Friday, December 3, 2010

Mampukah kita mengelakkan diri daripada bercakap tidak serupa bikin.

Salam semua.

"Bercakap tidak serupa bikin" telah pun menjadi suatu ungkapan yang popular dan difahami maksudnya oleh masyarakat umum.Ungkapan ini kita sering ungkapkan dan menujukan ungkapan itu kepada orang lain dan mengecualikan diri sendiri. seseorang itu tidak mungkin dapat mengecualikan sepenuhnya kerana setiap manusia mempunyai kekurangan, hanya Allah sahaja yang sempurna. Oleh itu, ungkapan ini masih sesuai untuk diungkapkan oleh manusia kepada sesama manusia dan sesuai ditujukan kepada mereka yang terlalu banyak dan kerap mungkir janji, hanya Allah sahaja yang layak sepenuhnya mengungkapkan ungkapan tersebut dan ditujukan kepada semua manusia seperti maksud ayat di bawah ini.

____________________________________________________

[41]
Dan berimanlah kamu dengan apa yang Aku turunkan (Al-Quran) yang mengesahkan benarnya Kitab yang ada pada kamu, dan janganlah kamu menjadi orang-orang yang mula-mula kafir (ingkar) akan dia; dan janganlah pula kamu menjadikan ayat-ayatKu (sebagai harga untuk) membeli kelebihan-kelebihan yang sedikit faedahnya; dan kepada Akulah sahaja hendaklah kamu bertaqwa.
[42]
Dan janganlah kamu campur adukkan yang benar itu dengan yang salah, dan kamu sembunyikan yang benar itu pula padahal kamu semua mengetahuinya.
[43]
Dan dirikanlah kamu akan sembahyang dan keluarkanlah zakat, dan rukuklah kamu semua (berjemaah) bersama-sama orang-orang yang rukuk.
[44] Patutkah kamu menyuruh manusia supaya berbuat kebaikan sedang kamu lupa akan diri kamu sendiri; padahal kamu semua membaca Kitab Allah, tidakkah kamu berakal?

( Surah al.Baqarah )
_____________________________________________________

Kalau dikaji dan perhatikan dengan teliti memang benar tabiat kita sentiasa "melihat dan nampak kuman di seberang lautan dan tidak nampak gajah di depan mata", Sekiranya manusia dapat melihat semuanya kehidupan manusia akan menjadi lebih baik dan lebih aman.

Kita sering bercakap sesuatu yang kita sendiri tidak mampu melakukannya, seumpama menasihatkan orang lain berhenti makan sebelum kenyang tetapi setiap kali makan kita akan makan sampai kenyang, kita menasihatkan orang Islam supaya bersatu padu tetapi kita sendiri bergaduh dan berpecah belah, kita menyuruh masyarakat menghayati hidup cara Islam tetapi kita sendiri tidak patuh kepada perintah Allah dan kita mengharapkan Islam berkembang tetapi kita tidak berminat untuk menyebarkannya. Demikianlah kelemahan kita, sudah tentu penulis juga tidak terkecuali.

Akhlak dan tingkah laku rakyat yang terlantik menjadi pemimpin sentiasa diperhatikan oleh rakyat biasa, sama ada yang ditutur dan dijanjikan atau diuar-uarkan itu dihayatikan atau diaplikasikan di dalam kehidupan mereka, rakyat biasa sering mendengar nasihat mereka tetapi mereka juga berhak memerhati dan menilainya secara senyap-senyap atau mempertikaikannya bersama khalayak.

Apa pun, jika kita sentiasa bermuhasabah dan memikirkan ke arah yang positif dan mahmudah insya Allah situasinya akan menjadi lebih baik dan budaya bercakap tidak serupa bikin ini akan dapat dikurangkan.

_____________________________________________________

Satu penipuan yang diizinkan melalui khidmat maxis agaknya. Katanya:..... "RM0.50: Terima kasih, anda telah dicaj untuk MMS Resipi yang diterima.(23238)"... Baca di sini.

__________________________________________________________

Sekian...wallahu aklam.

Thursday, December 2, 2010

Politik hanya alat bukan matlamat.( puisi )

Salam semua.

Kalau timur dikatakan barat.
hilanglah harapan, putuslah harap.
politik hanya alat bukan matlamat.
syariat jua tempat bergantung harap.

Politik hanya alat bukan matlamat.
Biar reput tiang politik.
jangan syariat jadi berkulat.
kerana ia bukan simbolik.

Jangan syariat jadi berkulat.
syariat selayaknya mengungguli dasar.
memandu manusia ke jalan akhirat.
di sanalah matlamat perhimpunan besar.

Memandu manusia ke jalan akhirat.
sentiasa berilmu dan makrifat.
agar tidak tersalah kiblat.
tercapailah kesejahteraan serta matlamat.

Agar tidak tersalah kiblat.
rakyat diajar dan dipimpin.
aplikasikan politik sebagai alat.
syariat Islam sebagai pemangkin.

Aplikasikan politik sebagai alat.
untuk mendapat segala hajat.
kehidupan bersih jangan bejat.
hidup di dunia matlamatnya akhirat.


Kenangan yang lalu.

Salam semua.

Rabu 10.Zulhijjah. 1431 / 17. Nov.2010.
Aidil Adha 1431 rakyat bersama Sultan Sharafudin Idris Shah ( Sultan Selangor )
Sengaja diabadikan video ini di sini untuk dijadikan kenangan pada masa akan datang.



Masjid Salahudin Abdul Aziz Shah. Shah Alam.





Sekali-sekala teringat juga masa yang lampau...

Wednesday, December 1, 2010

Berfikir secara proaktif dan berandaian.

Salam semua.

Apabila banjir berlaku dan semakin besar pula bencana yang ditinggalkannya berbanding dengan masa lampau, maka seharusnya kita berfikir secara proaktif dan tidak lagi secara rutin tanpa berandaian bersabit dengan peristiwa yang telah berlaku.Segala longkang dan anak sungai tentunya menunggu untuk diurus dan diperbesarkan.Lazimnya begitulah hasil kejutan berikutan peristiwa banjir melanda sesuatu tempat atau sesebuah negeri. Kita juga akan mengandaikan bahawa dalam jangka masa lima atau sepuluh tahun akan datang bencana banjir akan berlaku lebih besar, sekiranya tidak ditangani mulai sekarang.

Demikanlah juga kejutan berikutan peristiwa orang bukan Islam berhujah dengan menggunakan isi kandungan atau terjemahan al.Quran di dalam ceramah atau ucapan umum, kita hendaklah berandaian bahawa terdapat ramai lagi di kalangan orang bukan Islam yang sedang mempelajari al.Quran melalui terjemahannya pada masa ini dan akan bertambah bilangannya pada masa yang akan datang.

Kalau kita merasai gusar dengan situasi ini bermakna ada sesuatu yang tidak kena dalam diri kita kerana situasi itu adalah digalakkan oleh Islam, al.Quran bukan diturunkan khas untuk orang Islam sahaja, bukankah ketika al.Quran diturunkan tiada siapa pun yang Islam, al.Quran diturunkan untuk dimanfaatkan oleh semua manusia di dunia ini kerana dengan memahami al.Quran manusia akan kenal Allah dan akan memperhambakan diri kepada Allah Yang Maha Esa. Manusia juga akan mengetahui hakikat Allah menjadikan manusia dan kejadian sekalian alam ini. Orang Islam berkewajipan memberi motivasi dan berdakwah kepada mereka sehingga tercetusnya kesedaran tersebut. Setelah wujud inovasi di dalam diri mereka, mereka sendiri akan memperkayakan lagi pengetahuan tersebut dan akhirnya insya Allah mereka akan kenal Allah (makrifatullah).

Mempelajari al.Quran atau tafsirnya memerlukan tatacara, adab dan tertibnya yang tertentu . Hanya orang Islam sahaja yang mengetahui tatacara dan adab tersebut kerana orang Islam mempelajarinya melalui rantaian dan talian yang bermula dari Nabi Muhammad.s.a.w. sehinggalah zaman kini.


Disamping menegur kesilapan atau ketidaktertiban yang dilakukan oleh orang bukan Islam terhadap penggunaan terjemahan ayat al.Quran. Di sana terdapat tanggungjawab kita sebagai orang Islam menyediakan ruang yang seluas-luasnya untuk mereka mempelajarinya.Tanggungjawab ini nampaknya belum terserlah aktivitinya, minda proaktif perlu bergerak keluar sederap lagi ke hadapan untuk berdakwah dan memberi semangat kepada mereka supaya terus mencari kebenaran yang tersurat dan tersirat di dalam al.Quran.

Sekian...wallahu aklam.


Membaca terjemahan al.Quran belum dianggap membaca al.Quran.

Salam semua.

Penulis terpanggil untuk menulis artikel ini kerana penulis merasakan isu yang menyatakan orang bukan Islam membaca al.Quran yang dilaporkan di dalam media tempatan beberapa hari lepas dan sehingga hari ini masih tercatat isu tersebut di dada akhbar, mungkin ianya kurang tepat kerana Si Pulan tersebut hanya membacakan terjemahannya sahaja.Membaca al.Quran dan membaca terjemahan al.Quran, dua perkara tersebut terdapat perbezaan yang jelas dan nyata.


Artikel ini bukan bertujuan hendak membincangkan isu sama ada Si Pulan berkenaan membaca al.Quran atau terjemahannya sahaja kerana penulis sendiri adalah pihak ketiga yang hanya sekadar membaca berita dan mendengar berita dan tiada di dalam majlis atau di lokasi.

Bagi penulis artikel ini semata-mata ingin menyampaikan maklumat yang menjurus kepada pembacanya mengenali al.Quran dan dapat membezakannya dengan Al.Quran Terjemahan atau terjemahan al.Quran.

Al.Quran: "Ialah lafaz di dalam bahasa Arab beserta makna dan maksud yang terkandung di dalamnya yang diwahyukan Allah kepada Nabi Muhammad.s.a.w. melalui malaikat Jibril.a.s".

Al.Quran adalah kalam Allah, membacanya dikira ibadat, ayatnya dianggap ayat suci, al.Quran bukan kalam atau kata-kata yang disusun atur oleh manusia, malaikat, jin atau seumpamanya.


Al.Quran hanya diturunkan kepada Nabi Muhammad.s.a.w. sahaja, apa yang diturunkan kepada Nabi Musa, Daud, Isa dan nabi-nabi yang lain tidak dinamakan al.Quran. Al.Quran hanya satu sahaja.

Berbagai takrif dan defenisi diberikan oleh ulamak tetapi semuanya menjurus kepada Al.Quran hakiki yang diturunkan kepada Nabi Muhammad.s.a.w.

Terjemahan al.Quran.
Terjemahan al.Quran tidak dianggap al.Quran dan tidak dinamakan sebagai al.Quran dalam bentuk asal dan sempurna, ayat-ayatnya juga tidak dianggap sebagai ayat suci seperti al.Quran yang ditakrifkan di atas, sebaliknya dikenali sebagai "Al.Quran Terjemahan" membacanya tidak mendapat pahala atau dinilai seperti mana membaca al.Quran yang dinilai pada setiap hurufnya. Membaca terjemahan al.Quran di dalam solat akan menyebabkan solat terbatal atau tidak sah.

Mengikut amalan kita menyentuh dan membaca naskhah al.Quran wajib berwuduk.membaca secara menghafaz atau membaca tanpa menyentuhnya tidak perlu berwuduk tetapi membacanya dalam keadaan berhadas besar adalah dilarang.Sebaliknya tidak disyarat demikian kalau membaca hanya terjemahannya atau dari naskhah Al.Quran Terjemahan.

Kitab Al.Quran Terjemahan.
Al.Quran Terjemahan adalah pemilihan kata-kata oleh manusia sama ada bahasa Melayu, Inggeris, Arab, Cina atau sebagainya, di mana terjemahan itu berdasarkan ayat-ayat Al-Quran yang asal. Kitab Al-Quran yang sebenarnya adalah ayat-ayat dalam bahasa Arab yang diturunkan kepada Nabi Muhammad s.a.w dalam bentuk wahyu sekitar Mekah dan Madinah dan dilindungi Allah s.w.t sehingga ke akhir zaman. Al-Quran tidak mempunyai versi kerana ia hanyalah satu, sebuah kitab sahaja. Al-Quran adalah kata-kata (kalam) dari Allah s.w.t .


Sekian...wallahu aklam.