Monday, September 30, 2013

Orang migrain dan tekanan darah tinggi mengerjakan Haji.


Mukadimah.
Sejak kanak-kanak lagi saya memang mengalami migrain atau sakit kepala yang dikategorikan sebagai migrain  oleh doktor yang merawatku, apabila dewasa saya lebih bimbang mengenai penyakit ini berbanding dengan memikirkan soal kewangan untuk pergi ke Makkah, perkara yang mendorong supaya lebih memikirkan hal ini kerana rentetan sakit itu tidak pernah lekang , cumanya kesakitan itu tidaklah terlalu mengancam hanya sekadar terasa sedikit sakit yang berpanjangan yang saya ketegorikan sebagai antara 15 - 30% sakitnya, keadaan ini berlaku setiap hari sehingga kini pun belum dapat memerdekakan diri daripada masalah tersebut.

Kalau bermain panas tidak akan mungkir selepas itu akan berlaku sakit kepala, panas di sini pun tiada ketahanan diri, tentulah kalau di Tanah Suci akan lebih teruk merudum ketahanannya, mungkin boleh pengsan atau seumpamanya, di dalam minda ini sentiasa sahaja memikirkan situasi diri ketika mengerjakan Haji nanti.

Masalah kesihatan.
Setelah berusia 50an satu lagi penyakit datang menghinggap di badan, pada ketika ini keadaan diri sentiasa sahaja tidak bermaya dan sakit kepala pula agak berlainan rasa ( bukan pening ), terasa di hati bahawa sakit kepalaku ini tentunya telah semakin bertambah, akibat kekurangan daya tahan kerana faktor usia semakin lanjut. Saya tahankan juga sakit itu seperti amalan sejak berusia 14 tahun   itu, akhirnya pada suatu pagi ketika bangun tidur kepalaku bukan lagi sakit tetapi pening yang amat sangat, saya terasa dunia inilah yang berpusing bukan sahaja kepala, diringkas ceritanya selepas itu saya pergi membuat pemeriksaan kesihatan di sebuah klinik kerajaan, setelah diperiksa doktor mengesahkan bahawa saya sedang mengalami tekanan darah tinggi, bacaan pada hari itu 170/90 kalau tidak salah ingatan saya.

Doktor menasihati saya supaya membuat senaman setiap hari untuk memungkinkan  aliran darah kembali normal, Kemudian berulang aliklah pula ke klinik seminggu sekali,   doktor memberi peluang beberapa minggu untuk senaman  tetapi saya tidak berjaya juga untuk menurunkan tekanana darah tersebut, setelah itu barulah doktor memberi ubat untuk makan, sebelumnya doktor cuba mengelak daripada berbuat demikian. Maklumlah mengambil ubat darah tinggi bukan sesuatu yang baik, ianya akan mengakibatkan keburukan yang lain, setelah cara yang dicadangkan kepada saya itu tidak berjaya, maka beliau terpaksa mengambil keputusan tersebut untuk kebaikan pesakitnya.
__________________________________________
Beri laluan iklan
 
 ______________________________________

Persiapan awal mengerjakan Haji.
Berbalik kepada urusan mengerjakan Haji setelah bersara saya tidak lagi memikirkan mengenai kesihatan diri saya, sakit atau sihat saya bersama isteri wajib menunaikan Fardu Haji walau pun dalam keadaan tidak sihat kerana mengikut hukum akal hayat maut telah pun hampir tiba, sebelum ketibaannya kerja yang belum beres wajib dibereskan, itulah ingatan di hati ketika itu.

Kami pun mendaftarkan nama untuk mengerjakan Haji di Pejabat Tabung Haji  Sungai Petani, Kedah. Sejak itu kami pun boleh dikatakan setiap malam berdoa dan bersolat Hajat memohon Allah percepatkan pemergian kami ke Makkah selain setiap kali lepas solat, kami juga memohon supaya di sana nanti akan mendapat rakan taulan yang baik dan bersefahaman khasnya rakan sebilik serta mohon Allah permudahkan kerja Haji kami dan mendapat Haji Mabrur. Kami memohon dan merayu kepada Allah secara bersungguh-sungguh  kurang lebih selama lima tahun, sebelumnya pun dipohon juga tetapi tidak serius.

Terpilih mengerjakan Haji.
Setelah mendapat surat mengesahkan kami terpilih mengerjakan Haji segala keperluan yang dikehendaki diurus, disedia dan dibereskan, segalanya dilakukan seperti yang dikehendaki.Ketika mengisi borang dahulu saya mengisi borang itu dengan memenuhkan ruang ( pergi ke Madinah dahulu ) dan permohonan serta  hajat itu dimakbulkan Allah. Oleh itu penerbangan kami dari Malaysia terus ke Madinah dan berada di Madinah selama 10 hari rasanya.



 Kami Kursus Haji di masjid ini.
Tiada ubat migrain dibawa bersama tetapi ubat untuk mengurangkan tekanan darah tinggi dibekalkan oleh klinik yang saya hadiri pemeriksaan sebelum pergi mengerjakan Haji iaitu salah satu syarat untuk diluluskan pemergian tersebut.

Ketika di Madinah
Diringkaskan lagi ceritanya, setelah saya berada di Madinah beberapa hari barulah saya terkesan bahawa saya tidak mengalami migrain dan tekanan darah tinggi / Allah sahaja yang mengetahui sebabnya yang sebenar / mungkin ketika di sana kita menggunakan banyak pergerakan yang setaraf dengan senaman atau mungkin melebihi senaman yang sering kita lakukan di Tanah Air.Di sana kita akan berjalan kaki ke masjid, balik ke hotel naik tangga turun tangga dan ditambah pula berjalan-jalan membeli-belah atau bersiar-siar melihat Madinah secara lebih dekat  lagi.Aktiviti ini menolong mengurangkan tekanan darah dan  mengeluarkan banyak peluh di bahagian kepala yang boeh menyebabkan kurang migrain. Pastinya, semuanya itu adalah kuasa Allah.


blood pressure monitor test
 Saya menggunakan monitor ini setiap hari bagi mengetahui bacaan tekanan darah saya , alat ini juga dikongsi oleh rakan sebilik. Ubat yang dibawa saya hanya makan dua kali sahaja selama berada di Madinah dan Makkah sehinggalah hari ini saya tidak lagi makan ubat tersebut.

Ketika di Makkah.
Di Makkah kami tinggal di Hotel Asy-Syarouk Jalan Ibrahim Khalil, jaraknya dengan Masjidil Haram lebih kurang 1.5km. pada minggu pertama berulang-alik 3 kali sehari iaitu pergi untuk solat Subuh, biasanya akan sampai awal di masjid, oleh itu sebelum solat Subuh para jamaah melakukan solat-solat sunat seperti kita lakukan qiamullail di dalam aktiviti masjid di Tanah Air.kali kedua pergi untuk solat Zohor dan Asar dan kali ketiga untuk solat Magrib dan Isyak. Pergi dan balik semua perjalanan tersebut kurang lebih 8km. Minggu kedua cuaca panas semakin meningkat dan para jamaah mulai batuk-batuk, banyak berjalan berarti banyaklah habuk masuk ke dalam rongga hidung dan banyaklah juga penyakit yang sedang menunggu, dalam hal dan situasi  seperti ini diri sendiri hendaklah pandai membawa diri atau membuat keputusan untuk kebaikan diri.

Melihat kepada situasi seperti yang disebutkan itu pihak Tabung Haji menasihatkan supaya tidak lagi setiap waktu bersolat di Masjidil  Haram dan sebahagian fardu solat dilaksanakan  di Musalla yang berada di hotel atau berhampiran dengannya sahaja. Kalau terlalu kerap ke masjid yang jaraknya agak jauh itu ditakuti para jamaah akan jatuh sakit dan mungkin hajat utama iaitu mengerjakan Haji akan gagal disempurnakan, hari-hari di Padang Arafah, Muzdalifah dan Mina yang sedang menunggu itu lebih mencabar lagi iaitu pada 9hb.sehingga 13hb Zulhijjah itu lebih mencabar lagi kerana ketika itu semua jamaah dari seluruh dunia berkumpul di situ.

Di Makkah juga saya tidak mengalami apa-apa masalah berkaitan dengan migrain dan tekanan darah tinggi sehinggalah selamat kembali ke Tanah Air, Malaysia. Kini alhamdulillah kedua-dua penyakit itu masih boleh dikawal melalui aktiviti senaman dan tidak lagi mengambil ubat tekanan darah tinggi seperti sebelumnya.


Sekian...wallahu aklam. والله أعلم

No comments: