Friday, June 5, 2009

Denda kaedah psikologi yang paling berkesan.

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ


Topik yang baru sahaja berlalu mengisahkan dua makhluk syaitan di kalangan manusia pecah rumah jiran. Pada kali ini kita masih membincangkan hal yang bersangkut paut dengan pecah rumah dan lain-lain salah laku yang menyusahkan kita. Pada pandangan anda mengapakah manusia yang berakal waras boleh melakukan perbuatan tersebut tanpa memikirkan perasaan orang lain dan hak orang lain. Adakah manusia seperti ini tidak ditanamkan nilai-nilai baik yang mampu membezakan di antara hak orang lain dengan hak sendiri. Ataupun nilai-nilai tersebut sememangnya ditanamkan ke dalam jiwa orang seperti ini tetapi kadarnya tidak mencukupi atau kaedah yang gunakan itu tidak betul, menyebabkan nilai-nilai baik yang ditanamkan itu tidak mengakari jiwanya.

Cuba kita lihat dan perhatikan kanak-kanak yang baru belajar merangkak atau berjalan, mereka ini sudah tentulah belum dapat membezakan baik buruk sesuatu sama ada untuk dirinya atau orang lain, jiwa mereka ingin tahu segala-segalanya, mereka akan bergerak mencapai itu dan ini di sekeliling mereka, apa sahaja yang sempat mereka akan memegang, menarik, membuang dan juga memasukkan ke dalam mulut.

Pada ketika inilah ibu bapa bertanggungjawab mendidik mereka supaya tindakan mereka itu diawasi dan dimasukkan ajaran serta didikan, jika ketika ini atau ketika mereka sedang membesar semuanya boleh dilakukan tanpa halangan dan sekatan, maka kanak-kanak seperti ini akan membuat kesimpulan bahawa semuanya boleh dilakukan. Tanggapan ini sebahagiannya melekat di dalam minda sehingga mereka dewasa. Apabila mereka dewasa tindakan yang dilakukan bukan lagi pada perkara yang kecil, sebaliknya merompak, pecah rumah, merempit, meragut dan seumpamanya, walaupun berlaku kerosakan dan kecederaan pada orang lain hasil perbuatan mereka, sedikit pun tidak menyentuh perasaan mereka.

Denda kaedah psikologi yang paling berkesan.
Pada pandangan saya kanak-kanak tersebut hendaklah ditegur dan didenda mengikut kadar yang sesuai dan adil dengan situasinya. Denda hendaklah dilakukan setelah teguran tidak lagi memberi kesan, kita harus ingat bahawa sifat manusia itu adalah kombinasi sifat malaikat dan iblis, teguran dilakukan ditujukan kepada sifat manusia dan malaikat yang ada pada dirinya, setelah tidak memberi kesan, kita bertindak pula kepada sifat iblis yang ada padanya, tindakan ini tentulah tidak lagi teguran, sebaliknya didenda sekadar yang sesuai dan adil seperti yang disebutkan tadi.

Pada suatu ketika dahulu peraturan sekolah tidak menggalakkan para guru melaksanakan hukum atau denda terhadap salah laku pelajar, salah laku hanya disusuli dengan teguran dan nasihat semata-mata, walaupun salah laku telah berlaku berulang kali. Suasanan sekolah dilihat seperti sebuah negara yang tiada undang-undang dan tiada penjara. Keadaan ini berlalu puluhan tahun sehingga sekarang. Sebahagian para pelajar nakal itu sekarang telahpun berada di tengah-tengah masyarakat.

Pandangan ini hanya melalui pengalaman dan pemerhatian semata-mata, sekiranya direnungkan mungkin terdapat kebaikan yang tersisip di dalamnya yang boleh dimanfaatkan.

Sekian. Allah Maha Mengetahui. Wassalam.


No comments: