Monday, July 13, 2009

Adat dan Ibadat.



Salam Semua.

Ramadan dan Aidil Fitri sedang dalam perjalanan menuju ke arah rumah , surau dan ke masjid kampung kita, perjalanan tidak pernah berhenti sekejap pun, apabila cukup sahaja langkahnya sampailah di halaman rumah dan masjid kita, belum sampai kita telah dapat meneka kehadirannya membawa berkat dan rahmat serta membawa kemeriahan kepada umat Islam yang beriman dan yang sentiasa merinduinya. Adakah kita akan menyambut kedua-duanya dengan adat yang tidak diperintahkan atau menyambutnya dengan ibadat yang diperintahkan dan termaktub di dalam al.Quran dan al.Hadis.
Adakah kita akan menyambut mengikut acuan rekaan kita atau menyambut mengikut sunnah Nabi Muhammad.s.a.w.

Orang Mesir pada zaman jahiliyah mempersembahkan seorang gadis yang tercantik di kampung mereka kepada Sungai Nil kerana pada anggapan mereka sungai tersebutlah yang memberi rezeki kepada mereka, maka rasa megahlah mereka apabila berjaya menghadiahkan gadis comel itu kepada Sungai Nil, mereka rasa megah dan gembira bukan sebaliknya walaupun seorang gadis dikorbankan dengan begitu kejam dan zalim, nilai zalim itu berubah menjadi mulia. nampaknya adat adalah suatu kepercayaan dan kebiasaan yang mana kehadirannya kekadang tidak dipersoalkan tentang baik dan buruknya. adat juga terdapat yang baik dan buruk.

Pada suatu ketika dahulu di negara kita juga terdapat orang yang mengamalkan adat yang menjejaskan aqidah Islam, sebagai contoh setiap upacaya seperti memulakan kerja berladang, bertani, mendirikan rumah dan lain-lain, pulut kuning, bertih, lilin dan beberapa jenis masakan disiapkan di dalam dulang khas untuk dipersembahkan kepada roh datuk nenek kononnya dan diikuti pula dengan bacaan doa. Nampaknya adat ini telah memperduakan tuhan iaitu pertuhankan datuk nenek dengan persembahan tersebut dan mempertuhankan Allah dengan memohon doa. Situasi seperti inilah mengikut hukum tauhid dikatakan syirik kepada Allah. Syirik bermakna seseorang itu telah terkeluar daripada Islam kerana perbuatannya menyengutukan Allah.

Adat di atas amat berat hukumnya selain daripada itu terdapat juga adat yang haram tetapi tidak sampai kepada syirik dan terdapat juga adat yang baik iaitu adat yang tidak bertentangan dengan ajaran Islam. Untuk mengenalpasti adat yang baik atau buruk di sisi Islam kita perlulah menilai aktiviti yang dilaksanakan sama ada melanggar hukum Allah atau sebaliknya. iatu hukum Fiqah dan hukum Aqidah.

Menjelang akhir bulan Rejab dan sepanjang bulan Syaaban, ramailah masyarakat kita mengadakan majlis khenduri bagi menyambut kedatangan Ramadan dan memohon berkat daripada Allah. Pelaksanaan khenduri ini perlulah berhati-hati supaya ianya tidak membazir dan ibadatnya diterima Allah, sekiranya berlaku pembaziran majlis tersebut tidak lagi bertaraf khenduri dan ibadat kerana Allah telah menegaskan bahawa perbuatan membazir itu saudara syaitan dan manakala syaitan pula musuh kita yang jelas dan nyata.

Pembaziran boleh berlaku sekiranya di dalam sebuah kampung diadakan beberapa khenduri pada hari yang sama dan disedekahkan makanan yang dibungkus pada tetamu yang sama oleh beberapa buah rumah kerana para jemputannya orang yang sama, setiap orang akhirnya membawa balik dua atau tiga bungkus, sedangkan makanan diisi bercampuraduk di dalam satu bungkus, membungkus seperti itu akan menyebabkan makanan cepat menjadi basi dan akan berlaku di mana satu bungkus sahaja dimakan oleh mereka yang berada di rumah dan yang bakinya akan dibuang ke dalam tong sampah keesokan harinya. Bungkusan dibuat begitu rupa kerana patuh adat setempat dan perubahan sukar dibuat secara individu.Sekiranya perubahan sukar dilakukan mereka yang dikatakan pemimpin masyarakat tentulah menjadi kewajipan di atas bahu mereka untuk melakukan perubahan.

Sesungguhnya ibadat itu ialah melakukan sesuatu atas dasar menunaikan perintah Allah, setiap aktiviti yang dilakukan wajiblah merujuk kepada ajaran Islam, bukan mengikut kebiasaan masyarakat atau adat kerana kekadang terdapat juga aktiviti yang telah lumrah diamalkan di dalam masyarakat tetapi melanggar perintah Allah, sedangkan sebahagian daripada masyarakat menyangka itulah cara menuntut keredaan Allah.Kalaulah perkara ini belaku maka rugilah masyarakat Islam.

Manakala adat pula ialah sesuatu aktiviti yang dibuat berulangkali, akhirnya menjadi adat , sekiranya tidak disemak dengan ajaran Islam melalui ilmu Aqidah dan Fiqah perbuatan kita itu mungkin melanggar perintah Allah atau haram hukumnya seperti disebutkan di atas tadi..

____________________

Firman Allah bermaksud:
"Apabila dikatakan kepada mereka: "Marilah mengikuti apa yang diturunkan Allah dan mengikuti Rasul". Mereka menjawab: "Cukuplah untuk kami apa yang kami dapati bapa-bapa kami mengerjakannya". Dan apakah mereka akan mengikuti juga nenek moyang mereka walaupun nenek moyang mereka itu tidak mengetahui apa-apa dan tidak (pula) mendapat petunjuk?"
Surah Al.Maa-idah (104)

__________________________

Menyambut Ramadan dan Aidil Fitri serta Aidil Adha sewajibnya dilakukan atas dasar ibadat kepada Allah bukannya adat.
________________________

Manfaatkan ulasan ini;
Delete
Blogger Hunny said...
Salam Pak Ngah,

Dalam satu kaedah fiqh ada dinyatakan, al-adat muhakkamah, yang bermaksud, adat adalah satu hukum atau undang-undang yang mengikat. Ini bermaksud, Islam menerima pemakaian adat sebagai satu undang-undang yang mengikat orang Islam. Bagaimanapun, menurut Islam, hanya adat yang tidak bertentangan dengan Islam sahaja yang boleh diamalkan. kalau bertentangan tidak boleh diamalkan.
July 14, 2009 12:25 AM
Delete
.


"Allah Maha Mengetahui"

Sekian. Wassalam.

4 comments:

KUNTONG said...

Salam Leenoh : semoga ramadhan ini lebih baik dari ramadhan lepas.Perubahan yang positif, zahir dan bathin, kalau kaya ilmu, kayalah budibahasa.tingkah laku dan tuturkata.
Mudahan tuhan memberkati hidup kita.

Leenoh said...

Salam Kuntong.
Hendaknya begitulah, harapan dan doa dipanjatkan kepada Allah supaya dimakbulkan, dengan itu semakin amanlah kita nanti.

Hunny said...

Salam Pak Ngah,

Dalam satu kaedah fiqh ada dinyatakan, al-adat muhakkamah, yang bermaksud, adat adalah satu hukum atau undang-undang yang mengikat. Ini bermaksud, Islam menerima pemakaian adat sebagai satu undang-undang yang mengikat orang Islam. Bagaimanapun, menurut Islam, hanya adat yang tidak bertentangan dengan Islam sahaja yang boleh diamalkan. kalau bertentangan tidak boleh diamalkan.

Leenoh said...

Salam Hani.
Ulasan yang sangat baik dan meyakinkan dan memantapkan entri ini.
Pak Ngah masih bertemu dengan amalan adat yang membimbangkan sebab itu Pak Ngah sentiasa menyentuh mengenai hal ini .