Wednesday, September 8, 2010

Tugas dan tanggungjawab Ahli Jawatankuasa masjid/surau.

Salam semua.

Pada hematku.

Ahli Jawatankuasa Masjid/Surau adalah organisasi terakhir sebagai pemegang amanah .

Ahli Jawatankuasa Masjid atau Surau adalah pihak yang diberi amanah oleh Kerajaan dan juga anak Qariah untuk mentadbir dan menguruskan serta membuat perancangan bagi memajukan dan memakmurkan masjid/surau.Segala kemajuan atau kemunduran yang dialami oleh institusi ini mereka adalah di antara pihak yang terlibat dengan kata pujian dan penghinaan kerana AJK.Masjid/Surau adalah organisasi terakhir sebagai pemegang amanah dan pengurusnya selepas Jabatan Agama Islam Negeri, di mana Jabatan Agama Islam Negeri adalah sebagai pentadbir pertama dan tertingginya.

Ahli Jawatankuasa Masjid/Surau adalah perancang kemajuan bagi institusi tersebut, mana-mana pihak yang ingin memberi sumbangan sudah tentulah wajib melalui mereka ini, merekalah salurannya, sekiranya mana-mana individu atau organisasi yang mempunyai wang yang banyak atau tenaga yang berlebihan dan ingin memberi sumbangan kepada mana-mana masjid tentulah tidak dapat mengelakkan diri dari melalui dan menggunakan saluran ini terlebih dahulu, kalau peraturan ini diabaikan berkemungkinan pengurusan Ahli Jawatankuasa yang sedia terancang akan menjadi celaru dan terganggu.

Bahkan pihak pengurusan tertinggi sekali pun mereka memaklumkan kepada AJK sekiranya pihak atasan ingin membuat atau melaksanakan apa-apa projek terhadap sesuatu masjid/surau.Cara ini adalah prosedur yang sudah menjadi amalan dan diamalkan di mana-mana di negara kita.Prosedur merupakan adab dan santun melakukan sesuatu aktiviti di dalam sesuatu institusi, sama ada institusi kerajaan mahupun bukan kerajaan.

Kalau mana-mana pihak masuk ke kawasan masjid melakukan sesuatu aktiviti yang melibatkan aktiviti yang merupakan aktiviti di bawah tanggungjawab AJK.Masjid seperti menanam pokok bunga atau bergotong-royong membersihkan masjid atau lain-lain aktiviti sekali pun tanpa meminta kebenaran atau persetujuan tentulah perjalanan aktiviti itu akan dilihat sebagai menceroboh atau tidak ikut prosedur atau melanggar adab ,walaupun aktiviti yang dilakukan itu sangat baik dan aktiviti kebajikan kerana Islam tidak menghalalkan cara.Memanglah Allah menyuruh kita berlumba-lumba melakukan kebajikan tetapi bukan dengan cara yang menimbulkan sesuatu yang tidak baik di penghujungnya.Selain daripada mendapatkan keredaan Allah, kita juga dikehendaki mendapatkan keredaan sesama Islam.

Apabila amanah telah diberikan kepada AJK, maka anak Qariah sewajibnyalah menaruh kepercayaan kepada mereka selagi mereka tidak melanggar peraturan yang diamanahkan, sekiranya ternyata mereka melakukan penyelewengan barulah anak Qariah layak menggugurkan mereka.

Dalam pada itu AJK.Masjid/Surau hendaklah sentiasa beringat dan istiqamah menjalankan tugas mereka dengan baik dan betul-betul ingin memakmurkan masjid/surau. Pertimbangan mereka juga perlulah adil, disamping memahami situasi masyarakat semasa yang semakin kompleks dan mencabar.Mereka juga hendaklah sentiasa menambahkan ilmu pengetahuan khasnya mengenai syariat Islam supaya mereka sentiasa dilihat oleh anak qariah sebagai orang yang mempunyai kelayakan dan sesuai mentadbir institusi ibadat seperti masjid dan surau.Mereka juga hendaklah sentiasa menunjukkan contoh dan teladan yang baik, iaitu sekurang-kurang dilihat baik sebagai seorang mukmin di kalangan masyarakat setempat.

Sekian...Wallahu aklam.

No comments: