Saturday, April 25, 2009

Jom Ulangkaji - Solat Jumaat.



السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ

Hari Jumaat merupakan Hari Raya Mingguan bagi umat Islam, Hari Jumaat adalah juga penghulu bagi segala hari, Pada hari Jumaat Allah mewajibkan umat Islam menunaikan solat khas iaitu Solat Jumaat, Solat Jumaat ini diwajibkan kepada orang lelaki yang cukup syarat-syaratnya.

Setiap ibadat yang wajib atau sunat perlu mempunyai dalil-dalilnya (bukti-buktinya) tentang wajib atau sunatnya itu.
Berikut adalah dalil wajib solat Jumaat. Firman Allah yang bermaksud;

"Wahai orang-orang yang beriman, apabila diseru
untuk menunaikan solat pada hari Jumaat,
maka bersegeralah kamu kepada mengingat Allah
dan tinggalkanlah jual beli. Yang demikian itu
lebih baik bagimu jika kamu mengetahui.


Apabila telah ditunaikan sembahyang,
maka bertebaranlah kamu di muka bumi;
dan carilah karunia Allah dan ingatlah Allah
banyak-banyak supaya kamu beruntung.

Dan apabila mereka melihat perniagaan atau
permainan, mereka bubar untuk menuju kepadanya
dan mereka tinggalkan kamu sedang berdiri (berkhutbah).
Katakanlah: "Apa yang di sisi Allah adalah lebih baik
daripada permainan dan perniagaan",
dan Allah Sebaik-baik Pemberi rezeki".
Surah Al.Jumaah (ayat 9-11 )

Intisari Ayat 9,
- Ayat ini ditujukan kepada mereka yang beriman kepada Allah ( Islam ).
- Allah telah mewajibkan umat Islam supaya menunaikan fardu Jumaat apabila tiba waktunya.
- Ketika waktu solat Jumaat ( Waktu Zohor ) hendaklah tinggalkan perniagaan dan urusan lain.
- Meninggalkan sementara perniagaan atau urusan lain kerana pergi menunaikan solat Jumaat, perbuatan demikian adalah sangat baik.
__________________________

Pengertian Solat Jumaat;
Solat Jumaat ialah solat dua rakaat dalam waktu zohor pada setiap hari Jumaat, ditunaikan secara berjamaah yang didahulukan dengan ucapan dua khutbah, mengikut syarat-syaratnya yang tertentu.
____________________
Hukumnya;
Solat Jumaat wajib ( Fardu Ain ) bagi setiap lelaki yang telah mukallaf.
Hadis Nabi yang berkaitan yang bermaksud;
" Daripada Toriq bin Syihab.r.a. daripada Nabi Muhammad.s.a.w. bersabda, " Solat Jumaat itu adalah suatu yang wajib ( Fardu Ain ) kepada setiap orang muslim kecuali empat golongan iaitu hamba abdi atau perempuan atau kanak-kanak atau orang sakit".

Syarat-syarat wajib solat Jumaat.
1. Orang Islam.
2. Baligh ( cukup umur )
3. Sempurna akal.
4. Merdeka ( bukan hamba sahaya ).
5. Lelaki.
6. Bermukim.
7. Tidak uzur ( Syarie).
________________________

Syarat-syarat sah solat Jumaat.
1. Ditunaikan di tempat yang ditentukan.
2. Ditunaikan secara berjamaah.
3. Bilangan ahli Jamaah tidak kurang daripada 40 orang jamaah dikalangan orang yang bermustautin.
4. Dilakukan dalam waktu Zohor hari Jumaat.
5. Hendaklah didahului dengan dua khutbah.
6. Hanya satu kumpulan jamaah sahaja di dalam satu qariah ( kawasan ) kecuali diharuskan oleh syarak.

____________________

Dua khutbah Jumaat dan solat Jumaat keduanya mestilah mematuhi syarat-syarat dan rukun-rukunnya masing-masing. Khutbah Jumaat perlu sah dan juga solat Jumaat perlu juga sah barulah pada keseluruhan solat Jumaat itu sah. Oleh itu Dua khutbah Jumaat juga mempunyai rukun-rukun dan syarat-syarat sahnya.

Rukun-rukun Khutbah,
1. Dimulakan dengan memuji Allah iaitu " Alhamdulillah "
2. Membaca selawat ke atas Nabi Muhammad.s.a.w. iaitu " Allahummasolli ala Muhammad "
3. Berpesan kepada ahli jamaah supaya bertakwa kepada Allahh, dengan menyebut " Ittaqullah

اَلْحَمْدُ للهِ الَّذِيْ لَهُ مَا فِى السَّمَوَاتِ وَمَا فِى الأَرْضِ وَلَهُ الْحَمْدُ فِى الآخِرَةِ وَهُوَ الْحَكِيْمُ الْخَبِيْرُ. أَشْهَدُ أَنْ لآ اِلَهَ إِلاَّ اللهُ وَحْدَهُ لآ شَرِيْكَ لَهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ.اَللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ أَجْمَعِيْنَ.أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ اللهِ! اِتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاَ تَمُوْتُنَّ إِلاَّ وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ .

( Ketiga-tiga rukun yang tersebut di atas hendaklah dibaca di dalam khutbah pertama dan juga khutbah kedua )


4. Membaca sekurang-kurangnya satu petikan ayat al.Quran, sama ada di dalam Khutbah pertama atau kedua.
5. Berdoa memohon keampunan untuk kaum muslimin dan muslimat di dalam khutbah kedua.
____________________

Rukun-rukun khutbah hendaklah dibaca di dalam Bahasa Arab.

(1) Memuji Allah.
اَلْحَمْدُ للهِ الَّذِيْ لَهُ مَا فِى السَّمَوَاتِ وَمَا فِى الأَرْضِ وَلَهُ الْحَمْدُ فِى الآخِرَةِ وَهُوَ الْحَكِيْمُ الْخَبِيْرُ. أَشْهَدُ أَنْ لآ اِلَهَ إِلاَّ اللهُ وَحْدَهُ لآ شَرِيْكَ لَهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ.


(2).
Selawat ke atas Nabi Muhammad.s.a.w.

اَللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ أَجْمَعِيْنَ

(3)

Berpesan dan mengingatkan ahli jamaah supaya bertakwa kepada Allah.
أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ اللهِ! اِتَّقُوْ ا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاَ تَمُوْتُنَّ إِلاَّ وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ

(4)

Membaca sekurangnya satu petikan ayat Al.Quran sama ada di dalam khutbah pertama atau kedua.

_____

(5)

Membaca doa, memohon keampunan dan kesejahteraan bagi kaum muslimin dan muslimat.


بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِى الْقُرْآنِ الْعَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الأيَاتِ وَالذِّكْرِ الْحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيْمُ. أَقُوْلُ قَوْلِيْ هَذَا وَأَسْتَغْفِرُ اللهَ الْعَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ وَالْمُؤْمِنَاتِ الأَحْيَاءِ مِنْهُمْ وَالأَمْوَاتِ، فَاسْتَغْفِرُوْهُ، إِنَّهُ هُوَ الْغَفُوْرُ الرَّحِيْمُ.


_________________

Syarat-syarat sah khutbah;
1. Membaca khutbah dalam waktu zohor.
2. Khatib hendaklah lelaki.
3. Membaca khutbah sebelum solat Jumaat.
4. Rukun-rukun khutbah hendaklah dibaca di dalam bahasa Arab.
5. Membaca sambil berdiri.
6. Khatib hendaklah menutup aurat.
7. Khatib hendaklah suci daripada hadas.
8. Khatib hendaklah duduk di antara dua khutbah.
9. Membaca dengan jelas dan terang.
10. Berturut-turut antara khutbah dan solat Jumaat.
_____________________________


Perkara-perkara yang disunatkan pada hari Jumaat;
1. Memakai pakaian yang bersih dan baru atau yang terbaik.
2. Mandi sunat Jumaat.
3. Membersihkan diri seperti memotong kuku dan mencabut bulu ketiak.
4. Pergi awal ke masjid.
5. Memakai bau-bauan yang suci.
6. Mengerjakan solat sunat Tahiyatul masjid serta berniat iktikaf.
7. Perbanyakkan selawat ke atas Nabi, berzikir dan membaca al.Quran.
8. Mendengar khutbah dengan penuh tumpuan dan khusyuk.

________________________________________

Ulasan anda amat dihargai

(1) Ulasan berbentuk santai dapat mengukuhkan silaturrahim.
(2) Ulasan ilmiah baik untuk pendidikan dan juga silaturrahim.

Ulasan ilmiah telah diterima, terima kasih.
Sila klik "comments" untuk bacaan seterusnya.


____________________________________________


Sekian. Wallahu aklam. Wassalam.


15 comments:

Leenoh said...

Salam Azie,

"Macam mana pula kalau orang yang memang tau semua pasal solat jumaat tapi buat dek je bila time solat jumaat?" ( soalan dari shoutbox).
Soalan ini saya dah jawab di Shoutbox, jawapanya " Kalau buat dek je, kita tangkap dia masukkan dalam kawah, kita panaskan kawah, hehehe kita bukan panaskan dia, bergurau ye, Allah Maha Melihat". Demikianlah jawapanya secara bergurau.

Azie yang bertanyakan perkara itu, bukanlah sebenarnya beliau tidak mengetahui risiko mengabaikan solat Jumaat itu, Saya berandaian bahawa beliau rasa kesal dan bimbang kerana perbuatan itu melanggar hukum dan perintah Allah.
Tegasnya beliau tidak suka perbuatan itu berlaku dan begitulah juga orang seperti kita tidak suka perkara itu berlaku kerana takut nanti menjadi ikutan orang yang lebih muda.
Sebab itulah Islam menggalakkan kita supaya ingat mengingat antara satu sama lain. Pemblog bolehlah sambil bersantai-santai sisipkan perkara-perkara baik di dalam blog masing-masing, Walaupun sedikit Insya Allah akan berfaedah, sedikit-sedikit lama-lama menjadi bukit.

Anonymous said...

salam,
erm...
ada negeri cuti hari jumaat... which is good...
ada pulak negeri kerja/sekolah hari jumaat... which is not so good...
sepatutnya bagi cuti hari jumaat, bukan ahad...
tapi, orang yang cuti hari jumaat lak suka ambik kesempatan bercuti jalan² sampai terabai solat jumaat...
erm
camne tu...

Leenoh said...

Salam.
Orang Islam semestinya suka dan patut jadikan hari cuti pada hari Jumaat,kalau tak suka ..... ?,

Pak Ngah pun tak faham sebab cuti Jumaat ditukar ke Ahad kalau kerana bisnes global masa di dunia tetap berbeza, orang timur siang dulu, orang barat kemudian.
memang tak faham, orang Kedah tak mau cuti hari Ahad.
Jumaat memang hari raya dan hari cuti bagi orang Islam.

Anonymous said...

salam..
cuti ari jumaat memang sepatutnya tp ada juga negeri cuti ahad ermm...mcm mana plak tu mcm da ala2 omputeh plak

hoodedlicious said...

heran sungguh bila orang tak mau pi solat jumaat..bukan lama pon..dok rumah pon bukannya buat apa..melepak tengok tv, tidoq..pelik2..ada sesetengah company tuu tak bagi staff kluaq solat jumaat..ada ka patut..

Hunny said...

Salam Pak Ngah,

Selalunya, saya berjalan2 time solat jumaat. memang ramai lelaki Muslim yang tak pi solat. kami di Jabatan cuba menyelesaikan isu ini, tapi sebab anggota penguatkuasa pun gi solat JUmaat, jadi sukar nak buat tangkapan.

Leenoh said...

Salam Anonymous,
Apa pun saya suka hari Jumaat itu dijadikan hari cuti supaya senang kita programkan pendidikan Islam kepada masyarakat setempat, kalau tidak terpaksalah diprogramkan pada hari lain, hari lain itu almaklumlah.

Leenoh said...

Salam hoodedLicIOUS.
Orang kata tidak kenal maka tidak cinta, Ilmu dan iman perlu didahulukan supaya manusia kenal diri dan kenal Allah, dari sinilah bermulanya titik tolak ke arah memperhambakan diri kepada Allah, Inovasi yang berada di dalam dada akan menolaknya pergi, kalau tidak akan kekal negatif atau mazmumah.

Leenoh said...

Salam Hani,
Susah juga nak fikir pasal manusia yang seperti ini, sebahagiannya kita serah kepada Allah kerana sememangnya kita tidak mampu hendak menolong mereka.
Lebih kurang sepuluh tahun dulu, Pak Ngah mengesyaki sekumpulan anak muda yang memakai pakaian yang cantik kelihatan pada akal dan adatnya mereka ke masjid untuk solat Jumaat dan buat sementara waktu mereka bersantai dulu di kawasan taman yang terletak tidak berapa jauh dari masjid.
Sebagai seorang guru dan berdasarkan beberapa pengalaman yang lalu Pak Ngah berfikir secara kreatif dan kritis sedikit agaknya dalam hal ini.
Apakah yang Pak Ngah fikir?. Anak muda tersebut tidak ke masjid, pakaian cantik itu hanyalah untuk mengelirukan ibu bapa mereka sahaja,
Untuk membuktikannya pada suatu hari Pak Ngah membuat perancangan semata-mata hendak melihat kebenarannya.Selepas sahaja memberi salam Pak Ngah terus balik dan melalui kawasan tersebut, didapati anak-anak muda tadi masih bersantai di situ. Pak Ngah yakin Pak Ngah adalah orang pertama keluar daripada masjid.
Di sinilah kelemahan kita sebagai ibu bapa, di rumah bermati-matian mengatakan anak mereka ke masjid tetapi itulah sebenarnya, ( tidak semua ).

Hunny said...

Salam Pak Ngah,

Betullah tu.. kat kampung saya pun sama. Semabahyang raya yang setahun dua kali pun diorang boleh tak buat. dah la tu, selamba jer melepak kat depan umah saya (umah saya sebelah masjid)tak tau malu betull!! Baju raya kemain cantik, tapi solatnya tak cantik.. Sayang betullah.. Walaupun undang-undang ada, dan boleh dikuatkuasakan , tetapi yang lebih penting adalah kesedaran setiap orang untuk melakukan ibadah, khususnya solat, yang akan menjadi perkara pertama dinilai di akhirrat kelak.

Leenoh said...

Salam Hani,
Dalam hal ini Pak Ngah rasa Hani boleh buat kajian khusus mengenai anak muda (pelajar) yang memakai baju Solat tetapi tidak pergi bersolat Jumaat untuk mengetahui situasi sebenar atau sejauh mana pembohongan tersebut berlaku.
Hasilnya boleh dimaklumkan kepada ibubapa dan sekolah-sekolah di daerah tersebut,
Sekurang-kurangnya ibubapa dan sekolah dapat bertindak sewajarnya.
Pak Ngah syorkan demikian kerana hanya orang perempuan sahaja yang boleh menjalankan kajian ini kerana orang lelaki terpaksa menunaikan solat Jumaat ketika gejala itu berlaku.

Faridrashidi said...

Alhamdulillah,suatu peringatan yang baik.

Anonymous said...

Saya nampak,masyarakat kita khususnya orang melayu sekarang ni bukan pasai depa tu jahil,tak tau hukum hakam dalam Islam seperti solat jumaat,dedah aurat dll tapi masih buat tak tau juga.Dalam tv ada ustaz2 sebut,ceramah,kuliah dsbnya,tapi tetap macam tu juga,buat pekak badak je.Kadang2kita tengok dlm majlis ramai orang tutup aurat tapi tok ketua boleh boloeh,tak tutup dan tak rasa malu langsung.ni yang menyedihkan kita orang Islam.seolah2 hampa saja kena tutup ,aku tak pa kut!
Pokoknya kita orang melayu hadapi krisis macammana nak amal,tak dak rasa takut kepada Allah,tak rasa kita akan mati satgi,esok ke?
Yang lebih malang lagi,orang yang langgar hukum hakam ni,orang yang ada otak,ijazah berjela2.di mana letak akalnya?
Inilah yang paling penting untuk kita fikir bersama,benar2 rasa risau dengam umat melayu islam malaysia ni.BAGAIMANA NAK BUAT? nak kata tak tau,depa pandai.nak kata tak habaq,dah bebuih mulut ustaz2,penceramah tv,forum ehwal islam ,ada penasihat agama,ada mufti la macam2 ada tapi macam tu jugak........
Dalam hal kehidupan dunia kita bukan main advance dengan berbagai perancangan masa depan yang tetap berakhir bila mati.Tapi wawasan nak hidup tak mati2 selepas mati tak fikir pula?
Marilah kita berdoa semoga ALLAH memberi taufik dan hidayahnya kepada orang2ni..... AMIN YA RABBAL ALAMIN!
Fikirlah BUKAN SENANG NAK SENANG DAN BUKAN SUSAH NAK SUSAH !
Saya fikir saudara boleh tulis pulak pasal AURAT dan Kedegilan meng-amalkan lepas ni

Leenoh said...

Salam, Faridrashidi.
Sama-samalah kita ingat mengingat, manusia di dunia ini sangat ramai, ada yang berpengetahuan tetapi lalai, ada yang jahil tetapi tidak mahu belajar,manakala kita sendiri juga tidak sempurna. mungkin tulisan yang sedikit dan ringkas ini dapat juga menolong mereka yang memerlukannya.
Diharap anda juga tidak jemu menulis,

Leenoh said...

Salam Anonymous.
Terima kasih kerana memberi respon yang berfaedah, Nampaknya anda sangat prihatin dalam hali ini,Orang Islam yang bertanggungjawab memang tidak pernah senang dan tenteram dengan karenah penganut Islam yang sentiasa menunujukkan teladan yang buruk sesama umat kerana mereka dianggap meruntuhkan Islam secara senyap.
Insya Allah saya akan menulisnya apabila saya sendiri rasa mempunyai idea untuk mengolahnya.