Monday, April 27, 2009

Penanti Pilihan Raya Lagi (31MEI2009)



__________________________

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ

Dari Kuala Mengkuang ke Penanti.
Hantar anak belajar mengaji.
Setiap pilihan raya mengarang puisi.
Sekadar sama-sama mengingati.

Diulang tayang berkali-kali.

Agar umat berhati-hati.

Status calon belum dibuat pilihan.
Agaknya ramai telah berangan-angan.
Menjadi pemimpin hasrat dan idaman
Menunggu lantikan suatu ujian
Harapkan kemenangan saat penantian

Penantian itu suatu penyiksaan.

____

27 APRIL 2009.
__________________



Pilihan Raya Kecil DUN Penanti aromanya telah mulai tersebar luas seantero dunia, angin dan makhluk halus serta makhluk ghaib yang menggunakan ruang maya telah membawa berita dan suara manusia ke seluruh penjuru alam. Pilihan Raya Kecil Penanti kali ini menampakkan beberapa kelainan berbanding PRK Bkt. Gantang , Bkt Selambau dan Batang Ai kerana kematangan mereka melalui beberapa pengalaman yang telah dilalui, demikianlah andaian sebelum ianya tiba, hakikat sebenar hendaklah dibuat kajian selepas peristiwanya berlalu dan khemah-khemah dipunggah turun dan keputusan diwartakan.

Kelainannya seolah-olah PRK ini wujud kerana melepaskan geram dan suatu cara menyelesaikan masalah. PRK ini juga memberi peluang kepada pihak yang tertentu ingin mengesahkan tanggapan umum yang sedia ada terhadap sesuatu pihak dan terdapat pihak tertentu berasa terpaksa bekerja sehingga memenatkan badan sedangkan hasilnya kelihatan tidak menguntungkan, malah maruah pula akan terjejas..

Oleh itu pada kesempatan ini saya ingin berkongsi pendapat dengan anda sambil meluah dan melepaskan makhluk
ghaib yang bersemadi di dalam minda dengan harapan mendapatkan kelegaan kerana telah melunaskan kewajiban yang sewajarnya sebagai seorang rakyat negara yang tercinta ini kerana negara anda adalah negaraku juga.

Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi rakyat negara ini telah pun menjadi kebiasaan dan lumrah bagi mereka. Sebahagian rakyat berasa gembira dengan kehadirannya kerana kehadirannya memeriahkan keadaan kampung dan bandar, Sebahagiannya pula berasa benci dan meluat kerana aktivitinya melibatkan perkara-perkara yang dilarang, sedikit sebanyak akan merosakkan budi bahasa dan budaya rakyat. Apa pun yang berlaku sama ada baik atau yang merosakkan adalah hasil perbuatan manusia jua. Semuanya ditangan manusia kerana Allah telah melantik manusia menjadi khalifah di atas muka bumi ini dengan perintah supaya mentadbirkannya dengan adil dan penuh taat setia kepadaNya.


Sebagai orang Islam kita berkewajiban menjaga dan mematuhi perintah tersebut dengan menjaga hukum hakam yang telah ditetapkan oleh Allah. Sama ada dalam bidang percakapan , tingkah laku dan aktiviti yang lain. Berlebih-lebih lagi semasa kempen pilihan raya sama ada berkampen di hadapan khalayak atau bersama media bukanlah seperti murid-murid membuat karangan untuk diperiksa oleh guru.

Murid-murid yang terlibat dengan tugasan membuat karangan akan membaca soalan dengan teliti sehingga faham, kemudian mulailah mereka mencari isi untuk dikembangkan. Isi rekaan tersebut dikembangkan sehingga mencapai kehendak soalan dan menepati jumlah perkataan yang dikehendaki, disamping menjaga gaya bahasa dan perenggan yang sesuai dengan tahap atau tingkatan mereka.


Sekiranya karangan tersebut dikhayal dan dikarangkan oleh mereka sendiri (bukan meniru), insya Allah karangan tersebut akan mempunyai nilai yang tinggi dan akan mendapat markah yang tinggi dan cemerlang. Walau pun isi karangan tersebut hanya khayalan dan pembohongan sahaja kerana sememangnya itulah sebenarnya yang hendak dilihat dan disuruh pamer.
Demikianlah juga di dalam pertandingan berpidato, cuma selain daripada isi mereka perlulah mahir berpidato dengan gaya penyampaian yang menarik dan berkesan serta mematuhi syarat-syaratnya, insya Allah akan berjaya di dalam pertandingan.

Kempen pilihan raya situasinya bukan seperti itu, kempen pilihan raya bukan karangan, bukan khayalan dan bukan juga lakonan. Kempen pilihan raya adalah realiti yang berada di dalam kehidupan yang nyata dan di bawah naungan hukum Allah. Ianya tidak terkecuali daripada hukum haram, halal, wajib, sunat dan harus (mubah).


Petugas dan pelapor media juga berada di dalam dunia yang sama, semuanya menjurus ke arah dan destinasi yang sama, iaitu destinasi yang semua orang Islam sedia maklum, penulis juga berada di dalam situasi yang tidak terkecuali. Ingat mengingat adalah suruhan yang terkandung di dalam syariat. Sering disebut " Kalau tidak dapat membuat semua, jangan ditinggalkan semuanya", mungkin kita tidak mampu mematuhi semuanya tetapi sebahagian besar daripadanya mampu dipatuhi. Sengaja merempuhnya itulah yang dikesali.


Oleh itu orang yang terlibat dengan kempen pilihan raya khususnya, perlulah berhujah secara jujur dan ikhlas bukan rekaan seperti murid sekolah membuat karangan untuk mendapat markah yang tinggi atau menyertai pertandingan berpidato untuk mendapat kemenangan seperti yang telah dinyatakan .

Hujah di dalam kempen pilihan raya akan didengari oleh khalayak ramai dan juga sampai ke telinga dan`hati nurani rakyat yang mungkin sedang mengharapkan kejujuran pemimpin kecil dan besar yang turun ke bawah dan berdepan dengan mereka. Berlebih-lebih lagi hujah yang dikemukakan berkaitan dengan pentadbiran negara dan memegang amanah rakyat. Hendaklah sentiasa diingat mereka adalah pemimpin dan bakal menjadi pemimpin yang lebih besar. Negara adalah hak bersama dan Malaysia adalah hak kita bersama.

Rakyat berhak benci kepada pemimpin yang jahat dan berhak menyanjungi pemimpin yang baik dan menjaga kepentingan negara.

Bercakaplah mengenai dasar dan wawasan, berhujahlah mengenai akhlak pemimpin yang layak memimpin dan menjaga amanah, mengekalkan kecekapan serta bersih hati dan perbuatan. Cerdikkan rakyat , Jangan sekali-kali memperbodohkan mereka kerana perbuatan seperti itu akan membantutkan kemajuan negara. Jika ini berlaku akan merugikan anak cucu kita yang akan datang. Buatlah sesuatu yang diri kita sendiri mengakui kebaikannya kerana dengan cara itu menang atau kalah tetap akan mendapat ganjaran kebaikannya.

___________________________

Untuk Renungan.

"Wahai orang-orang yang beriman,
taatilah Allah dan taatilah Rasul (Nya),
dan ulil amri di antara kamu.
Kemudian jika kamu berlainan pendapat
tentang sesuatu, maka kembalikanlah
ia
kepada Allah (Al Qur'an) dan

Rasul (sunnahnya),
jika kamu
benar-benar beriman kepada Allah
dan hari kemudian. Yang demikian itu
lebih utama (bagimu) dan
lebih baik akibatnya".
Surah An.Nisak (59)


_________________________

Tidakkah kamu perhatikan bagaimana
Allah telah membuat perumpamaan
kalimat
yang baik seperti pohon yang baik,
akarnya teguh
dan cabangnya
(menjulang) ke langit,
(24)


pohon itu memberikan buahnya
pada setiap
musim dengan
izin Tuhannya.
Allah membuat
perumpamaan-perumpamaan itu
untuk manusia supaya
mereka selalu ingat.
(25)


Dan perumpamaan kalimat yang buruk
seperti pohon yang buruk,
yang telah dicabut
dengan akar-akarnya
dari permukaan bumi;

tidak dapat tetap (tegak) sedikit pun.
(26)

Surah Ibrahim. (Ayat 24, 25 dan 26).


_____________________

"Mereka bertanya kepadamu tentang
berperang pada bulan Haram. Katakanlah:
"Berperang dalam bulan itu adalah dosa besar;
tetapi menghalangi (manusia) dari jalan Allah,
kafir kepada Allah, (menghalangi masuk)
Masjidilharam dan mengusir penduduknya
dari sekitarnya, lebih besar (dosanya)
di sisi Allah. Dan berbuat fitnah lebih besar
(dosanya) daripada membunuh.
Mereka tidak henti-hentinya memerangi
kamu sampai mereka (dapat) mengembalikan
kamu dari agamamu (kepada kekafiran),
seandainya mereka sanggup. Barang siapa
yang murtad di antara kamu dari agamanya,
lalu dia mati dalam kekafiran, maka mereka
itulah yang sia-sia amalannya di dunia dan
di akhirat, dan mereka itulah penghuni neraka,
mereka kekal di dalamnya".
Surah Al.Baqarah (217)

__________________________

"Allah tidak menyukai ucapan buruk,
(yang diucapkan)
dengan terang kecuali oleh orang
yang dianiaya.
Allah adalah Maha Mendengar
lagi Maha Mengetahui".
Surah An.Nisak (148).

_________________________________

" ALLAH SENTIASA MELIHAT PERBUATAN KITA SAMBIL MEMBUAT PENILAIANNYA "
__________________________

Sekian. Wallahu aklam . Wassalam.

4 comments:

Unknown said...

Assalamualaikum leenoh,

sana sini orang buat persediaan...
keliruuu....

en_me said...

me insaf dgn kekurangan n kelemahan diri me yg inih.. salammms

Dee said...

pilihlah yg molek2 sket..yg dh menang tu sok bila dpt power jgn lupa diri..jgn mkn rasuah..apa2 pun..31 mei tu tarikh yg bermakna buat sy..hehehe..

Leenoh said...

Salam,
Izan, en-me dan Dee. terima kasih kerana membaca dan memberi respon.