Wednesday, January 7, 2009

KE MANAKAH ARAH MUSAFIR KITA.



Kehidupan manusia.
Kehidupan manusia sebenarnya melalui berbagai peringkat tetapi kebanyakan daripada kita melupainya atau tidak mengetahuinya atau mempercayai mengikut agama masing-masing. Manusia sepatutnya mengetahui ke manakah mereka hendak tuju dan ke manakah arah musafir mereka di dunia ini.

Oleh itu manusia hendaklah mendapatkan tasauwur atau gambaran hidup yang betul dan tepat di dunia ini , kalau tidak manusia akan kecewa akhirnya dan kekesalan itu tidak akan dapat dimurnikan lagi. Cuba renungkan penjelasan seba ringkas mengenai laluan kehidupan manusia yang dirumuskan di bawah ini.

Peringkat Pertama.
Manusia dijadikan Allah bermula dengan alam roh; Alam roh adalah kehidupan
Peringkat Pertama yang dilalui oleh manusia. Pada peringkat inilah manusia, malaikat dan iblis berada dalam satu masyarakat yang mungkin boleh diistilahkan sebagai masyarakat majmuk. Perpecahan berlaku hanya setelah peristiwa Allah memerintahkan supaya malaikat dan iblis memberi penghormatan kepada Adam a.s.
Iblis enggan dan sombong manakala malaikat patuh seperti yang diperintahkan.

Ingin disebutkan di sini secara ringkas bahawa manusia manusia memiliki sifat kombinasi sifat malaikat dan iblis iaitu dalam diri manusia terdapat sifat baik dan jahat. malaikat bersifat baik semata-mata manakala iblis pula jahat semata-mata, ini kelihatan jelas selepas peristiwa Allah memerintahkan supaya hormat kedapa Adam.a.s.

Peringkat kedua ialah berada di dalam kandungan ibu seperti yang difirmankan Allah di dalam surah al.Mukminun.


Dalam surah Al.Mukminun ayat 12 sehingga 16 Allah berfirman bermaksud,

" Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia daripada suatu saripati (berasal) daripada tanah. Kemudian Kami jadikan saripati itu air mani (yang disimpan) dalam tempat yang kukuh (rahim). Kemudian air mani itu Kami jadikan segumpal darah, lalu segumpal darah itu Kami jadikan segumpal daging, dan segumpal daging itu Kami jadikan tulang belulang, lalu tulang belulang itu Kami bungkus dengan daging. Kemudian Kami jadikan dia makhluk yang (berbentuk) lain. Maka Maha Sucilah Allah, Pencipta Yang Paling Baik. Kemudian, sesudah itu, sesungguhnya kamu sekalian benar-benar akan mati. Kemudian, sesungguhnya kamu sekalian akan dibangkitkan (dari kuburmu) di hari kiamat."

Peringkat ketiga ialah setelah manusia itu dilahirkan ke dunia ini, pada ketika ini melalui kehidupan dunia di mana mereka perlu berladang untuk kehidupan dunia dan juga wajib berladang untuk bekalan ke akhirat.

Peringkat keempat, manusia dimatikan dan kembali semula ke alam roh (alam barzah / alam kubur) di sini mereka berada dalam tempoh yang tertentu hanya Allah sahaja yang mengetahuinya,

Peringkat kelima
. Peringkat ini adalah peringkat selepas berada di dalam kubur, manusia kemudiannya akan dibangkitkan dan keluar dari kubur dan menuju ke tempat yang dikenali sebagai Padang Mahsyar. Tempat inilah tempat pertimbangan dan ujian, setelah melalui ujian dan pemeriksaan Allah. Mereka yang melalui kehidupan yang bersih dan suci yang diakui Allah dan mereka yang diampunkan dosa akan ditempatkan di syorga.

Manakala mereka yang melalui kehidupan yang kotor dan jahat mengikut penilaian Allah akan dimasukkan ke dalam api neraka; Dua tempat inilah
tempat terakhir dan kekal selama-lamanya.

Bagi mereka yang beriman kepada Allah tetapi melakukan dosa dan tidak diampunkan akan berada di dalam neraka sekadar dosanya sahaja, kemudian akan dikeluarkan dan ditempatkan pula di syorga buat selama-lamanya. Berlainan situasi mereka yang kafir atau syirik dengan Allah semasa di dunia sepanjang hidupnya akan kekal menerima siksaan di neraka. Sama juga bagi mereka yang murtad atau kafir di akhir hayat sehingga ke saat kematiannya.

Untuk mendapatkan penyudah yang baik manusia perlu menjalani kehidupan yang suci dan bersih, tanpa ilmu manusia tidak akan selamat. Ilmu sahaja tidak mencukupi kerana ilmu itu sangat umum sifatnya sama ada ilmu dunia atau akhirat.

Ilmu yang dimaksudkan di sini ialah ilmu yang mencakup kehidupan dunia dan akhirat yang sejahtera ( bukan ilmu yang membawa keburukan di dunia atau di akhirat ). Manusia sebenarnya memerlukan Islam, Iman dan Ihsan untuk mencapai kehidupan yang bersih dan suci di sisi Allah.

Untuk membina keluarga dan masyarakat berkualiti seharusnya dimulakan usaha tersebut sejak anak berada di dalam kandungan iaitu sejak janin lagi. ketika ini ibu yang hamil dan bapa juga perlu mengambil berat tentang janin tersebut khasnya mengenai pemakanan ibu yang memberi kesan kepada janin di dalam kandungan dan mereka suami isteri pula hendaklah sentiasa berakhlak mulia kerana tingkah laku mereka mempengaruhi anak mereka yang masih di dalam kandungan.

Ibu bapa hendaklah menambahkan pengetahuan mereka terutamanya mengenai pemakanan bayi mereka. Memahami dan mengetahui pemakanan seimbang adalah penting untuk membentuk atau membina keluarga yang berkualiti, disamping memiliki pengetahuan mengenai kesihatan dan ilmu pendidikan. Ajaran Islam adalah teras yang sentiasa bersepadu dalam semua hal supaya kehidupan kita berada di landasan yang betul dan benar.

Wallahu aklam ( Allah yang Maha Mengetahui ).

Wassalam.

4 comments:

KUNTONG said...

Asalamualaikum:

Kalau manusia mengetahui asal usul mereka, serta mengetahui ke mana kita akhirnya,nescaya dunia ini aman damai. Sebenarnya mereka tahu, tapi kebanyakkannya mereka buat-buat tak tau.

Semoga kita tidak berada di dalam golongan tersebut. Amin.

Leenoh said...

Waalaikumussalam.
Kita hanya menunaikan tanggungjawab dan melunaskan amanah Allah sahaja, yang tahu berkewajipan memberitahu kepada yang tidak tahu. Di kemudian hari nanti tidak akan dipersoalkan lagi.

Doa dan harapan kita semoga Allah memberi pertunjuk kepada kita semua.

Wassalam.

AyKay said...

terima kasih kerana memberi peringatan

Leenoh said...

Mengingatkan orang lain itu seperti mengingatkan diri sendiri juga.

Mengingatkan orang lain itu juga suatu proses membaiki diri sendiri.

Wassalam.