Tuesday, November 25, 2008

Pengucapan yang bersih pada pandanganku.



Dalam mauduk ini penulis ingin mengutarakan pandangan mengenai kebersihan dalam berbahasa, ungkapan atau percakapan, bukan dari segi tata bahasa atau sasteranya. Dari segi yang disebutkan itu penulis tidak layak memberi pandangan kerana penulis sendiri tidak begitu mahir dalam bidang itu. Mungkin apa yang hendak dikemukakan di sini ialah dari segi kaedah penyampaian , sopan dan isi kandungannya adabnya sahaja.

Mauduk blog ini adalah KEHIDUPAN BERSIH maka penulis terpaksalah menjuruskan tulisan ini ke arah membentuk kehidupan bersih kerana itu adalah pilihan penulis dan wawasannya. Jika dikaji dengan halusi dan terperinci penulis sendiri pun tidak bersih seratus peratus, kata orang bersih seadanya sahaja. Memang kalau kita kaji betul-betul akan terjumpalah kekotoran pada diri kita seperti kekotoran yang tersembunyi di dalam kuku, mulut, hidung, telinga dan pada tempat-tempat sulit yang lain. Nasib baik kekotoran yang masih berada di dalam perut tidak diambil kira. Sekiranya dinilai hasilnya akan lebih teruk lagi daripada air yang mengisi perut Sungai Seget yang merentasi Bandaraya Johor Bahru.

Mungkin kerana kekotoran yang tersembunyi yang tidak diuruskan dengan sebaik-baiknya itu boleh menyebabkan solat kita tidak diterima ataupun kita tidak mendapat khusyuk di dalam solat. ( tidak termasuk kekotoran yang berada di bahagian dalaman )

Tidak semua kotoran morosakkan alam sekitar, ada kekotoran yang diperlukan oleh manusia. Contohnya kekotoran yang ada di dalam telinga, kotoran tersebut tidak boleh dibersihkan, kalau dibersihkan akan membawa masalah kepada kita.

____________________________________________________________________

Jangan korek tahi telinga.

Kita tidak digalakkan mengeluarkan tahi telinga sama ada menggunakan putik kapas, pengorek telinga yang diperbuat daripada besi atau sebagainya. Mengorek atau mengeluarkan tahi telinga adalah perbuatan yang tidak diperlukan. kerana tahi telinga perlu ada di dalam telinga untuk bertindak melindungi dan memerangkap serangga halus dan habuk-habuk daripada masuk ke dalam lubang telinga yang mungkin membawa mudarat kepada manusia.

Tahi telinga akan keluar sendiri mengikut fitrahnya yang ditentukan oleh Allah. Maka dengan itu kita hanya perlu bersihkan tahi telinga yang telah keluar daripada lubangnya sahaja. Kalau tahi telinga berkeadaan kering bermakna telinga kurang sihat dan eloklah pergi berjumpa doktor ( Pakar Telinga ) untuk dapatkan nasihat dan rawatan .

Demikianlah bijaksananya Allah SWT.

____________________________________________________________________

Pengucapan yang bersih.

Pengucapan yang bersih yang penulis maksudkan di sini ialah percakapan atau pengucapan yang bersopan dan membawa kebaikan. Orang yang bercakap atau berucap ini terdiri daripada berbagai kedudukan, mungkin seorang ibubapa, anak, guru, ketua pejabat, peniaga dan sebagainya. Dalam sesi ini kita tidak akan melebar atau meluaskan sentuhannya, cuma sekadar sesuai untuk dibawa bersembang yang berfaedah sahaja.

Kalau kita sebagai ibubapa, adakah munasabah mengeluarkan kata-kata maki hamun seperti anak derhaka, degil, jahannam, bodoh dan lain-lain perkataan yang tida baik kepada anak-anak sendiri ketika melahirkan kemarahan terhadap anak-anak yang melakukan sesuatu kesalahan yang mungkin kesalahan tersebut tidak seratus peratus kesalahan di atas kelemahan dirinya dan mungkin juga kesalahan yang mereka lakukan itu ada kaitan dengan kelemahan cara kita mendidik mereka. Pengucapan ibubapa terhadap anak-anak sepatutnya menjadi doa yang baik kepada anak-anak. Pengucapan seperti di atas tadi adalah pengucapan yang jijik dan kotor.

Ibubapa seharusnya sentiasa berdoa kepada anak-anak walaupun dalam keadaan marah seperti mengucapkan "anak bertuah" , "bijak betul awak" dan lain-lain sindiran yang membina dengan suara yang tinggi untuk menunjuk kemarahannya. Ini adalah suatu doa untuk kebaikan anak. Pengucapan ini adalah pengucapan yang bersih dan suci.

Demikian juga jika kita sebagai seorang guru perkataan seperti bodoh, bahlol, bangsat, celaka, barua (barra) dan seumpamanya tidak patut disebut terhadap anak didik mereka, ucapan ini pada zahirnya menunjukkan harapan guru tersebut supaya anak didiknya betul-betul jadi seperti itu. Pengucapan ini adalah jijik dan kotor. Kekotoran tersebut sebenarnya keluar daripada jiwa dan rohaninya yang kotor.

Seorang guru sama juga seperti ibubapa, mereka seharusnya mejadikan ucapan mereka itu sebagai doa untuk anak-anak didik mereka, perkataan "anak bertuah" elok disebutkan kepada anak didik mereka ketika melahirkan kemarahan kepada anak-anak didik mereka tetapi dengan meninggikan suara dan muka yang marah atau menggunakan apa sahaja ucapan yang membawa maksud yang baik. Pengucapan inilah yang saya maksudkan sebagai pengucapan yang bersih.

Selain daripada itu banyak lagi pengucapan yang bersih dan baik seperti insya Allah, alhamdulillah, assalamualaikum, waalaikumussalam, doa , pengucapan yang isi kandungannya benar dan tidak mengandungi pembohongan serta fitnah. Seloka, gurindam, sajak , pantun dan seumpamanya yang menyampaikan perkhabaran baik, lirik lagu yang isi kandungannya baik dan cara menyampaian dan persembahannya berkesopanan Islam. Tegasnya semua pengucapan yang menghasilkan sesuatu yang baik untuk diri sendiri dan masyarakat serta tidak melanggar syariat Islam adalah pengucapaan yang bersih dan suci. Amalan dan kebiasaan ini jika dilakukan berterusan ianya akan terbentuk akhlak yang baik dan mulia.

Untuk melaksanakan pengucapan yang baik ini memang sukar,terutamanya ketika bebanan tugas yang amat banyak dan tugas baru pula sedang menunggu. melainkan mereka yang mempunyai ketahanan diri yang tinggi dan sentiasa beristiqamah dalam melayani emosi sehingga dirinya tenang dan kelihatan tenang. Mereka inilah sebenarnya orang cemerlang dan gemilang.

Wallahu aklam bissowab.

Wassalam.

2 comments:

Anonymous said...

Assalamualaikum. Terima kasih untuk maklumat.

Leenoh said...

Waalaikumussalam.
SAYA, Saya juga mengucapkan terima kasih kerana melayari blog ini, Semoga SAYA akan layari lagi.
Wassalam.