Thursday, August 9, 2012

Jalan dibina secara wakaf bukanlah sesuatu yang baru di tanah air kita & Sisipan video.

Salam semua.
Kerajaan Kelantan telah pun memulakan usahanya untuk membina lebuh raya di antara Kota Bharu dan Kuala Krai, dalam keadaan kerajaannya dilayan tidak sepertinya oleh Kerajaan Pusat, maka tercetus idea membina lebuh raya secara wakaf iaitu pembiayaannya akan disumbangkan oleh rakyat berbentuk derma,sedekah,wakaf dan seumpamanya yang berupa ibadat umum oleh orang Islam dan akan dikenali sebagai Lebuhraya Rakyat.

Sumbangan atau sedekah yang diberikan untuk tujuan wakaf pahalanya besar dan berpanjangan, lebih-lebih lagi membina lebuhraya demikian rupa di mana akan digunakan oleh orang ramai sepanjang masa sudah tentu berbaloi sumbangan tersebut. Dalam keadaan sedih kerana tidak dibantu oleh Kerajaan Persekutuan, kini  tersedia pula peluang keemasan untuk berwakaf atau mewar-warkan supaya ramai orang melibatkan diri di dalam skim wakaf yang tersendiri ini. Mendorong orang lain buat baik adalah suatu kebaikan jua.

Jalan dibina secara wakaf atau dari hasil sumbangan rakyat bukanlah sesuatu yang baru atau anih, jalan-jalan di kampung-kampung pada zaman sebelum merdeka sehingga selepas merdeka kebanyakannya bermula dengan jalan yang melalui atau melintasi tanah individu yang dibenarkan atau diwakafkan. Lama kelamaan jalan itu menjadi jalan dan laluan utama masyarakat setempat dan akhirnya diambil alih oleh kerajaan dan menjadi hak miliknya setelah membayar harga tanah tersebut kepada tuan tanah, kemudian dibina jalanraya bertar dan seterusnya dimajukan lagi dengan mewujudkan pengangkutan awam untuk kemudahan masyarakat kampung, terutama bas tambang berhenti-henti.Kekadang belum diturap dengan tar telah diwujudkan perkhidmatan bas oleh MARA yang dikenali sebagai perkhidmatan bas  RIDA/MARA, ini dilakukan kerana keadaan keperluan pengangkutan terdesak.

Kelantan sepatutnya telah pun wujud lebuhraya  seperti negeri-negeri  lain di Malaysia yang sama-sama bernaung di bawah payung Yang Di Pertuan Agong Dan Perdana Menteri 1Malaysia tetapi anih. Anih kerana rakyat yang sama-sama berada dan menyedut udara di tanah air yang sama tidak berpeluang menikmati kemudahan yang mereka berhak ke atasnya, Mereka yang mengenali keadilan dan mengabdikan diri kepada Allah menyedari kekurangan ini dan tempangnya langkah sekatan tersebut dan lain-lain sekatan yang tidak perlu disebut di sini.




Lebuhraya Rakyat yang akan dibina dengan kos sumbangan orang ramai dan juga kerajaan negeri Kelantan ini akan menjadi sejarah tersurat dan tersirat pada masa akan datang, selain daripada itu lebuhraya ini juga mengukir sejarah istimewa bagi rakyat Kelantan dan amnya rakyat Malaysia di mana lebuhraya pertama di Kelantan dibina oleh rakyat bersabit dengan  Kerajaan Persekutuan tidak peduli terhadap hasrat rakyat Kelantan. 
 Beri laluan utk iklan sebentar.


Sekian...Wallahu aklam.

Tuesday, August 7, 2012

Telefon bimbit di bawa ke sekolah.

Salam semua.
Pada masa saya bertugas sebagai guru pada suatu ketika dahulu, pondok telefon pun tidak dibenarkan berada di dalam kawasan sekolah kerana bimbang akan kesan buruknya terhadap disiplin pelajar dan lain-lain, inikan pula hendak dibenarkan para pelajar membawa telefon bimbit ke sekolah tentulah ianya akan mengakibatkan keburukan lebih banyak daripada kebaikan yang kita harapkan.

Sebenarnya untuk membenarkan atau tidak para pelajar membawa telefon bimbit ke sekolah, buat masa ini hal itu masih dalam kajian pihak yang berkuasa, diharap kajian tersebut akan berakhir dengan keputusan   "melarang para pelajar membawanya ke sekolah".

Andainya para pelajar dibenarkan  membawa dan menggunakan telefon bimbit di dalam kawasan sekolah sudah pasti akan mengundang beban tugas yang bertambah kepada para guru yang sedia dibebankan dengan tugas berat sejak dahulu dan sehingga kini belum boleh dikurangkan, sebaliknya semakin tahun semakin membebankan.

Kalau dibenarkan seolah-olah kita meletakkan para pelajar berada di tengah-tengah alam maya dan berada di dalam suasana dua versi iaitu alam nyata/fizikal yang dipagari dan bersempadan manakala  satu lagi alam ialah alam maya tanpa sempadan, situasi ini juga seolah-olah orang dewasa sengaja meletakkan berbagai gangguan kepada para pelajar dengan mengganggu ketenteram yang sedia wujud di persekitaran mereka akhirnya mereka hilang tumpuan terhadap pembelajaran dan pengajaran, telefon bimbit adalah barang bernilai dan berharga, harta benda ini perlu dijaga.

Sekiranya berlaku kecurian atau kehilangan akan melibatkan pihak sekolah yang diberi tanggungjawab menjaga kepentingan dan keselamatan para pelajar dan harta bendanya. Kalau perkara seperti ini berlaku  pihak  guru dan pengurusan sekolah akan terjejas fokus mereka kerana terpaksa melayan beban tugas yang sengaja di bawa masuk dan sebok membereskan  tugas yang baru dibebankan itu. 

Ruang dan peluang  berlakunya kecurian dan kehilangan memang sangat ketara, para pelajar di sekolah biasanya tidak statik di dalam kelas sahaja, sebaliknya ada ketikanya mereka terpaksa meninggalkan bilik darjah bergerak ke padang untuk senaman, ke suray untuk pelajaran amali atau solat, bergerak ke Makmal Sains, ke purpustakaan dan seumpamanya, dalam situasi tertentu telefon bimbit yang mereka bawa ke sekolah itu tidak susai berada di dalam poket atau di badan seperti ketika aktiviti senaman dijalankan dan lain-lain.  

Dijangkakan juga masalah disiplin pun akan bertambah ekoran  telefon bimbit yang sentiasa berada disamping mereka. Aplikasi dan akses yang mampu diaktifkan tidak perlu lagi dijelaskan di sini kerana perkara tersebut adalah sesuatu yang telah pun diketahui umum.
 Untuk halwa telinga.

Sekian...Wallahu aklam.


Monday, August 6, 2012

MPP.ZON. 3. Shah Alam. Bergotong-royong memasak bubur lambuk.(video)

Salam semua.

Ahli Jawatankuasa Majlis Perwakilan Penduduk Zon 3. Shah Alam menganjurkan Program Bergotong-Royong Memasak Bubur Lambuk dan Majlis Berbuka puasa.
Selain untuk hidangan berbuka puasa, bubur lambuk  diagihkan kepada penduduk MPP.Zon 3, melalui wakil surau-surau dan wakil taman.





Sekian...Wallahu aklam.

Friday, August 3, 2012

Mengelakkan sembelit di bulan Ramadan - bersama sisipan video.


Salam semua.
Gambar hiasan
Tulisan kali ini cuma ingin berkongsi pengalaman dan kebaikan. Dalam bulan Ramadan ini ramai orang yang berpuasa merungut bahawa mereka membuang air besar tidak lawas atau berlaku sembelit, mungkin kerana air di dalam badan tidak mencukupi tetapi, masih ada peluang  berusaha untuk mengatasinya, iaitu banyakkan memakan buah-buahan, sayur-sayuran dan minum air, biasanya lebih kurang begitulah nasihat doktor. 

Cuba baca cadangan di bawah ini sambil anda mendengar burdah merdu di dalam video yang sengaja disediakan di bawah artikel ini.

Nasihat dan pesanan Rasulullah.s.a.w. juga tidak kurang kebaikan dan keberkesanannya. Rasul menyarankan kita sebagai umatnya supaya  memulakan berbuka puasa dengan memakan buah kurma atau makanan yang  manis terlebih dahulu sebelum makan makanan yang lain.

Sebaik-baiknya buah kurma itu direndam terlebih dahulu dengan air zam-zam atau air biasa dalam kadar tidak kurang daripada tiga biji kurma dalam segelas air , rendam sehingga ianya kembang atau menjadi lembut  dan minum sebelum makan apa-apa makanan ketika berbuka. Cara ini memungkinkan najis menjadi lembut  terutamanya di bahagian berhampiran pintu keluarnya. Sembelit berlaku kebiasaannya najis yang berada di bahagian tersebut berkeadaan keras menyebabkan susah hendak keluar.

Islam juga menasihatkan umatnya supaya makan sekadar hilang lapar dan ulang makan semula apabila lapar selepas itu, ulangan itu juga sekadar hilang lapar....Insya Allah.


Vedio di bawah ini lebih baik.

Sekian...Wallahu aklam.

Wednesday, August 1, 2012

Rakyat lebih tekun berdakwah kepada kerajaan berbanding kerajaan berdakwah kepada rakyat


Salam semua.
Gambar hiasan
Artikel ini ditulis semata-mata mengikut pandangan secara rambang bukan suatu kajian yang mendalam ianya cuma dapatan daripada pemerhatianku sejak zaman remaja sehinggalah aku kini digelar warga emas, kalau tidak selari dan secucuk dengan pandangan anda abaikan sahaja atau utarakan pandangan lain untuk direnungkan bersama.

Senario. 
Sememangnya perkembangan Islam itu bergerak, bertatih dan pasang surutnya secara perlahan-lahan seperti air hujan mengalir di atas permukaan muka bumi,  kekadang air itu tersekat dengan batas atau tanah yang tinggi dan terpaksa beralih arah pergerakannya tetapi kumpulan air yang datang kemudian keadaannya telah menjadi lebih  tinggi kerana pertambahan air yang semakin banyak dan bolehlah air itu mengatasi tanah tinggi yang menjadi penghalang sebelumnya, air itu pula terus mengalir melintasi batas yang tinggi itu tanpa halangan seumpama proses berlakunya banjir, air mengalir dan terus mengalir tanpa henti,  mungkin air itu tidak mengetahui pun hal keadaan yang dihadapi oleh kumpulan air yang bergerak terdahulu melainkan mereka itu melihat atau diceritakan kembali sejarahnya. Islam datangnya berdagang dan bermusafir, kembalinya juga berdagang dan bermusafir, bergerak dari suatu destinasi ke suatu destinasi sehinggalah ianya berada di dalam dunia global.

Kembali kepada topik yang diutarakan di atas, jika kita mengimbau kembali ke zaman selepas merdeka ( mulai zaman ini yang aku ingat sebelumnya wallahu aklam ) pada zaman ini  sebahagian masyarakat kelas  menengah dan juga kelumpuk atasan yang dianggap berpendidikan, sebahagiannya berpendidikan tinggi,  gaya hidup mereka rata-rata ala barat atau mengikut budaya tinggalan penjajah Inggeris, di antara maksud hidup  ala barat itu ialah mereka mengamalkan minuman arak atau minuman keras di dalam majlis tertentu atau bersendirian di rumah, menganjurkan majlis tari menari ketika menyambut hari lahir, di majlis  jamuan negara, majlis orientasi di kolej-kolej perguruan, universiti  dan seumpamanya. Para pelajar berpakaian seragam yang  tidak menutup aurat, pelajar  lelaki memakai seluar pendek dan bersongkok hitam, perempuan memakai gown singkat, pelajar Islam dan bukan Islam sama sahaja peraturan pakaian seragamnya, peraturan ini  kuatkuasanya tegas, peraturan berlanjutan sehingga tahun akhir 70an atau awal 8oan ( tidak pasti  tarikhnya ). 

Pada tahun 1974 aku masih ingat dan masih dapat  menyaksikan para pelajar perempuan  Tingkatan Enam yang dianggap telah penuh dara atau anak dara sunti pun masih berseluar pendek lagi singkat pula  ketika bersukan,apa lagi para pelajar yang masih muda daripada mereka ini, pada hari sukan mereka berkeliaran di mana-mana di dalam kawasan sekolah dengan berpakaian seumpama itu tanpa dilihat dan merasai janggal bagi mereka yang memilih dan suka kepada cara hidup barat dan para pelajar berkenaan juga selesa begitu, almaklum kerana dididik demikian, bagi mereka yang menegur atau menentangnya dianggap menyalahi peraturan dan tidak moden atau dilabelkan sebagai orang yang berfahaman kolot.

Jamuan yang dihidangkan dengan minuman keras atau arak bukan sahaja jamuan VIP sahaja ianya melarat sehingga ke majlis di sekolah, majlis jamuan sukan sekolah, sambutan jubli intan, jubli perak dan seumpamanya dan juga diamalkan oleh masyarakat biasa, senario minum arak oleh orang Islam yang diregukan dengan kacang atau seumpamanya menjadi pandangan biasa di sesetengah tempat, manakala bank kesemuanya beroperasi berasaskan riba.

Sebahagian rakyat yang memahami dan peka dengan kehidupan cara Islam risau atas perkembangan  ini, tok-tok guru pondok juga merungut berterusan mengenai keburukan ini, sebahagian besar rakyat di kampung-kampung  yang prihatin dan ingin menghayati hidup secara Islam dan ingin selamat di akhirat juga turut risau dengan senario ini, mereka tidak menyimpan wang di dalam bank kerana mengelakkan diri daripada dosa riba, mereka sanggup menyimpan  wang di dalam bantal atau tabung yang diperbuat daripada batang buluh, mereka yang mengambil sikap demikian  diperlekehkan pula oleh sesetengah pemimpin dan menganggap  tindakan mereka itu tidak ekonomik, manakala rakyat  pula dalam diam-diam  marah kepada pemimpin yang bersikap demikian dan menganggap mereka itu jahil dan mahu terus  hidup cara orang Putih yang menuju ke arah keburukan di penghujungnya nanti. Mereka tidak mahu ambil faham akan maksud Islam sebagai cara hidup yang syumul itu. Mereka lebih menjaga cara hidup atau budaya  asing yang sesat itu daripada meningkatkan  kualiti kefahaman Islam di kalangan masyarakat Melayu Persekutuan Tanah Melayu ( kini Malaysia ). Pemimpin menyeru rakyat Melayu Islam supaya menyimpan wang di dalam bank pada ketika itu tetapi sebahagian rakyat pula mempertikaikan sistem yang diamalkan oleh semua bank pada ketika itu, para pemimpin sepatutnya dengan sukarela memikirkan kemungkin menukarkan sistem bank yang halal dan boleh disertai oleh mereka yang menyimpan wang di dalam bantal, tabung buluh dan seumpamanya, kata mereka biarlah kereta api berjalan di atas landasannya dan kenderaan biasa berjalan di atas jalanraya, jangan pula terpaksa menukar tayarnya untuk menyusuaikan diri dengan landasan, tegasnya sebahagian orang Islam tidak rela melanggar hukum Allah, sebaliknya setiap detik mereka berusaha memurnikan kehidupan yang bercampur aduk itu kepada kehidupan Islam yang diredai Allah.
Situasi di atas   hanyalah sebahagian daripada senarionya sahaja.
Gambar hiasan
Dakwah.
Pada zaman itu orang Melayu/Islam di kalangan masyarakat biasa mempelajari Islam di masjid-masjid, surau-surau ( dikenali sebagai madrasah pada ketika itu ) dan di rumah-rumah orang tertentu beroperasi secara berpakat sesama mereka di kebanyakan  kampung, tempat pengajian tersebut adalah  selain daripada pondok dan sekolah-sekolah  Arab yang kurikulumnya memfokuskan kepada pengajian/pengetahuan  Islam dan bahasa Arab, pusat pengajian ini juga diusahakan secara bersendirian atau swasta. Pusat Pengajian/Pengetahuan  Islam atas usaha rakyat inilah yang menjadi nadi dan  peranan penting dalam arena dakwah tanah air.Kebanyakan ustaz-ustaz di sekolah menengah dan rendah adalah hasil didikan sekolah rakyat tersebut, sekolah yang menyediakan kurikulum seumpama itu tidak diusahakan secara bersungguh-sungguh oleh pihak kerajaan,  tidak dinafikan sebahagian sekolah rakyat ini  mendapat bantuan kerajaan tetapi tidak mencukupi dan pernah suatu ketika sekolah-sekolah ini ditarik balik bantuannya, kalau pun wujud sekolah kerajaan hanyalah  sebuah sekolah  bagi setiap negeri yang dikenali sebagai Sekolah Ma'ahad ( sekolah kerajaan negeri ) dan sebuah sekolah dimiliki kerajaan Persekutuan/Malaysia iaitu Kolej Islam Klang. Para dari sekolah-sekolah  inilah juga yang layak ke Universiti Islam atau Fakulti Islam di Universiti Kebangsaan pada peringkat awal dahulu. ( pada masa kini wallahu aklam )

Para pelajar sekolah yang dikenali sebagai sekolah Arab inilah akhirnya sebahagian daripada  mereka  berjaya melanjutkan pelajaran ke luar negara seperti Mesir, Makkah, Syria, Jordan dan lain-lain negara Timur Tengah dan kembali menjadi pendakwah sama ada melalui Pertubuhan Bukan Kerajaan, Jabatan Kerajaan atau melibatkan diri dalam parti politik yang memperjuangkan Islam sebagai cara hidup.Mereka inilah akhirnya berjaya memberi kefahaman Islam sebenar kepada rakyat sehingga mereka ingin menghayati Islam seperti yang dikehendaki. Dakwah ini memberi kesan juga kepada kerajaan, dakwah dari rakyat berlaku secara menyeluruh dan bersepadu, sebaliknya dakwah yang datang dari pihak kerajaan berlaku melalui sektor tertentu sahaja seperti Jabatan Agama Islam Negeri dan Pejabat Zakat, dua jabatan inilah yang masyhur di kalangan masyarakat umum, dakwah Islam tidak disepadukan di dalam setiap jabatan. Pandangan ini merujuk kepada suatu ketika dahulu.


Akhirnya perubahan dan anjakan pun berlaku sama ada di dalam atau di luar kerajaan tetapi ianya bergerak agak perlahan, anjakan itu seperti kita dapat lihat sekarang, di mana sistem perbankan  telah berubah, pakaian seragam sekolah juga turut berubah, perubahan tersebut sudah pasti  hasil atau kesan daripada perubahan pemikiran masyarakat, kemudian menyerap ke dalam institusi masyarakat, maka wujudlah  masyarakat seperti sekarang.


Sekian...wallahu aklam.