Wednesday, September 8, 2010

Ramadan mengembalikan seluruh famili berkumpul semula di meja makan.

Salam semua.

Ramadan mengembalikan seluruh famili berkumpul semula di meja makan.

Ibu bapa sebelum tahun 80an berkesempatan dan mengutamakan makan tengahari dan makan malam sekeluarga ( famili) di meja makan atau di atas hamparan tikar mengkuang.Mereka masih mengamalkan konsep makanan untuk seorang cukup untuk tiga orang jika makan serentak di meja makan.Amalan ini jarang diamalkan pada masa sekarang kerana ibu bapa sebok dengan urusan mencari rezeki yang mana situasinya lebih sukar dan susah berbanding dengan orang zaman tahun 80an dan sebelumnya mencari rezeki.

Oleh sebab orang zaman kini sebok mencari rezeki atau bekerja dan mempunyai pendapatan yang lebih banyak dan mewah. Mereka tidak lagi berfikir mengenai "makanan untuk seorang cukup untuk tiga orang". zaman ini lebih kepada siapa lapar siapa makan dan tidak perlu lagi menunggu sesiapa, kalau makanan tidak disediakan di rumah mereka boleh sahaja pergi ke warung atau restoran yang berdekatan untuk makan.

Kesenangan dan kemewahan ini nampaknya telah memberi sedikit sumbangan kepada kerenggangan hubungan ahli keluarga yang biasanya akan berjumpa di meja makan sekurang-kurangnya dua kali sehari. Pada ketika inilah ibu bapa akan memantau dengan bertanya perkembangan anak-anak serta memberi nasihat dan peringatan yang sepatutnya.Meja makan atau hamparan tikar mengkuang bertindak sebagai sekolah di rumah, di mana ibu bapa mengambil kesempatan menanamkan berbagai nilai baik kepada anak-anak, di sinilah juga perdu dan pohon ungkapan "suruhan dan "larangan" yang ditanamkan ke dalam jiwa anak-anak.Meja makan merupakan titik pertemuan yang amat bermakna sehingga menjadi kenangan apabila mereka dewasa nanti, walaupun ibu bapa telah tidak lagi bersama di dunia ini tetapi anak-anak masih teringat dan kenangankan berbagai peristiwa dan pesanan ibu bapa di meja makan ketika mereka kanak-kanak.

Cerita tersebut kini sudah menjadi sejarah kerana amalan tersebut jarang dipraktikkan, anak-anak kekadang membawa pinggan nasi atau makanan ke hadapan peti Televisyen untuk mereka makan sambil menonton. makanan disediakan secara KTA ( kuah dan lauk pauk taruh atas nasi - tidak berhidang ).

Semua pengabaian itu mampu dikumpulkan semula di meja makan oleh Ramadan al.Mubarak.Ketika berbuka puasa semua ahli keluarga akan berkumpul di meja, beberapa minit sebelum masuk waktu Maghrib iaitu waktu berbuka puasa ketika itu semua ahli keluarga tanpa kecuali seorang pun telah bersiap sedia di meja makan untuk berbuka puasa, ketika ini wajah semua orang kelihatan ceria dan gembira, malah ditambahkan pula dengan berdoa sebelumnya.Demikianlah kemampuan Ramadan mengembalikan famili berkumpul semula di meja makan.

Nampaknya orang Melayu dan juga semua bangsa di dunia ini yang beragama Islam akan menjadi lebih berdisiplin dan indah akhlak mereka apabila mereka betul-betul mengikut perintah Allah dan kembali sepenuhnya kepada cara hidup Islam.Mereka akan menjadi manusia yang lebih baik dan jujur dalam semua urusan,menepati masa dan sanggup mematuhi jadual dalam mengatur kehidupan harian mereka, sebagai contoh sepanjang bulan Ramadan selepas tengah malam mereka akan bangun menyediakan sahur dan makan sahur, apabila tiba waktu Subuh mereka pula akan menunaikan solat Subuh sama ada di rumah, surau atau masjid, sebaik sahaja masuk Subuh mereka juga memulakan ibadat berpuasa sehingga tiba waktu Maghrib, di antara Subuh dan Maghrib pula mereka menunaikan solat Zohor dan Asar, sebaik selepas berbuka puasa ketika Magrib mereka menunaikan pula solat Magrib, selepas itu mereka berehat sebentar kemudian barulah menunaikan solat Isyak apabila tiba waktunya sejurus selepas Maghrib itu, sebaik sahaja selesai menunaikan solat Isyak mereka menunaikan solat sunat Tarawih, ini juga boleh dilakukan di rumah,surau atau masjid.Selepas selesai solat Tarawih mereka berehat sebentar, kemudian tidur sebagai menunaiklan tuntutan kesihatan, sebelum bersahur ada yang melakukan Qiamullail dengan bersolat sunat dan membaca al.Quran.

Demikianlah Kolej Ramadan mendidik orang Islam supaya berdisiplin dan berakhlak mulia, Ramadan yang dikurniakan Allah kepada hamba-Nya nampaknya berjaya menjalankan tugasnya sebagai bulan ibadat dan penghayatan ibadat kelihatan terserlah dan mengkagumkan.Tiada lagi bulan lain selain Ramadan yang dapat menggerakkan umat Islam ke arah menghayati ibadat yang begitu mengkagumkan aktivitinya sepanjang bulan, melainkan bulan Zulhijjah di mana berjaya menggerakkan manusia di seluruh pelusuk dunia datang berkumpul di Makkah al.Mukarramah untuk mengerjakan ibadat Haji.


Sekian...Wallahu aklam.

No comments: