Wednesday, July 29, 2009

Ketua Pengawas Peperiksaan SPM Gelabah.




Dalam entri pada kali ini Leenoh ingin menceritakan dua pengalaman yang sukar hendak dilupakan walaupun peristiwa itu telah berlaku puluhan tahun yang lalu. Kisah ini mungkin dapat memberi pengajaran dan teladan kepada anda terutamanya guru-guru yang masih bertugas.

Ketika Leenoh bertugas di Johor Baru, iaitu di salah sebuah Sekolah Menengah yang terletak di Jalan Abd.Samad, ketika itu di kawasan ini terdapat dua bangunan Sekolah Menengah dan sebuah Maktab Perguruan serta sebuah Sekolah Menengah menumpang bangunan pada sesi petang. Bermakna tiga buah Sekolah Menengah dan tidak berapa tahun kemudiannya sebuah sekolah yang menumpang itu berpindah ke bangunannya sendiri di Tasik Utara.

Ketua Pengawas Gelabah.
Pada akhir tahun 1973 Leenoh dilantik menjadi Penolong Pengawas Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia ( SPM ) di sebuah sekolah yang terletak bersebelahan dengan sekolah Leenoh mengajar. Sebagai seorang guru yang pertama kali menjadi Penolong Pengawas Peperiksaan Leenoh hanya mengikut arahan sahaja, sebagai orang baru menjadikan dirinya sangat taat kepada arahan ketua, lagipun Leenoh tiada apa-apa pengalaman sebagai Penolong Pengawas, beliau hanya berbekalkan pengalaman mengawas peperiksaan dalaman di sekolahnya sahaja.

Peraturan pengawasan peperiksaan yang disediakan oleh Lembaga Peperiksaan Malaysia memang memadai dan mungkin yang terbaik, sekiranya dipatuhi semua tugas akan menjadi telus dan selamat.

Cerita dipendekkan.
Mengikut peraturan peperiksaan seseorang calon yang sedang menjawab soalan boleh menyerahkan jawapannya selepas calon telah mendudukinya selama lebih 40 minit atau 30 minit sebelum masa sebenar tamat iaitu bagi calon yang siap lebih awal tetapi waktu hampir peperiksaan tamat mereka tidak dibenarkan menyerahkan kertas jawapan, sekiranya dibenarkan keadaan dewan peperiksaan dipercayai akan menjadi tidak terkawal oleh itu dalam kes ini semua calon hendaklah menunggu di meja masing-masing sehingga masa sebenar tamat dan kertas jawapan akan dikutip serentak dan disusun mengikut angka giliran untuk mengelakkan keciciran.

Cerita dipendekkan lagi.
Seorang calon telah mengambil keputusan awal menamatkan sesi menjawabnya setelah kurang lebih 40 minit beliau menjawab soalan dan memohon keluar dewan. Ketua Pengawas membenarkannya keluar Dewan Peperiksaan dan memaklumkan kepadanya bahawa kertas jawapan tinggalkan sahaja di dalam meja colan dan akan dikutipnya kemudian, dengan harapan apabila mengutipnya nanti kertas jawapan tidak perlu lagi diubab-ubah kerana kertas tersebut terletak mengikut angka giliran dan juga mengikut tertib angkanya.
Apabila masa peperiksaan tamat dan Pengawas Peperiksaan pun mengutip kertas jawapan mengikut barisan seperti mana di dalam arahan, setelah semua kertas dari semua calon yang hadir pada hari peperiksaan tersebut dikumpulkan, setiap pengawas mengira kertas jawapan yang berada ditangan masing-masing dan dicampurkan kesemuanya oleh Ketua Pengawas dan dibandingkan dengan calon yang hadir, hasilnya jumlah yang diperolehi tidak akur dengan angka kehadiran calon, kertas jawapan kurang satu skrip, semua pengawas diminta supaya mengiranya sekali lagi, hasilnya sama juga. Ketua Pengawas mulai gelabah, Pengawas diminta mengiranya kali ketiga sambil itu Ketua Pengawas pergi memeriksa setiap meja calon, semua meja calon kosong. Degupan jantung Ketua Pengawas tentu sekali semakin kencang kerana kiraan kali ketiga juga mendapat keputusan yang sama.

Akhirnya Penolong Pengawas mengesan calon yang tidak menyerahkan kertas soalan, didapati calon yang keluar awal tadi tidak meninggalkan kertas jawapannya di dalam meja seperti yang diarahkan. Maka kamipun mencari kertas jawapan calon tersebut yang mungkin telah direnyukkan dan dibuang di dalam tong sampah di tepi dewan tersebut, Kami bernasib baik, memang berlaku seperti yang disyaki, dua helai kertas calon tersebut berada di dalam tong sampah.

Tindakan Ketua Pengawas mengarahkan calon supaya tinggalkan kertas jawapan di dalam meja dan akan dikutip kemudian itu adalah tersilap dan tidak tepat, sepatutnya Ketua Pengawas atau salah seorang pengawas menerima kertas tersebut terlebih dahulu kemudian diletakkan di dalam meja yang masih di dalam pengawasan, Ketua Pengawas bersangka baik kepada calon tersebut tetapi malangnya calon berkenaan tidak jujur atau tidak mengetahui akibat daripada perbuatannya itu.

Pembaca sekalian, kertas itu tidak kosong seperti anda sangkakan. Dua helai kertas tersebut penuh dengan tulisan dan berbagai cerita nakalnya dipaparkan di situ, di antara ayat yang masih Leenoh ingat ialah " Ibu bapaku suruh aku pergi ke Sekolah Ugama tetapi aku ponteng dan ibu bapa aku suruh aku baca buku , aku lebih suka bermain giter...jadi macam mana aku boleh jawab soalan Sains yang amat susah ini". ( ayatnya mungkin tidak tepat tetapi mesejnya tepat ). Dua helai kertas ini kami hantar bersama kertas calon-calon lain kepada Lembaga Peperiksaan Malaysia. Pemeriksa kertas yang menerima kertas jawapan ini tentu akan tersenyum selepas membacanya dan sebagai guru beliau juga mungkin akan merasai dukacita dengan sikap pelajar seperti ini. Satu lagi perkara yang pasti ialah pemeriksa tersebut akan mendapat bayaran tanpa bersusah payah memeriksanya. Walau apapun Pemeriksa masih mengikut peraturan dan kami juga mengikut peraturan.

Selagi peraturan dan prosedur dipatuhi selagi itulah juga tugas kita akan dianggap dan dinilai sebagai tugas yang telus dan bertanggungjawab.

Peristiwa Kedua "Ketua Pengawas Peperiksaan SPM Gelabah" akan muncul dalam " entry" yang akan datang dengan tajuk " Kertas Jawapan Lukisan Ghaib".


Sekia. Wassalam.

7 comments:

♥ Izzah Marzuki said...

Salam, lama tak singgah sini..
tapi saya selalu baca menerusi update.. tertarik dgn tajuk ini.. cepatnya dia berputus asa.. kesalnya.. takpelah, mudah2an sekarang dia dah berubah, insyaAllah.. =)

Nl said...

macam2 lah perangai budak2 yer Pak Ngah heheeee

habis kalut jadinya pengawas peperiksaan tu semua huhhu...

kalau ramai yang buat begitu lagi
senang kerja pemeriksa kertas sains tu heheheee

Leenoh said...

Salam Naqeeb.
Sekarang lagilah dahsyat- perlakuan yang macam tu- Cikgu sekarang perlu lebih tegas, itu cerita tahun 1973, jangan lupa sekarang dah 2009 - zaman Naqeeb jadi blogger hehehe.

Leenoh said...

Salam Izzah Marzuki.

Sekarang agaknya dia sedang mendidik anak-anaknya dan pengalamannya itu akan digunakan sebaik mungkin, anak-anaknya tentu tiada cara untuk menipunya lagi kerana semua helah tersimpan di dalam mindanya.
orang seperti ini kekadang berjaya dalam bidang mendidik anak.Itulah sangka baik saya terhadapnya.

JURAISH KAMARUDDIN AL-MUHAMI said...

Salam. Perkogsian cerita yang bermanfaat. gara-gara minat menggitar, tak mahu belajar pulak dia ni.Saya dulupun sempat juga melalui pengalaman kawan-kawan yang menggitar ni,tapi tak de le sampai tak mahu belajar.

Leenoh said...

Salam Sdr.Juraish Al.Muhami.
Begitulah Allah jadikan manusia tidak sama, kekadang kita terpaksa menerima ketidaksamaan itu sebagai dugaan Allah kepada kita.
Guru-guru khasnya kenalah belajar lebihkan kasih sayang kepada pelajar yang memerlukan pertolongan.
Bila ada rasa kasih dan kesian barulah datang rasa ingin menolong dan membantu mereka yang seperti itu.

Unknown said...

Kelakarlerh citer nih. macam cikgu saya cakap time nih selalunya budak2 akan menyerlahkan bakat seni lukisan ataupun karya asli mereka yang terpendam tuu....