Thursday, September 9, 2010

Wajar rumah terbuka dianjak melepasi 7hb.Syawal...Hanya suatu cadangan.

Salam semua.

Pada hematku.

Sikap mengutamakan ibadat dapat mengelakkan pembaziran.

Dalam menyambut perayaan sama ada Aidil Fitri mahupun Aidil Adha, sekiranya umat Islam benar-benar mengikut ajaran Islam dalam setiap langkah menyambut perayaan ianya akan mengurangkan pembaziran kerana suruhan yang dianjurkan tiada suatu pun yang menyebabkan pembaziran.

Hari Raya Fitrah atau Aidil Fitri adalah hari untuk kita bergembira dan beribadat, setelah sebulan kita berlapar dan dahaga pada waktu siang kerana berpuasa, Allah memperuntukkan sehari untuk hamba-Nya bergembira dan beribadat dan enam hari berikutnya disuruh berpuasa walaupun suruhannya sunat dan agak ringan berbanding dengan suruhan yang wajib tetapi memilih untuk berpuasa pada 2hb.Syawal itu adalah lebih baik dan paling utama.Kiranya inilah pilihan kita insya Allah tidak akan berlaku pembaziran dan melibatkan perbelanjaan yang besar. Adat adalah faktor utama menjadikan kita membazir dan jika silap langkah bukan sahaja mengalami kerugian kebendaan atau wang ringgit tetapi juga pahala dan ganjaran baik yang menjadi simpanan untuk akhirat.

Pandangan ini mungkin kelihatan mundur dari segi aqlinya tetapi sebenarnya adalah suruhan yang hakiki yang belum diasimilasikan dengan unsur mazmumah,keji dan lagha. Siapakah yang mula mencemarkan perayaan Aidil Fitri yang suci ini, bukankah di dalam kitab-kitab yang merujuk dan membuat sudutan daripada ajaran al.Quran dan al.Hadis tidak langsung menyebut bahawa perayaan itu perlu disertai dan diiringi dengan membakar mercun, bunga api atau perlu mengadakan rancangan hiburan di TV atau sebagainya. Adakah kita merayakan Aidil Fitri atau kita sebenarnya "Berpesta Aidil Fitri" yang akan melenyapkan pahala ibadat puasa yang dihayati selama sebulan itu.

Adakah program "Rumah Terbuka" itu lebih afdal dari berpuasa sunat, salahkah jika program tersebut dianjak melepasi 7hb.Syawal ? jika tidak salah, siapakah pula akan memulakannya, rakyat atau pemimpinnya ?

Sekian ... Wallahu aklam.

No comments: