Wednesday, April 13, 2011

Nasihat Luqman kepada anaknya.

Salam semua.

Nama Luqman tercatat dengan jelas di dalam kitab suci al.Quran, terdapat satu surah yang mengisahkan tentang dirinya. Beliau adalah seorang yang diberikan hikmah/kebijaksanaan oleh Allah. berakhlak mulia dan sentiasa bersyukur kepada Allah serta berharap anaknya mengikuti jejaknya.

Firman Allah bermaksud;
"Dan sesungguhnya Kami telah memberi kepada Luqman, hikmat kebijaksanaan, (serta Kami perintahkan kepadanya): Bersyukurlah kepada Allah (akan segala nikmatNya kepadamu)”. Dan sesiapa yang bersyukur maka faedahnya itu hanyalah terpulang kepada dirinya sendiri, dan sesiapa yang tidak bersyukur (maka tidaklah menjadi hal kepada Allah), kerana sesungguhnya Allah Maha Kaya, lagi Maha Terpuji".
[Surah Luqman :12]

Luqman bersungguh-sunguh mendidik anaknya agar tidak menyengutukan Allah. Nasihat Luqman kepada anaknya wajib diteladani dan dicontohi oleh sekalian umat Islam . Berikut adalah di antara nasihat pentingnya;

1. Jangan Menyengutukan Allah.
[ Dan (ingatlah) ketika Lukman berkata kepada anaknya, di waktu ia memberi pelajaran kepadanya:
"Hai anakku, janganlah kamu mempersekutukan Allah sesungguhnya mempersekutukan Allah adalah benar-benar kelaliman yang besar"].
[Surah Luqman :13]

Umat Islam dilarang keras menyembah selain Allah atau mensyirikkan-Nya. Hanya Allah sahaja yang layak disembah. Syirik adalah dosa yang tidak akan diampunkan oleh Allah.

2. Berbuat baik kepada ibu bapa.

"Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya), dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun; (dengan yang demikian) bersyukurlah kepadaKu dan kepada kedua ibubapamu; dan (ingatlah), kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan)".

[Surah Luqman : 14]

Kebiasaan seorang ibu mengandungkan anaknya mengambil masa selama 9 bulan. Dalam tempot itu ibu-ibu yang mengandung atau hamil menghadapi berbagai kesusahan dan kesukaran yang tidak mampi diceritakan satu persatu kepada ornag lain. Ketika melahirkan anak mereka menghadapi risiko yang amat tinggi sama ada hidup atau mati dan ada yang mati syahid kerana melahirkan anak, selepas melahirkan anak pula mereka menghadapi masalah kesihatan kerana berlaku tumpah darah yang banyak, salah seorang daripada mereka ( ibu-ibu yang ramai itu ) adalah ibu kita sendiri.Tanpa membayang dan menggambarkan situasi yang sebenar itu nescaya akan kuranglah prihatin kita kepada mereka.

Dalam keadaan yang daif itu pula mereka terpaksa menjaga anaknya (kita) yang masih bayi, di mana semua perkara mesti diuruskan di antaranya makan , minum, kesihatan dan keselamatan. Penelitiannya sangat tinggi dan istiqamah sehingga seekor semut sekali pun tidak berpeluang untuk menggigitnya. Penjagaan itu sangat sukar dan memerlukan kesabaran yang tinggi, hanya sebahagian tanggungjawabnya sahaja yang dapat diceritakan kepada orang lain, Berat mana mata memandang berat lagi bahu yang memikulnya, mereka yang bijaksana sahaja yang dapat memahami sehingga ke akar umbinya.

Maka sewajarnyalah anak-anak wajib berbakti kepada ibu bapa berlebih-lebih lagi ketika mereka sudah tua dan uzur.

3. Tidak mengikut (taat) ibu bapa dalam hal kemaksiatan dan Berbuat baiklah kepada mereka.
"Dan jika mereka berdua mendesakmu supaya engkau mempersekutukan denganKu sesuatu yang engkau – dengan fikiran sihatmu – tidak mengetahui sungguh adanya maka janganlah engkau taat kepada mereka; dan bergaullah dengan mereka di dunia dengan cara yang baik. Dan turutlah jalan orang-orang yang rujuk kembali kepadaKu (dengan tauhid dan amal-amal yang soleh). Kemudian kepada Akulah tempat kembali kamu semuanya, maka Aku akan menerangkan kepada kamu segala yang kamu telah kerjakan".
[Surah Luqman : 15]

Dalam masa kita disuruh dan diperintahkan untuk mentaati dan berbuat baik dengan ibu bapa di sana masih terdapat perkara-perkara yang dilarang patuh iaitu dilarang patuh dalam hal maksiat iaitu mensyirikkan Allah dan lain-lain aktiviti yang berdosa atau haram dan ketika menolaknya masih disuruh merendahkan diri dan menggunakan bahasa yang sopan.

4. Berbuat baik meski pun sedikit.
[ Lukman berkata: "Hai anakku, sesungguhnya jika ada sesuatu perbuatan seberat biji sawi, dan berada dalam batu atau di langit atau di dalam bumi, nescaya Allah akan membalasinya. Sesungguhnya Allah Maha Halus lagi Maha Mengetahui.”]
[Surah Luqman : 16]

Utamakan berbuat baik dan amal kebajikan, walau pun amalan kebaikan itu amat sedikit, nescaya akan mendapat balasan baik dari Allah jua.

5. Mengerjakan Solat, Menyuruh melakukan kebaikan dan Melarang melakukan kemungkaran serta Bersabar.
"
Hai anakku, dirikanlah solat dan suruhlah manusia mengerjakan yang baik dan cegahlah mereka dari perbuatan yang mungkar dan bersabarlah terhadap apa yang menimpa kamu. Sesungguhnya yang demikian itu termasuk hal-hal yang diwajibkan (oleh Allah).”
[Surah Luqman : 17]

Luqman juga menyuruh anaknya menunaikan kewajipan solat dan berdakwah dengan menyuruh manusia melakukan kebaikan dan meninggalkan perbuatan mungkar serta bersabar ketika ditimpa sesuatu keburukan. Ini juga aspek penting yang perlu umat Islam menurut jejak langkahnya.

6. Jangan Sombong.
“Dan janganlah engkau memalingkan mukamu (kerana memandang rendah) kepada manusia, dan janganlah engkau berjalan di bumi dengan berlagak sombong; sesungguhnya Allah tidak suka kepada tiap-tiap orang yang sombong takbur, lagi membanggakan diri".
[Surah Luqman :18]

Sifat sombong, takbur dan bangga diri serta memandang rendah kepada orang lain itu merupakan sifat yang dibenci oleh Allah. maka Luqman melarang anaknya memiliki sifat buruk ini.

7. Merendahkan Diri dan Bercakap dengan bersopan.
“Dan sederhanakanlah langkahmu semasa berjalan, juga rendahkanlah suaramu (semasa berkata-kata), sesungguhnya seburuk-buruk suara ialah suara keldai”.
[Surah Luqman: 19].

Cara berjalan dan bercakap juga dapat menzahirkan sopan dan akhlak seseorang sama ada baik atau buruk. Luqman mengambil pendekatan menasihatkan anaknya supaya bersederhana dalam mengorak langkah semasa berjalan dan bercakap dengan merendahkan suara dan suara yang buruk dan tidak bersopan itu dibandingkan sebagai sama dengan suara keldai.

Demikianlah nasihat Luqman kepada anaknya yang termaktub dan diabadikan oleh Allah dalam Al Quran. Semoga kita semua sentiasa mengamalkannya dan mengajarkannya kepada anak serta menyebarkannya kepada masyarakat umum.

Sekian...wallahu aklam.













No comments: