Friday, June 10, 2011

Rumah siap pahat berbunyi.

Salam semua.

Pada hematku

Rumah siap pahat berbunyi.
Setelah selesai Muktamar PAS ke 57 yang berlangsung pada 3-5hb Jun 2011 yang telah lalu, lantas berlakulah rumah siap pahat berbunyi, walaupun rumah telah siap dengan baik dan kukuh selayaknya.

Di dalam dunia politik kritik yang membina dan yang meruntuhkan akan wujud seperti mana wujudnya manusia yang baik dan yang jahat, situasi seperti ini memang tidak dapat dielakkan.Apa pun kritik yang hendak diluahkan, bagi orang Islam tidak dibolehkan mengkritik terhadap sesuatu yang berkeadaan baik supaya menjadi buruk atau menjadi jahat.

Rumah yang cuba dibina atau yang sedang dirancangkan ini adalah sebuah rumah yang berbeza dan diharapkan akan mampu memberi kebajikan kepada semua penghuninya, tidak kira bangsa atau agama.

Merujuk kepada PAS yang dikatakan para ulamaknya telah ditewaskan kerana telah timbul rasa kurang suka kepada mereka, telahan itu tidak tepat kerana mereka yang dicalonkan dan bersetuju bertanding adalah layak untuk menjawat jawatan yang ditandingi, kelayakan ini adalah merujuk kepada perlembagaan parti.Pada asasnya mereka kesemuanya adalah layak untuk menjawat jawatan yang ditandingi, tetapi, disebabkan jawatan itu memerlukan seorang sahaja atau tiga orang sahaja untuk dipenuhi, maka berlakulah di antara mereka yang tidak terpilih ( bukan tersingkir), Situasi begini adalah perkara biasa di dalam amalan demokrasi sihat. Di dalam perlembagaan tidak menyebut bahawa JAWATAN itu hanya untuk ulamak atau ulamak sahaja yang layak menjawatnya.

Mereka yang terpilih dan termasuk juga yang tidak terpilih semuanya terbukti terdiri daripada kalangan mereka yang sedang berjuang merealisasikan perlembagaan parti dan inginkan penghayatan Islam di dalam kehidupan mereka, ( status mereka adalah sama ), sekiranya terdapat kelemahan atau keterlanjuran berlaku dalam merealisasikan Islam , maka Majlis Syura / Dewan Ulamak akan mengawal keterlanjuran tersebut. Mengikut perlembagaan siapa sahaja yang dilantik tidak akan berpeluang merealisasi dan mengaplikasikan secara bersendirian tanpa syura. Sekiranya berlaku juga individu tersebut akan menerima padahnya.

Pendekatan merealisasikan parti tetap berbeza di antara kumpulan atau barisan para pemimpinnya tetapi yang tidak berbezanya ialah semua aktiviti mematuhi perlembagaan dan berlaku di dalam lengkungannya.

Semua perkara yang tersebut atau tercatat di dalam perlembagaan semuanya telah pun dipersetujui semasa perlembagaan diluluskan oleh parti.( Suara atau bunyi pahat tadi sebenarnya suara gangguan sahaja tidak akan lebih dari itu ).

Syabas dan tahniah kepada perwakilan dan calon-calon yang bertanding kerana anda telah dapat membuktikan suatu Pertandingan Yang Bersih dan Menarik. khasnya kepada generasi muda dan masyarakat Malaysia amnya melalui akhlak yang mulia yang patut mendapat penghormatan dan sanjungan.

Sekian...wallahu aklam.

No comments: