Tuesday, November 26, 2013

Keputusan PAS bersama Pakatan Rakyat adalah tindakan terbaik.

Penulis bukan seorang ahli PAS dan juga tidak menjadi ahli mana-mana parti tetapi penulis seorang Islam yang turut menyokong hasrat memertabatkan Islam sebagai cara hidup, bukan sahaja sekadar dalam lengkongan  individu atau terhad kepada keluarga sendiri sahaja, malah cara hidup di peringkat negara atau di peringkat pentadbiran negara, sudah tentunya melibatkan undang-undang yang  dikuatkuasakannya.


PAS atau Parti Islam Se-Malaysia organisasinya didaftarkan atas nama Parti Politik dan tidak didaftarkan atas nama badan dakwah semata-mata, sebaliknya didaftarkan atas nama parti politik seperti parti-parti lain, di mana dasarnya turut mencakup dakwah Islam yang lebih besar dan berkesan. Buat masa ini semestinya mereka mampu memikul kedua-duanya, politik dan dakwah, perlembagaan parti menyatakan dengan jelas dalam hal ini.Kini mereka telah pun mempunyai kepakaran yang cukup untuk meneruskan cita-cita.

Sejak remaja penulis memerhatikan pergerakan parti ini, suatu ketika dahulu penulis merasakan parti ini tidak ke mana-mana perjuangannya disebabkan parti hanya mendapat sokongan sebahagian orang Melayu Islam sahaja,mengikut hukum akal pada ketika itu mustahil mereka dapat memerintah melainkan Kelantan dan Trengganu sahaja yang berpeluang, itu pun peluangnya masih 50-50, sebahagian daripada jumlah orang Melayu mungkin  tidak sampai 25% rakyat Malaysia. Undi yang diperolehi sebanyak itu tentunya tidak melayakkan mereka memerintah dan sebahagian Melayu yang lain pula memberi sokongan kepada UMNO ( Barisan Nasional ). Manakala UMNO belum pernah berpengalaman memasuki  pilihan raya secara bersendirian tanpa parti lain mendokongnya, UMNO sejak dahulu bersama MCA,MIC dan lain-lain di dalam perikatan atau barisannya, Jika UMNO bersendirian di dalam perjuangan akan menerima nasib yang sama seperti PAS ( bukan PAS sekarang ), kalau tindakan UMNO sejak dahulu wajar, tentulah tindakan PAS untuk bersama Pakatan Rakyat juga wajar, tiada bezanya dengan UMNO dari segi aspek gabungan parti-parti.

Situasi terkini, PAS telah pun memiliki perencahnya yang lengkap dan sempurna sama ada untuk memerintah Malaysia atau dari aspek mendapatkan sokongan rakyat, mereka tidak lagi terhad kepada sokongan sebahagian orang Melayu, malah mendapat sokongan berbagai kaum, kekuatan mereka semakin bertambah apabila mereka mengambil keputusan merealisasikan tahaluf siasi dengan  DAP dan bersama Parti Keadilan Rakyat yang kini pakatan tersebut dikenali sebagai Pakatan Rakyat. Pakatan Rakyat atau PR telah pun berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan parti pemerintah ( Barisan Nasional ), ketiga-tiga parti ini sangat memerlukan di antara satu sama lain seperti komponan parti di dalam BN juga, jika salah satu parti keluar daripada pakatan dan barisan yang baru dibentuk ini, maka akan lemah longlailah parti tersebut, Inilah realiti dan hakikat berpolitik di dalam masyarakat majmuk di Malaysia ini.Pertanda baik PR telah diperlihatkan apabila mereka mendapat sokongan mengatasi BN dalam Pilihan Raya Umum Ke13 yang telah lalu.
 

PAS boleh juga bersama UMNO tetapi mereka telah mencubanya suatu ketika dahulu dan duduk bersama  di peringkat memerintah Malaysia, sebahagian mereka pada ketika itu  menjawat jawatan menteri, timbalan menteri dan sebagainya tetapi hubungan ini tidak kekal dan berakhir dengan PAS disingkirkan, setelah itu kembalilah PAS sebagai parti pembakang seperti sebelumnya, bermakna PAS telah cuba kaedah ini iaitu kaedah bersama  UMNO di dalam Barisan Nasional tetapi tidak kekal kerana ada masalah, masalah dengan UMNO bukan dengan MCA, MIC atau lain anggotanya.
_____________________________
Selingan.


____________________________________________

Persepakatan mereka dalam  PR masih muda dan belum sampai ke kemuncaknya lagi, oleh itu eloklah mereka memacu kenderaan ini sampai ke destinasinya. Dilihat keputusan dan tindakan ini adalah yang terbaik dan belum pernah berlaku sebelumnya sebaik ini.Sesungguhnya PAS tidak pernah undur ke belakang, sebaliknya terus maju dan berkembang.

Dari segi dakwah Islam, politik PAS itu sendiri adalah dakwah, dakwah yang telah menjangkau keluar daripada terperangkap di dalam tempurung Melayu, tidak lagi melihat orang India, Cina dan lain- lain suku kaum yang bukan Islam akan kekal dengan anutan  asal mereka. PAS kelihatan bersangka baik dan menaruh harapan bahawa rakan kongsi mereka yang bukan Islam akan memahami Islam lebih mendalam hasil tahaluf yang sedang direalisasikan.

Barisan kepimpinan PAS semakin berkualiti hasil tarbiah yang diaktifkan berterusan. PAS mempunyai pemimpin bukan sahaja di kalangan ulamak, malah bersama mereka jurutera, doktor perubatan, doktor falsafah , peguam, akauten dan berbagai sahsiah lain yang hebat-hebat, mereka berfikrah Islam dan berminat untuk merealisasikan Islam di dalam pentadbiran negara. Pemimpin yang bukan ulamak pun mampu memahami dan memberi tasauwur atau gambaran Islam yang betul kepada masyarakat.Itulah saf pimpinan PAS kini.Mereka semakin kehadapa dan proaktif sifatnya.

Wallahu aklam.  

No comments: