Tuesday, November 22, 2011

Menggunakan pembesar suara terkadang mengganggu.

Salam semua.

Keadaan di Mina pada 11,12 dan 13 Zulhijjah memang sesak, khemah didirikan berdekatan dan bersambungan di antara satu sama lain, penghuni hanya dipisahkan dengan dinding tirai sahaja, aku tidak pasti sama ada situasi ini masih boleh dibaiki atau dinaikkan tarafnya lagi pada masa akan datang atau ianya akan kekal begini sampai bila-bila kerana penggunaannya hanya
tiga hari sahaja dalam masa setahun. Wallahu aklam.

Keadaan demikian menyebabkan banyak perkara tidak selesa, bakal haji ke sini tidak seharusnya mengharapkan keselesaan, kemungkinan mereka boleh mengharapkan kelemahan yang boleh dibaiki oleh pihak pengurusan dibaiki dan diuruskan sebijak yang mungkin.

Dalam keadaan khemah berdekatan dan bersempadan itu mereka mendirikan solat mengikut khemah masing-masing, itulah sahaja cara yang terbaik.Tetapi Pembesar Suara pula menjadikan solat berjamaah tidak sempurna dan khusyuk, penghuni yang bersolat di khemah yang tiada pembesar suara tidak mendengar bacaan imam yang mereka ikuti sebaliknya mendengar bacaan imam dari khemah lain dengan jelas dan terang, beberapa bacaan dari khemah yang menggunakan pembesar suara berkumandang di udara, dalam keadaan letih dan penat itu tersasul juga makmum dibuatnya, terutamanya ketika takbir intiqal.

Ketika penghuni membuat ibadat secara individu kekadang terusik pula dengan gangguan pembesar suara yang menguasai ruang udara, hasrat bermunajat kepada Allah terpaksa beralih mendengar dan memikirkan apa yang dilaungkan atau dibaca oleh individu yang menggunakan pembesar suara. Munajat tidak lagi khusyuk dan tulen.

Qiamullail ialah jenis ibadat yang dilakukan atau dikerjakan secara individu ( bukan beramai-ramai - diadakan secara beramai-ramai itu adalah program latihan bagi mereka yang belum berpengetahuan dalam bidang tersebut ), sebaiknya dilakukan secara individu dengan dorongan dari hati sendiri ketika tengah malam sehingga menjelang waktu Subuh.

Andaian:
Mungkin keadaan akan menjadi lebih baik kalau semua khemah tidak dibenarkan menggunakan pembesar suara atau penggunaan secara terkawal dengan menyedari bahawa penggunaan tersebut tidak menjejaskan ibadat dan aktiviti pihak yang lain di khemah yang berhampiran dengan mereka.

Sekian...wallahu aklam.


No comments: