Wednesday, October 27, 2010

Orang Islam sepatutnya pandai mengambil kesempatan dari perkembangan Teknologi Maklumat (IT).

Salam semua.

Ilmu yang tidak diamalkan umpama pokok yang tidak berbuah.
Saya sering menyebut mengenai minda kritis dan kreatif serta proaktif untuk membezakan di antara mereka yang memahami sesuatu tetapi tidak bertindak sesuatu sesuai dengan pengetahuannya , mungkin rangkaikata ini menyamai pepatah Arab yang bermaksud, " Ilmu yang tidak diamalkan umpama pokok yang tidak berbuah", maksudnya ilmu yang tidak diamal, dimanfaat dan dikembangkan atau disebarkan ibarat pokok yang tidak mengeluarkan hasil atau buahnya, keadaan ini akan menyebabkan kurang manfaatnya.

Sudah tentulah ilmu yang diperolehi seseorang itu datangnya dari orang yang terdahulu,begitulah juga cara saya dan sesiapa sahaja mendapatkan ilmu, di mana rantaian ilmu itu berasal dari Allah jua kerana Allah yang mencipta manusia, selain itu Allah jua yang menyampaikan ilmu itu kepada rasul-rasul-Nya, maka berlakulah perkembangan ilmu itu dari rasul kepada pengikut-pengikutnya dan pengikut-pengikutnya pula disampaikan kepada pengikut-pengikut mereka dan seterusnya perkembangan itu aktif sehingga ke Hari Akhirat kerana berlakunya penurunan ilmu dari generasi ke generasi dan penurunan ini pula berkesinambungan tanpa putus alirannya, sebagai orang Islam ilmu tersebut perlu dijaga dan dipelihara serta dikembangkan supaya ilmu itu tidak putus benihnya serta tidak diselewengkan. Penjagaan dan pemeliharaan itu adalah sebahagian dari dakwah.

Ambillah kesempatan untuk menaja kebaikan.
Orang Islam sepatutnya pandai mengambil kesempatan dari perkembangan pesat Teknologi Maklumat ( IT ) yang sedang aktif dan dimanfaatkan di seluruh dunia pada masa kini. Sejauh manakah kita telah menjana kebaikan dari kemudahan ini dan memanfaatkannya untuk berdakwah atau menyebarkan ajaran Islam kepada penduduk dunia, Setiap orang Islam yang berilmu seharusnya menyedari bahawa terdapat suruhan Allah yang memerintahkan hamba-Nya untuk berdakwah dan menyebarkan ilmu kepada manusia ( bukan sahaja kepada orang Islam ) iaitu ilmu yang membawa manusia ke jalan yang lurus dan benar serta memimpin mereka ke arah kesejahteraan di dunia dan di akhirat ( ketika hidup dan selepas mati ) seperti difirmankan Allah di dalam kita suci-Nya yang berbunyi;

3:104

Bermaksud:
"Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam), dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji). Dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya".
( Surah Ali-Imran : Ayat 104 )

Kemahiran IT.
Orang Islam yang mempunyai ilmu dan juga kemahiran IT ( komputer dan internet ) sepatutnya mengambil kesempatan tersebut untuk menyebarkan ajaran Islam kepada manusia ke seluruh dunia, mereka yang tidak mempunyai ilmu yang tinggi di dalam bidang syariah sekali pun dapat dan mampu melibatkan diri dengan menggunakan teknologi tersebut dengan menyebarkan maklumat yang didapatinya dari saudara Islam yang lain, artikel-artikel dakwah sepatutnya boleh disebarkan dengan bebas tanpa pindaan oleh saudara Islam yang tidak berkemampuan menghasilkannya kerana kebaikan yang disebarkan itu akan berganda ganjaran baiknya.Ibarat kebaikan itu sedang berada di hujung jari menunggu untuk dikembang dan dicambahkan sahaja.

Sekian...wallahu aklam.

No comments: