Thursday, September 30, 2010

Berita Dusta.

Salam semua.
Menjadi agen penyebar berita dusta.

Dusta atau berbohong adalah suatu sifat yang diakui oleh semua agama dan semua bangsa di dunia ini sebagai sifat yang mazmumah, huduh dan keji. ianya membawa keburukan kepada individu dan masyarakat serta negara.

Berita atau cerita dusta boleh tersebar secara individu, berkumpulan dan juga melalui agen propaganda ( agen pendusta), terdapat juga berita dusta disebarkan secara besar-besaran yang terpaksa menggunakan khidmat pekerja yang ramai yang diberi gaji atau upah.

Berita dusta ada yang dilakukan oleh individu, syarikat atau kerajaan. dengan tujuan dan matlamatnya yang tertentu. terdapat juga berita dusta yang disebarkan itu dirancang dengan kemas dan rapi sehingga kelihatan betul dan benar. berlebih-lebih lagi pada zaman Sains dan teknologi canggih ini.

Apa pun alasan tidak akan mampu mengelakkan pekerja atau pegawai yang terlibat dengan penyebaran berita dusta ini daripada kemurkaan Allah. Jika seseorang individu itu merasakan gaji bulanan yang diterimanya itu sebahagian besar tugasnya adalah menyebarkan dan menjayakan propaganda dan pendustaan terhadap sesuatu pihak, maka ia berkewajipan mengambil keputusan berhenti atau mengundurkan diri dengan segera atau berikhtiar merubah keadaan. Untuk mereka yang suka-suka berdusta sudah tentulah tabiat itu tidak baik dan tidak seharusnya diteruskan.

Dalam hal ini Islam telah pun menggariskan dengan jelas mengenai larangan berdusta ini melalui ayat-ayat al.Quran dan melalui lidah, perbuatan dan pengakuan Rasulullah.s.a.w. di bawah ini diserta dalil-dalil berkaitan dengan perkara tersebut.
_______________________________

[11] Sesungguhnya orang-orang yang membawa berita yang amat dusta itu ialah segolongan dari kalangan kamu; janganlah kamu menyangka (berita yang dusta) itu buruk bagi kamu, bahkan ia baik bagi kamu. Tiap-tiap seorang di antara mereka akan beroleh hukuman sepadan dengan kesalahan yang dilakukannya itu, dan orang yang mengambil bahagian besar dalam menyiarkannya di antara mereka, akan beroleh seksa yang besar (di dunia dan di akhirat).
[12] Sepatutnya semasa kamu mendengar tuduhan itu, orang-orang yang beriman – lelaki dan perempuan, menaruh baik sangka kepada diri (orang-orang) mereka sendiri. dan berkata: “Ini ialah tuduhan dusta yang nyata”.
[13] Sepatutnya mereka (yang menuduh) membawa empat orang saksi membuktikan tuduhan itu. Oleh kerana mereka tidak mendatangkan empat orang saksi, maka mereka itu pada sisi hukum Allah, adalah orang-orang yang dusta.

[14] Dan kalaulah tidak kerana adanya limpah kurnia Allah dan rahmatNya kepada kamu di dunia dan di akhirat, tentulah kamu dikenakan azab seksa yang besar disebabkan kamu turut campur dalam berita palsu itu; -

[15] Iaitu semasa kamu bertanya atau menceritakan berita dusta itu dengan lidah kamu, dan memperkatakan dengan mulut kamu akan sesuatu yang kamu tidak mempunyai pengetahuan yang sah mengenainya; dan kamu pula menyangkanya perkara kecil, pada hal ia pada sisi hukum Allah adalah perkara yang besar dosanya.

[16]
Dan sepatutnya semasa kamu mendengarnya, kamu segera berkata: “Tidaklah layak bagi kami memperkatakan hal ini! Maha Suci Engkau (ya Allah dari mencemarkan nama baik ahli rumah Rasulullah)! Ini adalah satu dusta besar yang mengejutkan”.

[17] Allah memberi pengajaran kepada kamu, supaya kamu tidak mengulangi perbuatan yang sedemikian ini selama-lamanya, jika betul kamu orang-orang yang beriman.

[18] Dan Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keterangan (hukum-hukumNya); kerana Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.

[19] Sesungguhnya orang-orang yang suka terhebah tuduhan-tuduhan yang buruk dalam kalangan orang-orang yang beriman, mereka akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya di dunia dan di akhirat; dan (ingatlah) Allah mengetahui (segala perkara) sedang kamu tidak mengetahui (yang demikian).

[20] Dan kalaulah tidak kerana adanya limpah kurnia Allah dan rahmatNya kepada kamu, dan juga (kalaulah tidak kerana) bahawa Allah Amat melimpah belas kasihanNya, (tentulah kamu akan ditimpa azab dengan serta-merta).
( Surah An.Nur )
___________________________________
“Sebenarnya yang tergamak berdusta itu hanyalah orang-orang tidak beriman kepada ayat-ayat Allah dan mereka itu ialah orang-orang yang bertabiat berdusta.”
(Surah An-Nahl: 105)
_________________________________[221]
Mahukah, Aku khabarkan kepada kamu, kepada siapakah Syaitan-syaitan itu selalu turun?
[222]
Mereka selalu turun kepada tiap-tiap pendusta yang berdosa,
[223]
Yang mendengar bersungguh-sungguh (apa yang disampaikan oleh Syaitan-syaitan itu), sedang kebanyakan beritanya adalah dusta.

(Surah asy-Syu’araa) ____________________________________


Sabda Rasulullah: “Ada empat perkara jika sesiapa yang mempunyai empat perkara tersebut, maka ia adalah orang munafik yang nyata. Sesiapa (juga) yang memiliki salah satu daripada empat sifat tersebut bererti dia bersifat kemunafikan sehinggalah dia meninggalkannya. Empat sifat tersebut ialah apabila bercakap dia berdusta, apabila membuat persetujuan dia mengkhianati, apabila berjanji dia menyalahi dan apabila pertikaian dia melampaui batas.” –
(Hadis riwayat Bukhari).

Rasulullah bersabda: “Keimanan seseorang itu tidak sempurna sehinggalah dia meninggalkan pembohongan sama ada semasa bergurau senda atau berbalah.”
- (Diriwayatkan Abu Hurairah)


___________________________________

Sekian...Wallahu aklam.






No comments: