Friday, June 19, 2009

Sucikan Diri + Sucikan Harta akan Selamat di akhirat.



السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ

Bersyukur kepada Allah Taala kerana masih mengizinkan kita bertemu lagi di laman ini, pada petang ini seperti baiasa saya akan menyiarkan intisari khutbah Jumaat yang telah disampaikan di Masjid Jamek Fastabiqul Khairat, Batu Tiga. Shah Alam.

Di antara intisari yang sempat saya catatkan untuk dimuatkan di laman ini;
(1) Pesanan yang paling utama ; khatib menyampaikan pesanan supaya ahli jamaah mengamalkan sifat taqwa sepanjang masa dan bersyukur kepada Allah, menyentuh firman Allah yang bermaksud.

"Dan bersegeralah kamu kepada ampunan
dari Tuhanmu dan kepada syurga yang luasnya
seluas langit dan bumi yang disediakan untuk
orang-orang yang bertakwa",
Surah Ali Imran (133)

(2) Allah mengurniakan akal fikiran kepada manusia supaya mereka dapat hidup dengan sempurna, dapat memikirkan cara-cara mencari rezeki dan mengumpul harta kekayaan secara yang diredai Allah.iaitu membelanjakan atau menafkahkan harta di jalan Allah. Dalam hal ini Allah menyebutkannya di dalam surah al.Baqarah ayat 262 bermaksud;
"Orang-orang yang menafkahkan hartanya
di jalan Allah, kemudian mereka tidak mengiringi
apa yang dinafkahkannya itu dengan menyebut-nyebut
pemberiannya dan dengan tidak menyakiti
(perasaan si penerima), mereka memperoleh pahala
di sisi Tuhan mereka. Tidak ada kekhawatiran
terhadap mereka dan tidak (pula) mereka bersedih hati".
Surah al.Baqarah (262)

(3) Harta kekayaan yang dimiliki seseorang tidak mempunyai nilai di sisi Allah melainkan diinfaqkan ( dibelanjakan ) dengan betul mengikut perintah Allah di antaranya mengeluarkan zakat dan bersedekah. Harta yang diinfaqkan atau yang telah dizakatkan Allah akan menggantikannya dengan harta yang lain, sekiranya manusia bersyukur Allah akan menambahkan lagi rezeki mereka sama ada di dunia atau di akhirat.

(4) Harta adalah amanah Allah kepada manusia, harta bukanlah milik mutlak seseorang kerana di antara harta itu terdapat hak orang lain, hak anak isteri, fakir miskin dan mereka yang di bawah tanggungan kita yang perlu dinafkahkan.
Firman Allah bermaksud;


Dan pada harta-harta mereka ada hak untuk orang miskin yang meminta dan orang miskin yang tidak mendapat bahagian.
Surat Az.Zuriyat (19)

(5) Islam menggalakkan umatnya mencari kekayaan atau menjadi kaya dengan cara yang betul dan mengikut peraturan Islam, Peraturan mewajibkan zakat menunujukkan Islam menggalakkan umatnya berharta supaya mereka dapat memberi sumbangan kepada saudaranya yang susah melalui pengeluaran zakat dan sedekah.

(6) Janganlah jadi manusia yang menghimpunkan harta tetapi bakhil, sifat ini merupakan sifat orang yang miskin jiwa dan miskin perasaan kemanusiaan. Oleh itu nafkahkan harta seperti yang diperintahkan Allah.
Firman Allah bermaksud;

Orang-orang yang menafkahkan hartanya di malam dan di siang hari secara tersembunyi dan terang-terangan, maka mereka mendapat pahala di sisi Tuhannya. Tidak ada kekhawatiran terhadap mereka dan tidak (pula) mereka bersedih hati.
Surah al.Baqarah (274)

(7) Seterusnya khatib mengingatkan supaya tidak lalai menunaikan kewajipan membayar zakat bagi mereka yang telah cukup syarat-syaratnya, membayar zakat adalah suatu cara menyuci harta dan menyuci diri. Sekiaranya kita abaikan kewajipan tersebut di akhirat nanti kita tidak akan terlepas daripada penilaian dan siksaan Allah.
Firman Allah bermaksud;

"Ambillah (sebahagian) daripada harta mereka menjadi sedekah (zakat), dengan itu kamu membersihkan mereka (daripada dosa) dan menyucikan mereka (daripada segala akhlak yang buruk)".
Surah At.Taubah (103 ).

Sekian, Wassalam.

No comments: