Saturday, June 6, 2009

Taaruf yang menyedihkan. ( LDK )

Hadiah dari Shazha.
________

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ


Dalam topik ini saya ingin mengimbas kembali sebahagian daripada pengalaman yang diperolehi semasa mengadakan Kursus Motivasi kepada para pelajar khasnya para pelajar tingkatan peperiksaan, Tingkatan Tiga, Lima dan Enam Atas ( Pra.Universiti ). Setiap tahun (sejak akhir 80an ) saya akan bersama-sama rakan sejawat menganjurkan kursus tersebut secara sukarela, biasanya kursus tersebut kita akan fokus kepada cara belajar berkesan.

Program kursus biasanya disusunaturkan selepas "taklimat kursus" akan diikuti dengan taaruf di mana aktiviti taaruf ini akan diadakan di dalam kumpulan atau dinamakan Latihan Di dalam Kumpulan ( LDK ).
Di dalam sesuatu kursus yang diadakan seringkali mengandungi peserta melebihi seratus peserta (pelajar) atau mengandungi sepuluh kumpulan atau lebih. Setiap kumpulan memerlukan seorang fasilitator ( pemudahcara) , oleh itu seminggu atau beberapa hari sebelum kursus dianjurkan saya akan melatih sejumlah pelajar yang terpilih untuk menjadi fisilitator. Para pelajar yang terpilih menjadi fasilitator ini terdiri dari para pelajar tingkatan atas yang berpotensi dan mempunyai kebolehan yang meyakinkan.

Untuk tujuan tersebut saya pun mengadakan kursus ringkas kepada fasilitator, di antara program atau item yang mereka akan kendalikan pada hari kursus nanti ialah taaruf kumpulan, kendalian bengkel dan pembentangan ( Sidang Pleno ), semua program ini akan diberi taklimat selumat-lumatnya kepada fasilitator supaya mereka yakin diri dan mampu mengandikannya.

Taaruf yang menyedihkan.
Setelah taklimat selesai diberikan saya pun terus melatih fasilitator membuat simulasi ataupun taaruf yang sebenar kepada mereka keran selama inipun mereka belum pernah mengadakan taaruf seperti itu. Mereka seramai dua belas pelajar, telah menjadi syarat taaruf di mana cara duduknya mestilah diaturkan kurusi berbentuk huruf " U " tanpa apa- apa halangan yang mengganggu taaruf dan pada ketika itu sayalah yang menjadi fasilitator mereka.
Taaruf dimulakan dengan saya sendiri memperkenalkan diri yang meliputi cerita suka dan duka saya sejak daripada kecil sehinggalah ke hari tersebut, disebabkan usia saya telah lanjut berbanding dengan usia mereka, maka saya terpaksalah meringkaskan ceritanya supaya tidak berlaku kekangan masa nanti kerana selepas itu masih terdapat duabelas pelajar lagi yang menunggu giliran untuk mentaarufkan diri masing-masing. Di dalam apa-apa kursus pun perancangan masa tersangat penting, kalau salah perancangan seluruh kursus akan rosak dan okjektifnya tidak akan tercapai.

Setelah selesai saya mentaarufkan diri, seterusnya peserta di sebelah kanan saya menjadi giliran seterusnya mentaarufkan diri, setelah selesai beliau memberi taaruf, saya memberi peluang kepada peserta untuk bertanya beberapa soalan yang berkaitan dengan perkara yang telah ditaarufkan tadi. seterusnya begitulah taaruf dijalankan. sehingga selesai dua belas peserta bertaaruf dan tugas yang saya lakukan itu setiap mereka akan lakukan pula kepada peserta kumpulan mereka pada hari kursus nanti.

Di kalangan dua belas peserta terdapat seorang daripada mereka telah membentangkan kegigihan hidupnya yang mengkagumkan dan menjadikan hati saya terharu serta saya terpaksa menahan sebak dan air mata. Taaruf salah seorang peserta perempuan itu juga telah menyebabkan suasana taaruf menjadi muram, sedih dan terharu, para peserta kelihatan melayan perasaan masing-masing, rasa simpati juga menguasai keadaan tatapi apa yang boleh dibuat , bak kata pepatah berat mana mata memandang, berat lagi bahu mikul.

Kisahnya.
Beliau pelajar Tingkatan Enam yang tinggal bersama ayahnya dan beberapa orang adik beradik yang masih kecil, beliau adalah anak yang sulung. ibunya telah lama meninggalkan mereka ke alam yang baqak.
Setiap hari sebelum datang ke sekolah beliau terpaksa memasak dan menyediakan sarapan untuk keluarganya serta membasuh pakaian adik-adik, juga memakaikannya bagi adik-adik yang masih kecil. Setelah semuanya beres barulah beliau membuat urusan untuk dirinya, mengemaskan rumahtangga juga telah menjadi tugasnya yang tetap kerana semangnya sudah tiada orang lain lagi untuk dipertanggungjawabkan, pendeknya semua tugas aruah ibunya telah perpindah kepadanya. Bapanya menjalankan tanggungjawab lain yang juga tidak cukup tangan untuk membereskannya.
Saya rasa sangat sedih kerana selama ini saya menyangka saya adalah di antara orang yang susah semasa menjadi pelajar, rupa-rupanya anggapan saya itu salah, masih ada orang lain lebih susah dan sengsara daripada kita. Pelajar ini menceritakan kisahnya itu dalam keadaan bersahaja sahaja tanpa menunujukkan rasa sedih atau kesal dengan kehidupannya, malah kelihatan sangat reda dengan kehidupannya itu dan layak menjadi contoh kepada kami semua.
Terima seadanya dan bersyukur kepada Allah.

Sekian.Allah Maha Mengetahui. Wassalam.

Friday, June 5, 2009

Rumusan Khutbah Jumaat hari ini - 05.06.2009

Gambar hiasan.


السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ


Rumusan Khutbah Jumaat hari ini (11 Jamil Akhir 1430) dicatatkan terlebih dahulu maksud ayat-ayat Al.Quran dan Hadis yang telah dibacakan oleh khatib sebentar tadi.
_____________________________________________________________

Firman Allah bermaksud.

Sesungguhnya Allah menyuruh kamu
menyampaikan amanat kepada yang berhak
menerimanya, dan (menyuruh kamu) apabila
menetapkan hukum di antara manusia supaya
kamu menetapkan dengan adil. Sesungguhnya
Allah memberi pengajaran yang sebaik-baiknya
kepadamu. Sesungguhnya Allah adalah Maha
Mendengar lagi Maha Melihat.

Wahai orang-orang yang beriman, taatilah Allah
dan taatilah Rasul (Nya), dan ulil amri di antara kamu.
Kemudian jika kamu berlainan pendapat tentang sesuatu,
maka kembalikanlah ia kepada Allah (Al Qur'an) dan
Rasul (sunnahnya), jika kamu benar-benar beriman
kepada Allah dan hari kemudian. Yang demikian itu
lebih utama (bagimu) dan lebih baik akibatnya.

Surah An.Nisaak ( 58-59 )


________________________

Maksud Hadis.

Sabda Rasulullah.s.a.w;
" Mendengar dan taat perintah seseorang muslim itu pada perkara yang dia suka atau benci . Apabila disuruh pada perkara maksiat, Maka tidak wajib dengar dan tidak wajib taat.

______________________________________________________

Khutbah hari ini menyentuh mengenai tanggungjawab pemerintah dan rakyat sebagai mengambil sempena Hari Keputeraan Yang Di Pertuan Agong.
Di antara intisari yang sempat dicatatkan;

(1) Rakyat Malaysia yang terdiri dari berbagai kaum selama ini hidup aman dan damai - nikmat ini perlulah dijagai dan dipelihara.

(2) Islam meletakkan kedudukan pemimpin pada tempat yang amat tinggi.

(3) Di antara orang yang dapat menyelamatkan diri dan golongan yang terselamat daripada siksaan dan mendapat naungan Allah pada Hari Kiamat ialah pemimpin yang adil. Oleh itu mereka hendaklah menjalankan amanah dengan adil.

(4) Kedudukan Yang Di Pertuan Agong yang termaktub di dalam perlembagaan Malaysia tiada siapa boleh mempertikaikannya, Ini adalah perkara yang wajib dipertahankan.

(5) Kerajaan yang menjalankan pemerintahan yang adil akan mendapat rahmat daripada Allah dan rakyatnya pula akan mendapat berkat.

(6) Seseorang Islam itu wajib taat perintah selagi perintah itu tidak bertentangan dengan ajaran Islam.

Sekian. Wassalam.

Denda kaedah psikologi yang paling berkesan.

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ


Topik yang baru sahaja berlalu mengisahkan dua makhluk syaitan di kalangan manusia pecah rumah jiran. Pada kali ini kita masih membincangkan hal yang bersangkut paut dengan pecah rumah dan lain-lain salah laku yang menyusahkan kita. Pada pandangan anda mengapakah manusia yang berakal waras boleh melakukan perbuatan tersebut tanpa memikirkan perasaan orang lain dan hak orang lain. Adakah manusia seperti ini tidak ditanamkan nilai-nilai baik yang mampu membezakan di antara hak orang lain dengan hak sendiri. Ataupun nilai-nilai tersebut sememangnya ditanamkan ke dalam jiwa orang seperti ini tetapi kadarnya tidak mencukupi atau kaedah yang gunakan itu tidak betul, menyebabkan nilai-nilai baik yang ditanamkan itu tidak mengakari jiwanya.

Cuba kita lihat dan perhatikan kanak-kanak yang baru belajar merangkak atau berjalan, mereka ini sudah tentulah belum dapat membezakan baik buruk sesuatu sama ada untuk dirinya atau orang lain, jiwa mereka ingin tahu segala-segalanya, mereka akan bergerak mencapai itu dan ini di sekeliling mereka, apa sahaja yang sempat mereka akan memegang, menarik, membuang dan juga memasukkan ke dalam mulut.

Pada ketika inilah ibu bapa bertanggungjawab mendidik mereka supaya tindakan mereka itu diawasi dan dimasukkan ajaran serta didikan, jika ketika ini atau ketika mereka sedang membesar semuanya boleh dilakukan tanpa halangan dan sekatan, maka kanak-kanak seperti ini akan membuat kesimpulan bahawa semuanya boleh dilakukan. Tanggapan ini sebahagiannya melekat di dalam minda sehingga mereka dewasa. Apabila mereka dewasa tindakan yang dilakukan bukan lagi pada perkara yang kecil, sebaliknya merompak, pecah rumah, merempit, meragut dan seumpamanya, walaupun berlaku kerosakan dan kecederaan pada orang lain hasil perbuatan mereka, sedikit pun tidak menyentuh perasaan mereka.

Denda kaedah psikologi yang paling berkesan.
Pada pandangan saya kanak-kanak tersebut hendaklah ditegur dan didenda mengikut kadar yang sesuai dan adil dengan situasinya. Denda hendaklah dilakukan setelah teguran tidak lagi memberi kesan, kita harus ingat bahawa sifat manusia itu adalah kombinasi sifat malaikat dan iblis, teguran dilakukan ditujukan kepada sifat manusia dan malaikat yang ada pada dirinya, setelah tidak memberi kesan, kita bertindak pula kepada sifat iblis yang ada padanya, tindakan ini tentulah tidak lagi teguran, sebaliknya didenda sekadar yang sesuai dan adil seperti yang disebutkan tadi.

Pada suatu ketika dahulu peraturan sekolah tidak menggalakkan para guru melaksanakan hukum atau denda terhadap salah laku pelajar, salah laku hanya disusuli dengan teguran dan nasihat semata-mata, walaupun salah laku telah berlaku berulang kali. Suasanan sekolah dilihat seperti sebuah negara yang tiada undang-undang dan tiada penjara. Keadaan ini berlalu puluhan tahun sehingga sekarang. Sebahagian para pelajar nakal itu sekarang telahpun berada di tengah-tengah masyarakat.

Pandangan ini hanya melalui pengalaman dan pemerhatian semata-mata, sekiranya direnungkan mungkin terdapat kebaikan yang tersisip di dalamnya yang boleh dimanfaatkan.

Sekian. Allah Maha Mengetahui. Wassalam.


Thursday, June 4, 2009

Pecah rumah


ا
لسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ

Kehidupan tidak bersih .

Pada hari Rabu ( 03.06.2009 ) jam 3.00 petang dua orang penyangak dan jin di kalangan manusia telah datang ke rumah jiran di hadapan rumah Leenoh, kedatangannya itu tanpa diundang, Leenoh memang pasti cara kehadirannya itu, Leenoh sedang leka melayari internet tiba-tiba dikejutkan oleh anaknya menyatakan ada tetamu yang diragui sedang memerhati rumah yang dimaksudkan tadi. Leenoh pun bangun dari tempat duduknya, terus meluru turun ke tingkat bawah dan menuju ke hadapan rumah, pergerakan Leenoh agak lambat sedikit , maklumlah pada ketika itu Leenoh berpakaian ala dahulu kala bersarung tanpa baju, pakaian begini sudah tentu tidak bersedia untuk bersilat dengan jin durjana tersebut.

Sebaik sahaja Leenoh keluar daripada pintu rumah dan masih di dalam kawasan pagar rumah , kelihatan syaitan dua ekor itu telah melarikan diri dengan motorsikal. Rupanya ketika Leenoh dalam perjalanan dari tingkat atas ke tingkat bawah salah seekor daripada syaitan tadi telah menerajang pintu pagar rumah jiran di hadapan itu sehingga terbuka dan berjaya dimasukinya dan terus meluru ke pintu rumah mengumpel dan menyungkilnya, juga mengetuknya dengan alat yang memang dibawa bersama untuk tujuan jahat tersebut.Manakala seekor lagi jin itu menunggu di atas motorsikal dalam keadaan bersiap siaga untuk memecut lari jika keadaan telah tidak selamat bagi mereka meneruskan niat jahat tersebut.

Anak perempuan Leenoh yang berada di dalam bilik tingkat atas dapat melihat perbuatan tersebut dengan jelas melalui tingkap bilik dan dengan perasaan yang sangat geram dan marah. Dia tidak sabar lagi menengking dan menjerit dengan sekuat hatinya untuk memberhentikan perbuatan syaitan itu, Sebaik sahaja mereka mendengar suara itu mereka pun terus pecut lari dengan motorsikal yang memang sudah bersedia untuk pecut lari, perkara itu berlaku dengan sepontan tanpa kami sempat membuat perancangan bersama, Leenoh secara berseorangan yang berada di bawah merancang untuk membiarkan perbuatan itu berlaku, sambil itu bercadang menghubungi polis supaya mereka terperangkap dalam kepungan polis, sayangnya tidak sempat berbuat demikian. Sekarang ini nampaknya kehidupan kita tidak lagi bersih seperti dahulu.

Pada ketika menghadapi jin dan syaitan itu Leenoh sendiri tidak mempunyai aura yang tinggi untuk bersilat dengan mereka, maklumlah pakaian yang dipakai itu tidak dapat diharapkan, walau bagaimanapun terfikir juga tentang kemahiran bersilat sama ada menggunakan langkah seribu atau langkah tapak harimau. walaupun dalam keadaan separuh takut tetapi bersedia juga dengan buah kunci mati yang pernah Leenoh belajar dahulu, hehehe bergurau ye.

Dalam topik yang telah lepas Leenoh telah pun menceritakan kisah ini iaitu beberapa buah rumah telah dicerobohi dan dipecahkan oleh kumpulan syaitan jenis manusia ini. Pada hari ini bertambah lagi sebuah, esok lusa entah rumah siapa pula. Marilah kita sama-sama berdoa semoga Allah sentiasa memelihara keselamatan rumah dan keluarga kita.amin.

"BERSATU TEGUH BERCERAI ROBOH"

Sekian.Wallahu aklam.Wassalam.

Tuesday, June 2, 2009

Bahasa Melayu dan Dakwah Islam.



السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ

Pada hari Ahad ( 31.05.2009 ) jam 7.00 malam saya menghadiri suatu forum yang membincangkan mengenai dakwah Islam yang memfokuskan sasarannya kepada orang bukan Islam khususnya kaum India. Majlis diadakan di Masjid Ubudiah, Seksyen 19. Shah Alam bermula sebaik sahaja solat Maghrib selesai dilaksanakan, ahli-ahli panelnya terdiri daripada tiga pendakwah dan seorang daripada mereka memeluk Islam ketika berusia 25 tahun. Saya tidak menyebut atau memanggil mereka sebagai muallaf kerana pengetahuan Islam mereka telahpun melapaui sempadan tersebut dan sekarang telah pun mampu berdakwah.

Istilah muallaf hanya sesuai digunakan kepada mereka yang baru memeluk Islam dan pengetahuan Islam mereka masih di peringkat rendah atau mereka yang perlu diperjinakkan lagi dengan ajaran Islam tetapi malangnya orang Melayu telah salah guna istilah tersebut dan menggunakannya secara borong kepada sem
ua mereka yang asalnya bukan Islam kemudian memeluk Islam.

Bagi saya perbuatan ini adalah tidak baik dan tidak manis serta tidak cermat dalam menggunakan sesuatu istilah penting. Sikap orang Melayu yang tidak cermat menggunakan bahasa ibundanya pernah saya sebutkan di dalam topik yang terdahulu. Sikap ini menjadikan bahasa Melayu lambat berkembang dan mencapai taraf global.

Tidak wajar sesuatu istilah atau perkataa
n yang mempunyai kuasa makna yang perkasa dilemahkan penggunaannya oleh warisnya sendiri tanpa memikirkan akibatnya. kekadang perkara yang dilihat kecil itu bukanlah sebenarnya kecil, sebaliknya amat besar kesan baik buruknya pada ketika tertentu.

Senario dan rasionalnya;
Di Malaysia , Singapura, Thailand, Berunai dan Filipina bahasa Melayu digunakan secara meluas sebagai bahasa
pengantar pendakwah dan di negara kita bahasa Melayu menjadi bahasa kebangsaan atau bahasa rasmi . Berhubung dengan perkara itu sepatutnyalah rakyat Malaysia khasnya orang Melayu bersikap secara lebih matang dan menguntungkan serta menjurus kepada melebarkan lagi penggunaannya, bukan menyempit dan menjumudkannya.

Pada pendapat saya terdapat beberapa tanggapan yang salah di dalam minda orang Melayu terhadap beberapa perkataan yang memberi kesan yang buruk terhadap kefahamannya yang sebenar.

Di antara contoh-contohnya;
Apabila disebut Melayu, tanggapan orang Mela
yu, Melayu itu adalah Islam, mengikut perlembagaan Malaysia tanggapan itu adalah betul dan benar dan pada amnya juga betul dan benar tetapi pada perkiraan halusi dan istilah aqidah Islamnya tidak tepat, Kerana Islam seseorang itu bergantung pada aqidahnya atau kepercayaannya terhadap rukun iman dan rukun Islam. Penafsiran Melayu dan Islam mengikut perlembagaan ialah tafsiran bagi menunujukkan kedudukan orang Melayu di dalam negara, manakala penafsiran Islam mengikut istilah aqidah ( Ilmu Tauhid ) ialah tafsiran yang memperjelaskan kedudukan seseorang itu sama ada Islam atau kafir.

Apabila disebut sahaja perkataan agama, orang Melayu terus menafsirkan sebagai Islam, pada hal perkataan tersebut membawa makna umum di mana perkataan agama itu boleh membawa maksud Islam, Kristian, Budha dan lain-lain, tentulah kurang sesuai kalau kita gunakan rangkaikata seperti " Sekolah Menengah Agama Batu Bercabang" kerana perkataan agama yan
g tercatat itu masih umum.

Apabila disebut Cina, orang Melayu akan berang
gapan Cina itu bukan Islam, ini adalah tanggapan yang salah. Orang Cina Malaysia juga telah ramai menjadi penganut Islam, Orang Islam Melayu perlu menyedari bahawa orang Cina Malaysia (Tionghua ) menganut berbagai agama dan bercakap dalam berbagai loghat ( bahasa) seperti Kantonis, Hakka, Tewchew, Hokkien dan seumpamanya. Bahasa Mandarin adalah bahasa rasmi atau bahasa persuratan atau baku mereka.mereka juga mewarisi adat yang berbeza.

Apabila disebut India, ramai di antara orang Melayu beranggapan Hindu. Selain daripada itu terdapat juga di sesetengah tempat orang Melayu menggunakan perkataan Hindu
membawa maksud orang India tanpa menyedari bahawa terdapat ramai di kalangan orang India menganut Islam dan selain daripada itu mereka menganut agama Hindu, Kristian, Budha dan lain-lain.

Di antara sebab perkara ini boleh berlaku sedemikian rupa kerana sebahagian orang Melayu menganggap Islam itu agama orang Melayu, minda mereka tidak menganggap Islam itu sebagai suatu cara hidup yang Allah sediakan untuk semua manusia di dunia ini. Dalam hal ini suatu anjakan pradigma perlulah diusahakan supaya penggunaan bahasa Melayu dapat diperkasakan lagi dan bergerak selari dengan adab dan akhlak yang mulia.

Sebagai contoh tambahan yang sesuai untuk direnungi;
Sering juga murid bertanyakan gurunya dengan soalan seperti di bawah ini yang menggambarkan penggunaan bahasa Melayu di dalam masyarakatnya;

(1) Apakah hukum orang Cina menjadi imam solat ?.
(2) Apakah hukum orang India m
embaca khutbah ?.
(3) Apakah hukum orang Siam me
ngerjakan haji ?.

Bagi murid tersebut makna tersirat untuk perkataan Cina, India dan Siam ialah bukan Islam (kafir), sekiranya guru mengesahkan tanggapan itu bermakna lagi kuatlah minda murid itu akan membuat tanggapan seperti itu dan minda jumud itu akan berte
rusan sehinggalah mereka dewasa.
Guru sepatutnya tidak memandang ringan terhadap tiga perkataan itu, lantas menjelaskannya bahawa Cina, Siam dan India ramai di antara mereka yang beragama Islam dan mungkin lebih ramai daripada orang Melayu, Ini bermakna guru mengarahkan minda murid tersebut supaya berfikir dengan betul dan tepat. Kemudian
memberi jawapan bahawa sekiranya mereka Islam ibadat mereka itu insya Allah akan diterima oleh Allah Taala.

Orang Melayu Islam sepatutnya bertanggungjawab menyampaikan seruan Islam ini kepada orang India dan Cina dan lain-lain kaum yang bukan Islam sejak dari dahulu lagi iaitu sebaik sahaja selepas merdeka. Hakikatnya pihak berwajib tidak melaksanakannya secara serius pada ketika itu, mungkin disebabkan tiada kepakaran atau tenaga mahir bagi melaksanakan tugas yang berat itu. Alasan tersebut memang boleh diterima pada zaman tersebut, tetapi pada zaman sekarang kita telah mempunyai ramai orang yang memiliki kepakaran yang diperlukan untuk tujuan tersebut dan boleh dimanfaat dan digemblingkan tenaga mereka ke arah tujuan baik itu, oleh itu tiada lagi alasan untuk kita menolaknya. Badan-badan kerajaan dan bukan kerajaan yang berkaitan hendaklah digerakkan supaya inisiatifnya lebih teratur dan tersusun.

Sekiranya orang Islam tidak mengindahkan atau terus mengabaikan dakwah tersebut bermakna kita juga turut mengabaikan perintah Allah yang tercatat maksudnya di bawah ini.


____________________

Firman Allah bermaksud:
"Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang makruf dan mencegah dari yang munkar; merekalah orang-orang yang beruntung".
Surah Ali Imran (104)
___________________________


Ahli Panel Forum.
Tuan Hj.Muhamad Abdullah Nicholas ( Hidayah Centre ).
Bro. Karul Zaman Nur Muhammad. ( Hidayah Centre )
Tuan Hj.Abd.Latif Santharan Abdullah ( Presiden ACCIN )

__________________

Dalam forum tersebut disarankan supaya pendakwah-pendakwah atau orang Melayu Islam hendaklah mengenal terlebih dahulu latar belakang orang India sebelum mendekati mereka dan mengajak mereka kepada Islam. selain daripada itu orang Melayu Islam juga perlulah terlebih dahulu membuang tanggapan negatif terhadap orang India, sebagai orang Islam mereka hendaklah bersangka baik terhadap orang bukan Islam, mereka juga hendaklah mengamalkan akhlak yang baik yang mampu memberi teladan kepada mereka yang bukan Islam, jangan sampai orang India bukan Islam beranggapan terhadap orang Melayu dengan menyatakan agama Islam adalah agama yang baik tetapi orang Melayu bukanlah orang yang baik.

Hidup berbaik-baik dengan jiran adalah juga salah satu pendekatan dakwah yang berkesan iaitu dengan cara mengenali secara yang lebih mendalam tentang kehidupan dan agama anutan mereka, disamping kita menerangkan kepada mereka mengenai Islam.

Bahasa kesat yang ditujukan kepada orang India, walaupun hanya digunakan sekali sekala ketika bergurau dengan kawan-kawan, namun demikian perlulah dihentikan, dengan cara itu dapat merapatkan lagi jurang bergaulan yang sedia ada, pendekatan tersebut akan memudahkan kita menyampaikan sesuatu maklumat kepada mereka, khususnya mengenai ajaran Islam.

Di antara maklumat yang diperolehi pada malam tersebut mengenai orang India Malaysia, Orang India Malaysia sebenarnya menggunakan enam loghat (bahasa) termasuklah bertutur dalam bahasa Tamil dan mempunyai tiga golongan atau kaum yang berhijrah dari India ke Malaysia. Di India mereka mempunyai lebih enam ratus loghat (bahasa) dan enam belas loghat (bahasa) diterima sebagai bahasa rasmi negara.

Menguasai bahasa kumpulan sasaran adalah cara yang terbaik untuk berdakwah, sekiranya tidak mampu berbuat demikian memadailah para pendakwah mengetahui latar belakang mereka supaya lebih mudah didekati.

_________________________________

Pendakwah yang dimaksudkan di dalam artikel ini ialah semua orang Islam khasnya orang Melayu .

________________________________

Kekurangan dan kesilapan yang berlaku berhubung tulisan ini, semuanya atas kelemahan dan kekurangan saya sendiri.

Sekian. Wallahu aklam. Wassalam.