Monday, December 29, 2008

MUSAFIR YANG TIDAK DIRANCANG.



___________________________________

Bergotong-royong di pagi Sabtu.


MANUSIA HANYA MERANCANG, ALLAH JUA YANG MENENTUKAN.


Sejak awal bulan lagi kami sekeluarga merancang hendak ke Kluang untuk menziarahi keluarga di sana. Pada hari Sabtu ( 27. 12. 2008) jam 12.30 tgh hari selepas turut serta dalam aktiviti gotong royong di taman kami, kami pun bertolak dari rumah menuju ke Kluang. Kami ke Kluang kerana ingin meraikan pernikahan salah seorang ahli keluarga. Majlis sebenar telah berlangsung pada petang hari Jumaat yang lalu, kehadiran ini merupakan kehadiran yang telah terlewat, bukan tersilap hari tetapi pada hari majlis berlangsung terdapat halangan untuk kami hadir. Jadi kami datang juga untuk meraikannya walaupun terlewat.


Sebelum bergerak kami diminta supaya terus ke Batu Pahat kerana di sana diadakan majlis khenduri dan tahlil bagi aruah yang lama dan baru, kami pun meneruskan perjalanan ke Batu Pahat , walaupun tanpa dirancamg lebih awal. Dengan jemputan itu kami dengan senang hati memasukan agenda tersebut di dalam program. Perjalanan kali ini agak selesa juga selepas mengalami kesesakan mulai pintu keluar ke Nilai sehinggalah pintu keluar ke Seremban dan Port Dickson laluan Lebuhraya ke selatan.


Ketika kami sampai di Dengkil waktu Zohor telah pun masuk, kami pun mengambil keputusan menunaikan solat Zohor dan Asar terlebih dahulu, sudah tentulah secara Jamak Takdim, selepas makan, kami pun meneruskan perjalanan, kebetulan di R& R Dengkil saya bertemu dengan kawan lama ( Abd.Ghani Jusoh) , lama juga berborak-borak dengan dia, beliau seorang yang mahir bercakap dalam bahasa Siam ( Siam Kedah ), agaknya dia melepaskan ketagih berborak panjang dengan Leenoh, Sekarang beliau telah menetap di Parit Raja, Johor, di sana tentulah tiada kawan yang berkemahiran tersebut untuk berborak-borak dengannya, sama juga keadaan yang berlaku pada Leenoh. Ghani mempelawa kami singgah dan bermalam di rumahnya berulang kali tetapi kami kesuntukan masa, kalau singgah musafir akan menjadi bertambah tidak terancang. Insya Allah suatu hari nanti kami akan ke rumah Ghani.
SERI BENTENG

Kami sampai di Batu Pahat jam 5.20 petang, singgah di Seri Benteng untuk makan petang dan menunggu sebuah kereta lagi yang bertolak dari Kluang. (Anakcucuku). Tidak lama kemudian anakcucuku (jannahazwan) pun sampai, selepas makan kami pun bertolak ke Kampung Parit Salam ketika kami sampai jam menunujukkan 6.30 petang. Di sini Leenoh berjumpa dengan Kuntong ( Pak Ngah ) bersembang panjanglah kami. ( WAHNUAR . http://kampungmampan.blogspot.com )Mengeratkan silaturrahim.
( Leenoh bersama Kuntong )

Rumah Pak Uda dan Mak Uda menjadi tempat persinggahan kami, mandi manda dan bersolat di sini, kepada Pak Uda dan Mak Uda diucapkan ribuan terima kasih di atas layanan yang diberikan, begitu juga Kuntong (Pak Ngah) dan sekalian keluarga mereka. Inilah sebenarnya keindahan dan kemanisan hubungan silaturrahim, tiada lain balasannya hanya syorga Allah. Inilah juga kebahagiaan yang sangat maknawi kehadirannya di dalam hati kita, singkirkan jin dan syaitan di dalam diri . Insya Allah ikatan silaturrahim akan wujud lebih erat dan kukuh. Nah itulah Islam dan itulah kesejahteraan.

Khenduri bermula sebaik sahaja lepas solat Isyak. Kata pepatah lain padang, lain belalang, di Johor doa di majlis kenduri biasanya dibaca tiga kali, pertama doa tahlil atau bersekali dengan doa Surah Yasin, jika majlis membaca Yasin di adakan bersama, kedua ketika hendak makan atau jamuan makan dimulakan, agak panjang juga doanya dan ketiga selepas makan. Kalau di sebelah utara dibaca sekali sahaja.Kita semua semakin hampir ke destinasi ini.

Jam 10.30 malam barulah kami bertolak balik ke Kluang perjalanan yang dirancang sejak sebulan yang lalu, tetapi dengan takdir Allah kami sampai Batu Pahat terlebih dahulu kerana menghadiri majlis khenduri tahlil yang telah disebutkan di atas, di sini saya berjumpa dengan ramai ahli keluarga besan termasuk Kuntong. Jam hampir 12.00 malam kami pun sampai di Kampung Tengah , Kluang.
Kami bermalam di rumah anakcucu Leenoh.

Leenoh membuat penyudah mengangkat barang-barang keluar dari kereta, setelah diangkat semua barang, didapati satu lagi beg tiada di dalam kereta, setelah disiasat dan disemak semula rupa-rupanya beg tersebut telah tertinggal di rumah Pak Uda, Nasib baik keesokannya Azwan memang akan pergi sekali lagi ke Batu Pahat untuk berjumpa dengan Pak Leh dan kawan-kawan mereka, jadi Azwan akan ambilkan beg itu balik ke Kluang, sementara itu Leenoh terpaksa menggunakan pakaian Azwan sehingga beg itu sampai balik. Itulah kelemaham manusia, walaupun manusia itu ego tetapi itulah kelemahan mereka. Sebab itu Allah Taala memberi gelaran pelupa kepada manusia - AnnaasJadikan Baiti Jannati.


Pagi Ahad kami pergi membeli belah di Pasaraya Pacific yang terletak di Kluang Mall di bandar Kluang, orang agak ramai, kelihatan berpusu-pusu naik turun tangga, mungkin kerana ada jualan murah atau ingin merasa tempat baru. Pada waktu malam anakcucuku keluar lagi ke bandar Kluang, Leenoh berada di rumah sambil menyiapkan tajuk blog "Kehidupan Bersih turut berhijrah" dan juga membuat pembetulan ( edit ).Kelihatan Gunung Lambak .
( Gambar dirakamkan dari atas Kluang Mall ).


Pagi Isnin jam 11.00 kami bertolak balik dari Kampung Tengah menuju Tol Air Hitam, perjalanan pagi ini berjalan lancar, kami singgah di R&R Pagoh, selepas itu barulah kami meneruskan perjalanan, kami keluar melalui Tol Air Keroh untuk meneruskan perjalanan ke Kampung Londang, Masjid Tanah Melaka, sampai di Melaka hampir azan Zohor dibunyikan, makan tengah hari di sini, solat Zohor dan Asar , setelah berehat sekejap, sekali lagi bertolak menuju Shah Alam, masuk lebuhraya melalui Tol Pedas, kenderaan berjalan lancar sehinggalah belaku kesesakan sepanjang beberapa kilometer dari Senawang sehingga ke tol keluar ke Seremban, kurang lebih 45 minit kami berkesot-kesot di atas lebuhraya, kemudian perjalanan selesa semula sehingga Tol Batu Tiga, kami selamat sampai ke rumah hampir waktu Maghrib. Bersyukur kepada Allah kerana perjalanan pergi dan balik dalam keadaan selamat.

_________________________________________________________________

SECEBIS SEJARAH BANDAR KLUANG.
Keluang ( kelawar )

Bandar Kluang mengambil nama Keluang Kampung. Keluang sejenis kelawar besar pemakan buah. Ia memakan bunga durian dan buah-buahan seperti rambutan, rambai dan lain-lain. Penduduk kampung tersebut berjaya membunuh tupai yang datang ke dusun mereka, tetapi gagal menakutkan keluang yang begitu banyak setiap petang datang ke situ. Keluang yang banyak itu dikatakan datang dari sebuah bukit di belakang kampung mereka (bukit yang dimaksudkan mungkin Gunung Lambak). Akhirnya seorang pawang terpaksa mengadakan suatu upacara di bukit tersebut untuk memujuk keluang-keluang itu agar tidak datang ke dusun penduduk kampung tersebut.

___________________________________________________________________

SEJARAH NAMA BATU PAHAT.

Tugu Peringatan

Nama Batu Pahat dikatakan dari peristiwa memahat batu untuk mendapat bekalan air tawar di pantai Minyak Beku yang terletak di Kuala Sungai Batu, Batu Pahat. Kerja ini dilakukan oleh angkatan tentera Siam (Orang-orang Muslim Pattani Siam ) di bawah pimpinan Awi Dicu dalam abad ke-15 sewaktu hendak menyerang Melaka. Kesan pahatan tersebut masih terdapat hingga sekarang. Kesan ini dikenali sebagai Perigi Siam atau Perigi Batu Pahat. Pusat bandar bagi daerah Batu Pahat ialah Bandar Penggaram. Nama Penggaram itu dikatakan berasal daripada ‘pangkal jeram', kerana terdapat jeram di sebuah sungai kecil yang mengalir dari bukit belakang bandar tersebut.

___________________________________________________________________

Wallahu aklam bissowab.

Wassalam.

2 comments:

Hamirdin b Ithnin said...

wah macam macam cerita termuat dalam blog ni. bagus!

Leenoh said...

Cerita yang boleh membawa kebaikan dan kesejahteraan elok disebarkan supaya kehidupan kita menjadi bersih, maka hiduplah kita di dalam Kehidupan Bersih.

Selamat berkenalan, anda adalah di antara orang yang saya doakan kesejahteraan setiap waktu solat.

Wassalam