Monday, September 27, 2010

Friday, September 24, 2010

Orang Islam berkewajipan menutup keaiban saudaranya.

Salam semua.

Dalam menjaga maruah diri, seseorang Islam itu berkewajipan menutup keaiban dirinya supaya tidak diketahui dan terdedah kepada umum.Melakukan kejahatan adalah suatu perbuatan yang aib dan dosa di sisi Allah , ianya akan bertambah dosa sekiranya kejahatan yang dilakukan itu didedahkan kepada orang lain.Biarlah Allah dan dirinya atau orang yang berkaitan sahaja yang mengetahuinya dengan cara itu perbuatan yang terlanjur itu akan mudah mendapat keampunan Allah. Situasi ini tidak menyebabkan kejahatan yang telah dilakukan itu mendorong orang lain untuk melakukannya.

Melakukan kejahatan dan berbangga-bangga dengannya pula adalah suatu kebodohan dan kejahilan yang berganda dan merugikan diri dan masyarakat, sama ada berbangga-bangga secara disedari atau sebaliknya, nilainya tetap buruk dan hina di sisi Allah.

Demikian juga kita disuruh menutup keaiban saudara kita sesama Islam, perbuatan mendedahkan keaiban saudara sesama Islam akan memberi peluang kepada musuh Islam mengambil kesempatan memburukkan lagi keadaan dan menyebabkan Islam menerima kerugian,lebih buruk lagi jika pendedahan itu merongkai dan membuka rahsia yang sepatutnya ditutup supaya tidak diketahui oleh musuh Islam.

Musuh Islam melihat keburukan yang dilakukan oleh orang Islam sebagai keburukan Islam, walaupun keburukan itu bukanlah direstui oleh Islam dan sudah tentu setiap kejahatan dilarang oleh Islam.

Membuat fitnah sesama Islam adalah suatu lagi dosa yang amat besar kerana ianya diibaratkan sebagai lebih buruk daripada perbuatan membunuh. Orang yang mereka- cipta fitnah ini sudah semestinya terdiri daripada individu yang jahat dan amat kurang imannya, sebab itulah orang-orang yang beriman dinasihatkan supaya menyiasat terlebih dahulu apabila sampai kepada mereka sesuatu berita, terutamanya berita yang memburukkan sesuatu pihak atau puak. berlebih-lebih lagi pada zaman yang kaya dan makmur dengan fitnat ini. Zaman ini nampaknya menuntut kita membawa diri di dalam kehidupan bermasyarakat secara yang lebih berwaspada dan berhemah.

Dalam hal ini penulis dan pengguna laman sesawang, facebook, twitter , media cetak dan berbagai media lagi lebih senang terperangkap atau memerangkap diri dalam kancah tersebut.

_________________________________

[14]
Dan kalaulah tidak kerana adanya limpah kurnia Allah dan rahmatNya kepada kamu di dunia dan di akhirat, tentulah kamu dikenakan azab seksa yang besar disebabkan kamu turut campur dalam berita palsu itu; -
[15]
Iaitu semasa kamu bertanya atau menceritakan berita dusta itu dengan lidah kamu, dan memperkatakan dengan mulut kamu akan sesuatu yang kamu tidak mempunyai pengetahuan yang sah mengenainya; dan kamu pula menyangkanya perkara kecil, pada hal ia pada sisi hukum Allah adalah perkara yang besar dosanya.
[16]
Dan sepatutnya semasa kamu mendengarnya, kamu segera berkata: “Tidaklah layak bagi kami memperkatakan hal ini! Maha Suci Engkau (ya Allah dari mencemarkan nama baik ahli rumah Rasulullah)! Ini adalah satu dusta besar yang mengejutkan”.
[17]
Allah memberi pengajaran kepada kamu, supaya kamu tidak mengulangi perbuatan yang sedemikian ini selama-lamanya, jika betul kamu orang-orang yang beriman.
[18]
Dan Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keterangan (hukum-hukumNya); kerana Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.
[19]
Sesungguhnya orang-orang yang suka terhebah tuduhan-tuduhan yang buruk dalam kalangan orang-orang yang beriman, mereka akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya di dunia dan di akhirat; dan (ingatlah) Allah mengetahui (segala perkara) sedang kamu tidak mengetahui (yang demikian).

(Surah An.Nur)
__________________________________

Pada dasarnya membuka keaiban sesama saudara Islam adalah dilarang oleh Islam, terutamanya keaiban orang Islam yang dikenali sebagai orang baik dan sentiasa melakukan kebaikan yang telah diakui oleh masyarakat, kecuali membuka keaiban orang yang sememangnya jahat yang sentiasa merosakkan masyarakat kerana membuka keaiban mereka itu bertujuan memperingati masyarakat supaya sentiasa berwaspada dan berjaga-jaga daripada dirosakkan oleh orang yang berperangai buruk tersebut. Perbuatan mencegah kemungkaran dan kejahatan adalah disuruh dan ianya juga suatu kewajipan yang perlu diaplikasi dan diaktifkan sepanjang zaman.

Sekian...Wallahu aklam.

Thursday, September 23, 2010

Berfikir ketika berpuasa hasilnya lebih bernas.

Salam semua.

Hanya berdasarkan pengalaman dan pemerhatian sahaja.

Saya merasakan lebih lancar dan rancak menulis semasa sedang berpuasa. idea dan ilham datang mencurah-curah sekali duduk sahaja dapat menyelesaikan artikel yang ditulis.semasa menulis hendaklah duduk di tempat yang selesa dan aman dari sebarang gangguan.

Mungkin juga puasa yang diikuti dengan mengambil sahur dengan sempurna serta di waktu afdal iaitu hampir waktu Subuh, agaknya elemen karut tiada menyusup ke dalam minda ketika kita berpuasa kecuali sedikit, keadaan itu menyebabkan kita dapat berfikir dengan bersih dan ikhlas hati, kondisi itu sesuai untuk minda berfikir dengan cergas dan cerdas.

Ketika menulis tidak terlintas akan berhenti makan atau minum, ketiadaan unsur ini juga memberi ruang lebih luas kepada minda untuk menumpu dan memberi fokus kepada topik yang sedang disempurnakan.Dengan itu hasil buah fikiran akan lebih bernas berbanding sewaktu tidak berpuasa.


Mungkin ketika berpuasa darah bergerak lebih lancar dan membekalkan oksigen yang cukup ke kawasan otak berbanding dengan situasi ketika tidak berpuasa. Situasi ketika tidak berpuasa darah lambat bergerak kerana ianya mungkin lebih pekat atau tebal terutamanya bagi mereka yang lanjut usia.

Sebab itulah agaknya setelah tamat puasa Ramadan Allah memberi peluang seterusnya kepada kita berpuasa sunat pada bulan Syawal , Isnin, Khamis dan pada masa-masa yang lain lagi dengan ganjaran pahala yang berbaloi, disamping menyihatkan badan.

Sekian...Wallahu aklam.

Puasa Sunat Syawal ( Puasa Enam)

Salam semua .

Laman Kehidupan Bersih telah beberapa kali menukilkan mauduk ini, sehingga hari ini masih belum jemu-jemu menulisnya semata-mata kerana ingin memaparkan sekelumit pandangan mengenainya.

Sebentar tadi saya terbaca nukilan yang disiarkan di muka N17 Sinarharian (Selangor). KHAMIS 23 SEPTEMBER 2010 yang ditulis oleh Abdul Jalil Ali. Saya percaya ramai bersetuju dengan pandangan dan pendedahan atau senario yang digambarkan oleh penulis tersebut.

Kesukaran memulakan puasa sunat Syawal pada 2hb.Syawal dan meneruskan tanpa berselang hari bagi mereka yang ingin berpuasa dan ingin mematuhi sepenuhnya saranan Rasulullah.s.a.w. atau mendapatkan yang paling afdal, memang dirasai ramai orang seperti digambarkan oleh Abdul Jalil Ali itu. Saya sendiri hanya pada hari ini (14 Syawal 1431) baru akan sempurna berpuasa menjelang Maghrib nanti, kerana kekangan seperti yang disebutkan oleh beliau. Itupun kalau dipanjang umur, insya Allah akan tercapai.

Kekangan yang dihadapi di antaranya menyesuaikan diri dengan amalan adat seperti menziarahi sanak saudara sebaik sahaja tamat Ramadan dan menyempurnakan undangan Hari Terbuka atau menyambut tetamu yang bertandang ke rumah.Menziarahi sanak saudara sebenarnya amalan yang digalakkan oleh Islam, cuma iringan dan perkara sampingan itu yang kekadang dikuasai adat.Ibadat dan adat yang disepadukan secara tidak teliti menyebabkan terhakis kualiti ibadat.

Pada hemat saya dalam hal ini kita perlu sanggup membuat anjakan, anjakan ke arah lebih menyempurnakan saranan Rasulullah.s.a.w. iaitu Berhari Raya Aidil Fitri pada 1hb.Syawal, manakala 2hb.Syawal sehingga 7hb.Syawal berpuasa sunat secara berjamaah (beramai-ramai) dan Berhari Raya Kedua pada 8hb.Syawal, serentak dengan itu Hari Terbuka hendaklah bermula pada 8hb.Syawal bukan sebelumnya kecuali 1hb.Syawal.

Sekiranya kita membiarkan Hari Terbuka dan adat ziarah yang sedia diamalkan ini diteruskan tanpa memperdulikan atau memgutamakan puasa sunat pilihan waktu afdal, maka selagi itu kita tidak akan dapat mencapai amalan yang terbaik. Kalau amalan yang disyorkan ini diamalkan secara individu mereka yang mengamalkannya akan dilihat seperti kera sumbang walaupun hakikatnya mereka yang terbaik. Untuk mencipta atau mewujudkan umat yang terbaik memerlukan penglibatan secara berjamaah dengan cara ini sahaja dipercayai dan diyakini hasilnya akan lebih berkesan.

Amalan berhari raya sampai akhir Syawal tidaklah menjadi lebih baik sekiranya amalan yang diharapkan oleh Rasulullah.s.a.w.dipinggirkan atau diketepikan dengan mengutamakan adat.


Sekian...Wallahu aklam.

Tuesday, September 21, 2010

Jom...Singgah di Pulau Pinang.

Salam semua.

Dari Kedah singgah di Pulau Pinang.

Jom...Singgah di Pulau Pinang makan roti Mamak bersama bubur kacang atau kari ikan.Makan pulut bersama bubur kacang pun sedap juga....boleh pilih sebab macam-macam ada.