Monday, November 11, 2013

Cikgu Khoo menyanyi lagu P.Ramlee.

Jika Bahasa Melayu didaulatkan secara istiqomah.

 Setiap kali musim Peperiksaan Akhir tahun dan Peperiksaan Awam Pak Ngah akan terbayang beberapa peristiwa yang berlaku ketika Pak Ngah berkhidmat sebagai guru beberapa tahun yang telah berlalu.
Pada suatu tahun kurang lebih 20 tahun dahulu, Pak Ngah ditugaskan menjadi Ketua Pengawas Peperiksaan Sijil Rendah Pelajara (SRP) di SMK.Kota Kuala Muda, Daerah Pendidikannya Kota KUala MUda / Yan; Kedah. SRP kemudiannya dikenali pula sebagai PMR ( Penilaian Menengah Rendah ) sekarang berada di penghujung sejarah penggunaannya.Pekan Kota Kuala Muda mempunyai sejarah istimewanya yang tersendiri.

Para Pengawas di bawah jagaan Pak Ngah seramai 6 orang, salah seorang daripadanya seorang guru Tionghua (Cina), beliau dikenali sebagai Cikgu Khoo, setiap hari bertugas beliau menumpang kereta Pak Ngah ke sekolah menjadikan Pak Ngah tidak kesunyian di dalam perjalanan, beliau bermotorsikal dari rumahnya ke rumah Pak Ngah, kemudian barulah kami menyambung perjalanan ke sekolah.Ketika itu Pak Ngah tinggal di kuaters SMK.Khir Johari, Sungai Petani, beliau pula tinggal di perumahan berdekatan kurang lebih 1km dari Rumah Pak Ngah.

Cikgu Khoo berasal dari Pulau Pinang, kampung asal Cikgu Khoo sekarang dikenali sebagai Kampung P.Ramlee, beliau sangat fasih berbahasa Melayu, kefasihannya melangkau sehingga beliau senang menyebut beberapa perkataan Arab yang biasa disebut di dalam perbualan masyarakat Melayu .Katanya semasa di kampung dahulu beliau sempat bergaul dengan Allahyarham P.Ramlee, mereka sebenarnya hidup berjiran.

Cikgu Khoo di antara orang yang mengkagumi  kebolehan dan kemerduan suara P.Ramlee, kebanyakan lagu P.Ramlee dihafaz dan dinyanyikannya setiap hari.Bukan sekadar menyanyi ketika kesunyian, malah beliau sering dijemput ke majlis-majlis jamuan. menyanyikan lagu P.Ramlee di atas pentas di hadapan khalayak ramai telah menjadi kebiasaan dan kesukaannya.

Jika Bahasa Melayu didaulatkan secara istiqomah.
Pada hari pertama ke tempat bertugas kami hanya bersembang-sembang bertanya hal di antara satu sama lain sebagai ta'aruf, Cikgu Khoo seorang yang sangat peramah, beliau tidak sia-siakan pergaulannya dengan orang Melayu/Islam, mengetahui banyak perkara mengenai Islam, solat, zakat, puasa dan seumpamanya, cuma ketika itu belum mendapat hidayah, kini wallahu aklam.Jika Bahasa Melayu didaulatkan secara istqomah sejak zaman kemerdekaan bukan Cikgu Khoo sahaja yang fasih berbahasa Melayu, malah ramai lagi orang bukan Melayu fasih berbahasa Melayu.Orang bukan Melayu fasih  berbahasa Melayu sepatutnya suatu kebiasaan bukan suatu kehairanan.

Tempoh masa peperiksaan SRP adalah seminggu, setelah kami telah kenal di antara satu sama lain, maka pada hari-hari berikutnya Cikgu Khoo menceritakan bahawa hampir semua lagu-lagu P.Ramlee disimpannya dalam bentuk piring hitam dan kaset, beliau juga menceritakan pengalaman menjayakan majlis-majlis yang beliau dijemput untuk menyampaikan lagu-lagu P.Ramlee.

Tidak cukup bercerita sahaja, sambil bercerita diselang - selikannya dengan nyanyian, suaranya memang merdu, terbukti beliau juga menghafaz banyak lagu yang didendangkan P.Ramlee, setiap hari Pak Ngah dihiburkan oleh Cikgu Khoo melalui dendangan lagu P.Ramlee yang dinyanyikannya sepanjang perjalanan pergi dan balik.


Sekian...والله أعلم

No comments: