Thursday, September 2, 2010

Apabila membaca peristiwa baru teringat pula peristiwa lama.

Salam semua.
Bila saya membelek-belek suratkhabar pagi ini rupanya masih ada lagi cerita mengenai Yang Berhormat bukan Islam masuk ke surau atas jemputan AJK surau seperti mana yang telah dilaporkan, artikel ini juga nampaknya menyambung nyawa dan nafas kisah tersebut supaya ceritanya dianjak ke hadapan sedikit lagi.Walaupun laman ini tidak mempunyai ramai pembaca tetapi terdapat juga pembaca yang singgah di sini kerana di pinggiran lamannya terdapat berbagai pautan , mungkin mereka akan singgah sekejap untuk membacanya.

Apabila saya membaca kisah YB Teo Nie Ching (bukan Islam) masuk ke surau dan akhirnya menjadi isu panas sehingga hari ini, sepatutnya isu tersebut tidak layak dijadikan isu hangat, pada saya tiada isu pun.mungkin kita mempunyai isu yang lebih besar yang patut diketengahkan untuk kebaikan bersama, berbaloilah kalau kita hendak guna sedikit masa untuk berfikir pun kerana kita sendiri pun melakukan banyak perkara yang lebih besar lagi berbanding dengan peristiwa tersebut, dalam keadaan kita faham pula, ini bermakna kita sengaja melanggarnya.


Mampukah kita menafikan bahawa kita sering melihat wanita Islam masuk ke dalam masjid berkeadaan tidak menutup aurat, memakai seluar ketat yang mendedahkan potongan badan mereka yang menarik perhatian lelaki sempurna. Niat mereka masuk ke masjid sangat baik iaitu untuk menunaikan solat fardu ,tetapi hanya memakai pakaian menutup aurat buat beberapa minit ketika bersolat sahaja, sebaik sahaja selesai bersolat mereka pun menukar pakaian atau membuka pakaian yang menutup aurat, penukaran itu berlaku di tempat bersolat itulah juga , kemudian kembali kepada pakaian yang tidak menutup aurat, selepas itu berjalan keluar bersahaja sahaja.

Dalam upacara akad nikah di dalam masjid pula pengantin perempuan seolah-olah terkecuali dari hukum-hakam berpakaian yang telah dipelajarinya sekurang-kurang ketika kursus perkahwinan dahulu.Saya tidak berhajat hendak mengulas mengenai pakaian wanita, termasuk pakaian pengantin perempuan ketika upacara akad nikah di dalam masjid kerana situasi ini pembaca boleh alami sendiri dan gunalah pengalaman sendiri itu untuk dibawa berfikir kerana Islam.

Sebab itulah saya katakan bahawa isu YB.Teo masuk ke surau untuk berurusan dengan AJK. surau bukanlah isu yang layak dibincangkan secara umum, ia hanya memadai dibincangkan secara tertutup, itupun kiranya ada perkara yang kurang manis telah berlaku sepanjang beliau berada di situ. Saya menulis artikel ini bukan hendak menyebelahi mana-mana pihak tetapi yang jelas saya menyebelahi Islam. Saya ingin orang bukan Islam berjinak dengan Islam dan orang Islam perlu menjinakkan mereka bukan merenggangkannya.

Sekarang kita telah berada di dalam abad ke 21, walaupun belum sampai tahun 2020 tetapi ianya sudah hampir tiba, di mana tahun tersebut kita harapkan Malaysia akan menjadi sebagai negara maju setanding dengan negara-negara maju seperti Jepun, Korea dan beberapa buah negara barat yang lain.Kalau kita masih tidak mahu membuat anjakan cara berfikir terutamanya dalam hal Islam ini, umat Islam bawahan atau atasan pun yang tidak mendalami ilmu Islam akan menjadi celaru pegangan mereka, sepatutnya kita telah membuat anjakan minda supaya kita menilai sesuatu mengikut tertib dan adabnya yang tertentu bukan secara hentam kromo lagi seperti zaman dahulu.

Kalau menilai apa-apa yang berkaitan dengan Islam tentulah perlu merujuk kepada Al.Quran dan Hadith kerana segala panduan hukum-hakam terkandung di dalamnya, setiap hari Jumaat khatib mengingatkan kita supaya menyelesaikan sesuatu masalah dengan merujuk atau kembali kepada Allah dan Rasul-Nya.
Membaca artikel peristiwa bukan Islam masuk surau ini mengingatkan saya ketika di zaman remaja dulu. di mana saya sering memakai topi ketika cuaca panas,( banyak lagi contohnya yang tidak dimuatkan di sini ) maka ramailah orang dewasa menegur saya kerana mengikut pendapat mereka perbuatan saya itu tidak baik dan tidak manis dari segi Islam.Saya percaya teguran itu tidak berdasarkan nilai-nilai atau panduan yang dimaksudkan di atas kerana mereka yang menegur itu terlibat dengan dosa yang lebih besar lagi.

Bagi saya larangan itu adalah larangan Melayu bukan larangan Islam kerana pada ketika itu ramai orang Melayu ( Islam ) mengamalkan semangat padi, wanita mandi berkemban di perigi yang tidak berpagar atau bertutup dari pandangan orang lain, membuat khenduri sudah padi di mana dicampur-adukkan dengan adat yang mensyirikkan, semua kebiasaan di atas menjadi lumrah di kanpung-kampung ketika itu. Mereka sepatutnya menghapuskan kebiasaan yang tidak elok yang sedang diamalkan oleh masyarakat Melayu ketika itu daripada menegur saya memakai topi kerana semangat padi dan khenduri sudah padi yang sertakan dengan persembahan ( Lilin,bertih, kemiyan, lauk pauk, pulut kuning, susu dll ) itu amalannya seumpama amalan memuja Tok Kong ( Tok Pekong ), lebih besar dosanya dan begitu juga kebiasaan mandi di tempat yang terdedah dan terbuka tanpa menutup aurat kerana ini sudah menjadi kebiasaan, mereka tidak terasa bahawa perkara itu suatu dosa yang lebih serius sifatnya.

Penilaian yang berdasarkan ilmu Islam dan yang merujuk kepada Allah dan Rasul-Nya tidak akan tersasar ke arah yang tidak betul atau tidak tepat.


Adalah tidak rasional kalau di zaman yang serba moden dan serba maju serta canggih seperti sekarang ini penilaian terhadap sesuatu masalah masyarakat masih di takok lama lagi. Zaman ini rakyat yang berpelajaran tinggi dan menengah telah ramai , mereka telah memiliki ilmu di dalam berbagai bidang, ini semua terhasil daripada negara Malaysia yang memiliki puluhan universiti tersergam di merata ceruk di seluruh negara. Marilah sama-sama kita fikirkan supaya faedahnya akan dapat dimanfaatkan oleh masyarakat negara kita yang berbagai kaum dan agama ini.

Sekadar hematku sahaja.

Sekian...Wallahu aklam.

No comments: