Monday, September 27, 2010

Senario masyarakat Malaysia sekarang semakin berhajat kepada pendekatan Islam.

Salam semua.

Saban hari rakyat Malaysia terpaksa menatap berita dan kisah-kisah yang tidak mereka gemari sehingga apabila dibaca akan tersemat di dalam minda dan terbawa ke mana-mana mereka pergi mahupun ke pejabat, di mana-mana terdapat tempat selesa akan menjadi meja perbincangan dan andaian bersama kekawan. Bermula dengan kes membunuh dan memotong-motong badan mangsa kepada delapan kerat dan ditanam di dalam kawasan rumah, membunuh dan dipotong-potong badannya juga pernah terjumpa di dalam rumah di salah satu kawasan perumahan, dua peristiwa itu berlaku beberapa tahun yang telah lalu, membuang bayi pula sudah menjadi adat kerana ianya berlaku tidak terkira lagi bilangannya.Kejadian merompak dan rasuah menjadi lumrah, beritanya sering terpampang di dada akhbar tempatan sehingga pembaca menganggap perkara biasa dan tidak lagi terperanjat dengan perkhabaran tersebut seperti zaman dahulu. Orang sekarang telah menjadi seumpama mangli dan sebati dengan berita jenayah.

Memandu kereta dan menunggang motorsikal secara gila-gila oleh para perempet juga telah menjadi lumrah dan semakin senang bertembung dengan mereka dijalan raya, bonggol-bonggol jalan terpaksa dibina di kawasan perumahan untuk mengelakkan dan menghalang daripada kebisingan merempet dan berbahaya kepada pengguna jalan raya yang lain. Berita terkini pembunuhan empat nyawa serentak dan menambahkan ngeri lagi apabila dikatakan mayat-mayat itu dibakar dan dicampakkan ke dalam sungai dan ada yang ditanam di kawasan yang tersembunyi dan banyak lagi peristiwa buruk yang tidak mampu disenaraikan di sini. termasuk kes kehilangan manusia yang kelihatan misteri, walaupun sebenarnya tidak misteri. Senario buruk dan keji ini kelihatan auranya semakin hari semakin bertambah buruk lagi.

Kebanyakan masyarakat mengandaikan senario tersebut tidak mampu dikurangkan dengan kaedah yang sedia digunapakai sekarang, buktinya kebanyakan kawasan taman perumahan atau di tempat-tempat kediaman terpaksa disediakan Pengawal Keselamatan milik swasta untuk menjaga dan mengawal keselamatan nyawa penduduk dan harta benda terutamanya pada waktu malam.Tindakan ini dilakukan berikutan persekitaran yang tidak menjanjikan keamanan dan ketenteraman kepada ahli keluarga mereka.

Wujudnya senario ini kerana terdapat ramai manusia tidak dididik dan diasuh dengan sewajarnya seperti yang dianjurkan di dalam Al.Quran dan Hadis.Manusia sekarang memerlukan pendidikan yang lebih mantap lagi, terutamanya pendidikan rohani , dalam hal ini mereka memerlukan pendekatan secara Islam kerana Islam mengajak dan mengajar manusia mengenal Tuhan ( Allah ), di mana Allah itu adalah Tuhan yang mencipta sekalian alam ini dan Allah Maha Berkuasa atas segala-galanya

. Allah menyediakan syorga dan neraka untuk manusia, mereka yang taat perintah Allah akan dimasukkan ke dalam syorga selepas mati nanti dan bahagialah manusia yang baik itu di dalamnya, manakala manusia yang jahat akan disiksa di dalam neraka. Demikianlah keadilan Allah ,

Mereka yang baik sewajarnyalah diberi ganjaran baik dan mereka yang jahat dan merosakkan orang lain sewajarnya disiksa di akhirnya nanti.Inilah perkara penting yang akan menjadi fokus timbangtara manusia di dalam kehidupan mereka di dunia ini.Kebaikan dan kejahatan yang ditakrifkan oleh Islam itu adalah adil dan sesuai dengan fitrah (kejadian manusia) iaitu takrif yang boleh diterima oleh semua pihak.

Manusia yang mempercayai wujudnya Tuhan akan mengelakkan diri daripada melakukan kejahatan dan jenayah sesama manusia, khasnya jenayah yang serius dan merosakkan struktur kehidupan masyarakat, mereka juga akan sentiasa memikirkan tentang dosa dan pahala dalam setiap aktiviti yang dilakukan berdasarkan kepercayaan masing-masing

Manusia perlu diajar dan difahamkan hakikat hidup di dunia ini, mereka perlu yakin bahawa dunia ini adalah tempat sementara jua, manusia yang memahaminya tidak akan sesat dan mabuk dengan kehidupan dunia yang sarat dengan penipuan ini, lihatlah mereka yang jahat sama ada jahat yang kelihatan jahat atau orang jahat yang kelihatan baik, mereka sentiasa bimbang akan balasan terhadap kejahatan mereka.

Mereka yang merompak akan bimbang kalau-kalau ditangkap oleh pihak yang berkuasa, pemimpin yang rasuah dan salahguna kuasa pula rasa bimbang kalau-kalau pemimpin yang mengambil alih pemerintahan negara pada suatu masa kelak akan menyemak semula kehidupan mereka yang telah lalu. Maka mereka terpaksa meneruskan kejahatan untuk mengekalkan kroni mereka supaya kehidupan mereka selamat sehingga ke akhir hayat, perkara ini boleh berlaku di mana-mana di dunia ini.Jin syaitan sangat patuh kepada ikrar mereka ketika bersama Adam dan malaikat pada suatu ketika dahulu.iaitu berjanji akan merosakkan anak-anak Adam dengan berbagai cara dan kaedah, hanya mereka yang beriman kepada Allah sahaja yang aman daripada hasutan dan terselamat daripada dipesongkan oleh jin dan syaitan..


Sebagai seorang Islam penulis meyakini bahawa pendidikan yang diamalkan berdasarkan ajaran Islam mampu menangani gejala tersebut daripada berleluasa.Sudah tentulah tidak sempurna jika pendidikan Islam tidak digandingkan dengan undang-undangnya kerana manusia itu sendiri terbina atas unsur rohani dan jasmani, maka kedua-dua unsur itu perlu dididik dan ditangani. Melihat kepada senario tersebut, nampaknya masyarakat sekarang semakin berhajat kepada pendekatan secara Islam untuk menyelesaikan masalah yang sedang berlaku setelah pendekatan bukan Islam gagal menanganinya.


Sekian...Wallahu aklam.

No comments: