Sunday, September 6, 2009

Mengah panjat anak tangga masjid.

Malam tadi saya ke masjid Sultan Abd.Aziz. Shah Alam untuk bersolat Isyak dan terawih di sana. Jam 8.16 malam bertolak dari rumah setelah bergerak lebih kurang 0.5 km dari rumah baru disedari bahawa jam di dalam kereta itu memang terlambat lima minit daripada masa sebenar waktu Malaysia, maka kereta dipecut lebih laju takut nanti terlewat, memang saya pandu yang amat laju sehingga tayar belakang tidak sempat mengejar tayar depan sehinggalah sampai di lokasi....hehehe...... lawak bodoh ja. lawak-lawakpun yang sebenarnya memang laju juga, walaupun laju saya terlewat juga.


Sebaik sahaja sampai kedengaran bunyi iqamah, saya pun cepat-cepat berlari-lari anak supaya sempat bersolat empat rakaat bersama imam, tempat saya letak kereta itu agak jauh juga kerana tempat yang lebih dekat telahpun penuh.Saya ikut sahaja arahan pengawal yang sedia menunggu di kawasan letak kereta untuk membantu orang ramai yang berpusu-pusu datang ke masjid Shah Alam yang indah ini.

Setelah saya berlari-lari anak dan memotong beberapa orang yang mengambil keputusan dengan berjalan laju sahaja saya terasa mengah, akhirnya saya pun menukar rentak dengan berjalan laju pula sebaik sahaja sampai di hadapan tangga kedengaran Tok Imam pun takbir untuk rukuk, saya masih bergerak laju ketika naik tangga walaupun rasa mengah, ramai juga yang sedang memanpanjat tangga, di antara yang ramai itu salah seorang daripada mereka memandang dan senyum kepada saya, agaknya melihat saya berkejan-kejan mendapatkan imam kot. Dia naik tangga selamba sahaja, mungkin dia tidak sanggup hendak bergopoh gapah kot, saya pun beralih kepadanya dan menyatakan " mengah" beliau senyum, agaknya beliau terfikir di dalam hati bersendirian" mana tak mengah, tadi kan makan banyak ketika berbuka" dan beliaupun tidak menjawab agaknya tidak mahu mengubah dan mengganggu rentak kelajuan saya itu atau sedang asyik mendengar bacaan tok imam atau masa untuk berbalas cakap sudah tidak sesuai lagi, masing-masing tertumpu pada bacaan imam walaupun di luar solat.

Setelah selesai memanjat berpuluh-puluh anak tangga itu, rupa-rupanya masih jauh lagi nak kena berjalan, kawasan ini tidak boleh lagi berlari-lari anak kerana lantainya licin, di kawasan ini agak sebok kerana ramai juga yang terlewat dan bertembung pula dengan mereka yang naik menggunakan tangga di sebelah kanan, lelaki hendak ke depan manakala jamaah perempuan pula hendak ke kawasan mereka di saf belakang, kena betul-betul berhati-hati takut nanti bertembung dengan orang perempuan - " jadi kes naya nanti - bukan dapat pahala, silap-silap dapat pelempang. hahaha"
.


Alhamdulillah tak berlaku apa-apa pertembungan fizikal, cuma dok bimbang-bimbang takut berlaku sahaja, saya sampai di saf jamaah dengan selamat pada ketika Tok Imam sedang membaca ayat untuk rakaat yang kedua. suara Tok Imam seperti Imam di Masjid Makkah sungguh mengkhusyukkan, terasa kerugian kerana hanya sempat tiga rakaat sahaja bersama imam dan satu rakaat lagi sudah tentulah kena bangun dan menyempurnakannya secara bersendirian. Apapun saya masih bersyukur kerana solat terawih dapat bersolat dengan sempurna mengikut Imam iaitu 20 rakaat dan tiga rakaat solat witri ( witir) dengan dua salam.

Semasa saya memberi salam solat Isyak kedengaran di belakang sana suara bacaan ayat al.Quran yang agak kuat juga. rupa-rupanya mereka itu betul-betul lewat sehingga tidak sempat satu rakaatpun bersama imam oleh itu mereka terpaksa menunaikan Isyak secara berasingan dengan berimamkan imam yang lain iaitu di kalangan mereka yang datang lewat tadi. Demikianlah meriahnya masjid Shah Alam ini. Sayangnya ketika saya di masjid saya tidak bertemu seorangpun baik lelaki mahupun perempuan yang saya kenal, kalau ke masjid qariah saya sendiri tentu ramailah orang yang dapat saya berborak-borak dengan mereka selepas solat terawih dan makan jamuan more ( jamuan selepas solat terawih) sekali.

Ramai juga yang menyempurnakan solat sunat Terawih setakat lapan rakaat sahaja kemudian mereka pun keluar meninggalkan saf dan imam ketika itu terpaksalah mereka yang hendak mengikut imam dengan sempurna terpaksa bergegas ke saf depan yang dikosongkan untuk menyempurna tuntutan saf, saya sendiri dari saf tengah terpaksa pula bergerak ke hadapan sehingga ke saf yang ke dua, kali ini saya bernasib baik kerana tempat duduk bertentangan dengan kipas, rasa sangat nyaman dan bersolatpun semakin khusyuk dan suara bacaan imampun semakin jelas.

Saya tidak pasti mereka yang keluar selepas lapan rakaat itu sama ada mereka keletihan atau mempercayai bahawa solat lapan rakaat itu lebih afdal, kalau imampun solat lapan rakaat maka tiada apa yang cacat lagi kerana mengikut imam dengan sempurna, pada saya tidak afdal keluar selepas lapan rakaat sedang imam masih meneruskan solat rakaat yang berikutnya kerana perbuatan itu menggambarkan kita tidak patuh sepenuhnya kepada imam, solat yang mendapat pahala sempurna ialah solat yang sempurna ditunaikan bersama imam, jika keluar sebelum imam menyempurnakan solatnya bermakna kita juga tidak menunaikan solat sunat witri bersama imam, kalau balik ke rumah dan langsung tidak menyempurnakannya solat witri tentulah lagi berkurangan fadilatnya.

Di antara adab ke masjid makmum disunatkan datang awal dan balik kemudian daripada imam, manakala imam pula disunatkan datang kemudian dan balik dahulu daripada makmum. Keadaan tadi makmum balik jauh lebih awal daripada imam. Apapun kalau kerana keletihan terpaksalah diterima seadanya, kalau tidak buat semua tidak pula mereka buang semuanya. Mereka masih mendapat kebaikannya.

Nampaknya pihak pengurusan masjid ini sangat prihatin dan bertindak secara proaktif untuk kemudahan ahli jamaahnya, mereka menyediakan tempat menjaga atau mengasuh anak-anak untuk memberi peluang kepada ibu-ibu mengerjakan solat yang agak panjang masanya itu, perkhidmatan ini ditawarkan sehingga jam 11. 00 malam. Dulu ada ura-ura di jabatan kerajaan hendak mengadakan tempat asuhan kanak-kanak untuk kakitangannya tetapi sehingga saya bersara belum lagi menjadi kenyataan, sepatutnya perkara baik hendaklah dicepat-cepatkan supaya ianya menjadi lebih baik dan perkara jahat hendaklah dilambat-lambatkan supaya ianya tidak akan berlaku, agaknya kaedah ini tidak digunapakai atau mungkin juga usaha itu terdapat halangannya yang tertentu.

Kemudahan lain yang disediakan ialah mereka menyediakan pasukan perkhidmatan rawatan dan ambulan, pasukan ini bersedia untuk memberi bantuan segera kepada mereka yang mungkin tiba-tiba berlaku serangan terhadap kesihatan yang di luar jangkaan mereka yang terlibat. Selain daripada itu terdapat beberapa gerai jualan untuk kemudahan mereka yang sebok pada waktu siang membeli barang-barang keperluan terutamanya pakaian Hari Raya.

Saya sengaja menceritakan hal ini bukan semata-mata ingin menceritakan hal diri sendiri untuk dikenali dan merapatkan silaturrahim melalui alam maya ini tetapi selain daripada itu untuk kekawan saya yang tinggal di luar Shah Alam , mereka mungkin ingin mengetahui aktiviti saudara mereka di Shah Alam ini. Bagi mereka yang tinggal di Shah Alam , mungkin tidak perlu membaca cerita ini kerana mereka sendiri boleh datang ke sini dan mengalaminya sendiri.

Sekadar cerita santai di pagi Ramadan hari ke- 16.

Klik: sambung baca.




Sekian. Wassalam.

Saturday, September 5, 2009

Dua dalam satu - Sekadar muhasabah diri.

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ
Pada pagi ini saya ingin menulis subjek yang diharapkan boleh mendorong seseorang memperbaiki diri khususnya bagi orang yang berpuasa, tetapi peringatan dan pesanan ini sebenarnya untuk diri saya sendiri, namun demikian peringatan ini mungkin juga dapat dimanfaatkan oleh kekawan atau sesiapa sahaja yang ingin membuat muhasabah diri bertujuan untuk meningkatkan kualiti ibadat masing-masing. apapun matlamat utama ditulis rencana ini semata-mata ingin berpesan-pesan dan memujuk diri supaya meningkatkan kualiti ibadat puasa atau ibadat yang lain supaya ibadat puasa yang sedang dilaksanakan ini menuju ke arah puasa khusus alal khusus ( khusus al.khusus ) iaitu puasa darjat yang tertinggi atau apa-apa sahaja yang seumpamanya.

Dua Dalam Satu.
Istilah dua dalam satu ini adalah rekaan saya sendiri, di mana seseorang manusia melakukan dua perkara, iaitu satu perkara baik dan satu lagi perkara jahat, kedua-dua perkara itu dilakukannya di dalam waktu yang sama atau pada waktu yang berlainan tetapi dilakukan oleh orang yang sama. Hakikatnya perkara sebegini semua orang terlibat, semua orang melakukan kebaikan dan keburukan, ini telah menjadi lumrah kerana manusia itu tidak maksum. Perkara ini mungkin sukar dielakkan melainkan rasul-rasul dapat mengelakkannya kerana mereka adalah maksum atau dimaksumkan oleh Allah terhadap diri mereka.

Walaupun sukar hendak dielakkan tetapi terdapat aspek yang mampu dielakkan seperti orang berpuasa pada darjat khusus di mana mereka tidak minum dan makan serta menahan nafsu daripada melakukan perkara yang dilarang. Perkara ini sebahagian besar daripada orang Islam berjaya melakukannya walaupun masih terdapat mereka yang tidak mampu melakukannya, agaknya kerana jahil atau sememangnya tiada kekuatan untuk melaksanakannya, wallahu aklam.

Cuba perhati dan fikirkan.
Cuba kita lihat dan perhatikan sesetengah masyarakat Islam yang sedang berpuasa, mereka berpuasa tetapi pada waktu yang sama mereka mendedahkan aurat, meninggalkan solat, mengumpat, bergaduh di antara satu sama lain atau melakukan perkara yang dilarang. Inilah yang saya istilahkan sebagai dua dalam satu iaitu melakukan dua perkara serentak oleh seorang individu, dua perkara itu ialah kebajikan dan maksiat.
Sebagai contohnya seseorang itu sedang berpuasa tetapi tidak menunaikan solat fardu lima waktu yang juga hukumnya wajib.
Sedang berpuasa tetapi membuka aurat dan berada di khalayak ramai dan perbuatannya itu berdaya membuka nafsu sek orang lain atau membawa ke alam khayalan.
Sedang berpuasa tetapi mengumpat saudara sendiiri.
Sedang berpuasa menjalankan perniagaan haram dan banyak lagi contoh yang boleh diketengahkan.
Siapakah yang terkecuali daripada semua perbuatan tersebut, mungkin terdapat seseorang individu itu tidak mengumpat sesiapa tetapi apabila pergi ke Pasar Ramadan atau di khalayak ramai terpaksa melihat aurat mereka yang mendedahkannya tanpa segan dan silu sebagai seorang Islam,
mendengar atau duduk di dalam majlis orang mengumpat dan tidak mencegahnya atau tidak menasihatinya supaya berhenti mengumpat,

Pendeknya selagi umat Islam tidak merujuk kepada perintah Allah dan Rasul-Nya dan tidak berusaha mengamalkan sepenuhnya sistem kehidupan Islam, perbuatan songsang tersebut sukar hendak dikurangkan secara keseluruhannya tetapi secara individu masih ada ruang untuk berikhtiar untuk mengurangkannya dan sekali gus meningkatkan kualiti puasa dan kualiti ibadat lain amnya.

Penulis bukanlah di antara yang terbaik atas alasan itulah ingin berikhtiar dan muhasabah diri supaya darjat puasa diri sendiri menjadi lebih baik dan berkualiti.Hidup ini sebenarnya tumpang menumpang atau berkongsi di antara sama lain, sekiranya pemimpin itu baik, baiklah rakyatnya, begitulah juga sekiranya setiap individu itu baik terhasillah masyarakatnya juga baik , sekiranya masyarakat itu baik maka baiklah juga individu di dalam masyarakat itu. Hidup ini bagai aur dengan tebing.

Sekadar berfikir dan berikhtiar untuk kebaikan.

_________________


_________________

Sekian.Allah Maha Mengetahui. Wassalam.

Friday, September 4, 2009

Hadis untuk renungan orang yang berpuasa.


السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ

Sebahagian besar daripada kaum muslimin dan muslimat telah mengetahui bahawa kurniaan Allah pada bulan Ramadan terbahagi kepada tiga bahagian ; iaitu pada permulaannya adalah Rahmah, dipertengahannya Maghfirah dan di akhirnya pula Terlepas dari azab api neraka.

Sekarang kita sedang berada di dalam Zon Maghfirah, berdasarkan kenyatan di atas kita telah berada di pertengahannya ,Dinilai secara matematiknya 10 hari kita akan berada di dalam zon Rahmah, 10 hari di dalam zon Maghfirah dan 10 hari lagi di dalam zon Terlepas dari azab api neraka.

Untuk mendapat dan mencapai ketiga-tiga perkara tersebut marilah kita sama-sama merenungi dan memikirkan nasihat-nasihat dan saranan yang terkandung di dalam Hadis di bawah ini untuk kita memahami dan mematuhinya.

#####

"Puasa itu adalah benteng terhadap api neraka dan bagi-Ku-lah puasa itu,Aku-lah yang langsung akan membalasnya. Orang meninggalkan nafsunya, meninggalkan makan dan minum kerana Aku. Sesungguhnya bau mulut orang yang berpuasa itu ( di akhirat kelak ) lebih wangi di sisi Allah daripada bau kasturi."
(HQR Baghawi,Thabrani dan `Abadan yg bersumber dari Basyir bin Khashashiah)
#####
"Barangsiapa yang menjaga dengan hati-hati tiga perkara pasti dia dalam perlindungan-Ku. Dan barangsiapa yg mensia-siakannya, ia benar-benar termasuk musuh-Ku. Ketiga-tiga perkara itu adalah solat,puasa dan mandi Junub."
(R.Baihaqi dari Hasan,Mursalan dan Ibnu Najjar yg bersumberkan dari Anas r.a)
#####
"Bukanlah orang berpuasa itu hanya berpuasa dari makan dan minum sahaja,tetapi juga dari omong-omong kosong dan kotor. Jika ada yang memaki-makimu atau berbuat kurang ajar padamu, ucapkanlah aku sedang berpuasa, sungguh aku sedang berpuasa."
(Al-Hadis)
#####
"Banyak orang yang berpuasa yang tidak dapat bahagian (pahala) hanyalah lapar belaka dan banyak pula orang berjaga malam (untuk solat dan zikir) yang tidak dapatkan bahagian(pahala) dari berjaganya itu kecuali hanyalah (kelelahan/keletihan) berjaga-jaga itu saja."
(Hadis riwayat Ibnu Majah yg bersumber dari Abu Hurairah r.a.)

#####

Ulasan ringkas:
Seseorang yang berpuasa mestilah mematuhi syarat-syaratnya sepanjang masa, mereka hendaklah menjauhi segala larangan Allah serta melakukannya dengan ikhlas iaitu berpuasa semata-mata kerana menyempurnakan perintah Allah, oleh itu mereka yang berpuasa juga hendak memahami segala hukum mengenai puasa khasnya dan hukum-hakam Islam yang lain amnya, pendeknya melaksanakan atau mengerjakan ibadat hendaklah dengan berpandukan ilmu dan pengetahuan mengenainya.

Kategori orang yang berpuasa terbahagi kepada tiga iaitu:

- Puasa umum:
iaitu berpuasa secar taqlid atau ikut-ikutan (Pak Turut) sekadar menahan makan dan minum tetapi tidak menahan nafsunya yang lain.

- Puasa khusus:
iaitu puasa orang yang mengetahui, berpuasa bukan sekadar menahan makan dan minum sahaja malah menahan nafsu dan mematuhi perkara lain yang dituntut oleh Islam.

-Puasa khusus al.khusus:
Iaitu puasa orang yang tidak terlalai sedikitpun malah hatinya tergantung kepada Allah sepanjang masa, inilah puasa yang tertinggi darjatnya di dalam Islam.
__________________________________________

__________________________________________

Sekian. Allah Maha Mengetahui. Wassalam.

Thursday, September 3, 2009

Doa dan kehidupan

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ
Di dalam bulan Ramadan ini tercetus keluar dari hati orang Islam berbagai doa , mereka mengharapkan kebaikan dan kesejahteraan, mereka yang kurang berdoa telah bertambah bilangan doanya, mereka yang telah banyak berdoa semakin banyaklah doanya, suara doa berkumandang kedengaran baik di kampung mahupun di bandar atau bandar raya melalui pembesar suara atau siaraya yang canggih dan kuat laungannya, mereka yang berdoa itu terdiri dari berbagai manusia terdapat yang faham dan juga yang hanya pak turut, apapun semua mereka itu telah menghampirkan diri dengan Allah, malah mereka merendahka
n diri dan mengabdikan diri serta membuat pengakuan bahawa Allah Tuhan yang Maha Esa , Maha Berkuasa, Maha Besar dan Maha Sempurna dan kepada Dialah kita sembah dan memohon sesuatu.


Orang Islam yang taat kepada Allah Taala dalam masa sehari semalam sekurang-sekurangnya lima kali mereka memanjatkan doa kepada Allah memohon kesejahteraan di dunia dan di akhirat. Mereka yang sentiasa bersolat dan berdoa adalah mereka yang merendah diri dan menyerahkan diri mereka kepada Allah. Sebaliknya mereka yang tidak menunaikan solat dan tidak berdoa pula adalah dianggap orang yang bongkak dan sombong diri , tidak mahu dan enggan tunduk kepada Allah Taala.

Apakah perkara yang hendak didoakan ?.
Terdapat beberapa perkara asas yang perlu kita sentiasa berdoa. iaitu
:

> memohon kebaikan (kesejahteraan) di dunia -

> memohon kebaikan (kesejahteraan) di akhirat
-
> memohon dijauhi azab api neraka -

Doa yang mengandungi tiga perkara asas ini dinamakan ibu segala doa.

Rujuk surah al.Baqarah ayat 201 yang bermaksud:
"......... berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan peliharalah kami dari siksaan api neraka".

Salah satu rukun khutbah adalah berdoa untuk kaum muslimin dan muslimat yang bermaksud " Ya Allah ampunkanlah kaum muslimin dan muslimat , mukminin dan mukminat yang masih hidup daripada mereka dan yang telah mati".

Kalau kita teliti daripada rangkaikata doa di atas kesemuanya melibatkan diri sendiri dan sekalian saudara Islam tanpa sempadan kaum, bangsa atau negara di dunia ini kerana Islam memerintahkan umatnya hidup bersaudara. Inilah hakikat Islam dan kehidupan orang Islam tetapi sejauh manakah ianya difahami dan dilaksanakan di dalam kehidupan orang Islam, konsep ini sangat cantik dan indah, jika mampu mengaplikasikan perintah dan suruhan Allah yang tersebut itu sudah tentulah orang Islam akan memiliki keamanan dan kesejahteraan di dunia dan di akhirat dan amnya dunia turut merasai kebaikannya.

Masih terdapat orang Islam berseronok dan berlazat-lazat dengan pergaduhan dan berbantah-bantah dan enggan mengikut ajaran Islam sepenuhnya dengan memberi berbagai-bagai alasan, mereka juga masih mengabaikan suruhan menutup aurat dan pentadbiran dalam berbagai aspek dengan mengambil budaya bukan Islam sehingga terikat kejab , kukuh dan sukar untuk dirongkaikan lagi.

Namun demikian kewajipan untuk merongkaikannya masih tertanggung di atas tanggungjawab orang Islam sehinggalah keadaannya kembali kepada sistem Islam yang dihendaki Allah Taala. Semuanya ini menggambarkan bahawa tidak selarasnya ucapan doa dengan kehidupan sebenar bagi sesetengah orang Islam, keadaan ini tidak mendayakan doa tersebut dimakbulkan Allah.

Jika kita benar-benar memahami doa masakan kita bersengketa dengan sesama saudara Islam, selepas solat didoakan supaya kaum muslimin dan muslimat mendapat kesejahteraan dalam keadaan tidak mengecualikan sesiapapun atau menggunakan ayat-ayat yang tidak mengecualikan sesiapapun di antara kaum muslimin itu tetapi setelah keluar dari tempat solat kita mulai bergaduh dan bersengketa. Masing-masing menyalahkan antara satu sama lain. Hakikat sebenar tentulah salah seorang atau salah satu kumpulan dari mereka tidak patuh kepada Islam, jika kedua-dua pihak patuh dan berusaha bersungguh-sungguh untuk menghayati kehidupan Islam sudah barang tentu persengketaan seperti itu tidak akan berlaku. Seruan Allah supaya kembali kepada Allah dan Rasul-Nya tidak diindahkan walaupun setiap Jumaat dilaungkan oleh khatib di dalam khutbahnya.


_________

Firman Allah bermaksud:
"Wahai orang-orang yang beriman, taatilah Allah dan taatilah Rasul (Nya), dan ulil amri di antara kamu. Kemudian jika kamu berlainan pendapat tentang sesuatu, maka kembalikanlah ia kepada Allah (Al Qur'an) dan Rasul (sunnahnya), jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan hari kemudian. Yang demikian itu lebih utama (bagimu) dan lebih baik akibatnya".
Surah An.Nisaak (ayat 59)

__________

Mengapakah kita bersengketa dengan mereka yang setiap hari kita mendoakan kesejahteraannya ( muslimin dan muslimat ). Apakah lojiknya doa kita itu. Adakah keadaan ini menuntut kita membuat anjakan pradigma ke arah penyelarasan doa dengan amalan harian supaya amalan atau kehidupan harian tidak bertentangan dengan doa kita dan ajaran Islam.

Apapun yang sedang berlaku kewajipan berdakwah dan perjuangan ke arah menghayati Islam wajib diterus dan disuburkan di dalam masyarakat Islam dan masyarakat manusia amnya. Perjuangan Nabi Muhammad.s.a.w. hendaklah diwarisi dan diteruskan dengan penuh hikmah dan kesabaran. Islam sebagai addin atau suatu cara hidup wajib diperkenalkan kepada manusia yang belum memahaminya.

"Allah Maha Mengetahui"

Sekian.Wassalam.


#######

Klik.
Mungkin anda ingin mengetahuinya:

:Surat Terbuka Untuk Penduduk Seksyen 23

: Bahasa Cina Perlu Jadi Bahasa Kedua..



#######

Wednesday, September 2, 2009

Luahan hati di pagi Ramadan al.Mubarak.

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ
Alhamdulillah, pada pagi 12 Ramadan al.Mubarak ini mindaku sihat dan berputar ligat berbanding malam tadi, di mana malam tadi kepalaku sakit menjadikan bacaanku tersasul ketika mengimamkan solat terawih, tersasul begitu sudah menjadi kebiasaanku, itulah kelemahanku, sakit kepala itulah yang sentiasa mengganggu hafalanku, nasib baik tersasul itu ditegur oleh makmum prihatin dan kemudiannya kembali berjalan dengan lancar, Nasib baik juga lagi kerana ayat yang kubaca dan tersasul itu ayat yang semua orang menghafaznya. Rasa siha
tku pada pagi ini sehingga teringin pula aku menulis dan meluahkan perasaan hatiku, sekali lagi aku bernasib baik kerana ada blog ini untuk kumuatkan tulisanku ini, kalaulah aku hantar tulisan nukilanku ini ke akhbar sudah tentu tidak diterimanya kerana rendahnya kualiti tulisanku ini.Khasnya dari segi struktur bahasanya dan juga sasteranya, walaupun kandungannya mulia pada hematku, kalau diterimanya pun akhirnya ditongsampahkan sahaja . bertuah juga ya mereka yang ada blog ini, boleh juga sakali sekala melayan syok sendiri, sendiri tulis sendiri baca dan sendiri letak markahnya, hahaha.

Baiklah kalau anda mempunyai masa lapang teruskan bacaan sehingga selesai dan buatlah komen atau ulasan sama ada mengenai kandungan yang baik atau yang buruk, mungkin ulasan anda itu memberi manfaat kepada pembaca, sudah tentu di sana terdapat pahalanya, pahalanya tentulah pahala Ramadan, kualitinya tentulah kualiti Ramadan jua.

Nikmatilah keindahannya.

Kalau tiada komenpun kuterima seadanya dan terima kasih kerana sudi membacanya. Kekadang kulihat pertunjuk pengunjung sedang membaca sehingga 6 atau 7 pembaca serentak, walaupun tiada komen tetapi merekalah sebenarnya telah memberi semangat padaku untuk terus menulis, andalah sebenarnya kekuatanku tanpa anda nukilanku di dalam blog ini menjadi hambar, kering kontang dan tidak bermaya. Kehadiran anda di balog ini menjadikan diriku berkewajipan mencari ilham dan bahan-bahan berupa kebajikan untuk dipaparkan di laman ini.

Sekadar luahan hati
Kubersyukur pada-Mu ya Allah kerana mengizinkan daku bernafas dan bergerak seperti manusia lain di atas muka bumi-Mu ini, tanpa izin-Mu masakan aku dapat berpuasa Ramadan pada tahun ini, Kewajipan berpuasa telah mengingatkan aku akan nikmat-Mu. Nikmat-Mu tersangat banyak Ya Allah sukar untuk kumengiranya, malah tidak mampu aku mengiranya hanya Engkau Yang Maha Mengetahui. Aku bersyukur yang tidak terhingga atas kurniaan rezeki padaku dan keluargaku.
___________

Firman Allah bermaksud:
"Wahai manusia, sembahlah Tuhanmu Yang telah menciptakanmu dan orang-orang yang sebelummu, agar kamu bertakwa.

Dialah Yang menjadikan bumi sebagai hamparan bagimu dan langit sebagai atap, dan Dia menurunkan air (hujan) dari langit, lalu Dia menghasilkan dengan hujan itu segala buah-buahan sebagai rezeki untukmu; karena itu janganlah kamu mengadakan sekutu-sekutu bagi Allah, padahal kamu mengetahui".
Surah al.Baqarah (21-22)

___________

Aku sebenarnya tidak maksum, aku punyai dosa yang Engkau sendiri melihatnya. Aku disanjung kerana Engkau menutup keaibanku, aku menjadi baik kerana Engkau ampunkan dosaku, aku kelihatan berilmu kerana anugerahmu, aku beriman, Islam dan mendapat ihsan kerana nikmat Islam-Mu. Aku bersyukur yang amat sangat kerana Engkau memilihku menjadi Islam.

Bila kuingat akan anak-anakku, kuteringat anakku yang telah pergi terlebih dahulu, kuserahkan pada-Mu pada ketika anakku masih bayi, kubersyukur kerana anak kesayanganku itu akan menungguku dan keluargaku disyorga nanti, kubersedih kerana anak kesayanganku itu tidak dapat bersamaku di dunia fana ini. Ampunkanlah segala dosa kami supaya kami dapat bersamanya disyorga nanti, itulah sahaja kesempatan anak kesayangan kami itu dapat bersama keluarga. Semoga nukilan ini menjadi doa sehingga dimakbulkan. Itulah gambaran kesungguhan keinginanku untuk mendapatkannya.

Bila kukenangkan kesihatanku, kusangka aku telah pergi menemui-Mu ketika usiaku empat puluhan dahulu. Rupanya mati itu bukan kerana sakit, mati itu kerana ajal yang telah Engkau tetapkan sebab itu kini aku masih hidup dan lebih sihat. Ramai kekawanku yang sihat telah pergi menemui-MU tanpa kusangka dan kuduga, sasaran kematian bukanlah tua atau muda, remaja atau kanak-kanak , mati itu ketikanya bila ajal sudah sampai, tiada perkataan dan madah yang dapat kuucapkan hanya pada-Mu kubersyukur dan bersyukur atas segala-galanya.

Berulang kali kumemohon keampunan agar dosaku diampunkan, juga ibu bapaku, keluargaku, kekawanku dan sekalian kaum muslimin dan muslimat. Kudoa balas untuk mereka kerana mereka sentiasa berdoa untukku, itulah ikatan persaudaraan Islam yang sejati.
Ya Allah, nyahkan persengketaan, nyahkan masyarakat munafik, nyahkan kekuatan pasukan munafik yang sentiasa mengganggu-gugatkan kesejahteraan Islam.
Ya Allah, curahkan taufik dan hidayah-Mu kepada semua penduduk negaraku supaya mereka mengenali kemerdekaan sebenar , kemerdekaan hakiki dan kemerdekaan yang Engkau kehendaki. Jadikanlah kami orang yang merdeka minda dan bersih aqidah. Letakkanlah kami di dalam Kehidupan Bersih dan redalah hidup kami, Ya Allah. Ya Rabbal alamin.

Ingat dan lupa. Pada diriku Engkau cipta sifat ingat dan lupa. kuingat bahawa Engkaulah Tuhan seru sekalian alam ini, Engkaulah Maha Berkuasa dan Engkaulah yang Maha Sempurna, Engkaulah yang layak kusembah dan memperhambakan diri tetapi kekadang aku lalai dan lupa. Aku sangat lemah, kekadang daya ingatanku menjadi kabur dan terus terlupa akan suruhan dan perintah-Mu.

Namun demikian aku tetap berjuang dengan bersungguh-sungguh untuk tidak mensyirikkan-MU kerana aku mengetahui bahawa berbuatan itu tidak akan Engkau ampunkan.

Semoga engkau reda akan kehidupanku, keluargaku, keturunanku, kekawanku dan sekalian kaum muslimin dan muslimat selama ini. kiranya ada dosa Engkau ampunlah kami, mulai hari ini dan seterusnya pada hari-hari mendatang Engkau peliharalah kami supaya kehidupan kami lebih baik dari dahulu, Engkau tutuplah segala peluang-peluang kejahatan untuk kami dan bukakanlah peluang-peluang kebajikan untuk kami dan biarkanlah kami berlumba-lumba membuat dan mendapatkan kebajikan yang Engkau sediakan.
amin.

Sekadar luahan hati di pagi Ramadan al.Mubarak.



Sekian. Wassalam.