Saturday, March 7, 2009

Format Minit Mesyuarat ( sambungan 2 ).




ا
لسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ

Hari ini Sabtu (07.03.2009 ) adalah hari cuti umum dan akan bersambung dengan cuti Maulidurrasul iaitu bagi mereka yang masih bertugas di seluruh Malaysia kepada mereka diucapkan selamat bercuti dan berehat bersama keluarga serta selamat menziarahi ibubapa atau sanak saudara.

Pada hari ini , mungkin saya tidak ke mana-mana , jika pun saya berpergian hanyalah di sekitar Shah Alam atau paling jauh ke Kuala Lumpur sahaja, di mana sebahagian besar daripada masa lapang biasanya akan berlalu dan terhapus di dalam dua bandaraya ini sahaja. Sementara ada kelapangan saya mengambil kesempatan menulis Format Minit Mesyuarat ini sebagai penjelasan tambahan untuk dimanfaatkan oleh pembaca blog ini. Format dan penjelasan ini saya petik daripada ( Surat Pekeliling Kemajuan Pentadbiran Awam 1991 ). Sudah tentulah pekeliling ini ditujukan kepada agensi kerajaan dan pegawai kerajaan. Pada saya format ini juga sangat baik untuk menjadi panduan kepada persatuan dengan syarat hendaklah menghormati perbezaannya atau membuat penyesuaian.

____________________
Formatnya adalah seperti berikut.
FORMAT MINIT MESYUARAT


MINIT MESYUARAT....................
( Catatkan nama mesyuarat )

Bil.................. Tahun................

Tarikh :

Masa :

Tempat:

HADIR
( Senaraikan nama ahli-ahli yang menghadiri mesyuarat berkenaan, bermula dengan nama Pengerusi mesyuarat. Susunan nama ahli-ahli mesyuarat yang hadir hendaklah mengikut kekananan ).

HADIR BERSAMA.
( Senaraikan nama-nama pegawai yang bukan merupakan ahli, tetapi dijemput khas untuk menghadiri mesyuarat atau telah turut sama menghadiri mesyuarat berkenaan. Susunan nama hendaklah mengikut kekananan ).

URUSETIA
( Senarai nama pegawai-pegawai yang menjadi urusetia mesyuarat. Susunan nama hendaklah mengikut kekananan ).

1. PERUTUSAN Y.BHG. PENGERUSI.
Ruangan ini mengandungi catatan mengenai perkara-perkara penting yang telah dibangkitkan oleh Pengerusi mesyuarat. Perkara-perkara penting ini tidak semestinya dibangkitkan semasa mesyuarat membincangkan perkara-perkara berbangkit atau semasa membincangkan kertas-kertas kerja atau di akhir mesyuarat.

2. PENGESAHAN MINIT MESYUARAT.
Catatan keputusan minit mesyuarat yang lepas iaitu sama ada disahkan tanpa pindaan atau disahkan tertakluk kepada pindaan-pindaan tertentu.. Jika ada pindaan, menyatakan menyatakan pindaan-pindaan berkenaan.

3. PERKARA-PERKARA BERBANGKIT.
Ruangan ini mengandungi catatan mengenai perkara-perkara yang dibangkitkan di dalam mesyuarat yang lepas.
Tajuk utama perkara-perkara yang dibincangkan hendaklah dicatatkan. Untuk memudahkan rujukan dibuat. muka surat dan perenggan minit mesyuarat yang lepas yang membincangkan perkara yang sama hendaklah dicatatkan.
Jika perkara-perkara berbangkit itu masih memerlukan tindakan, catatkan juga agensi atau pegawai yang perlu mengambil tindakan.

4. PERBINCANGAN KERTAS-KERTAS KERJA.
Bagi mensyuarat-mesyuarat tertentu, beberapa kertas kerja dibentangkan untuk perbincangan. Perkara-perkara yang perlu direkodkan di dalam ruangan ini ialah:

(a) Tajuk kertas kerja berkenaan;
(b) Agensi yang menyediakan kertas kerja berkenaan;
(c) Tujuan utama kertas kerja disediakan;
(d) Isu-isu penting yang dibangkitkan di dalam kertas kerja berkenaan;
(e) Pandangan/komen ahli-ahli mesyuarat berkenaan isu-isu yang dibangkitkan di dalam kertas kerja berkenaan; dan
(f) Keputusan mesyuarat mengenai isu-isu yang dibangkitkan serta tindakan-tindakan susulan diambil seterusnya.

5. HAL-HAL LAIN
Ruangan ini merekodkan perkara-perkara lain yang dibincangkan di dalam mesyuarat, yang peda mulanya tidak termasuk di dalam agenda mesyuarat.

6. PENUTUP
Ruangan ini merekodkan perkara-perkara seperti:
(a) Bila mesyuarat itu tamat atau ditangguhkan.
(b) Ucapan terima kasih daripada Pengerusi mesyuarat; dan
(c) Catatan mengenai tarikh mesyuarat akan datang jika tarikhnya telah ditentukan.
Urusetia.
( Catatkan nama agensi/bahagian/unit yang bertanggungjawab dalam mengurusetiakan mesyuarat ).

Tarikh
( Catatkan tarikh minit mesyuarat berkenaan disediakan )

Format Tamat.

_________________________________

Ulasan Penulis .

(1) Di dalam format ini tidak disebutkan mengenai tandatangan, mengikut fahaman penulis minit mesyuarat tidak perlu ditandatangani, mungkin kerana minit mesyuarat adalah tanggungjawab ahli-ahli mesyuarat yang tercatat kehadiran mereka pada hari tersebut dan merekalah juga yang akan mengesahkan minit berkenaan. ( bukan tanggungjawab individu ) bukan disahkan oleh sesiapa dan tidak ditandatangani.( proses pengesahan minit mesyuarat berlaku di dalam mesyuarat ).

(2) Terdapat sedikit kelainan atau perbezaan di antara pentadbiran persatuan dan pertadbiran awam ( kerajaan ). Agenda mesyuarat persatuan selepas perkara berbangkit akan diikuti dengan MENERIMA DAN MENGESAHKAN LAPORAN KEWANGAN YANG BERAKHIR PADA..............

(3) Hanya di dalam mesyuarat khas sahaja biasanya tiada agenda" menerima dan mengesahkan Laporan Kewangan yang berakhir pada.................. ".

(4) Kuasa ketua jabatan juga adalah berbeza dengan kuasa pengerusi persatuan, ketua jabatan perlu merujuk dan patuh kepada Perintah Am kerajaan manakala pengerusi persatuan cara pentadbiran dan pengurusannya perlu merujuk dan patuh kepada peraturan atau perlembagaan persatuan.

________________________________________


Sekian, Allah Maha Mengetahui. Wassalam.
__________________


Respon Pembaca.

Anonymous Anonymous said...
assalamualaikum saudara,

saya ingin menanyakan kepada saudara mengenai format minit mesyuarat.

mohon saudara untuk memberikan perbezaan antara minit mesyuarat yang dibuat dalam kotak dan minit mesyuarat yang dibuat secara huraian.

juga kalau boleh mohon saudara untuk menunjukkan contoh minit mesyuarat yang dibuat dalam format kotak yang mengandungi 3 kolum iaitu "Bil/Perkara/Tindakan".

terima kasih.
"urus setia mesyuarat"
April 16, 2009 9:40 PM
Delete
Blogger Leenoh said...
Salam,
Terima kasih kerana anda memberi respon , di antara format berkolum atau tidak berkolum isinya tiada perbezaan , cuma kedudukannya sahaja berbeza, Saya menegaskan di dalam entri yang telah lalu bahawa format yang digunakan Jabatan Perkhidmatan Awam tidak menggunakan kolum iaitu ditulis turun ke bawah, format inilah sepatutnya diikuti oleh semua jabatan termasuklah sekolah kerana JPA adalah induk bagi semua jabatan kerajaan.

Format berkolum;
Kolum pertama ialah bilangan,no.1 bagi agenda pertama dan seterusnya, kemudian di buat nombor pecahan misalnya 1.1, 1.2, 1.3 dan seterusnya.
kolum kedua ialah butiran seperti Ucapan aluan pengerusi: kemudian diikuti butiran ucapan di bawahnya.
Kolum ketiga ialah Tindakan, jika catatan butiran di dalam memerlukan seseorang membuat tindakan, maka di kolum ketiga itu ditulis nama orang tersebut.

Untuk maklumat kolum atau ruangan yang pertama bersaiz kecil dan kolum kedua paling besar kerana banyak butiran yang diisikan di sini dan ruangan atau kolum ketiga sederhana kecil.
Maaf saya hanya mampu menerangkannya sahaja di sini kerana saya tidak pandai mengaplikasikan kolum tersebut di ruangan ini.
Sekian.

April 17, 2009 3:22 PM
Delete

Tuesday, March 3, 2009

Berakit-rakit ke hulu, Berenang-renang ke tepian.


السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ


Berakit-rakit ke hulu.
berenang-renang ke tepian.
Bersakit-sakit dahulu.
bersenang-senang kemudian.

Puisi dalam bentuk pantun ini sekali lagi menarik perhatian saya untuk menulis mengenainya sekadar meluahkan kefahaman saya berkaitan kualiti pantun dan nasihat yang terkandung di dalamnya. Sekiranya anda mempunyai pandangan lain mengenainya atau ingin menambahkan kekurangan, anda dialu-alukan membuat ulasan di ruangan yang disediakan sebagai pandangan kedua.
Pantun ini tergolong di dalam golongan pantun yang terbaik, ianya sangat cantik dan indah, setiap baris mengandungi 8 sukukata, perkataan pertama memppunyai rentak yang sangat menarik sebagai contoh, berakit, bersakit, berenang, bersenang, perkataan kedua rakit,sakit, renang, senang. manakala perkataan ketiga hulu, dahulu, tepian, kemudian. sifat-sifat inilah menarik perhatian dan menyebabkan saya rasa kagum terhadap penggubahnya yang begitu kreatif dan berbakat seni yang amat tinggi dan patut dipuji.

Berbalik kepada maksud yang tersirat dan tersurat di dalam pantun ini kita dapati pantun ini adalah pantun nasihat iaitu supaya kita sanggup bersusah payah terlebih dahulu melalui ungkapannya bersakit-sakit dahulu, sakit bermakna susah dan payah atau kesusahan dan kepayahan, kemudian diikuti bersenang-senang kemudian, maksudnya setelah berusaha bersungguh dan melalui kesusahan dan kepayahan, akhirnya usaha tersebut berjaya mencapai atau mengutip hasilnya, setelah berjaya mencapai hasilnya barulah kesenangan pun dapat dikecapi dan dinikmati.

Demikianlah nasihat yang berhikmah dan berhemah tinggi yang disampaikan oleh penggubah puisi ini kepada anak bangsanya .

Pengajaran yang boleh dipetik daripada pantun ini adalah seperti yang diungkapkan di bawah ini:
Untuk mencapai sesuatu kejayaan kita hendaklah sanggup bersusah payah terlebih dahulu kerana akhirnya insya Allah akan berjaya jua.

__________________________

Ulasan anda dimunafaatkan.

Blogger PJ selamba said...
tu la kan
indah sekali pantun tu
saya pun perasan
pantun paling sempurna
hehe

buah cempedak di luar pagar
ambil galah tolong jolokkan
jgn jolok sarang tebuan

March 3, 2009 9:57 PM
__

Leenoh said...

Buah cempedak di luar pagar.
Ambil galah tolong jolokkan.
Saya budak baru belajar.
Kalau salah tolong tunjukkan.

Pantun ini juga tergolong yang terbaik,antaranya terkandung 9 sukukata dalan sebaris he he he, macam pengulas pula.

Pak Ngah ada masa lapang, jadi tulis saja apa yang terlintas , asalkan yg memberi faedah.

March 3, 2009 10:17 PM
_________________

Blogger KUNTONG said...
Pantun ini pantun orang muda macam PJ Slamba:

Anak itik di tepi laut,
mati seekor di pohon sena;
Kalau hati sudah terpaut,
Makan tak kenyang,tidur tak lena.

March 4, 2009 1:06 AM
___

Leenoh said...

Sdr.Kuntong.
Saya tidak pandai berpantun tetapi saya berminat dengan pantun ini, walaupun senikatanya tidak dinyanyi atau dilagukan.
Mungkin Kuntong masih ingat semasa kerajaan melancarkan program Bulan Bahasa dulu , iaitu untuk menerapkan bahasa jiwa bangsa, di sana diadakan majlis pertandingan berbalas pantun, saya dengan kekawan selalu hadir majlis ini, hadir sahaja tidak pernah ambil bahagian.
Berbalik kepada pantun, Anak itik di tepi laut, memanglah saya pun dok tunggu PJ Selamba berpantun, dia malu kot hehehe.
Macam mana PJ Selamba kalau cuba lagi satu pantun, tapi jangan sekerat jalan sahaja.kalau macam ini pun ok kot.

Duit belanja cukup sudah.
Baju Melayu dalam almari.
Makan semeja pun sudah.
Bertunang sahaja belum lagi.

Nampaknya ulasan kali ini menjurus tepat kepada tajuk, menyeronok dan menyukakan, terima kasih.
Wassalam.

March 4, 2009 7:15 A

__________________

Blogger zaidi ali said...

Salam Tuan Tanah,

Secara pemahaman kasar, 2 baris awal tiada membawa sebarang makna atau nasihat. Ianya merujuk kepada perbuatan dan bertujuan semata-mata untuk mencantikkan keseluruhan pantun. Secara kasar juga difahami 2 baris akhir itulah yang menasihat iaitu perlu bersusah-payah dahulu sebelum senang.

Sekiranya diteliti betul-betul dari sudut pantun nasihat, 2 baris awal itulah sebenarnya yang paling banyak mengandungi nasihat yang tersirat!

"Berakit-rakit ke hulu" menggambarkan:-
1)kejayaan yang tidak dapat dibayangkan nikmatnya terletak di hulu sungai sebab hulu itu jauh di pedalaman dan tidak dapat dilihat semasa berada di tengah sungai. Setelah selesai menempuhi sungai yang berliku-liku barulah ia mula kelihatan. Bukannya mudah untuk berakit ke hulu sungai kerana melawan arus deras yang kebiasaannya bergerak laju dari hulu ke hilir. Ianya merujuk kepada usaha yang bertungkus lumus,tidak takut gagal (rakit tertangkup ke belakang dan tenggelam), berani melawan arus (melakukan perkara yang orang lain tak buat), tidak kenal jemu (sedepa ke depan bila ditolak arus patah balik ke belakang dan ulang semula) dan tidak mustahil dilakukan (mungkin boleh berjaya) jika berusaha. Juga menasihat kita supaya meletak wawasan untuk berjaya menentang arus di mana matlamatnya ialah kejayaan hakiki yang berada di hulu sungai. Kejayaan hakiki di hulu juga sesuai dengan fitrah kejadian alam iaitu sesuatu yang sempurna kejadiannya bukannya senang-senang boleh diperolehi.

2)bila sampai ke hulu bermakna kejayaan hakiki telah kita kecapi dan semestinya kita perlu ingat susah payah dan risiko yang terpaksa dilalui dahulu sebelum kita berjaya. Juga menasihati supaya kita ingat asal kita yang sebelum ini orang susah (orang kaya guna perahu atau sampan untuk melawan arus).

3) "Berenang-renang ke tepian" menggambarkan:-
Sekiranya kita hendakkan kejayaan yang telah nampak di depan mata (kita dapat lihat apa yang sudah tersedia di tepi sungai sebab jarak antara tengah dan tepi sungai dekat sahaja) maka tak perlulah kita bersusah payah berakit ke hulu. Cukup sekadar berenang-renang sahaja dan tidak melawan arus ke arah tepian. Jarak renangan juga dekat dan semakin hampir ke tepian semakin cetek airnya maka kuranglah risiko.

4) Bila sampai ke tepian kita juga kecapi kejayaan tetapi sekadar kejayaan kecil yang telah kita duga (nampak dari tengah sungai). Kita juga kurang hargai kejayaan ini kerana mudah sangat diperolehi secara usaha bersahaja (berenang-renang merujuk kepada keadaan renangan secara santai).

2 baris akhir hanya merupakan kesimpulan terus dari nasihat-nasihat yang ingin disampaikan pada 2 baris awal) dan tiada mengandungi sebarang makna tersirat. Kesimpulan terus sekiranya 2 baris awal tidak berdiri ialah perlu berusaha walaupun dengan cara yang menyusahkan untuk mengecapi kejayaan yang berpanjangan.

Nota:
2 baris awal jika berdiri dengan sendiri tanpa 2 baris akhir hanya membayangkan perbuatan yang sia-sia tanpa kesimpulan.
2 baris akhir sekiranya berdiri sendiri tanpa 2 baris awal hanya menyimpulkan nasihat tanpa kekuatan penekanan.
Setelah bercantum 4 baris barulah menampakkan kekuatan setiap baris dan maksud tersirat. Begitulah indahnya bahasa Melayu jiwa bangsa.

Pengulangan perkataan juga membawa penekanan berbeza:
"Berakit-rakit" bermakna kesusahan yang berulang disebabkan perbuatan merakit yang memenatkan.
"Berenang-renang" bermakna berenang secara santai sebab berenang adalah perkara yang menyeronokkan kepada mereka yang pandai berenang.
"Bersakit-sakit" bermakna kesusahan yang berulang dan sesungguhnya menyakitkan.
"Bersenang-senang" bermakna kesenangan yang berulang dan berpanjangan.

Eh..macam nujum Pak Belalang lah pulak!

Zaman globalisasi ni lain pula...
Bersenang-senang dahulu berbelanja dengan kad kredit, bersusah-susah kemudian bila nak melangsaikan hutang!!

March 4, 2009 3:06 AM

_____


Leenoh said...

Kata Zaidi Ali;
Zaman globalisasi ini lain pula....
Bersenang-senang dahulu berbelanja dengan kad kredit.
Bersusah-susah kemudian bila nak melangsaikan hutang !!
Suatu penyudah yang baik dan berkesan.

Sdr.Zaidi ali telah melengkapkan ulasan dan memantapkan lagi penjelasan mengenai pantun tajuk entri kali ini,
Suatu ulasan yang menjurus dengan tepat kepada tajuk yang dikemukakan, ulasan seperti ini menambahkan ilmu dan pengetahuan pembaca khasnya saya sendiri.
Makna tersirat di dalam pembayang diulas dan dikupas,
penyampaian mesej melalui puisi memang tidak syak lagi ianya berkesan sekali, begitu juga melalui simpulan bahasa,perumpamaan dan lain-lain.
Ulasan Zaidi Ali lengkap dan boleh dibuat panduan.Terima kasih di atas respon yang sangat berguna itu.
Wassalam.

March 4, 2009 7:46 AM
____________________

Blogger Dee said...

kalau ada jarum yang patah
jangan disimpan di dalam peti
kalau ada silap dan salah
jangan disimpan di dalam hati

wah..boleh x dee berpantun leenoh..tp pantun lama mmg amat bermaknakan..

March 4, 2009 12:25 PM


___________

Delete

Blogger Leenoh said...

Macam majlis pertandingan berbalas pantun lak.

sukanya aku hehehe........

Pergi Keramat menaiki rakit.
Di atas rakit bersama nyonya.
Gigi dengan lidah lagi tergigit.
Inikan pula di alam maya.

Berbeza pendapat boleh sahaja.
Silaturrahim sama-sama kita jaga.
Jangan diputuskan sampai bila-bila.
Barulah menjadi penghuni syurga.

Wassalam.

March 4, 2009 12:54 PM

__________________

Blogger Nurhani Salwa Binti Jamaluddin said...

Sebab kita dalam suasana Maulid Nabi, saya nak pantun jugak:-

12 Rabiulawal tanggal kelahiran
Nabi Muhammad Rasul penamat
Selawat dan salam ke atas junjungan
Mudah-mudahan mendapat syafaat

March 4, 2009 1:17 PM

________

Delete
Blogger Leenoh said...

Ilmu di dada disimpan jangan.
Baik ditablighkan kepada sesiapa.
Supaya ramai kasihkan junjungan.
Barulah berkat hidup Salwa.

Hai sukanya berpantun.......
terima kasih atas respon.

Wassalam.

March 4, 2009 1:24 PM

_________________________

Blogger ManSaari said...

Minta laluan dan salam ingatan.

Jika dilurut padi masak
Jatuh ke tanah berderai-derai
Jika takut dilambung ombak
Tidaklah kita berumah di pantai.

March 4, 2009 4:36 PM

__________Delete


Blogger Leenoh said...

Inilah sahabat kutunggu-tunggu.
Anak kelahiran kampung Gelam.
Di dada tersirat tersimpan ilmu.
Mendidik watan siang dan malam.

Mengapa singkat masa bicara,
Bukankah kita sukar bertemu.
Masihkah menyurat di media massa.
Menyebar berita suburkan ilmu.

___________________________

Delete
Blogger Zaidon said...

Salam buat Pak Ngah.. wow bestnya semua berbalas pantun, ni yng 'jeles' ni, saya pun nak berpantun jugak..

Pucuk pauh delima batu,
Anak sembilang ditapak tangan,
Sungguhpun kita ni jauh berbatu2,
Dgn berblog rasa macam sembang depan2..
sekian..

March 5, 2009 1:13 AM

_________

Delete
Blogger Leenoh said...

Melalui blog semacam berdepan.
Pagar maya hanya berjauhan.
Khenduri nanti sampailah jemputan.
Kacaknya teruna barulah kelihatan.

Menuju ke Puchong dari Shah Alam.
Singgah sebentar di Batu Tiga.
Khenduri dibuat bukannya malam.
Gagal berjalan kita berkereta.

Semuanya Allah yang memantau.
Baik di laut atau di daratan.
Walaupun di blog hanya bergurau.
Kekadang boleh menjadi kenyataan.

Berpantun di blog mengasah minda.
Baik pesara mahupun masih bekerja.
Mendaulatkan lagi Bahasa Jiwa Bangsa.
Supaya tidak pupus ditelan dek masa.

...... Wassalam.........

March 5, 2009 7:37 AM

_____________________________

Blogger Ibnurashidi said...

Salam..

Banyak pantun yang memberi nasihat berguna sebenarnya..terkadang kita tak perasan.

March 6, 2009 10:56 PM

Delete
Blogger Leenoh said...

Salam Ibnurashidi.

Puisi dahan dan bunga bahasa.
Manakala pantun ibarat rantingnya.
Kedudukan prosa, pohon dan akarnya.
Itulah teras bahasa jiwa bangsa.

March 7, 2009 8:10 PM

____________________________

Sekian. Allah Maha Mengetahui. Wassalam.


Manusia berpegang pada cakap, kerbau berpegang pada talinya



السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ



Sekali lagi pada entri ini kita sama-sama merenungi dan mendalami serta menyelongkar apakah yang tersirat dan tersurat di dalam ungkapan yang terungkap di atas. Ungkapan yang diwujudkan oleh datuk nenek kita pada zaman dahulu adalah berdasarkan pahit manis yang menjadi pengalaman di dalam kehidupan harian mereka.

Manusia berpegang pada cakap.
Ungkapan " Manusia berpegang pada cakap, Kerbau berpegang pada talinya " ungkapan ini membawa maksud bahawa dalam proses kehidupan manusia di dalam apa bidang atau urusan sekalipun mereka berpegang pada cakap atau janji yang dimeterai samada dengan lisan atau bertulis. Sekiranya janji tidak dipatuhi maka rosaklah segala urusan yang telah diatur dan dirancangkan.Samada urusan kecil di dalam rumahtangga dan urusan sederhana di peringkat negeri atau urusan besar di peringkat negara.

Jika ditakdirkan manusia tidak lagi patuh kepada cakap dan janji mereka, maka rosak dan pincanglah kehidupan masyarakat tersebut. Kesusahan dan kesengsaraan itu akan kembali kepada masyarakat manusia itu sendiri. Sebab itulah mungkir janji itu dianggap sebagai suatu perbuatan yang hina dan wajib dikutuk dan dicegah.

Kerbau berpegang pada talinya.
Kerbau berpegang pada talinya. Maksudnya untuk mengawal kerbau daripada mencerobohi tanaman dan lain-lain. Kerbau akan ditambat oleh manusia dengan menggunakan tali yang sederhana panjangnya kerana memberi peluang kepadanya beredar dan meragut rumput di sekeliling atau sejauh jangkauan tali yang digunakan itu. Setelah ditambat maka bolehlah manusia mengharapkan tanaman mereka tidak dicerobohi, jika tali yang ditambat tadi terputus tanaman manusia tidak akan terjamin lagi keselamatannya, oleh itu manusia hendaklah menggunakan tali yang kuat dan diyakini serta dipercayai tidak akan putus dengan kudrat yang ada pada kerbau tersebut.

Ungkapan ini melibatkan semua orang samada suami dan isteri, ibubapa dan anak, pelajar dan guru, pemimpin dan rakyat, rakan dan rakan, pekerja dan majikan, peniaga dan pelanggan dan seumpamanya.

Kebelakangan ini telah berlaku berbagai peristiwa pelanggaran terhadap ungkapan ini.
Sebagai contoh pelajar asrama dibuli oleh pelajar yang lebih kanan hanya dengan sebab yang kecil sehingga menyebabkan peristiwa tersebut heboh dan diperkatakan di seluruh negara.

Apakah arti semuanya ini. Adakah perbuatan tersebut menunjukkan telah ramai para pelajar sekarang tidak lagi berpegang pada cakap, tidak berpegang pada cakap ibubapa mereka, mereka juga telah mungkir janji dengan guru, asrama, sekolah dan masyarakat.

Apakah sebenarnya punca gejala ini sehingga tergamak berlaku di dalam masyarakat pelajar, adakah ianya berlaku kerana kreatif dan proaktif mereka sendiri ke arah keburukan dan kemungkaran tanpa dipengaruhi oleh kehidupan orang dewasa, ini cuma satu contoh, banyak lagi contoh yang lain, adakah orang dewasa tidak terlibat dengan perbuatan buruk seperti itu atau adakah orang dewasa tidak mungkir janji atau mungkinkah anak-anak muda telah melihat berulang kali perbuatan buruk ini dilakukan oleh orang dewasa dan mereka hanya menirunya sahaja. Persoalan ini perlu dikenalpasti sekiranya gejala itu hendak dikurangkan. Kita tidak mungkin membersih dan membasuh kekotoran dengan menggunakan air yang juga kotor.

Pendidikan bukanlah suatu pekerjaan atau tugas yang mudah, ianya bukan hanya sekadar menyampaikan maklumat kepada para pelajar atau anak-anak muda tetapi pendidikan memerlukan contoh dan persekitaran yang baik dan bersih daripada segala keburukan, kepincangan dan kemungkaran.

Masyarakat yang berakhlak tinggi sahaja yang berjaya menerapkan pendidikan yang sempurna kepada anak-anak muda mereka. Jika kehidupan masyarakat tempang pendidikan akan berjalan umpama " ketam mengajar anaknya berjalan betul".

Ini adalah suatu pandangan. Tiada bumi yang tidak ditimpa hujan, tiada manusia di dunia ini yang sempurna, setiap manusia memerlukan di antara satu sama lain dan memerlukan kerjasama seperti anggota badan, sekiranya kaki merasai sakit maka seluruh badan akan merasainya dan bersama-sama tidak tidur malam.

_________________________


MASYARAKAT ADALAH PENDIDIK KEPADA ANAK MUDANYA.

_________________________

Ulasan anda dihargai.

Blogger izan said...

leenoh,

kengkadang... ye lar kita ni manusia biasa. kadang2 ada masalah yang menimpa atau halangan2 yang terpaksa ditempuh membuatkan manusia tidak dapat berpegang pada kata-katanya sendiri.... haaa cheq leenoh.. jgn cepat menghukum orang lain... eheh.. terasa ker "aku" ni..hihihi..

March 3, 2009 1:28 PM

Delete

Blogger Leenoh said...

Salam Izan,

Saya bukan mengata atau menyindir orang lain, mungkin saya tidak pandai menulis menyebabkan orang lain tersalah tafsir.
Saya menggambarkan apa yang berlaku di dalam masyarakat termasuk saya sendiri berada bersama masyarakat, saya sendiri tidak terkecuali.
Para pelajar dan anak muda sama seperti kita, mereka tidak menutup mata mereka apabila berlaku sesuatu di dalam masyarakat samada baik atau jahat mereka menyaksikannya, kalau kita menyediakan perkara baik, maka baiklah yang mereka lihat.
Ungkapan itu mengena pada semua orang, kita tidak maksum kita hanya mampu menghuraikannya sahaja tetapi tidak jamin untuk mematuhi semuanya.
Tetapi, kalau kita mahu masyarakat kita berakhlak baik maka kenalah kita ingat-mengingat antara satu sama lain, kalau kita menunggu sehingga kita bersih segalanya , sudah tentu tiada siapa yang akan mengingatkannya kerana semua orang ada melakukan kesalahan.
Huraian saya mengenai ungkapan ini saya merujuk kepada ungkapan dan kepada kehidupan masyarakat kita kini dan membuat penyesuaian supaya akur dengan kehendak ungkapan tersebut.akhirnya sama-sama kita membuat renungan untuk kebaikan bersama.
Saya bercakap secara umum., tidak menghukum sesiapapun, sebagai contoh. periuk buruk dan besi buruk yang diletakkan di belakang rumah pun sudah tidak selamat pada zaman ini. Tinggal bersendirian di rumah juga rasa gerun apabila mendengar ada di antaranya telah dirompak dan diikat kaki tangannya.
Perkara-perkara seperti ini akan menjadi sumber pendidikan ke arah yang tidak baik kepada anak-anak dan anak muda kita.
Apapun saya rasa sangat gembira di atas respon yang diberikan.
Itu hanya pandangan sahaja tentu ada lagi pandangan yang lain yang lebih baik....hai jangan terasa...
ambil yang elok-elok sahaja, yang tidak elok buang sahaja.... ok.... saya pun dah kehabisan modal....hehehe
Wassalam.

March 3, 2009 2:08 PM

________________________

Delete
Blogger Mak Su said...

saya mencuba utk memastikan supaya org boleh pegang ckp saya, jadi saya memilih utk kurangkan berckp.

March 3, 2009 2:21 PM

Delete

Blogger Leenoh said...

Salam Mak Su,
Topik saya pada kali ini, ialah menghuraikan ungkapan atau pepatah yang tersebut pada permulaan entri.
iaitu mengenai percakapan atau perjanjian serta sentuhannya dengan pendidikan.
Beberapa andaian disebut dan cadangan serta pandangan ditunjulkan secara tidak langsung untuk dirunungi atau diberikan pandangan kedua oleh pembaca.
Mak Su mengambil sikap kurang bercakap dalam hal-hal tertentu adalah amat baik dan mengurangkan kesilapan.Tetapi dalam hal menyebarkan kebaikan dan melarang kemungkaran pula memerlukan percakapan dan penjelasan.
Sikap Mak Su sesuai dengan keadaannya.
Saya sengaja memberi respon balik dengan panjang lebar kerana semat-mata ingin bersembang-sembang dan bersantai-santai manfaat sahaja.
Apapun terima kasih di atas respon yang diberikan.
Wassalam.

March 3, 2009 3:05 PM

Delete

Blogger PJ selamba said...

salam,
hmm...
camne lak pandangan pak ngah tentang perkara ni:

1. org kata pelajar skrg ni makin manja (byk laporan polis pelajar kena hukum cikgu)
2. sains dan matematik dlm bahasa inggeris

ok tu je...

p/s: cam kenal je gambar sekolah tu...hehe

March 3, 2009 3:53 PM

Delete

Blogger Leenoh said...

Salam PJ.Selamba.
Terima kasih kerana memberi maklum balas,
S1. Rasanya kena buat kajian yang mendalam dalam semua aspek termasuk ibubapa , masyarakat dan guru serta pelaksanaan kurikulum. baru boleh jawap soalan ini, kalau jawab juga nanti tidak adil dan tidak menyeluruh .

S2.Bahasa Jiwa Bangsa, dulu tiada masalah, sekarang nampaknya bermasalah.

P/S. Simpang Kuala kot

March 3, 2009 5:22 PM

_____________________

Delete
Anonymous Anonymous said...

memang benar kita diajar berpegang pada janji,itulah yg ditunjukkan oleh Rasulullah s.a.w.Kita juga sedia maklum sejak alamarwah lagi telah berjanji dgn Allah sebagai khaliq dan kita sebagai hambanya,tetapi kenapa kita sering lupa.Itulah kewajipan kita sebenarnya perlu saling ingat mengingati terutama dalam perkara amar makruf nahi mungkar.kita patut menyedari setiap teguran ada kebaikan sekurang-kurangnya dapat mengetahui kelemahan dan menambah baik kebaikan yang sedia ada.itulah hakikat manusia yang benar-benar mencari keredhaan Allah,amin.(arba bedong)

March 4, 2009 10:37 AM

Blogger Leenoh said...

Salam , Sdr.Arba Bedong.


Sahabat saya (Arba Bedong), terima kasih di atas komen yang diberikan, ulasan anda telah menambahkan lagi sumber yang dapat melonjak ke arah mencari keredaan Allah.
Saya lambat memberi responnya kerana telah lama tidak semak ulasan tajuk ini, hanya melihat angkanya sahaja tetapi tidak klik masuk dan tidak mnyedari terdapat komen baru dari rakan-rakan yang memang sangat prihatin mengenai perkara seperti ini. Ulasan saudara ringkas tetapi padat , semoga dimanfaatkan oleh pembacanya.
Sekian.wassalam.

March 5, 2009 1:42 PM

Delete

Blogger zaidi ali said...

Salams Tuan Tanah,

Ulasan tuan mengenai bait pertama telah cukup lengkap dan amat padat.
Ianya berkisar mengenai perjanjian yang perlu ditepati di dalam hubungan suami isteri dan juga antara sesama manusia di dalam kehidupan bermasyarakat.

Izinkan saya tambah sedikit sahaja lagi mengenai bait kedua mengenai Kerbau yang Berpegang pada Talinya.
Bait kedua mempunyai lebih banyak maksud tersirat dan nasihat yang cuba disampaikan oleh penggubah kepada generasi pelapisnya.

Terdapat tiga unsur utama dalam nasihat ini di bait kedua iaitu Kerbau, Tali dan Tuan punya Kerbau yang sebenarnya berada di sebalik tali.

Kerbau adalah makhluk yang tidak boleh menzahirkan kata-kata. Pemilihan Kerbau juga sesuai untuk membayangkan makhluk yang lebih bodoh (berbanding manusia)dan sejenis haiwan yang boleh merusuh ganas sekiranya tidak dibela dengan baik.

Maksud tersirat PERTAMA yang hendak disampaikan ialah sedangkan haiwan yang tidak boleh berkata-kata, bodoh dan seganas kerbau pun boleh taat dan patuh kepada perintah tuannya, inikan pula manusia yang boleh berfikir!

Unsur kedua ialah Tali yang secara abstrak menggambarkan medium yang kukuh (untuk mengikat kerbau mestilah tali yang kukuh) bagi membentuk ikatan kepada hubungan, akad, persahabatan, akujanji, perjanjian,sumpah dan ketaatan yang telah dimeterai sesama manusia.


Maksud tersirat KEDUA ialah perlu ada kekukuhan dalam sebarang perhubungan, perjanjian atau arahan sesama manusia dan faktor kritikalnya ialah tali yang kukuh sebagai penyambung atau jambatan.

Bila disebut sahaja Tali, yang paling sinonim dengan orang Melayu dahulukala ialah keadaan kekuatan, panjang atau pendeknya tali tersebut. Panjang atau pendeknya tidak diungkap oleh penggubah kerana telah sedia maklum dan begitu sinonim dengan kehidupan seharian orang Melayu.

Tali yang pendek bermakna ikatan yang kuat dan akrab (Kerbau akan berada rapat dengan tuannya bila tali itu pendek hinggakan tuannya boleh membelai atau memukul sang Kerbau). Kerbau tidak diberi kebebasan untuk tersasar jauh dari laluan sewaktu ditarik tuannya menggunakan tali yang pendek. Nasihat, tunjuk ajar dan arahan tuannya akan mudah dipatuhi. Tuan kerbau pula mesti mempunyai kekuatan untuk menggengam tali dengan erat sekiranya tali itu pendek agar tidak mudah terlucut sekiranya sang Kerbau meronta. Ini menasihatkan kita supaya mendidik anak-anak dengan belaian dan hukuman dan untuk itu mesti ada faktor kekuatan, penguasaan dan kepepimpinan.

Tali yang panjang lebih memberi kebebasan kepada sang Kerbau untuk menghayun ke kiri, ke kanan, ke depan, ke belakang malah menari berpusing-pusing semasa ditarik tuannya.

Tali yang panjang menggambarkan kepercayaan dan kebebasan diberi untuk anak-anak namun selagi tali masih di tangan tuannya, ibu bapa masih boleh membimbing ke arah jalan yang benar walau pun terpaksa memekik tanpa penggunaan belaian (jarak yang jauh tiada dapat membelai) kepada anak-anak.

Bangsa Melayu begitu sensitif kepada bahasa. Kerbau tidak Bertali bermaksud Kerbau seekor haiwan liar manakala Kerbau Bertali bermaksud anak-anak yang baru hendak belajar erti kehidupan yang perlu asuhan dan teguran. Kerbau tidak ditujukan kepada rakan atau orang luar (akan dianggap biadap) sebaliknya ditujukan kepada anak-anak kita. Begitulah maksud tersirat KETIGA.

Maksud tersirat KEEMPAT (melalui tali yang pendek) ialah didiklah anak-anak dengan belaian kasih sayang dan marahi serta hukumilah mereka sekiranya perlu. Genggamlah mereka dengan erat supaya tidak terjerumus ke lembah hina.

Maksud tersirat KELIMA ialah sekiranya anak-anak diberi kebebasan dan kepercayaan, sentiasalah awasi mereka (jangan dilepas tali pengikat panjang yang digenggam lemah). Pekik dan jerit kepada mereka supaya masyarakat tidak anggap kita tidak tahu mendidik anak!

Unsur terakhir ialah Tuan kepada si Kerbau yang menggenggam tali. Tuan yang dimaksudkan oleh penggubah sebagai penggembala Kerbau ialah ibu bapa yang diberi tanggung jawab memimpin dan mendidik anak-anak. Mestilah ada sifat-sifat penyayang, kepimpinan dan kekuasaan menghukum jika hendak memimpin dan mendidik anak. Inilah maksud tersirat KEENAM yang cuba disampaikan penggubah.

Tiga unsur digabungkan menjadi suatu cerita nasihat untuk memdidik anak-anak.

Sekian. Wallahu Aklam.

March 4, 2009 11:00 AM


Delete
DeleteBlogger Leenoh said...

Salam Sdr.Zaidi ali.
Sesungguhnya ulasan anda telah menjadikan mauduk ini lengkap dan sempurna, inilah ulasan atau komen yang saya harapkan, pada mulanya saya ingin membiarkan sahaja ruangan komen ini berada di tempat asalnya tetapi, disebabkan ulasannya sangat bermutu maka saya tidak sampai hati membiarkanya di tempat asal oleh itu saya mengambil keputusan mempermudahkan pembaca membacanya dengan membuat " copy paste " ke ruangan hadapan.
sekalung bunga dan tahniah saya hadiahkan kepada anda.
Wassalam.

March 5, 2009 2:16 PM

Delete


Sekian.Wassalam




Sekian. Allah Maha Mengetahui. Wassalam.