Saturday, June 27, 2009

Sekadar luahan khazanah lama yang tersimpan di dalam minda.

Hala tuju perlu tepat dan istiqamah.
________________

Salam Semua.

Saya bertugas sebagai seorang guru selama lebih 30 tahun dalam jangka masa tersebut saya menemui beberapa perkara yang dikategorikan sebagai pelik dan anih pada pandangan dan anggapan saya. Saya mempercayai tindakan-tindakan tersebut tidak menguntungkan para pelajar dan negara. Pada saya tindakan itu juga merugikan beberapa aspek kehidupan rakyat Malaysia.

Suatu ketika dahulu.
Cadangan mewujudkan masa pengajaran satu sesi atau Sekolah Satu Sidang ketika prasarana sekolah yang tidak sempurna khususnya bilik darjah yang tidak mencukupi. Cadangan ini dilontarkan kepada umum dan pihak sekolah serta ibu bapa melompat dan melatah kerana terkejut dengan lontaran tersebut, lontaran tersebut sudah tentunya jatuh berhampiran dan menyentuh tanggungjawab mereka. Persatuan Ibu Bapa dan Guru juga tumpang sekaki melompat dan melatah, Mesyuarat atau percambahan fikiran bagi mengatasi masalah kekurangan tempat berkira-kira untuk diadakan kerana cadangan itu masih kabur pada ketika itu maka semua perancangan dibiarkan begitu sahaja. Akhirnya cadangan tersebut tidak bermaya dan lama kelamaan dilupakan begitu sahaja sehingga sekarang. Saya merasakan lontaran cadangan itu hanya membuang masa masyarakat yang terlibat dengan alam pendidikan dan saya juga yakin bahawa cadangan tersebut tidak akan menjadi realiti kerana bangunan yang tidak mencukupi itu mustahil dapat disempurnakan secara "kun fayakuun".

Pada ketika Sekolah Satu Sidang rancak dibincangkan bersamanya timbul pula masalah Pendidikan Islam yang sememangnya telah wujud sistem Sekolah Khas di Johor dan Selangor, maka terpaparlah pula di dada akhbar bahawa sistem tersebut akan diselaraskan di seluruh Malaysia sama ada mengikut sistem yang diamalkan di Johor atau Selangor atau mewujudkan suatu sistem yang baru untuk mengelakkan pertembungan dengan pelaksanaan sekolah satu sidang. Lontaran idea ini juga akhirnya berkubur tanpa nisan.

Pengajaran dan pembelajaran Tilawah Al.Quran;
Pengajaran tilawah (membaca) Al.Quran tidak menunjukkan kemajuan yang sepatutnya atau dalam perkataan lain prestasi atau penguasaan bacaan Al.Quran berada pada tahap yang sangat rendah dengan itu berbagai kaedah dicari dan dikenalpasti , Para guru diberi kursus supaya mereka lebih bijak dan lebih berupaya mengajar para pelajar dan diharapkan prestasi akan meningkat dan melonjakkan pencapaiannya ke paras prestasi yang lebih baik dan menyenangkan semua pihak. Setelah guru diberi kursus berulang kali termasuk kursus Tulisan Jawi. Pencapaian para pelajar tidak juga berubah sama ada dalam bidang tilawah Al.Quran atau bacaan dan tulisan Jawi.

Pasukan yang dianggap mempunyai kepakaran dikerahkan untuk memilih dan menentukan kaedah dan disampaikan kepada guru-guru, tetapi sayangnya tidak ramai yang memikirkan punca masalahnya, itulah perkara yang menyebabkan saya menganggap pelik dan anih. Pada saya kegagalan para pelajar menguasai tilawah Al.Quran dan Bacaan Jawi sebenarnya masa yang diperuntukkan tidak mencukupi dan bilangan pelajar yang ramai di dalam sesuatu kelas. Bukan kerana guru-guru miskin kaedah atau kurang berketrampilan. Guru-guru mempunyi kemahiran dan kaedah yang mencukupi.

Saya mempunyai sedikit pengalaman mengajar beberapa orang dewasa dalam bidang tilawah Al.Quran ini, biasanya proses pengajaran dan pembelajaran mengambil masa bagi satu sidang satu setengah jam dan kekadang sampai dua jam, itupun pergerakannya tidak begitu lancar pada hal yang mengikutinya hanya beberapa orang sahaja dan bertambah pula mereka yang mengikuti adalah orang dewasa.

Apa yang saya hendak tegaskan di sini ialah peruntukan masa yang mencukupi dan bilangan pelajar yang sesuai bagi sesuatu kelas sangat penting kerana inilah di antara faktor yang menjamin pencapaian kejayaan pengajaran dan pembelajaran sesuatu subjek.

Saya juga berpengalaman mengajar tilawah Al.Quran dan tulisan Jawi di sekolah di mana peruntukan masa 40 minit seminggu (untuk Tilawah Al.Quran) bersama jumlah purata 40 pelajar untuk satu kelas, dalam pada itu masa berkualiti mungkin hanya 30 minit sahaja. Baki masa ( 80 minit ) yang diperuntukan digunakan untuk bidang lain pula seperti Aqidah, Ibadat, Sirah Nabawiyah dan lain-lain. Merujuk kepada orang dewasa yang diberi peruntukan masa lebih satu jam pun masih tersekat kelancarannya, kanak-kanak tentulah lebih merumitkan lagi.

Pada masa kecil saya hanya belajar membaca (mengaji) Al.Quran daripada ibu saya sendiri, setiap malam kecuali malam Jumaat mengambil masa 30 minit atau satu jam setiap satu sesi, apabila saya berada di antara umur 9 atau 10 tahun telahpun menguasai bacaan Al.Quan , walaupun masih belum mahir tajwid dan makhraj tetapi telah dapat membaca atau membunyikannya dengan lancar. Begitulah sekiranya guru dapat menggunakan masa yang mencukupi, pengajaran dan pembelajaran akan tercapai okjektifnya. Pada hal ibu saya bukanlah seorang yang mempunyai kemahiran atau mengetahui kaedah pengajaran dan pembelajaran.

Kaedah atau method pengajaran dan pembelajaran amat penting, tetapi, jika peruntukan masa tidak mencukupi dan bilangan pelajar yang terlalu ramai, kaedah yang canggih pun akan menjadi sia-sia sahaja.

Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris bertujuan meningkatkan prestasi atau penguasaan pelajar terhadap Bahasa Inggeris. Ini juga sesuatu yang anih dan pelik pada pandangan saya dan ramai kekawan sependapat dalam hal ini. Cuba kita ingatkan kembali pada zaman sekolah beraliran Inggeris di sekolah yang kita namakan sebagai Sekolah Inggeris . Pada ketika itu semua pelajaran diajar di dalam Bahasa Inggeris kecuali Pendidikan Islam dan Bahasa Melayu. Guru-guru yang mengajar mata pelajaran selain Bahasa Inggeris menumpukan okjektifnya terhadap subjek masing-masing, mereka tidak menghadapi gangguan para pelajar tidak memahami bahasa yang mereka gunakan kerana semua subjek menggunakan bahasa yang sama kecuali subjek yang disebut tadi.

Perkara ini berlaku begitu rupa kerana masa yang diperuntukan untuk pengajaran Bahasa Inggeris mencukupi dan munasabah, para pelajar pula terpilih serta ditambah lagi mereka dapat mempelajari Bahasa Inggeris secara tidak langsung melalui pelajaran lain yang juga diajar dalam bahasa tersebut. Sekiranya pendekatan ini diambil bermakna kita mengabaikan Dasar Pendidikan Negara dan kembali kepada dasar sebelumnya.
Apa yang hendak difokus dan ditumpukan di sini ialah masa pengajaran yang mencukupi perlu dijadualkan untuk pengajaran dan pembelajaran Bahasa Inggeris sesuai dengan Dasar Pendidikan sekarang.

Lemah penguasaan Bahasa Inggeris dan penguasaan Tilawah Al.Quran serta Bacaan dan Tulisan Jawi, sebenarnya berpunca daripada peruntukan masa yang tidak mencukupi dan bilangan pelajar yang ramai bagi tiap-tiap satu kelas. Jika kita mahu berjaya punca masalah perlulah diselesaikan tanpa mengganggui subjek yang lain. Pada saya pengajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris bertujuan mengatasi masalah penguasaan Bahasa Inggeris di kalangan pelajar bukanlah tindakan yang tepat.
Minda kita perlulah difokuskan kepada Bahasa Inggeris bukan subjek yang lain kerana subjek lain itu telah sempurna dan subjek tersebut juga mempunyai wawasan jangka panjang,disamping menunaikan Dasar Pendidikan yang juga mempunyai wawasannya yang tersendiri.

Perkayakan pengajaran dan pembelajaran subjek Bahasa Inggeris dengan menambah masa pengajaran, mengecilkan bilangan pelajar di dalam sesuatu kelas dan lain-lain tindakan yang tidak mengganggu gugat subjek yang lain serta tindakan yang tidak mengabaikan Dasar Pendidikan Kebangsaan.Insya Allah penguasaan bahasa Inggeris oleh para pelajar akan terserlah.

Hal ini perlulah dikembalikan kepada "Jauhari yang sememangnya mengenal manikam"

Sekadar luahan khazanah lama yang tersimpan di dalam minda.

Sekian. Allah Maha Mengetahui. Wassalam.

4 comments:

Anonymous said...

Salam Leenoh.
Terkenang dua aruah tok wan saya yang kedua-duanya juga merupakan guru. Mungkin guru pada zaman mereka dahulu fokusnya lebih kepada mendidik murid dan memegang amanah ibubapa. Guru zaman sekarang lebih mencabar sebab polisi pendidikan kerap berubah. Boleh dikatakan setiap kali menteri bertukar, adalah polisi baru diperkenal dan adalah polisi lama dihapuskan. Guru perlu beradaptasi selaras dengan keperluan semasa sistem pendidikan.
Bukan tugas yang mudah!

Leenoh said...

Salan Zaidi.
Memang betul polisi kerap berubah, setiap perubahan bukan semuanya membawa kebaikan, kekadang perubahan menghalang kematangan.
Sesuatu yang baik dan betul sepatutnya diulang buat dan diteruskan sehingga ke genarasi yang lain. Kalau tanam pokok seharusnya menunggu sehingga berbuah, kalau buahnya baik hendaklah dijaga dan jangan ditebang semata-mata untuk mencari benih yang baru kerana perbuatan seperti itu tentulah merugikan.

Cikgu Ije said...

suka baca artikel pasal cikgu2 ni. ehe.

n setuju dengan semua yg telah dihighlight birukan. yang hitam tu pun setuju gak. =)

Leenoh said...

Salam Cikgu ije.
Dah mula jadi cikgu betul ke ?. atau masih jadi cikgu lakon-lakon lagi... hehehe...kan kena jadi cikgu lakon dulu..yang pensyarah tunggu di belakang tu.
Apapun kena tanamkan rasa suka kepada tugas, insya Allah akan bahagia dengan tugas kita, walaupun kekadang merumit dan menjemukan.