Tuesday, December 1, 2009

Korbankan adat atau syariat.

Salam semua.

Saya tertarik dengan artikel yang ditulis oleh Shamsul Munir Safini di dalam Sinar Harian edaran Selasa 1 Dis. 2009, di sini saya hanya petik perenggan paling akhir di dalam artikelnya yang bertajuk " Korbankan adat atau syarak".

Katanya, " Sesungguhnya biarlah sesuatu ibadat itu kita lakukan dengan hukum syaraknya, kita ketahui terlebih dahulu dan bukan mengikut adat dalam melakukannya, bukan menjadi anti perkara berkaitan adat, namun biarlah adat yang diikuti itu selari dengan syarak yang ditetapkanNya".

Penulis tersebut menulis mengenai amalan qurban yang dilaksanakan oleh masyarakat kita setiap tahun mahu pun ibadat lain supaya tidak melakukan dengan mengikut adat yang tidak selari dengan syarak. Saya tertarik dengan ulasan ini kerana idea dan objektifnya hampir menyamai beberapa saranan di dalam artikel saya yang telah dipaparkan di dalam blog ini pada masa yang telah lalu.

Memang tidak dapat dinafikan lagi bahawa amal ibadat kita banyak terpengaruh dengan adat, rupa paras ibadat memang kelihatannya sama tetapi roh ibadat mungkin telah lari dari matlamatnya. Saranan Shamsul Munir itu memang tepat sekali sesuatu ibadat yang dilakukan itu hendak diketahui dan difahami terlebih dahulu, yakni bukan ikut-ikutan tanpa mengetahui hakikat ibadat tersebut.

Ibadat Qurban contohnya perlulah diambil kira mulai wang yang diperolehi iaitu dari sumber yang halal, membeli binatang dengan akad jualbeli atau mewakilkan kepada orang lain dan niat qurban sebelum sembelihan dilakukan oleh mereka yang menyertai secara kongsi atau berseorangan. Perlu juga diketahui apa yang sepatutnya dilakukan setelah daging qurban diperolehi atau apakah tindakan selepas sembelih dan daging diagih-agihkan, pendeknya kita mengetahuinya dari awal sehingga akhir qurban tersebut. Apa yang boleh dan apa pula yang tidak boleh semuanya mesti diketahui, dengan demikain akan terhindar daripada seseorang itu melakukan ibadat bercampuraduk dengan adat yang salah.

Demikian juga, jika kita merujuk kepada sambutan Aidil Fitri seperti yang telah saya nukilkan beberapa kali pada masa yang telah lalu. Puasa sunat Syawal dipinggirkan dan sambutan Hari Raya Puasa ( Aidil Fitri ) diutamakan dan gahkan. Malah sambutannya sehingga sebulan.

Sesuatu amalan yang telah menjadi adat pekat kepada masyarakat sukar disingkarkan, orang yang cuba menyingkirkannya akan dimarahi dan dipersalahkan. Adat-adat salah seperti inilah akan menjadi modal kepada orang-orang tertentu mengambil kesempatan merendah-rendahkan amalan mazhab kita, pada hal kita tidak teliti mengikut dan mengamalkannya sehingga tercampur dengan amalan-amalan yang ditokok tambah atau dicampur dengan amalan yang pernah diamalkan oleh datuk nenek kita ketika sebelum kedatangan Islam dahulu lagi, apabila mereka menerima Islam mereka tidak menggugurkan amalan tersebut
atau ditokok tambah dari semasa ke semasa oleh masyarakat sekarang seperti kongsi raya dan seumpamanya .

Itu semua sebenarnya tidak terlalu mustahak untuk dibincangkan tetapi yang paling mustahak ialah mengenalpasti amalan yang salah supaya dapat sama-sama kita singkirkan, dengan itu barulah amalan kita diterima Allah. Tugas ini tidak mampu dilakukan oleh orang awam, mereka yang layak memainkan peranannya tentulah alim ulamak.

Cubalah fikir-fikirkan supaya amalan kita menjadi semakin ditahsin dan dimurnikan.

Sekadar pandangan peribadi.

Sekian. Wallahu aklam. Wassalam.

2 comments:

Anonymous said...

Salam Leenoh,
Saya setuju dengan pandangan anda,sewajarnyalah kita membezakan di antara adat dan ibadat,
janganlah kita membudayakan adat sebagai ibadat.Ibadat semata2 menuntut keredhaan Allah sedangkan adat hanya untuk manusia.Tapi yang peliknya orang Melayu kita khasnya terlalu mengagungkan adat walaupun bercanggah dengan Islam,tu...lah kut mai peribahasa "biar mati anak jangan mati adat" biar pape asal begaye ".Walau apa pun marilah sama-sama kita memurnikan ibadat bagi menuntut keredhaan Allah...Amin(arba)

Leenoh said...

Salam Sdr.Arba.

Semoga anda sihat walafiat. terima kasih kerana memberi sokongan dan berdakwah bersama Laman Kehidupan Bersih dengan memberi ulasan yang membina dan membantu masyarakat awam dan saudara Islam kita yang lain memahami Islam.