Wednesday, June 1, 2011

Orang di atas pagar.

Orang di atas pagar.

Kini orang di atas pagar semakin kerap memalingkan muka mereka ke kanan dan ke kiri.

Peribahasa baru " Orang di atas pagar" , pagar merupakan sempadan di antara sesuatu kawasan, pagar didirikan untuk membezakan sesuatu kawasan dengan kawasan yang lain, selain dari itu berperanan untuk menghalang daripada orang atau binatang masuk atau keluar dari sesuatu kawasan tertentu. Pagar boleh dikelaskan sebagai penjaga, penjaga pula jika tidak beramanah diibaratkan pula sebagai harapkan pagar, pagar makan padi.

Orang di atas pagar tercetus dari penilaian atau gelaran yang diberi kepada sikap seseorang terhadap politik, sama ada orang tersebut menjadi ahli parti politik tertentu atau tidak menjadi ahli mana-mana parti, mereka yang tidak menjadi ahli mana-mana parti politik inilah yang diibaratkan sebagai orang di atas pagar. Orang di atas pagar tidak pernah menghadiri mana-mana mesyuarat parti politik sama ada di peringkat ranting, cabang, cawangan atau bahagian. Mereka mungkin menjadi penyokong sesuatu parti yang serasi dengan mereka pada sesuatu ketika dan mungkin juga pada suatu ketika yang lain akan berubah, perubahan akan berlaku di hati mereka apabila perkembangan parti tersebut menjadi tidak relevan pada penilaian mereka.

Orang di atas pagar bukan berarti mereka tidak aktif di dalam politik dan tidak perdulikan perkembangan politik atau tidak fikir hal politik negara, kekadang mereka ini mindanya lebih ligat daripada orang yang menyertai sesuatu parti politik, berada di atas pagar berarti mereka dapat melihat lebih jelas perkembangan politik semasa, dengan berada di atas pagar mereka boleh pandang kanan dan kiri dengan bebas, pagar adalah sesuatu yang tinggi sudah tentu mereka yang berada di atas pagar dapat melihat dengan senang akan mereka yang berada di bawah pagar. Pergerakan orang di padang politik dapat dilihat dengan jelas dan juga dapat membuat penilaian yang adil.

Sekiranya penonton bola sepak berada di atas pagar seolah-olah mereka berada di atas anak tangga stadium, dapat melihat kedua-dua pasukan itu dengan baik, malah lebih menyeluruh berbanding dengan pengadil yang terpaksa berlari ke sana dan ke mari untuk melihat dan mengetahui situasi permainan.

Kini mereka yang di atas pagar semakin kerap memalingkan muka mereka ke kanan dan ke kiri kerana permainan yang ditonton semakin rancak dan hilang kewarasan tanpa memperdulikan lagi peraturan dan peradaban manusia, mereka yang menguasai kawasan permainan seolah-olah menjadi pengadil sendiri. Mereka berani melambungkan bola menyembuyikan tangan walau di depan pengadil sekali pun.

Bagi mereka yang di atas pagar tetap mempunyai kuasanya yang tersendiri tanpa digugatkan oleh sesiapa, mereka tetap memberi sorakan kepada permainan yang baik , adil dan berkualiti. Jika kedua-dua pasukan itu sedang bertarung untuk mewakili negara, mereka yang di atas pagar tetap mengundi pasukan yang terbaik dan tidak terpengaruh dengan mana-mana pasukan seperti mereka yang mempunyai pasukan dan menjadi penyokong setianya, walaupun pasukan mereka telah memamerkan permainan yang ganas dan mengabaikan peraturan yang sepatutnya dipatuhi. Mereka akan tetap menyokong pasukannya dan akibatnya pasukan mereka semakin menjadi corot dalam memamerkan permainan pada masa akan datang.

Artikel ini hanya untuk diri sendiri, mungkin anda sukar memahaminya.

1 comment:

Anonymous said...

realist