Tuesday, September 28, 2010

Loteri Kebajikan Masyarakat...judi yang berjenama terkenal dan mengelirukan.

Salam semua.

Setelah saya terbaca kisah bantuan kewangan kepada rakyat miskin di Pulau Pinang yang dipertikaikan kerana dikatakan wang tersebut hasil daripada sumber judi, hati saya terpanggil untuk menulis artikel ini dan sengaja meletakkan tajuk seperti tertera di atas. Adakah selama ini hasil kerajaan negeri-negeri dan juga persekutuan terselamat daripada terambil atau sengaja mengambilnya daripada sumber judi, adakah lesen yang dikeluarkan kepada pengusaha judi tanpa apa-apa cukai atau bayaran dikenakan ke atas mereka,.jika bayaran diambil bermakna hasil pendapatan kerajaan telah bercampur aduk di antara yang haram dan halal.. Apabila berlaku situasi begini tentulah rakyat tidak lagi bertanggungjawab atas keputusan yang diambil, mereka hanya mampu memberi teguran dan bangkangan.

Apabila rakyat menerima bantuan kerajaan mereka tidak diwajibkan untuk memeriksa atau menyiasat daripada mana wang itu diperolehi, sama juga dalam aktiviti jual-beli, pertukaran wang yang berlaku tidak perlu disiasat daripada mana sumber kewangan itu diperolehi oleh kedua-dua pihak walaupun ada kemungkinan wang orang bukan Islam datangnya daripada hasil jualan daging babi dan lain-lain aktiviti yang diharamkan kepada orang Islam.

Demikian juga, jika orang Islam membeli ikan bilis atau ikan kering yang ada di antaranya diusahakan secara yang tidak suci atau najis, kita tidak disuruh menyiasat sampai ke akar umbinya melainkan memadai ala kadar yang sesuai sahaja.

Penjawat awam dan pesara kerajaan yang menerima bayaran setiap bulan tidak perlu memikirkan daripada mana sumber itu diperolehi, mereka memadai berpegang bahawa wang yang diterima itu adalah dari wang kerajaan, daripada mana wang itu diperolehi kerajaan, itu adalah tanggungjawab mereka yang berkuasa di dalam kerajaan. Samalah juga mereka yang menerima bantuan kerajaan kerana mereka menerima wang kerajaan bukan wang pihak yang lain, kalau kerajaan menerima atau mengambil wang itu daripada sumber haram, perbuatan itu tertanggung di atas pertimbangan dan tanggungjawab pihak yang berkuasa (kerajaan). Sumber haram bukan sahaja hasil judi, ianya termasuklah wang yang dihasilkan daripada sistem riba dan berbagai lagi.

Pada suatu ketika dahulu pernah dilancarkan loteri yang dikenali sebagai Loteri Kebajikan Masyarakat, jenama ini sangat terkenal pada masa itu dan dianggap mengelirukan masyarakat Islam , manakan judi boleh dianggap kebajikan,sedangkan kebajikan yang diasuh melalui istilah Islam sangat bercanggah dengan konsep tersebut.

Mungkin operasinya disokong oleh pihak kerajaan, sebab itulah agaknya loteri ini menjadi masyhur. Saya tidak pasti sama ada aktiviti judi tersebut masih beroperasi atau sebaliknya.Mereka yang faham Islam dan ingin menghayatinya melahirkan teguran dan tentangan yang hebat terhadap kegiatan judi tersebut, akhirnya hasil judi tersebut dijadikan perolehan kerajaan, mungkin untuk menyejuk dan meredakan keadaan serta mengelakkan daripada bantuan yang diberikan kepada rakyat ditolak kerana ianya datang secara terus dari sektor judi. Pernah berlaku pertikaian dan kekecohan minda apabila anak qariah mengetahui pihak kerajaan mendapatkan bantuan secara terus dari Loteri Kebajikan Masyarakat untuk membina salah sebuah masjid .


Apa pun alasan kita tidak boleh menolak perintah Allah supaya menyuruh melakukan perkara ma'aruf dan mencegah kemungkaran kerana kegiatan itu adalah asas kesejahteraan masyarakat, judi salah satu perkara mungkar maka ianya perlu dicegah oleh rakyat dan kerajaan.

Sekian...Wallahu aklam.

No comments: