Tuesday, June 14, 2011

Siang-siang buat rumah - Malam-malam pecah rumah.


Salam semua.

Petang tadi saya buka email dan terbaca email dari jiran yang memaklumkan bahawa rumahnya dimasuki pencuri semasa beliau balik ke kampung,sebelum ini saya telah pun dimaklumkan oleh seorang kawan yang boleh dikatakan setiap hari ber"joging" dengan saya berhampiran dengan tempat kediaman kami, bunyi emailnya seperti berikut.


"Assalamulaikum,

Untuk makluman dan perhatian, pada 12/6/2011 (Ahad) rumah saya seperti alamat di atas didapati telah dimasuki pencuri. Kejadian berlaku semasa saya tiada dirumah bercuti balik kampung dari 8/6/2011 jam 9pm hingga 9/6/2011 jam 3.30pm. Kejadian dimaklumkan oleh jiran sebelah rumah semasa saya dalam perjalanan balik dr kampong lebih kurang jam 1.30pm menyatakan melalui hp grill tingkap dapur rumah saya telah bengkok dan terbuka pandangannya dari luar. Saya dan keluarga sampai dan jiran-jiran hadir sama dirumah dan periksa bilik utama dan bilik anak telah diselongkar habis selerak dan saya mendapati laptop & broadband, hp, PDA, camera, jam, 3 bentuk cincin kahwin dan tabung anak RM700 dll hilang anggaran semua lebihkurang RM7500. Laporan Polis telah saya buat dan pegawai siasatan jg telah hadir dan menyatakan tiada kesan jari ditemui dan mensyaki pencuri memakai sarung tangan........."

Memandangkan persekitaran berhampiran tempat kediaman kami buat masa ini terdapat banyak rumah kongsi, tempat kediaman pekerja warga asing, maka ramailah kekawan mensyaki perbuatan itu , berkemungkinan aktiviti mereka ini. Kalau mereka menjadi pegawai penyiasat sudah tentu mereka akan masukkan di dalam senarai siasatan. Ada benarnya andaian mereka ini kerana sebelum ini tidak berlaku jenayah seperti ini, kini jenayah tersebut semakin kerap berlaku.Tidak baik mensyaki sesuatu kepada orang lain tetapi dalam kerja penyiasatan perlu ada andaian dan mencuba pertunjuk yang diperolehi.

Saya pula teringat sebuah lagu tetapi tidak ingat lirik dan penyanyinya, cuma yang saya ingat samar-samar ialah siang-siang buat rumah, malam-malam pecah rumah, pada suatu ketika dulu lagu ini agak popular juga.

Sebenarnya bukan lirik lagu itu yang hendak diutarakan di sini kerana lagu itu telah pun berlalu , namun begitu temanya mungkin ada juga sentuhannya. Perkara penting yang hendak dibincangkan di sini ialah kualiti keselamatan di negara kita sedang memperlihatkan ianya menjadi semakin rendah dan rapuh, kita semakin takut kepada warga asing, sempadan kita juga semakin rapuh dan kurang berdaulat. Pendatang asing semakin senang membolosi sempadan masuk ke negara kita
.

Kini kita takut walaupun berada di dalam rumah sendiri berbanding pada suatu ketika dahulu. semua pertunjuk itu tidak pula memberi kesan motivasi kepada masyarakat kita untuk bersatu atau mesra dengan jiran, kadang-kadang tinggal sebelah menyebelah pun tidak kenal di antara satu sama lain, ada yang ketika keluar rumah pun susah hendak pandang kiri kanan untuk melemparkan senyuman kepada jiran yang belum dikenali itu, bersikap lu gua masih belum berubah walau pun isyarakat keselamat telah menunjukkan ke arah kerapuhan. Budaya Melayu dan Islam kedua-duanya turut terhakis, manakala penjenayah semakin bertambah serentak dengan bertambahnya kemasukan warga asing ke negara ini.

Mungkin pada suatu hari nanti kita akan dapatkan semula budaya murni yang terhakis itu. Sekiranya budaya baik itu dapat dikembalikan semula, nescaya tembok keselamatan akan kukuh semula dan boleh dipercayai.


Sekian...wallahu aklam.

No comments: