Monday, October 7, 2013

Budaya Gotong-Royong - Usung rumah - bersama video.


Artikel kali ini penulis sengaja  mengimbau kembali adat tradisi Melayu zaman dahulu khasnya di Kedah era tahun sebelum dan sehingga awal 70an. Artikel ini tidak menyentuh di negeri-negeri lain selain Kedah kerana penulis sendiri tidak arif mengenai budaya di tempat atau di negeri lain.
______________________________
Beri laluan iklan sebentar 
 

_________________________________________________________

Bergotong-royong.
Terdapat beberapa bidang pekerjaan yang sering dikaitkan dengan bergotong-royong atau dikerjakan secara bergotong-royong, di antaranya cabut semai, menanam padi, menuai padi, berkhenduri, membuat jambatan atau jalan kampung dan sekali sekala mengusung rumah iaitu semasa ada keperluan.

Cabut semai
Menanam padi secara tradisi akan dimulakan dengan  menyediakan tapak semaian, kemudian barulah petani menyemai padi iaitu dengan menabur padi yang telah direndam buat beberapa hari sehinggalah padi itu bertunas, biji padi yang bertunas dan masih dibaluti sebahagiannya dengan kulitnya itu ditabur di dalam tapak atau petak  semaian.

 Ketika menabur biji padi umtuk dibuat semai memadai dilakukan seorang atau suami isteri sahaja, kerja ini sangat mudah dan cepat disiapkan. Apabila sampai masa untuk mencabutnya memerlukan tenaga yang lebih kerana akar anak padi/semai telah mencengkam tanah, memerlukan tenaga yang agak kuat untuk menarik atau mencabutnya, oleh itu kerja mencabut semai ini biasanya dilakukan secara bergotong-royong, demikian juga ketika menanam di dalam petak bendang nanti. Bergotong-royong mencabut semai dan menanam ini dilakukan secara berderau iaitu bergilir-gilir sesama mereka sehinggalah setiap petani yang terlibat di dalam sesuatu derau ini menerima giliran masing-masing.demikianlah juga bergotong-royong menanam padi. Cara melaksanakan kerja begini sangat menyeronokkan.
Bergotong-royong melaksanakan kerja-kerja yang berkaitan dengan khenduri tidaklah dilakukan secara berderau tetapi ianya lebih kepada tolong menolong atas kebaikan dan kerana Allah, walaupun kadang-kadang kelihatan seperti berderau, situasi ini adalah kebetulan sahaja.


 Mafhumnya;
Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. Dan bertaqwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha Berat azab seksaNya (bagi sesiapa yang melanggar perintahNya). 

Mengusung rumah.
Berlakunya mengusung rumah disebabkan sama ada rumah lama hendak diubah tapaknya atau telah dijual kepada orang lain kerana tuan punya hendak membesarkan rumah dengan mendirikan rumah yang baru berkembar dengannya atau sebab-sebab seumpamanya. Pada masa dahulu rumah di Kedah didirikan dengan menyediakan bahagian bawah rumahnya dalam keadaan kosong supaya ruang itu boleh diletakkan segala peralatan kerja sawah atau lain-lain seperti guni padi,cangkul, bakul, tong, kibar layar dan seumpamanya.
Keadaan rumah yang sedemikian rupa membolehkan rumah diusung ke tempat lain jika diperlukan.Orang kampung hidup bahu membahu di antara satu sama yang lain, hubungan mereka rapat dan akrab, apabila hendak melaku sesuatu kerja gotong-royong mereka tidak akan risau kerana yakin akan mendapat sambutan dan pertolongan, kerja berat sama dipikul dan kerja ringan sama dijinjing telah pun menjadi budaya sejak zaman datuk nenek lagi. 

Islam sangat menyukai dan menyarankan kerjasama dan tolong menolong dalam hal kebajikan dan kebaikan seperti ini ( rujuk ayat al.Quran di atas) .
Sekian...Wallahu aklam.....والله أعلم

No comments: