Tuesday, October 5, 2010

Perlembagaan sesuatu parti menjurus pemimpin dan ahlinya beristiqamah pada matlamat yang ditujui.

Salam semua.

Minda saya masih ingin menulis mengenai politik walaupun pengetahuan mengenainya sangat sedikit dan nipis bak kulit bawang. Apa pun saya akan menulis hanya sekadar kulit bawang itulah juga supaya kupasannya tidak melalut dan menyeleweng ke arah lain. Berdasarkan pengalaman yang lalu terdapat juga pemimpin di dunia yang sangat berpengaruh sehingga mindanya itulah seolah-olah menjadi perlembagaan parti, sekiranya ini berlaku sangat berbahaya kepada rakyat dan negara, Untuk mengelakkan ini berlaku parti perlu melazimkan diri melatih dan mendidik ahli-ahlinya supaya memahami perlembagaan parti dan mematuhinya.

Dengan cara tersebut di atas barulah para ahli tidak menjadi pak turut semata-mata, sebaliknya berfikir secara aktif dan kreatif. Pemimpin juga tidak boleh sewenang-wenangnya menyatakan bahawa mereka berjuang untuk itu dan ini tetapi tiada sebaris pun yang dinyatakan secara bertulis dan terancang di dalam perlembagaan parti. Masakan perjuangan penting tidak dinyatakan di dalam perlembagaan parti, situasi ini akan dipersoalkan oleh ahli parti yang cerdik dan bijak.


Perlembagaan sesuatu pertubuhan ialah garis panduan yang mesti dipatuhi setiap ahli sama ada ahli biasa atau pemimpinnya, di dalam panduan tersebutlah perkara yang boleh dilakukan atau dilarang melakukannya dicatat dengan jelas dan nyata, batasannya diwujudkan sebaik mungkin.Biasanya perlembagaan inilah yang berkuasa, kuasanya melebihi kuasa yang dimiliki pemimpin, sebab itulah kekadang terdapat pemimpin yang tersirat agenda dirinya, mereka akan cuba mengelak dari mematuhi perlembagaan dengan alasan yang berbagai-bagai bertujuan mencapai matlamat dirinya yang tersirat di dalam hati.Ada kalanya perlembagaan yang dirasakan menjadi penghalang kepada kumpulannya untuk terus berkuasa akan dibuat pindaan dengan memberi hujah yang kelihatan baik tetapi lazimnya hanya untuk seketika sahaja kerana hakikatnya tidaklah menjadi lebih baik daripada yang asal. Perkara ini akan senang berlaku sekiranya para ahlinya tidak didedah dan dididik untuk memahami perlembagaan .

Kesedaran terhadap perlembagaan parti menyebabkan perlembagaan itu dapat mengawal para pemimpin dan para ahlinya, mereka akan mentadbir dan mengurus berdasarkan kehendak dan garis panduan yang telah ditetapkan oleh parti . Para ahli tidak lagi menjadi pak turut kepada pemimpinnya melainkan para pemimpin yang beristiqamah mematuhi perlembagaan.

Pada hemat saya masyarakat kita masih mengabaikan hal ini.

Sekian...Wallahu aklam.

Jelas dan nyata Pas mengungguli kepimpinan Islam dan semakin mantap.



Salam semua.

Pada hematku.

Sejak zaman remaja sehingga kini sebagai rakyat yang tidak melibatkan diri di dalam mana-mana parti politik atau dalam istilah yang lazim digunakan sebagai orang di atas pagar yang semata-mata menjadi sebagai pemerhati tidak rasmi terhadap perkembangan politik tanah air dan tidak lebih dari itu, Maka penilaian sentiasa
berfungsi terhadap perkembangan semua parti yang aktif sejak tempoh tersebut, kini tersimpul penilaian di dalam hati bahawa setakat ini belum ada mana-mana parti yang lebih ke hadapan menerajui kemimpinan Islam di Malaysia, Parti PAS kepimpinannya semakin berkualiti dan dasar yang termaktub di dalam perlembagaan parti juga semakin islamik dan mampu menyingkirkan unsur tidak islamik yang terbawa-bawa akibat kurang pengetahuan Islam pada suatu ketika dahulu, perkembangannya semakin ke hadapan dan mantap tanpa berundur walaupun menghadapi berbagai rintangan, akhlaknya yang diyakini beramanah dan banyak melakukan kebajikan menyebabkan parti mereka senang mendapatkan derma dan sumbangan serta bantuan berbagai bidang, orang miskin pun sanggup memberi sumbangan dan derma kepada parti yang mempunyai potensi memerintah Malaysia secara yang lebih baik dan bersih, iaitu negara yang belum pernah berlaku perubahan pemerintahan selepas menikmati kemerdekaannya. Mungkin akan menjadi kenyataan pada suatu hari nanti. Manusia hanya merancang tetapi Allah adalah Perancang yang terbaik.

Peribadi pemimnpinnya terbentuk berdasarkan tuntutan perlembagaan parti, di mana mereka terpaksa mengikut kehendak perlembagaan yang dirancang untuk merealisasikan kehidupan Islam yang lebih berkualiti dan madani . Pemimpin tidak berpeluang untuk menggunakan minda peribadi semata-mata. Mereka yang tidak akur dengan kehendak perlembagaan atau kehendak matlamat parti dengan sendirinya akan tersingkir kerana dikira tidak amanah kepada perjuangan parti, terdapat contohnya tetapi tidak sesuai diberi ulasan di sini.

Banyak lagi yang boleh diperkatakan di sini tetapi saya tidak berhajat untuk meneruskan artikel ini, Kiranya rakyat Malaysia boleh berfikir dengan rasional, mereka akan dapat membuat penilaian yang bijak dan adil untuk diri sendiri dan rakyat seluruhnya.

Sebagai rakyat saya berhak membuat penilaian ini sekurang-kurangnya untuk diri sendiri, saya juga berandaian bahawa setengah pemimpin di kalangan parti lain juga mengakuinya tetapi hanya tersirat di dalam hati sahaja kerana menjaga perjuangan dan matlamat politik masing-masing sehingga terpaksa berdolak-dalik untuk melepaskan diri dari mengakui dan mengesahkan kenyataan ini secara terang-terangan.



Sekian...Wallahu aklam.

Saturday, October 2, 2010

Rumah Terbuka...Mencari keredaan Allah atau menyesuaikan diri dengan keadaan.

Salam semua.

Pada suatu ketika dahulu Rumah Terbuka ini akan diadakan oleh pembesar negara atau mereka yang ternama sahaja, diadakan pada setiap perayaan mengikut agama dan bangsa masing-masing, saya tidak pasti budaya daripada mana atau siapa yang memulakannya, yang pasti setiap kali ada perayaan, maka akan adalah Hari Terbuka ini, sama ada Perayaan Hindu, Kristian, Tahun Baru Cina atau Perayaan Islam.

Bagi orang Islam rumah terbuka wujud setiap hari iaitu terbuka untuk sesiapa sahaja di kalangan saudara Islam yang ingin menziarahi rumah mereka bertujuan mengeratkan silaturrahim dan terbuka juga untuk mereka yang bukan Islam, pilihlah mana-mana hari yang disukai untuk menziarahi rumah saudara atau sanak saudara dengan syarat mematuhi adab ziarah bukan sahaja dikhaskan pada hari perayaan sahaja. adat dan budaya ini sangat dituntut oleh Islam.Malah kepada tuan rumah terdapat pula peraturana atau adab menyambut tetamu. Budaya rumah terbuka ini telah mengubah senario ziarah di kalangan masyarakat kita, mungkin juga disebabkan perubahan hidup dan perkembangan ekonomi masyarakat setempat.

Jamuan yang diadakan oleh orang Islam mempunyai aturcaranya yang tersendiri yang dikenali sebagai khenduri. Jamuan khenduri adalah salah satu usaha untuk mendapatkan keredaan Allah iaitu dengan bersedekah melalui jamuan atau memberi tetamu makan percuma, khasnya mereka yang dijemput.Doa tertentu akan dibacakan di dalam majlis tersebut untuk meyakinkan lagi terhadap keyakinan bahawa Allah menerima sedekah mereka dan diaminkan oleh semua yang hadir.Sebelum itu tuan rumah telah pun memasang niat bahawa segala jamuan itu adalah sedekah darinya kepada semua tetamu.Jamuan khenduri ini mempunyai identitinya yang tersendiri, jika dirobek identitinya, maka rosak dan cacatlah matlamat asal untuk mencari keredaan Allah itu. Niat dan aktivitinya perlu selari dengan ajaran Islam . Niat terutamanya hendaklah istiqamah dengan "Lillahi Ta'ala atau kerana Allah Ta'ala".

Kini Rumah Terbuka ini bukan sahaja diadakan oleh orang ternama, malah telah merebak ke tengah-tengah masyarakat biasa yang mana aturcaranya berbeza-beza di antara satu sama lain, ada yang masih mengekalkan budaya khenduri yang boleh diistilah atau dikategorikan sebagai amalan yang digalakkan oleh ajaran Islam.

Apa pun yang kita fikirkan, hendaknya janganlah mengadakan Rumah Terbuka ini kerana disebabkan tekanan mengekalkan atau menjaga status kerana situasi ini akan menyebabkan seseorang itu sanggup berhutang untuk menjayakannya.Bukan kebiasaan Islam berhutang untuk melakukan kerja kebajikan atau sedekah.

Mengadakan Rumah Terbuka ini adalah suatu budaya yang baik , tetapi, hendaklah aturcara yang dipilih dan dipraktikkan itu bersuaian dengan ajaran Islam, disamping wang yang dibelanjakan untuknya dari sumber yang halal, sekiranya aktivitinya bercampur-aduk dengan perkara yang dilarang, maka akibatnya akan mendapat lagha dan sia-sia . Tidak sesuai sama sekali aktiviti yang bercampur-aduk dengan perkara yang dilarang oleh Islam dikaitkan dengan menyambut perayaan Islam seperti Aidil Fitri atau Aidil Adha.

Sekian...Wallahu aklam.


Friday, October 1, 2010

Panduan ringkas Amali Solat.

Salam semua.

Panduan ringkas Amali Solat ini disediakan semata-mata untuk membantu mereka yang sedang berjinak-jinak dengan ibadat solat dan sedang mempelajarinya pada peringkat asasnya. Semoga ianya dapat membantu menambahkan pengetahuan mengenai pelaksanaan ibadat tersebut. Insya Allah.

( Hanya sesuai untuk ulangkaji sahaja pembaca berkenaan hendaklah mengadap guru untuk menghilangkan keraguan mengenainya )
___________________________

Cara menunaikan solat bagi mereka yang belum mahir membaca Al.Quran dan mempunyai ayat hafazan yang masih sedikit di dalam ingatan.

Cara menunaikan Solat Fardu Subuh;


Niat atau lintaskan di hati semasa takbiratul ihram. ( Allahu akbar )
..." Sahaja aku solat fardu Subuh dua rakaat kerana Allah Ta'ala"....

Rakaat Pertama.
Baca surah Al.Fatihah ( Baca kuat - lelaki )

Surah Al.Fatihah.



dan surah Al.Kafirun ( Baca kuat - lelaki ).

Surah Al.Kafirun.


( Qulya aiyuhal kafirun.........).



Rakaat kedua.
Baca surah Al.Fatihah ( Baca kuat - lelaki )

Surah Al.Fatihah.



dan surah Al.Ikhlas ( Baca kuat - lelaki ).

Surah Al.Ikhlas.


( Qulhuwallahuahad.......)
__________________________

Selesai membaca tahiyat akhir di dalam rakaat kedua. maka bolehlah memberi salam.
( Bacaan qunat hanya sunat, jika tidak menghafaznya boleh ditinggalkan )

Mereka yang baru mula memperaktikkan solat dan masih lemah dalam bacaan Al.Quran, mereka bolehlah mengambil panduan ini untuk bersolat bersendirian.Rukun-rukun lain tidak diterangkan di sini, diharap perkara tersebut telah difahami, jika belum, hendaklah mempelajarinya secara berguru kerana penjelasan ini hanya sebagai tambahan sahaja.

Untuk solat Zohor bacaannya perlahan (sir) . Rakaat yang ketiga dan keempat hanya membaca surah Al.Fatihah sahaja, semua bacaan dibaca secara perlahan.Solat Asar juga sama, perkara yang berbeza hanya niat solatnya sahaja.

Solat Maghrib dan Isyak bacaannya kuat (jahr) pada rakaat pertama dan kedua dan baca surah Al.Fatihah perlahan pada rakaat ketiga dan keempat., Solat Maghrib hanya tiga rakaan, manakala solat Isyak empat rakaat.

Selain daripada itu bacaan yang perlu dihafaz ialah bacaan tahiyat dan selawat. Untuk boleh mengerjakan solat hafazlah tahiyat dan selawat itu sehingga ke "wa ala ali Muhammad" kemudian hendaklah menyambung usaha untuk memantap dan mengayakan lagi hafazan di dada.

Peringatan:
Panduan untuk lelaki sahaja.
Solat Maghrib, Isyak dan Subuh dibaca kuat pada rakaat pertama dan kedua, Rakaat ketiga dan keempat dibaca perlahan.
Solat Zohor dan Asar baca perlahan bagi keempat-empat rakaat.

Panduan untuk perempuan.
Semua bacaan di dalam semua solat hendaklah dibaca perlahan sekadar didengari telinga sendiri sahaja.

Sekian...Wallahu aklam.


Solat Istikharah dahulu sebelum membuat sesuatu keputusan yang penting.

Salam semua.

Islam adalah suatu cara hidup yang sempurna dan unggul, ajarannya meliputi dunia dan akhirat, meletakkan dunia sebagai kediaman sementara dan akhirat sebagai kediaman yang kekal, setiap tindak- tanduk manusia yang berakal yang berlaku di dunia akan di nilai di akhirat nanti walaupun tindakan itu sekecil biji sawi sekali pun mahupun lebih kecil lagi kerana Allah itu Maha Melihat dan Maha Mengetahui..

Panduan hidup yang dibekalkan oleh ajaran Islam juga meliputi semua bidang tanpa kecuali bidang-bidang tertentu kerana Allah itu Maha Mengetahui, sehingga ke tandas sekali pun terdapat panduannya, malah memulakan ucapan di khalayak, makan, minum, menziarahi jiran, berjual-beli dan lain-lain semuanya dibekalkan dengan panduan.

Membuat keputusan penting.
Islam menganjurkan umatnya bersolat istikharah sebelum membuat keputusan atau pilihan penting supaya k
eputusan yang dibuat itu tepat dan menguntungkan.

Solat Istikharah hukumnya sunat,dilakukan untuk memohon petunjuk dari Allah supaya keputusan yang dibuat itu tidak menyebabkan berlaku penyesalan di kemudian hari, dikerjakan sebanyak dua rakaat, paling baik ditunaikan ketika kesunyian tengah malam.

Caranya:
Niat ketika takbiratul ihram.
Sahaja aku bersolat sunat istikharah dua rakaat kerana Allah Ta'ala.
kemudian bacalah doa iftitah seperti biasa.

Rakaat Pertama.
Baca surah Al.Fatihah

Surah Al.Fatihah.



dan surah Al.Kafirun.

Surah Al.Kafirun.


( Qulya aiyuhal kafirun.........).



Rakaat kedua.
Baca surah Al.Fatihah

Surah Al.Fatihah.



dan surah Al.Ikhlas.

Surah Al.Ikhlas.


( Qulhuwallahuahad.......)

Selepas memberi salam bacalah doa yang dikhaskan untuk solat sunat ini, di dalam doa tersebut sebutlah urusan yang dipohon petunjuk itu pada tempat yang sesuai ( lihat panduan di bawah ini )


____________________________

Doa selepas memberi salam .

"Ya Allah, aku memohon petunjuk daripadaMu dengan ilmuMu dan aku memohon ketentuan daripadaMu dengan kekuasaanMu dan aku memohon daripadaMu akan limpah kurniaanMu yang besar. Sesungguhnya Engkau Maha Berkuasa sedangkan aku tidak berkuasa dan Engkau Maha Mengetahui sedangkan aku tidak mengetahui dan Engkaulah Yang Maha Mengetahu segala perkara yang ghaib. Ya Allah, seandainya Engkau mengetahui bahawasanya urusan ini (sebutkan urusan yang hendak dilakukan ) adalah baik bagiku pada agamaku, kehidupanku dan kesudahan urusanku sama ada cepat atau lambat, takdirkanlah ia bagiku dan permudahkanlah serta berkatlah bagiku padanya dan seandainya Engkau mengetahui bahawa urusan ini (sebutkan..........) mendatangkan keburukan bagiku pada agamaku, kehidupanku dan kesudahan urusanku sama ada cepat atau lambat, maka jauhkanlah aku daripadanya dan takdirkanlah kebaikan untukku dalam sebarang keadaan sekalipun kemudian redhailah aku dengannya".

( Pada tulisan merah sebutkanlah urusan yang hendak dilakukan itu )

______________________________

Kekadang sesuatu masalah tidak dapat diselesaikan walaupun telah bertanya kawan rakan kerana mereka juga tidak mampu melihat masalah secara hakiki . hanya sekadar membuat andaian sahaja, Namun demikian kita masih mempunyai cara untuk menyelesaikannya, malah caranya adalah yang terbaik iaitu dengan memohon petunjuk dari Allah melalui solat sunat Istikharah.

__________________________________

Sekian...Wallahu aklam.