Monday, July 13, 2009

Yang mana satu pilihan kalbu

Salam Semua.

Pada pagi ini saya terpanggil untuk menulis sesuatu yang separuh realiti dan fantasi, mesejnya
diumpamakan sebagai cerita rojak, mungkin benar-benar akan menjadi cerita rojak kerana minda ini tidak dapat menumpukan sepenuhnya kepada pokok cerita yang hendak dipersembahkan pada pagi ini kerana tanganku ini asyik menggaru-garu seluruh badan, sejak balik dari bergotong-royong semalam badan terasa seram sejuk seperti hendak demam, mulut sudah mula berkokok kecil dan hidung mengeluarkan cecair yang tidak dikendaki sejak malam tadi, nasib baik malam tadi masih boleh tidur dengan nyenyak tanpa apa-apa mimpi. Agaknya sebelum tidur aku telah memaafkan sesiapa sahaja yang melakukan kesalahan terhadap diriku dan memohon Allah ampunkan diriku kiranya aku ada melakukan kesalahan terhadap orang lain.

Kata kawanku, kita seharusnya banyak memikirkan kesalahan yang kita lakukan terhadap orang lain, barulah kita sentiasa bertaubat atas kesalahan tersebut dan jangan banyak memikirkan kesalahan orang lain terhadap diri kita, cara begitu kita kurang memohon ampun daripada Allah. Tambahnya lagi inilah cara kita menyuci dan membersihkan hati disamping tidak meninggalkan suruhan dan perintah Allah.

Hidup ini adalah musafir katanya lagi, hanya ada dua jalan sahaja yang digunakan oleh manusia, satu jalan yang betul dan lurus, jalan ini akan sampai ke matlamatnya dengan selamat dan satu lagi jalan yang sesat, pengguna jalan ini akan binasa di hujungnya nanti. Namun demikian hak memilih masih ditangan kita.

Kawan saya memberi dua contoh;

Manusia prihatin.
Terdapat seorang Melayu penganut Islam, orangnya bijak,berkrisma,berktrampilan serta sangat prihatin dengan bangsanya, beliau termasuk di kalangan manusia yang boleh digelar pemimpin. Untuk memajukan orang Melayu beliau melibatkan diri di dalam perniagaan berbagai jenis termasuk melibatkan diri di dalam aktiviti bank sehinggalah beliau berjaya dan bergelar orang kaya, mampu pula menyediakan peluang pekerjaan kepada anak bangsanya. Maka ramailah anak bangsanya memberi sanjungan dan hormat kepadanya. Sayangnya kata kawan tadi, Semua kegiatan ekonomi yang beliau ceburi terlibat dengan sistem riba terutamanya bank yang beliau turut serta.
Sekarang katanya orang ini masih hidup tetapi usianya telah lanjut dan usia berbaki semakin pendek dan singkat, telah menjadi tabiat manusia apabila usia lanjut barulah teringat ingin menyemak Al.Quran dan Hadis. Maka bertemulah dengan larangan dan suruhan Allah yang tercatat di dalam Al.Quran dan Hadis. Suatu penilaian kendiri dibuat. Masya Allah aku telah terlanjur. astaghfirullahal-aziim, astaghfirullahal-aziim beberapa kali diulang ucap tanpa disedari apa yang berlaku di sekitarnya kerana tumpuannya padat pada peristiwa yang lalu terutama aktiviti ekonominya.
Titik permulaan hijrah bermula di sini........kawanku itu memberhentikan ceritanya di situ kerana beliau ingin meneruskan cerita mengenai kehidupan seorang lagi sebagai satu lagi contoh untuk panduan dirinya dan juga diriku.

Petani proaktif.
Pada usia mudanya beliau menuntut di salah sebuah sekolah Arab yang terkenal di negerinya tetapi beliau tidak berjaya menghabiskan pengajiannya seperti kekawannya yang lain, berhenti pengajian di Tingkatan 5 tanpa apa-apa sijil, namun begitu bukan berarti mindanya kosong dengan ilmu selama beliau belajar tentulah banyak ilmu pengetahuan Islam yang dikutipnya daripada guru-guru yang kebanyakannya berkelulusan tinggi.

Setelah berusia 23 tahun beliau pun berumahtangga dan mengerjakan sawah yang diberikan oleh ibu bapanya, isterinya juga memiliki beberapa ekar tanah bendang, isterinya juga berpendidikan seperti beliau. kesatuan fikrah memang wujud antara mereka berdua.

Setelah beberapa lama bersawah akhirnya beliau berjaya membeli sebuah lori kecil sebagai alat pengangkutan hasil padinya untuk dibawa ke kilang untuk dijual dan selebihnya mengambil upah mengangkut hasil padi jiran-jiran ke kilang, sekarang beliau mempunyai dua jenis pendapatan dan diuruskannya dengan baik serta tidak lalai menunaikan perintah Allah, zakat dikeluarkan dengan sempurna dan solat ditunaikan tanpa mengabaikannya.

Setelah dua jenis pendapatan ini berjalan lancar, beliau menceburkan diri pula dalam bidang ternakan kambing boer, lama kelamaan kambingnya membiak dan menguntungkan, di tepi bendangnya didirikan pula sebuah pondok kecil di sana ditanam cendawan secara kecil-kecilan yang diawasi oleh isterinya dan pembantunya yang lain. Peniaga pasar tani sering datang membelinya disamping jualan runcit kepada penduduk sekitanya. Orang kampung tidak dapat meneka sekaya mana petani ini kerana kehidupannya yang begitu bersahaja. Sumbangan sedekah kepada masjid dan surau memang sudah menjadi kebiasaan tetapi jumlahnya menjadi rahsia kepada orang ramai hanya beberapa orang sahaja yang mengetahui dan menjadi rahsia mereka pula kerana penderma itu tidak suka menghebohkannya, membayar zakat kepada orang miskin juga menjadi lumrahnya.
Beliau sekarang berada di hujung usia, segala aktivitinya telah diserahkan kepada anak-anaknya, beliau dengan motorsikal Hondanya berulang alik ke masjid setiap waktu, lagi pun rumahnya terletak tidak jauh dari masjid. Setiap kali azan berkumandang di udara pasti didengarinya, bertasbih, tahmid, takbir dan lain-lain wirid memang sudah menjadi kebiasaannya sejak berusia muda lagi. Kehidupannya kelihatan sederhana itu sentiasa selesa dan tenang, disenangi kawan rakan..... demikianlah kawanku menamatkan cerita dan menanyakan aku, jalan yang manakah yang awak hendak pilih kalaulah ini sahaja peluangnya.

Pilihan ini menjadi rahsiaku, bagaimana anda yang mana satu pilihan kalbu ?.


Sekian.Wassalam.

8 comments:

Nl said...

salam Pak Ngah...
menarik... kedua dua cerita tu...
saya suka cerita tentang kehidupan...

hehehe kalau pak Ngah berahsia dengan pilihan maka saya pun ingin berkata biarlah rahsia...

Anonymous said...

Salam Leenoh.

Sesat di pertengahan jalan, datang petunjuk hidayah lalu SEDAR maka kembalilah ke pangkal jalan. Tuhan Maha Mengasihani dan Maha Pengampun ke atas hamba-hamba Nya. KESEDARAN itulah yang membimbing ke arah jalan yang lurus. Jalan yang lurus perlulah ditebas semak samunnya selalu supaya sentiasa lurus.

Mak Su said...

pilih yg naik moto hondalah :)

hari ni saya menceritakan kisah benar :)

Leenoh said...

Salam Zaidi,
Masalah nak tebas semak samun tu la, kekadang semak samun tu depa kata pokok bunga, jadi sayang nak buang, walau macam mana pun kita kena sangka baik, kot-kot suatu hari nanti depa kenai dan dapat beza antara pokok bunga dengan semak samun tu.

Leenoh said...

Salam Mak Su.
Saya pun nak ikut Mak Su, sekarang dah pecah rahsia saya, benda baik mana boleh berahsia kan.

Leenoh said...

Salam Naqeeb.
Tadi Pak Ngah silap, benda baik mana boleh berahsia, Pak Ngah ikut pilihan Mak Su, hehehe.

Anonymous said...

Salam Leenoh.
Betui tu betui...kalau 'bunga' bawa madu takpa, ni 'bunga' tahi ayam beracun disangka madu! Spray dengan Round-up pun tak mati.

Leenoh said...

Salam Zaidi.
Ya, betul semoga kita mendapat " yakinan sodiqa - yakin pada yang benar ".