Wednesday, January 14, 2009

Masyarakat mendidik ummah.



_______________________________________________


Menuntut ilmu itu adalah wajib

Kehidupan manusia atau kehidupan binatang sekali pun tidak dapat dipisahkan dengan pendidikan, pendidikan berperanan melicinkan dan melancarkan kesinambungan jaminan hidup sesuatu genarasi ke suatu genarasi yang berikutnya. Manusia merealisasikan pendidikan melalui kurikulum tertentu dan menggunakan pengalaman yang sedia dimiliki, manakala binatang atau haiwan merealisasikan pendidikan melalui tabiat atau sifat semula jadi yang telah dikurniakan kepada mereka.

Pendidikan yang diamalkan atau disampaikan oleh haiwan atau unggas terhadap anak-anak mereka kelihatan pada zahirnya mereka tidak melalui kegagalan, contohnya semua kuda cekap berlari, semua unggas boleh terbang dengan baik, semua jenis burung helang dapat mengekalkan kemahiran mereka, menangkap mangsa dengan cara menyambar dengan begitu bergaya sekali,. Semua haiwan dan unggas tersebut dapat mewarisi keturunan masing-masing. Kemahiran mereka bukan semuanya dimiliki sejak dilahirkan, terdapat juga bahagian tertentu dilatih oleh ibubapa mereka bersama kumpulan mereka.

Pendidikan itu memang akan lebih berkesan kalau semua pihak mengambil bahagian. Pendidikan sepatutnya merentas kehidupan masyarakat, tempat khas disediakan hanya sebagai tempat mendapatkan panduan sahaja, tetapi realiti pendidikan itu berlaku di dalam masyarakat. Pepatah Melayu ada menyatakan "seperti ketam mengajar anaknya berjalan betul", sedangkan semua masyarakat ketam tidak satupun berjalan betul. Pendidikan seperti ini tidak akan berkesan. Pepatah ini timbul kerana amalan pendidikan seperti itu berlaku di dalam masyarakat sama ada dahulu ataupun sekarang.

Sekiranya kita mahu masyarakat muda berakhlak baik, maka masyarakat dewasa hendaklah juga berakhlak baik dengan mengamalkan nilai-nilai yang baik. Anak muda tentulah akhirnya akan mengikut jejak langkah tersebut dan tanpa menuding jari ke arah kelemahan orang dewasa kerana orang dewasa telah menutup kelemahan mereka dengan berakhlak baik.

Seperti ditegaskan di atas bahawa penglibatan yang seragam oleh semua ahli masyarakat dalam pendidikan, khasnya pendidikan kanak-kanak dan remaja akan memberi kesan yang sangat baik kepada pembangunan insan dan masyarakat.

Cuba kita perhatikan dalam hal-hal tertentu yang mana masyarakat kita bertindak seragam dan tindakan itu memberi kesan yang amat memuaskan. Contohnya pendidikan berkaitan memberi kesedaran bahawa anjing dan babi itu najis berat(mughallazah), dalam hal ini masyarakat kita bertindak seragam dan serupa maka kesan yang diperolehi juga serupa, selain daripada itu mengenai sunat berkhatan dan wajib berpuasa di bulan Ramadan. Pelaksanaan amalan tersebut tidak menimbulkan masalah, walaupun ianya agak berat bagi mereka dan akhirnya cara begini membuahkan hasil yang baik yang mana kesan yang dapat kita lihat ialah peratus penglibatan terhadap amalan tersebut sangat tinggi berbanding dengan amalan yang lain.

Berlaku kesinambungan pendidikan adalah dari genarasi ke genarasi seterusnya, sekiranya berlaku terputus rangkaian, jaringan atau rantaian teras bagi satu genasari, kemudian bermula pada genarasi yang lain bermakna inti pati pendidikan yang baik dan tulen akan berubah dan hilang sebahagian atau kesemuanya.


Allah suka orang yang tekun.

Sebab itulah pendidikan Islam mengambil berat dalam hal ini terutamanya dalam hal aqidah dan ibadat khas. Semua manusia wajib mempercayai bahawa al.Quran itu sebenarnya diturunkan oleh Allah kepada Nabi Muhammad.s.a.w. dan Nabi Muhammad adalah pesuruh Allah ( Rasul Allah ). Mereka yang percaya dan melaksanakan perkara yang berkaitan itulah sahaja yang dianggap sebagai Islam.

Rasulullah s.a.w. dan sahabat-sahabatnya merupakan genarasi pertama yang mematuhi ajaran al.Quran dan Rasulullah (al.Hadis). Nabi Muhammad.s.a.w merupakan pendidik genarasi ini secara langsung, mereka bersolat, berpuasa, mengerjakan haji dan seumpamanya mengikut apa yang diajar oleh Rasulullah, genarasi ini boleh membaca al.Quran dan memahaminya tetapi tidak mengetahui cara mengaplikasinya atau melaksanakannya seperti cara bersolat, berpuasa dan lain-lain ibadat. Maka Rasul yang mengajar mereka sambil sama-sama melaksanakannya, tegasnya Rasul adalah orang yang menjelaskan, menerangkan dan memberi faham apa yang dikehendaki Allah yang tersebut di dalam al.Quran kerana al.Quran diwahyukan kepada baginda, tanpa baginda orang lain tidak mungkin dapat mengetahui hakikatnya dan juga tidak dapat melaksanakannya. Maka apa-apa yang datang dari Nabi Muhammad seperti perkataan, perbuatan dan pengakuan adalah dianggap al.Hadis (sunnah) kerana Nabi Muhammad adalah Pesuruh Allah (Rasul). Pesuruh Allah semestinya bersifat amanah, bijaksana, menyampaikan dan bercakap benar.

Bertitik tolak dari genarasi inilah penghayatan terhadap Islam diteruskan dari genarasi ke genarasi sehinggalah ke akhir zaman. Setiap genarasi bertanggungjawab memelihara ketulenan amalan tersebut dengan merujuk kepada al.Quran dan al.Hadis ( sunnah ). Dengan merujuk kepada al.Quran sahaja kita tidak mungkin memahami kehendak dan seluruh ajaran yang terdapat di dalam al.Quran, alasannya seperti disebutkan di atas. Untuk membuat kajian ilmiah terhadap apa yang terdapat di dalam al.Quran tiada halangan tetapi hasil dapatan yang melibatkan aqidah perlulah dirujuk kepada ulamak Islam arus perdana.

Al.Quran diturunkan kepada Rasulullah.s.a.w. tidak bersamanya huraian sebaliknya huraian itu berada di dalam diri baginda , baginda bercakap bukan dengan nafsu tetapi baginda bercakap dengan wahyu dan hidayah dari Allah. Kita tidak memuja baginda dan kita juga dilarang rukuk dan sujud sesama manusia , kita mengagung atau menghormati baginda dalam lengkongan manusia sesama manusia atau makhluk sesama makhluk atau hamba Allah sesama hamba Allah dan kita mengakui bahawa Allah meletakkan baginda pada maqam yang tertinggi di kalangan manusia di mana baginda dilantik menjadi penghulu kepada semua Rasul-rasul Allah. Jika kita mengabaikan Rasul bermakna al.Quran tidak akan memberi apa-apa manfaat lagi kepada kita atau kita tidak mampu memanfaatkannya tanpa Rasulullah.s.a.w.

Kalau dibiarkan sesiapa sahaja secara bebas boleh menafsirkan al.Quran maka akan berlaku berbagai tanggapan dan tafsiran terhadap al.Quran seperti kita melihat keruntuhan gunung atau bukit, ramai orang melihat maka banyaklah gambarannya atau berbagai cerita timbul dari peristiwa tersebut.

Sebaliknya ulamak berkelayakan sahaja yang boleh memberi tafsirannya yang mana mereka ini semestinya merujuk kepada al.Hadis yang sohih. Jika caranya terkeluar dari budaya dan tradisi Islam yang sekian lama telah digunakan oleh Islam arus perdana, di sana ditakuti semakin banyak perpecahan akan berlaku dan masing-masing sudah tentu mengakui atas nama kebenaran, walaupun pertaliannya telah terputus dan akan terbentuk suatu budaya dan tradisi yang baru yang semakin jauh dari jalan yang benar. Ulamak yang berlayakan yang dimaksudkan di sini ialah ulamak yang menguasai ilmu dan akhlak Islam seperti yang disyaratkan dan ditakrifkan oleh Islam perdana . Bukan ulamak yang ditakrifkan dari segi bahasa atau adat sesuatu bangsa.

Oleh itu untuk menjaga ketulenan ajaran Islam khususnya perkara mengenai aqidah dan ibadat khas, keseluruhan masyarakat Islam hendaklah mengambil bahagian secara serius dalam bidang pendidikan ini supaya pendidikan Islam bergerak seragam dan penglibatan menyeluruh umat Islam. Sama ada pendidikan di peringkat kanak-kanak, remaja atau masyarakat amnya.

Wallahu aklam ( Allah Maha Mengetahui ).

Wassalam.

Shah Alam.

( 15/01/2009 ) 1.40 petang.

1 comment:

Leenoh said...

Ulamak yang dimaksudkan:

1.Beriman kepada Allah.
Ulamak itu mestilah dari kalangan orang-orang yang beriman. Firman Allah:
Maksudnya.''Allah mengangkat mereka yang beriman dikalangan kamu dan mereka yang diberi ilmu itu beberapa darjat.'' (Al Mujadalah: 11)

2.Beramal dengan ilmunya.
Mereka mestilah beramal dengan ilmu mereka.
Seperti kata Abu Darda':
Maksudnya:''Tidak dianggap seseorang itu alim sehinggalah dia beramal dengan ilmunya.''

3.Takutkan Allah.
Mereka mestilah orang yang takut dengan Allah. Firman Allah:
Maksudnya:''Hanya sanya yang takut dengan Allah itu ialah ulamak.'' (Al Fathir:28)

Wallahu aklam ( Allah Maha Mengetahui )

Wassalam.