapa tersebut ketika itu. Janganlah risau dalam hal tersebut.kerana orang yang ramai anak banyak pahalanya yang lain.

Kalau telah baligh belum beraqiqah, setengah pendapat kata buat saja qurban, terpulanglah kepada kita kalau nak buat aqiqah juga kerana terasa tertanggung atas diri kita.

Pembahagian daging; 1/3 utk faqir dan miskin, 1/3 untuk kerabat, sahabat handai dan orang lain, 1/3 utk diri kita sendiri, bahagian ini kita boleh bagi siapapun, setengah ulamak berpendapat orang bukan Islam pun boleh makan yang bahagian utk diri kita itu,

Kalau daging qurban tersebut hendak disedekahkan semuanya pun boleh dan lebih baik.

Apapun jangan tanya banyak-banyak nanti Pak Ngah lari malam.

Wallahu aklam bissowab. Wassalam.

AQisH said...

bagus info ni..

Leenoh said...

Terima kasih Aqish kerana manfaatkan ulangkaji tersebut,
Wassalam.

yatt said...

Thanx...mmg byk info yang sy dpt...tp nk tya ...kalo seekor lembu tu separuh diniat aqiqah(utk anak2) n separuh lagi diniatkn korban (utk diri sendiri)...blh x...

Leenoh said...

Salam Yatt.

Seekor lembu boleh dibahagikan kepada 7 tumpok (bahagian), satu bahagian utk seorang...aqiqah atau qurban...dibolehkan beberapa bahagian daripada 7 itu utk aqiqah dan bakinya utk qurban.
Tegasnya cadangan anda itu dibolehkan.

Cikgu Ila said...

TQ for the wonderful revision.InsyaAllah,saya mahu qurban seekor lembu untuk keluarga saya.Dulu saya miskin dan adik beradik ramai.Alhamdulillah meskipun kurang tapi jarang berlapar sepanjang hari.Alhamdulillah.

Lina said...

Salam, Pak Ngah. Saya ada satu soalan bkaitan. Saya beli seekor lembu utk qurban satu family, tp jumlah kami ada 5 org. Lagi dua bhgn itu saya niat utk aqiqah anak lelaki saya dan seorg anak ppuan saya. Persoaalannya, cukup ke 2 bhgn tu?

Terima Kasih.

Leenoh said...

Wsalam Lina.
Insya Allah cukup dan memadai.

Anonymous said...

salam, adakah orang yang berniat aqiqah iu perlu hadir ketika hari penyebelihan untuk menyampaikan niatnya kepada tukang sembelih

Leenoh said...

Waalaikumussalam.

Kalau tidak dapat hadir boleh diwakilkan kepada orang lain - Ramai di antara muslimin dan muslimat melaksanakan ibadat itu di Kemboja atau di tempat lain mereka hanya mewakilkan sahaja.

Cekgu Norazimah said...

bagus sangat info ni, sangat2 membantu ;)