Monday, November 21, 2011

Nokia C3 - diseluk Si gadis berbaju hitam.


Salam semua.

Dalam jutaan manusia sedang beribadat kepada Allah terselit juga syaitan berakal di tengah-tengah ahli ibadat yang begitu ramai itu, mereka mencari peluang untuk menipu, mencuri dan merampas harta orang lain. Di tanah suci kita sentiasa bersangka baik dan melakukan perkara yang baik-baik tetapi syaitan berakal tidak demikian hasrat hatinya. mereka sentiasa mencari keuntungan dunia semata-mata.

Setiap hari ketika di Makkah aku bersama kekawan berjalan kaki ke Masjidil Haram untuk beribadat , di antaranya beriktikaf, melakukan solat sunat dan membaca al.Quran,walaupun jaraknya agak jauh kurang lebih 3km pergi dan balik kerana inilah satu-satunya peluang bersolat di masjid yang amat berkat dan berganda pahalanya itu maka kami gagahkan diri juga untuk ke sana.

Dalam kesesakan kami berjalan kaki itu, tiba-tiba seorang wanita muda menghampiriku dan disaksikan dua lagi kawan di sebelah kananku. wanita itu merapatiku disebelah kanan, kononnya memohon sedekah, dalam rayuannya meminta sedekah itu aku mensyaki ada sesuatu yang tidak kena kerana wanita itu merapatkan badannya dengan diriku, aku mengherdiknya dengan mengeluarkan perkataan haram-haram dengan suara yang agak nyaring, Aku menyedari niatnya tidak baik tetapi langsung tidak terlintas apakah niatnya, kawanku Mustafa Kamal dan Lukman hanya mampu memerhatikan sahaja kerana aksi itu hanya sebentar sahaja, setelah aku herdik dia pun terus pergi dengan pantas, rupanya dalam keadaan kalut itu telefon Nokia C3 aku telah diseluk dan diambil keluar dari poket jubahku serta dibawa lari tanpa rasa bersalah sedikit pun, segala photo dan video yang dirakam di Madinah semuanya turut pergi bersama wanita muda berkulit hitam dan berbaju hitam tadi.

Aku reda dengan ujian itu dan aku doakan semoga Allah sayang pada wanita itu dan memberi hidayah dan taufiq kepadanya selepas peristiwa itu, doa ini aku luahkan di Masjidil Haram.

Sekian. Wallahu aklam.

Pengalaman naik bas tanpa bumbung.


Salam semua.

Dalam perjalanan dari
Mina ke Makkah selepas selesai mabit dan melontar di jumrah pada 13hb.Zulhijjah 1432 kami menaiki bas tanpa bumbung, pada mulanya rasa seronok kerana tidak panas tetapi sebenarnya banyak keburukannya habuk dan asap memenuhi ruang bas,berlaku kesesakan sepanjang jalan, lebih teruk lagi apabila berlaku kesesakan di dalam terowong, kekadang bas langsung tidak boleh bergerak, di sini barulah mengetahui keburukan menaiki bas tanpa bumbung suasana dalam bas menjadi panas dan menggelisahkan penumpangnya. nasib baik aku sediakan air di dalam alat sembur wuduk, aku semburkan air ke kepala beberapa kali sementara sampai ke destinasi.
Demikianlah berbagai ujian perlu dihadapi oleh mereka yag sedang mengerjakan haji, terkadang ujian itu tercipta oleh kejahilan dan kelemahan manusia itu sendiri.

Sekiranya pengurusan dalam bidang ini ditingkatkan kecekapan dan keprihatinnya dengan mengambil kira situasi para bakal haji yang terdiri dari berbagai usia dan kondisi kesihatan mereka, mungkin perkhidmatannya akan menjadi lebih baik lagi.

Peruntukan tandas dan bilik mandi yang tidak mencukupi di Mina menjadikan mereka yang tiada ketahanan mulai jatuh sakit atau sekurang-kurangnya tidak bermaya kerana keadaan cuaca panas yang tidak dapat dikendurkan kerana tidak cukup mandi dan jadual ke tandas tidak akur dengan hajat semasa. Kondisi ini akan terbawa keburukannya ke Makkah dan melambatkan beberapa tugas yang perlu diselesaikan untuk menjadikan kerja haji itu lengkap dan tamam.

Sunday, November 20, 2011

Dah nak balik Malaysia.

Salam semua.

Rasa dan teringin nak balik sudah sampai kemuncak, Isnin 18hb Zulhijjah 1432/14hb.Nov 2011 semua barang dah dimasukkan ke dalam beg, ikat dan tambat kuat-kuat takut terburai isinya nanti, pakaian lama dan baru semuanya ada termasuk ole-ole untuk yang mununggu dan menyambut kepulangan.

Boleh tawaf di tiga lokasi.

Salam semua.

Video ini menunjukkan lokasi tawaf terutamanya di dataran Kaabah, aras 1 dan aras 2. Mungkin anda ingin memanfaatkannya.

Saturday, November 19, 2011

Berjumpa kembali


Salam semua.

Alhamdulillah akhirnya dapat juga kita berjumpa kembali. Dengan izin-Nya kita masih berpeluang berkongsi ilmu. Setiap amal atau aktiviti di dalam kehidupan manusia bergantung pada niat yang tercetus dari hati, jika niatnya kerana Allah setiap kerja baik akan mendapat ganjaran baik dari-Nya, Niat kerana Allah bermaksud mengerjakannya kerana perintah Allah bukan didorong oleh hal-hal atau unsur lain yang berupa keduniaan semata-mata, seumpama umat Islam mengerjakan Haji. pemergian mereka ke lokasi mengerjakan Haji adalah kerana menunaikan perintah Allah, jika terdapat dikalangan mereka tersebut membiarkan pemergian itu atas dorongan lain maka terpesonglah tujuannya dan tidak terhasillah matlamat asalnya.