Friday, September 24, 2010

Orang Islam berkewajipan menutup keaiban saudaranya.

Salam semua.

Dalam menjaga maruah diri, seseorang Islam itu berkewajipan menutup keaiban dirinya supaya tidak diketahui dan terdedah kepada umum.Melakukan kejahatan adalah suatu perbuatan yang aib dan dosa di sisi Allah , ianya akan bertambah dosa sekiranya kejahatan yang dilakukan itu didedahkan kepada orang lain.Biarlah Allah dan dirinya atau orang yang berkaitan sahaja yang mengetahuinya dengan cara itu perbuatan yang terlanjur itu akan mudah mendapat keampunan Allah. Situasi ini tidak menyebabkan kejahatan yang telah dilakukan itu mendorong orang lain untuk melakukannya.

Melakukan kejahatan dan berbangga-bangga dengannya pula adalah suatu kebodohan dan kejahilan yang berganda dan merugikan diri dan masyarakat, sama ada berbangga-bangga secara disedari atau sebaliknya, nilainya tetap buruk dan hina di sisi Allah.

Demikian juga kita disuruh menutup keaiban saudara kita sesama Islam, perbuatan mendedahkan keaiban saudara sesama Islam akan memberi peluang kepada musuh Islam mengambil kesempatan memburukkan lagi keadaan dan menyebabkan Islam menerima kerugian,lebih buruk lagi jika pendedahan itu merongkai dan membuka rahsia yang sepatutnya ditutup supaya tidak diketahui oleh musuh Islam.

Musuh Islam melihat keburukan yang dilakukan oleh orang Islam sebagai keburukan Islam, walaupun keburukan itu bukanlah direstui oleh Islam dan sudah tentu setiap kejahatan dilarang oleh Islam.

Membuat fitnah sesama Islam adalah suatu lagi dosa yang amat besar kerana ianya diibaratkan sebagai lebih buruk daripada perbuatan membunuh. Orang yang mereka- cipta fitnah ini sudah semestinya terdiri daripada individu yang jahat dan amat kurang imannya, sebab itulah orang-orang yang beriman dinasihatkan supaya menyiasat terlebih dahulu apabila sampai kepada mereka sesuatu berita, terutamanya berita yang memburukkan sesuatu pihak atau puak. berlebih-lebih lagi pada zaman yang kaya dan makmur dengan fitnat ini. Zaman ini nampaknya menuntut kita membawa diri di dalam kehidupan bermasyarakat secara yang lebih berwaspada dan berhemah.

Dalam hal ini penulis dan pengguna laman sesawang, facebook, twitter , media cetak dan berbagai media lagi lebih senang terperangkap atau memerangkap diri dalam kancah tersebut.

_________________________________

[14]
Dan kalaulah tidak kerana adanya limpah kurnia Allah dan rahmatNya kepada kamu di dunia dan di akhirat, tentulah kamu dikenakan azab seksa yang besar disebabkan kamu turut campur dalam berita palsu itu; -
[15]
Iaitu semasa kamu bertanya atau menceritakan berita dusta itu dengan lidah kamu, dan memperkatakan dengan mulut kamu akan sesuatu yang kamu tidak mempunyai pengetahuan yang sah mengenainya; dan kamu pula menyangkanya perkara kecil, pada hal ia pada sisi hukum Allah adalah perkara yang besar dosanya.
[16]
Dan sepatutnya semasa kamu mendengarnya, kamu segera berkata: “Tidaklah layak bagi kami memperkatakan hal ini! Maha Suci Engkau (ya Allah dari mencemarkan nama baik ahli rumah Rasulullah)! Ini adalah satu dusta besar yang mengejutkan”.
[17]
Allah memberi pengajaran kepada kamu, supaya kamu tidak mengulangi perbuatan yang sedemikian ini selama-lamanya, jika betul kamu orang-orang yang beriman.
[18]
Dan Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keterangan (hukum-hukumNya); kerana Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.
[19]
Sesungguhnya orang-orang yang suka terhebah tuduhan-tuduhan yang buruk dalam kalangan orang-orang yang beriman, mereka akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya di dunia dan di akhirat; dan (ingatlah) Allah mengetahui (segala perkara) sedang kamu tidak mengetahui (yang demikian).

(Surah An.Nur)
__________________________________

Pada dasarnya membuka keaiban sesama saudara Islam adalah dilarang oleh Islam, terutamanya keaiban orang Islam yang dikenali sebagai orang baik dan sentiasa melakukan kebaikan yang telah diakui oleh masyarakat, kecuali membuka keaiban orang yang sememangnya jahat yang sentiasa merosakkan masyarakat kerana membuka keaiban mereka itu bertujuan memperingati masyarakat supaya sentiasa berwaspada dan berjaga-jaga daripada dirosakkan oleh orang yang berperangai buruk tersebut. Perbuatan mencegah kemungkaran dan kejahatan adalah disuruh dan ianya juga suatu kewajipan yang perlu diaplikasi dan diaktifkan sepanjang zaman.

Sekian...Wallahu aklam.

No comments: